Free Porn
xbporn
https://www.bangspankxxx.com
voguerre
southampton escorts
30.3 C
Kuala Lumpur
11 February 2025 (Tuesday)
spot_img

Dari UKM: 37 Tahun Agus Membedah Politik Malaysia

Naratif Malaysia menerusi saluran Wacana Studio Naratif bertuah kerana telah berpeluang untuk mewawancara ahli akademik Sains Politik dan penganalisis politik tanah air, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Agus Yusoff. Wawancara ini diadakan bersempena 37 tahun beliau menyumbang bakti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan persaraannya pada 11 Julai 2022. Berikut merupakan teks wawancara tersebut yang dikendalikan oleh Dr. Muhamad Azwan Abd Rahman.

DR. MUHAMAD AZWAN ABD RAHMAN: Assalamualaikum wbt dan Salam Hormat. Terima kasih Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. kerana sudi diwawancara bersempena 37 tahun di UKM yang mana tahun ini ialah tahun persaraan bagi Prof. Dato’ Dr. Pertamanya, sepanjang 37 tahun menjadi pemerhati dan penganalisis politik, adakah Prof. Dato’ Dr. berpuas hati dengan politik di Malaysia?

PROF. DATO’ DR. MOHAMMAD AGUS YUSOFF: Puas hati atau tidak adalah sesuatu yang subjektif. Namun, bagi saya, tempoh 37 tahun di UKM menggembirakan saya. Saya menyertai UKM pada tahun 1985. Ketika itu, berlaku satu tragedi dalam politik negara iaitu peristiwa Memali pada bulan November. Saya mengikuti peristiwa itu dengan dengan rapat.

Akhirnya, saya menganalisis kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad sehingga ke akhir tempoh penggal pertama beliau sebagai Perdana Menteri. Analisis saya mendapati demokrasi Malaysia sedikit demi sedikit di bawah pemerintahan beliau. Akhirnya, setelah pemerintahan Dr. Mahathir, demokrasi Malaysia tetap seperti itu—demokrasi dari segi prosedural tetapi mati dari segi substansinya.

Saya dilatih di dalam bidang Sains Politik untuk menjadi seorang demokrat. Saya melihat pemerintahan Malaysia tidak demokratik. Ertinya, tidak menghormati hak-hak rakyat untuk berpolitik dan bernegara. Ini dapat dilihat daripada segi kebebasan bersuara rakyat dan keberanian rakyat untuk berpartisipasi dalam politik. Dari segi ini, saya tidak puas hati kerana saya rasa kita sepatutnya demokratik sebagai sebuah negara multietnik dan perlu meraikan kepelbagaian, tetapi ini tidak berlaku.

Beralih kepada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, saya melihat ruang itu dibuka sedikit tetapi ditutup semula pada zaman Dato’ Sri Najib Razak kerana isu SRC, isu Altantuya, dan 1MDB khususnya.

Malaysia mempunyai peluang yang besar untuk berubah semasa Pakatan Harapan memenangi PRU ke-14, namun harapan rakyat hanya ilusi. PH juga gagal menunaikan janji pilihan rayanya menyebabkan rakyat kecewa dan akhirya berlakulah Langkah Sheraton yang memusnahkan impian rakyat untuk berlaku perubahan politik yang nyata. Justeru, sehingga kini Malaysia bukan negara demokratik, justeru perkara itu tidak memuaskan hati saya. Saya fikir kita belum matang politiknya.

DR. MUHAMAD AZWAN ABD RAHMAN: Di manakah sisi tidak demokratik zaman Dato’ Sri Najib Razak pada ketika itu? Bukankah terdapat gagasan perubahan?

PROF. DATO’ DR. MOHAMMAD AGUS YUSOFF: Kita tidak usah lihat kepada transformasi yang dibuat dan janji transformasi. Kita perlu menilai daripada segi kejayaan. Pada awalnya nampak kejayaan tetapi reput selepas itu. Ia terlihat khususnya pada penggal kedua pemerintahan Dato’ Sri Najib Razak.

Hal tersebut kerana negara dibebani dua isu besar. Pertama, isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Kedua, isu goods and services tax (GST). Jadi, bagi menutup isu ini Datuk Seri Najib Razak telah menutup banyak ruang awam untuk bercakap, memberikan pandangan dan mengkritik mengenai isu tersebut. Akhirnya, rakyat memberikan jawapan kepada rasa tidak puas hati itu dengan menolak Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Soalnya begini, kita ini sebuah negara yang rakyatnya cerdik, kadar literasi rakyat tinggi. Malah, kita bercakap tentang menuju negara maju melalui Wawasan 2020 lagi. Bertujuan menjadi sebuah negara maju dengan ‘a united Malaysian nation’. Kita mengimpikan ‘bangsa Malaysia,’ namun kita sering diikat oleh isu-isu perkauman sehingga hari ini.

Rakyat masih lagi belum bebas untuk bersuara. Saya fikir, selepas berlakunya peralihan kerajaan pada tahun 2018, Malaysia akan menuju kepada suatu demokrasi yang lebih matang. Namun, dalam tempoh 22 bulan, banyak masalah di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH). Kemudian, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan isu pandemik dan sebagainya menutup lagi ruang awam untuk rakyat bercakap soal keadilan, soal kemanusiaan dan soal kesejahteraan. Ia ditutup sehingga saya sendiri sebagai pensyarah politk berasa takut untuk bersuara.

DR. MUHAMAD AZWAN ABD RAHMAN: Prof. Dato’ Dr. berasa takut yang bagaimana?

PROF. DATO’ DR. MOHAMMAD AGUS YUSOFF: Rasa takut untuk bersuara kerana diikat oleh banyak sekatan-sekatan sama ada secara jelas terserlah atau tersembunyi.

DR. MUHAMAD AZWAN ABD RAHMAN: Bagaimana sekarang berbanding dengan sebelum ini?

PROF. DATO’ DR. MOHAMMAD AGUS YUSOFF: Masih sama. Kita tetap sebuah negara yang demokrasinya secara pilihan raya tetapi tidak dari segi tindakan. Sekarang saya berikan satu contoh. Seorang senator yang bercakap mengkritik kerajaan pun mahu ditangkap. Itu suatu intimidasi bagi saya. Kita lihat Ahli Parlimen dan Majlis Peguam yang berarak mengadakan suatu perhimpunan. Itu pada pandangan saya suatu ekspresi demokrasi. Ia tidak menganggu gugat ketenteraman awam, dan tidak juga mengancam keselamatan negara. Kenapakah kita mahu sekat ekspresi mereka?

            Saya tidak nampak mereka menggangu ketenteraman awam dan menggugat keselamatan negara, tetapi setuju jika dikatakan menggangu keselesaan kerajaan. Oleh sebab itulah perarakan tersebut disekat.

Jadi, saya fikir sampai masanya, pemimpin kita perlu berjiwa besar, berani menghadapi kritikan dan menjawab teguran. Sekiranya tidak berani menjawab teguran, selama itulah politik kita seperti ini—mundur dan reput. Kita mengakui bahawa kita mengamalkan demokrasi tetapi realitinya kita tidak demokrasi. Demokrasi kita hanya sekadar prosedural sahaja. Ada pilihan raya lima tahun sekali. Namun, selepas itu, demokrasi secara substantifnya menjadi terbatas.

Jadi, untuk maju, setelah 37 tahun membedah politik ini, saya pesankan kepada pemimpin kita bahawa sudah sampai waktunya mereka berjiwa besar, terbuka, meraikan kepelbagaian, menerima teguran dan kritikan rakyat. Misalnya, jangan sesekali membiarkan cendekiawan di universiti berasa takut untuk bersuara. Hal ini kerana saya risau jika cendekiawan sudah tidak berkata-kata dan tidak lagi bersuara untuk menegur kerajaan, maka akan matilah sebuah ketamadunan yang hendak kita bina menjadi sebuah negara bangsa yang hebat.

DR. MUHAMAD AZWAN ABD RAHMAN: Bagaimanakah Prof. Dato’ Dr. melihat ada cendekiawan yang memberi komentar tentang politik itu seolah-olah dilihat berpihak?

PROF. DATO’ DR. MOHAMMAD AGUS YUSOFF: Itu pandangan masing-masing. Saya tiada masalah daripada segi memberi pandangan. Sama ada kita hendak menyokong parti A atau parti B, itu kepercayaan kita. Itu keyakinan kita kepada sebuah perjuangan. Saya fikir raikan sahaja perbezaan itu.

Cuma dalam proses meraikan perbezaan itu, jangan ada sekatan dan tindakan double standard. Apabila sealiran pemikiran dengan kerajaan, kita biarkan. Apabila tidak sealiran, kita sekat. Itu tidak betul. Sikap double standard, dua darjat, pilih kasih dan takut kepada perkara yang tidak menentu harus kita hindarkan. Barulah kita boleh bergerak ke hadapan.

Dalam keadaan sekarang ini, kita menghadapi banyak kekangan dan masalah. Masalah ekonomi, masalah kesejahteraan hidup rakyat dan kesenjangan antara kaya dan miskin. Jadi, telah sampai masanya kerajaan mendengar pandangan-pandangan yang tidak sealiran supaya dengan itu kerajaan boleh membuat keputusan yang lebih tepat, komprehensif dan menyeluruh untuk menjawab sesuatu persoalan. Bukan hanya kepada satu pihak, bahkan kepada rakyat dan masyarakat seluruhnya.

Saya ingin tutup soalan ini begini. Saya menegur dan mengkritik kerajaan bukan kerana berpihak atau hendak melawan kerajaan, tetapi kerana saya yakin itulah asas kenapa kerajaan menghantar saya belajar dahulu, iaitu bagi menjadi orang yang cerdik dan kembali menyumbang ilmu supaya dapat membina negara bangsa ke arah yang lebih baik dan cemerlang.

DR. MUHAMAD AZWAN ABD RAHMAN: Sepanjang 37 tahun membedah politik Malaysia, peristiwa manakah yang paling memberi kesan mendalam kepada Prof. Dato’ Dr. dan kenapakah memilih peristiwa tersebut?

PROF. DATO’ DR. MOHAMMAD AGUS YUSOFF: Memberi kesan itu tidak, tetapi memberi kekecewaan itu ya. Harapan saya cukup besar apabila tahun 2018 berlaku peralihan kerajaan. Saya berharap sekali apabila kerajaan PH mememangi PRU ke-14 pada bulan Mei 2018, negara akan bergerak ke suatu era baharu dengan demokrasi yang lebih terbuka, rakyat yang lebih berani, kesejahteraan masyarakat yang lebih meningkat, keadilan dan kemanusiaan yang diangkat. Saya harap sangat perkara itu berlaku. Malangnya, cuma satu atau dua bulan sahaja kita boleh melihat roh reformasi itu bernyawa.

Selepas itu, roh reformasi bukan sahaja setakat nazak tetapi mati. Kenapa? Kerana Ahli Parlimen dan Kabinet PH tidak menegur keputusan atau dasar kerajaan tidak betul. Sepatutnya mereka membuat teguran terhadap sesuatu keputusan dan dasar yang sudah tergelincir daripada asas yang dijanjikan kepada rakyat dalam manifesto 2018. Namun, tidak ada teguran. Kenapa? Kerana ingin menjaga kedudukan dalam kerajaan, mahu menjaga kuasa, dan semua pemimpin telah hilang roh reformasi. Ini cukup mengecewakan. Sekiranya Ahli Parlimen dan Kabinet menegur perbuatan, polisi dan tindakan kerajaan yang tidak betul pada waktu itu, maka saya fikir keadaan sekarang tidak menjadi begini.

Jadi, usah salahkan Langkah Sheraton. Usah salahkan pihak yang meninggalkan parti dan menubuhkan parti baharu atau masuk ke parti lain. Salahkan kenapa dalam tempoh itu kita terlalu berkompromi membiarkan satu demi satu manifesto dan janji PRU ke-14 dinodai. Kenapa harus diam? Apakah yang hendak kita pertahankan pada waktu itu? Tentunya kuasa. Semoganya peristiwa 2018 itu menjadi pengajaran untuk semua, iaitu kesilapan pemerintah jangan dibiarkan tanpa teguran dan kritikan.

Hatta sekiranya saya membuat kesilapan sekalipun, tegurlah. Saya akan mempertimbangkan di mana silapnya dan apa yang boleh diperbaiki. Daripada situ kita boleh membawa satu proses pendidikan yang berkesan. Saya memang tegas apabila memarahi pelajar saya. Saya keras dalam teguran itu dengan satu tujuan—supaya mereka berubah menjadi lebih baik. Saya yakin, jika semua bersuara sewaktu itu kepada beberapa polisi yang tidak betul, negara boleh diperbetulkan. Peluang itu sudahpun berlalu, jadi iktibar dari kisah ini.

Sebab itu kita perlu belajar daripada pengalaman Indonesia setelah kejatuhan Suharto pada Mei 1998. Roh reformasinya dipertahankan sehingga ke pemerintahan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, malah sehingga ke penggal pertama Presiden Jokowi. Justeru adanya roh reformasi ini, maka rakyat mendukung kerajaannya walaupun ada kelemahan. Walaupun ada kelemahan, rakyat mendukunya kerana pemerintah masih menghormati hak-hak rakyat untuk bersuara dan berpolitik, malah hak cendekiawan untuk berani melontarkan pandangan. Akan tetapi, apabila penggal kedua Presiden Jokowi, kita boleh lihat terdapat undang-undang yang menyekat rakyat seperti Omnibus Law dan pelbagai akta lain. Di sini, kita lihat roh reformasi itu semakin hilang.

Rakyat semakin gelisah dengan cara pemerintahan Jokowi walaupun Jokowi telah membawa Indonesia maju ke depan. Gelisah kerana mereka melihat hak-hak berpolitik mereka semakin disekat dan roh reformasi semakin hilang.

Alasan pemimpin di mana-mana senang sahaja apabila menyekat hak demokasi rakyat: “Kita lakukan ini untuk kestabilan politik”. Apakah maksudnya itu? Stabil atau tidak sekiranya kita terus mengongkong rakyat? Maju atau tidak politik sekiranya kita membonsaikan rakyat? Tidak. Sepatutnya rakyat dibiarkan bersuara dalam konteks dan garis undang-undang yang dibenarkan.

DR. MUHAMAD AZWAN ABD RAHMAN: Seperti Prof. Dato’ Dr. sebutkan, tahun 2018 adalah antara pengalaman atau peristiwa yang ‘mengecewakan’, tetapi terdapat pandangan yang melihat apa yang berlaku pada tahun tersebut ialah proses demokrasi. Bagaimanakah Prof. Dato’ Dr. melihat perkara ini?

PROF. DATO’ DR. MOHAMMAD AGUS YUSOFF: Itu demokrasi yang gagal diterjemahkan. Kekecewaan itu kerana janji manifesto tahun 2018 itu baik. Janji itu memberi harapan yang besar kepada rakyat—menggunung besarnya. Kita lihat ceramah-ceramah. Rakyat keluar beramai-ramai. Rakyat begitu ‘euforia semata-mata kerana ingin melihat perubahan. Rakyat mahu hidup sejahtera, tetapi realitinya apabila mendapat kuasa dan membentuk kabinet, kita tidak nampak arah tujunya ke mana.

Selain itu, pihak parti pembangkang pada waktu itu yang membangkangi PH masih bercakap tentang perkauman dan menunggang agama semahunya. Malangnya kerajaan PH yang berkuasa ketika itu gagal menangani hal ini. Mereka gagal menjawab hujah pembangkang dengan baik kerana sibuk mengurus kuasa. Sesungguhnya ini sedih dan mengecewakan.

Kesannya apa? Kesannya setelah Langkah Sheraton pada tahun 2020 dan kini dengan kerajaan Keluarga Malaysia, kita masih gagal menterjemahkan demokrasi dengan baik. Kita kembali kepada politk lama yang kerajaannya alergik kepada kepembangkangan, yang parti politiknya masih menunggang agama dan bangsa sebagai alat propaganda untuk terus mengekalkan kuasa.

DR. MUHAMAD AZWAN ABD RAHMAN: Jelas, inti pertama yang Prof. Dato’ Dr. tekankan ialah hak rakyat. Kedua, kita telah lama merdeka, maka pelbagai kaum perlu hidup berdampingan dengan aman dan damai. Saya kira itu mesej yang jelas Prof. Dato’ Dr. cuba ketengahkan.

PROF. DATO’ DR. MOHAMMAD AGUS YUSOFF: Ya, kita sendiri sering bercakap tentang Bangsa Malaysia sejak sekian lama tetapi kita sendiri masih ‘memisahkan’ masyarakat. Pandangan saya, apabila kita bercakap soal perkauman dan negara majmuk, kita mesti bersetuju dengan satu perkara: bahawa etnik majoriti mesti menguasai politik negara. Itu asas yang tidak boleh kita tolak ke tepi sama sekali. Tiada sarjana yang menyatakan bahawa dalam negara majmuk, etnik minoriti boleh memerintah. Jika berlaku, hancur negara.

Sebab itu dalam bahasa politiknya kita sebut staatsvolk. Dalam hal ini, staatsvolk Melayu ialah ‘tiang negara’. Jadi, asas itu perlu dihormati. Jika kita mahu mengambil tindakan keras dengan undang-undang, kita tangkap mereka yang menolak staatvolks ini. Negara yang menolak staatsvolk tidak akan pernah aman. Kita lihat bagaimana rampasan kuasa berlaku di Fiji pada tahun 1987. Punca utama berlakunya rampasan kuasa ini adalah kerana etnik Fiji yang merupakan penduduk majoriti negara itu tidak boleh menerima pemerintah dari etnik India. Etnik India datang ke Fiji menguasai ekonomi dan kemudiannya menguasai politik; etnik Fiji tidak boleh menerima hal itu. Maka, berlakulah rampasan kuasa.

Apakah kita mahu begitu? Tentunya tidak. Sebab itu, kita ikutlah perlembagaan yang telah menetapkan hak setiap kaum. Sekiranya kita ikut perlembagaan, maka tidak akan ada masalah. Masalahnya ialah apabila orang politik mempolitikkan hal ini. Isu etnik di negara kita ini bukan merupakan masalah rakyat, tetapi masalah orang politik.

Mengenai hak rakyat, tentunya ini hal penting. Kerajaan mesti menjaga hak rakyat dan memberikan hak kepada mereka untuk sekolah, makan, sihat dan berteduh. Jaga hak itu dari duit rakyat yang dikutip melalui cukai, bukannya untuk berboros dan mengenyangkan kroni. Jika hak rakyat ini dijaga, sekurang-kurang konflik yang kita hadapi ini boleh diredakan.

DR. MUHAMAD AZWAN ABD RAHMAN: Saya suka Prof. Dato’ Dr. menyebut tentang staatsvolk. Tetapi bagaimanakah kegagalan PH ini boleh dikaitkan dengan deliberative democracy?

PROF. DATO’ DR. MOHAMMAD AGUS YUSOFF: Mari saya jelaskan makna kedua-dua konsep ini. Staatsvolk adalah dari bahasa Jerman yang ertinya ialah dalam sebuah negara berdaulat, kumpulan etnik dominan dalam negara tersebut hendaklah diberi keutamaan dan mendominasi negara.

Demokrasi deliberatif pula merupakan pendapat pelbagai kelompok sosial untuk mencapai konsensus rasional. Sarjana telah memberikan syarat demokrasi deliberatif ini ialah rakyat mesti bebas bersuara, boleh berbeza pendapat, bebas memberikan pandangan, bebas menyampaikan keinginan dan keperluan, dan setiap orang tidak boleh disekat haknya. Demokrasi deliberatif ini baik kerana ia menumbuhkan tradisi berdialog atau bertukar pendapat tanpa memandang perbezaan kaya miskin, dan majoriti-minoriti.

Bagi saya tiada kaitan kegagalan PH dengan demokrasi deliberatif kerana dalam tempoh singkat pemerintahannya, PH telah membuka luas ruang awam. Rakyat bebas berbicara, bersuara, berbeza pendapat, dan berdialog.

Masalahnya dengan kerajaan PH ialah pertama, mereka memberikan harapan palsu kepada rakyat. Menghasilkan manifesto menarik dan kemudiannya apabila berkuasa menyatakan pula manifesto tidak semestinya diikuti kerana ia bukan kitab suci. Kedua, Ahli-ahli Parlimen dan Menteri dalam Kabinet waktu itu membisu apabila polisi dan tindakan Ketua Eksekutif tergelincir daripada harapan asal yang dikemukakan kepada rakyat. Mereka bersuara hanya selepas itu. Ini menjadi masalah apabila kita membiarkan sesuatu itu salah di peringkat awal tanpa kita menegur. Maka, akhirnya ia akan mejadi sesuatu yang rosak.

Sebab itu di dalam kelas, saya selalu memberitahu pelajar saya bahawa “…Your first step has to be right…”. Kalau anda hendak maju dalam hidup, pelajaran dan kerjaya, pastikan langkah pertama kita betul. Kalau langkah pertama sudah salah, kita akan berterusan salah.

Saya ada kenalan seorang berbangsa Cina. Namanya Uncle Alex. Beliau datang dari Tanah Besar Negara China berhijrah ke Kuala Lumpur tetapi gagal membina hidup. Di kawasan hutan Keningau, Sabah beliau kemudian berjaya. Lalu, saya bertanyakan bagaimana beliau boleh berjaya. Satu sahaja kata beliau, “…My son Agus, langkah pertama kita perlu betul; saya miskin, sebatang kara tetapi apabila orang memberi kepercayaan tidak sekalipun saya berbohong. Akhirnya, orang percaya pada saya. Dengan kepercayaan itulah orang memberi saya kehidupan dan saya menjadi orang yang berjaya…”.

DR. MUHAMAD AZWAN ABD RAHMAN: Soalan seterusnya yang saya ingin utarakan mungkin mencuit atau memicu Prof. Dato’ Dr. untuk menjawab. Sesetengah hujah yang disampaikan oleh Prof. Dato’ Dr. ada yang disanjung tetapi ada juga yang ‘di-kangkung-kan’ di ruang awam. Bagaimanakah Prof. Dato’ Dr. merespons kepada hal ini?

PROF. DATO’ DR. MOHAMMAD AGUS YUSOFF: Orang tua ada menyatakan, “Jangan bermain di tepi pantai jikalau kita takut pada ombak, jangan kita naik pokok yang tinggi kalau takut digoyang angin.” Jadi, kalau kita berbuat sesuatu aksi, kita mesti bersedia menerima reaksi. Saya faham ilmu politik ini, apatah lagi dalam praktik politik di mana kita akan disanjung sekiranya sealiran, dan dikeji bila tidak sealiran. Itu lumrah di dalam politik dan saya fikir ahli-ahli politik menerima hal ini sebagai sesuatu yang biasa.

Seperti yang saya katakan, apalagi kalau kita menjadi kerajaan, pemimpin yang hebat harus berjiwa besar, terima kritikan dan teguran dengan pandangan terbuka. Asalkan orang yang menegur itu jangan memfitnah dan memporak-perandakan keluarga, saya okay sahaja. Jadi, berbeza politik itu kita take it as it is. Barulah kita boleh berpolitik. Jikalau mudah koyak dan mudah robek, serta jiwa tidak kental, duduklah sahaja di rumah. Buatlah kerja di rumah yang orang tidak akan maki kita. Orang maki kita sekalipun, pada fikiran saya, semuanya masih dalam konteks yang dibenarkan undang-undang. Mereka hanya meluahkan pandangan mereka tidak setuju dengan kita, kata kita ‘kangkung’, pada saya itu biasa.

Cumanya, jika saya hendak memberi komen balas secara terbuka, saya berhati-hati. Kita perlu mempunyai karakter. Kita sebagai guru perlu menjaga karakter itu di hadapan ruang awam. Mungkin di ruang peribadi kita lebih daripada itu lagi memaki orang, namun dalam ruang awam, kita perlu menjaga karakter itu kerana karakter ialah amanah yang kita perlu jaga.

DR. MUHAMAD AZWAN ABD RAHMAN: Transisi selama 37 tahun berkhidmat dan memberikan pandangan dalam ruang awam pula bagaimana? Dahulu tiada media sosial, sekarang sudah ada. Bagaimanakah Prof. Dato’ Dr. berkarya memberikan analisis tajam sebelum wujudnya media sosial?

PROF. DATO’ DR. MOHAMMAD AGUS YUSOFF: Ia perlu datang daripada hati. Jikalau kita hendak buat sesuatu, kita kena buat dengan hati dan soul. Kita kena ingat kita bukanlah a spokesperson to any political leader or any political party or organization. We are yourself. Kita telah dibekalkan dengan ilmu dan pengetahuan. Jadi, biarkan hati kita yang bercakap dengan ilmu.

Dalam Sains Sosial dan Sains Politik, tiada yang salah atau betul. Mungkin betul pada pandangan kita. Maka, kita berhujah dengan pandangan yang kita rasa betul itu. Ia mungkin tidak betul pada pandangan orang. Orang lain mempunyai hak untuk memberi hujah berlawanan dengan pandangan kita. Jadi, terimalah itu. Jikalau kita fikir ia tidak wajar dibahaskan, lebih baik diam. Jikalau rasa sesuatu itu perlu dibahaskan, maka berilah pandangan balas.

Dalam ruang awam yang sebegini, saya selalu berhati-hati dalam memberi pandangan kerana saya fikir apa sahaja pandangan yang diberikan itu boleh diviralkan dan mencetuskan polemik dalam kalangan pendengar. Saya tidak mahu begitu. Apapun tujuannya cuma satu iaitu sebagai guru politik, saya mahu apa yang dikatakan jika boleh didebatkan dan dibahaskan secara ilmiah untuk mencari satu solusi bagaimana sebenarnya untuk kita menangani atau mengatasi sesuatu masalah. Saya fikir itulah hajat saya yang mungkin tercapai dan mungkin juga tidak tercapai.

Saya selalu berpesan kepada mahasiswa-mahasiswa saya, kalau saya mahu dikenang pada suatu hari nanti kenanglah cerita Two Bad Bricks. Cerita ini berkisar tentang seorang tukang yang mahir diminta oleh ketua biara untuk membina satu gereja. Sebagai seorang yang mahir, beliau kecewa apabila dua binaan bata yang dibuatnya itu senget. Jadi, dia berfikir untuk mengeluarkan dua bata yang senget itu supaya bangunannya tidak cacat. Dalam dia berfikir itu, tiba-tiba bas pelancong yang membawa pelancong berhenti dan memuji binaan itu sungguh comel. Jadi, dia pening, walhal dia sedang berfikir untuk merobohkannya. Dia lalu bertanya ketua biara itu mengapa hal ini berlaku—dua batanya senget tetapi pelancong kata comel dan menarik binaannya. Ketua biara itu menjawab, inilah kesilapan manusia. Kita hanya melihat dua bata yang buruk tetapi gagal melihat 998 ketul lagi bata yang baik dalam membina bangunan yang indah itu.

Jadi, saya berpesan kepada mahasisswa saya, jika mahu mengenang saya, kenanglah 998 bata itu, bukannya dua yang senget itu. Hargai guru supaya mendapat restu dalam perjalanan seterusnya.

DR. MUHAMAD AZWAN ABD RAHMAN: Saya lihat ada satu mesej dan falsafah di sebalik cerita itu dan saya kira ia menarik sekali. Soalan seterusnya, jika di Malaysia, bagaimanakah Prof. Dato’ Dr. melihat krisis politik memberi kesan kepada federalisme Malaysia masa kini? Adakah ia membentuk konflik atau konsensus?

PROF. DATO’ DR. MOHAMMAD AGUS YUSOFF: Just straight to the point, saya kesal dengan semangat federalisme dalam kalangan rakyat dan pemimpin. Ini adalah sebuah negara Malaysia yang perlu kita pertahankan. Kita mungkin dari Kelantan, Sabah, Johor dan Sarawak. Ingin memiliki semangat kenegerian dan parokial itu sentimen biasa. Malah, semangat xenofobia itu juga biasa kerana ia naluri serta fitrah manusia. Tetapi perlu ingat, negara Malaysia yang kita bentuk pada tahun 1963 adalah sebuah negara bersama yang perlu kita jaga.

Jadi, kalau ada sentimen yang hendak membawa keluar negara, dahulunya kita tangkap. Misalnya, di Sabah kita bawakan parti BERJAYA untuk menewaskan parti USNO kerana pemimpin USNO pada waktu itu meniupkan sentimen untuk membawa Sabah keluar daripada Malaysia. Maka, sentimen itu jangan dibiarkan. Kalau Sabah dan Sarawak kecewa kerana merasakan hak mereka dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perkara 20/18 tidak dilaksanakan, maka tuntutlah melalui apa juga saluran, tetapi jangan dengan cara menghasut rakyat untuk keluar dari persekutuan.

Solusinya mudah. Sabah dan Sarawak perlu menghormati perlembagaan. Pusat juga perlu menghormati hak Sabah dan Sarawak. Kenapakah begitu sukar untuk melaksanakan perjanjian tahun 1963 ini? Kalau itu hak Sabah dan Sarawak, berilah. Kalau bukan hak untuk dituntut, jangan beri. Contohnya, menuntut untuk keluar daripada Persekutuan Malaysia, jangan beri dan tangkap mereka yang mengugat kedaulatan negara ini. Negara ini kita ikat bersama dan bina bersama, tidak kira dari negeri ana pun kita, baik dari Kelantan, Johor, atau Sabah dan Sarawak. Jadi, kita binalah bukan bangsa negerinya tetapi bangsa Malaysia. Itu yang saya rasa semangat kenegaraan yang perlu ada pada semua rakyat.

Saya hendak memberitahu sedikit bukan untuk membesarkan diri, tetapi sebagai kenangan hidup. Semasa belajar di Manchester dahulu, saya mengajar di sana. Dua tahun mengajar di Universiti Manchester, saya mempunyai wang yang lebih dari mencukupi untuk hidup selesa di bumi orang. Begitu juga isteri saya, beliau juga bekerja.

Setelah tamat belajar pada tahun 1998, saya memiliki kereta Mercedes untuk dibawa pulang ke Malaysia, tetapi pada waktu itu sedang berlaku krisis kewangan di dalam negara. Saya tersentak sama ada hendak balik atau tinggal di sana. Kalau saya balik ke Malaysia, sudah tiada siapa yang menyambut kerana ayah dan emak saya sudah tiada, yang tinggal hanya adik beradik sahaja. Keluarga saya, isteri dan anak-anak sudah sedia bersama saya. Jadi, tidak balik pun tidak mengapa kerana ramai lagi orang Malaysia setelah tamat belajar kekal menetap di sana. Namun akhirnya, saya membuat keputusan untuk balik.

Saya balik ke Malaysia pada tahun 1998 dalam keadaan krisis itu hanya satu: Saya balik kerana hendak berkhidmat kepada negara saya. Saya hendak taburkan pengalaman sewaktu belajar berpolitik di zaman Labour Party tahun 1985 dan pengalaman yang pada tahun 1995 sehingga 1998 di negara sendiri. Saya cintakan negara saya sesungguhnya, kerana inilah satu-satunya tanah air saya. Oleh sebab itulah, apabila ada orang yang tiupkan sentimen mahu berpemerintahan sendiri, saya lawan. Ini satu-satunya negara kita dan kenapa kita perlu pecahkan negara ini hanya kerana sayangkan negeri dan benda yang bersifat setempat? Itu tidak boleh.

Itu sebabnya Jean-Jacque Rousseau berkata dalam “general will”, pertahankanlah hak-hak umum, nescaya hak-hak peribadi akan terjamin dan terbela. Malaysia ini hak umum yakni hak kita semua. Kalau kita jaga Malaysia, insyaAllah negeri-negeri akan selamat. Kerajaan pusat perlu berhati-hati. Apa-apa hak negeri daripada segi peruntukan kewangan dan perbelanjaan, pembangunan serta keseimbangannya, maka berikan. Mereka bukan sekadar Sabah dan Sarawak, mereka adalah rakyat Malaysia.

Saya jika bercakap tentang federalisme, emosi sedikit. Dari negeri manapun kita, sesiapapun kita, pertahankan negara ini. Sebab itu kalau semasa kecil dahulu, apabila askar lalu dengan lori mereka, walau saya sedang mandi ketika itu, saya behenti untuk tabik askar kita. Hormatnya saya pada askar sehingga kini kerana mereka membawa lambang negara. Kita boleh bersatu semua kaum semasa perlawanan bola dan sukan-sukan lain semuanya kerana negara. Tetapi, tiba-tiba dalam politik kita dipisahkan oleh perkauman dan itu suatu yang merugikan.

Awas, orang politik jangan lagi begini! Kita sudah berada di abad ke-21. Jadikan bangsa Malaysia adalah bangsa kita bersama tetapi staatsvolk Melayu itu kita pertahankan. Itu yang sebetulnya dan perlu diperjelaskan kepada rakyat. Barulah kita boleh maju ke hadapan.

Harapnya mahasiswa yang telah bersama saya mengambil ini sebagai satu jalan supaya kita semua bersatu kukuh dan bersatu padu untuk membina Malaysia yang cemerlang.

DR. MUHAMAD AZWAN ABD RAHMAN: Dalam konteks politik hari ini, rakyat dibebani dengan isu kos sara hidup dan kita lihat agak mendekam kita. Bagaimanakah Prof. Dato’ Dr. melihat perkara ini?

PROF. DATO’ DR. MOHAMMAD AGUS YUSOFF: Saya tidak boleh fikir bagaimana kita sebagai negara pengeluar minyak sawit dan petroleum, tetapi menghadapi masalah minyak masak. Begitu juga dengan harga petrol. Ya, betul kita mengikut aliran global dan pengaruh dunia luar tetapi untuk dua perkara ini, kita adalah negara pengeluarnya. Sebagai negara pengeluar, tentunya kita boleh mengawal harganya. Namun, ini tidak berlaku.

Jika komited, kerajaan boleh membuat polisi untuk meringankan beban rakyat dalam dua hal ini. Jika perlukan wang, banyak cara lain yang kerajaan boleh gunakan. Kumpulkan pakar dan profesor ekonomi dari universiti-universiti kita untuk memikirkan cara yang sesuai.

Selain dari penyelesaian cara ekonomi, saya fikir kita boleh jimatkan perbelanjaan negara dengan menangani rasuah. Ia ketirisan utama. Berapa juta ketirisan akibat rasuah berbanding dengan belanja subsidi yang dikeluarkan oleh kerajaan? Penyelewengan dan salah guna kuasa bagaimana? Saya rasa itu yang kerajaan perlu serius menanganinya.

Begitu juga usaha untuk menarik pelabur. Untuk meyakinkan pelabur, penguatkuasaan undang-undang perlu adil dan tanpa double standard. Undang-undang dan sistem kehakiman jangan kita permainkan. Itu tempat terakhir di mana rakyat menjadikan ia sebagai benteng untuk mendapatkan keadilan. Jadi, perkara seperti inilah yang saya fikir kerajaan perlu beri perhatian.

Kembali kepada isu kos hidup rakyat. Saya fikir kerajaan boleh memberi subsidi kepada bahan keperluan asas untuk meringankan keluhan rakyat. Kepada yang kaya, kita cukaikan mereka. Lakukan hal ini jika itu perlu untuk menambahkan pendapatan negara supaya kerajaan boleh membantu rakyat. Sebuah kerajaan tidak boleh membiarkan rakyatnya lapar tidak makan, takut ke hospital dan sekolah kerana tiada wang. Ini adalah benda-benda asas yang kerajaan perlu beri perhatian.

Kita mempunyai berapa puluh menteri kabinet? Bukankah ramai? Menteri ini perlulah bincang bagaimana hendak menyelesaikan masalah rakyat. Selepas itu, setiap kementerian kemukakan cadangan masing-masing dan ambil tindakan. Jangan kata kita hendak pilihan raya tiga atau empat lima bulan lagi, maka kita tidak perlu tindakan segera kerana hendak melakukannya selepas pilihan raya. Tidak boleh begitu. Setiap hari tindakan kita mesti ada kerana kehidupan kita dinamik dan sesaat kita lewat membuat keputusan, itu satu kerugian kepada rakyat dan negara.

DR. MUHAMAD AZWAN ABD RAHMAN: Pada pandangan Prof. Dato’ Dr., siapakah yang layak diberi peluang menjadi Perdana Menteri untuk memperjuangkan isu-isu mutakhir ini?

PROF. DATO’ DR. MOHAMMAD AGUS YUSOFF: Kalau layak itu ramai. Saya tertarik kepada ramai pemimpin muda yang saya fikir inilah pemimpin masa hadapan yang saya harap muncul dengan cepat dan meninggalkan yang lama-lama ini.

YB Khairy Jamaluddin ada stail, Saudara Rafizi Ramli, YB Nurul Izzah, YB Fahmi Fadzil, YB Teo Nie Ching, YB Ong Kian Ming, YB Faiz Fadzil, dan YB Adly Zahari. Semuanya hebat-hebat, daripada UMNO juga hebat. Peribadi itu soal lain, tetapi soal ilmunya kita ada ramai lagi yang cerdik seperti Shahril Hamdan, Isham Jalil dan Dr. Najmil Faiz. Soal peribadi ketepikan. Mereka ini ada wawasan. Tampilkan mereka ini. Jangan dipencilkan mereka.

Bagaimanapun, jikalau dalam waktu sekarang, apakah impian saya untuk PRU15? Saya tetap berpendapat kalau saya memiliki pilihan, saya masih mengharapkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menerajui negara.

Pilihan saya berasas. Bukan kerana saya ada sentimen kepartian. Saya fikir beliau lama menunggu peluang dengan jiwa reformasinya dan gagasan idea-idea untuk membawa negara ke satu arah yang lebih baharu, lebih segar dan saya mahu lihat sejauh mana pengalaman dan azam itu boleh diterjemahkan untuk pembangunan negara ini.

Mungkin orang tidak setuju dan mempunyai pandangan yang berbeza, tetapi untuk saya, Dato’ Seri Anwar adalah pilihan terbaik kerana beliau mempunyai dea dan gagasan yang jelas. Tempatnya di pentas antarabangsa tentunya mempesonakan. Negara luar juga teruja jika Dato’ Seri Anwar menjadi PM kita. Pelabur saya percaya akan yakin pada institusi negara di bawah kepimpinan Dato’ Seri Anwar.

Biarpun begitu, secara realitinya jika dilihat dalam situasi politik sekarang, sukar bagi PH menghadapi cabaran dalam PRU15. Kekuatan politik hari ini masih ada pada Barisan Nasional. Itu realitinya, tetapi mengharapkan seorang pemimpin seperti Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu, saya harap ia tidak menjadi sesuatu yang terasing kepada masyarakat Malaysia untuk menerimanya.

DR. MUHAMAD AZWAN ABD RAHMAN: Ada apa-apa kenyataan tambahan yang Prof. Dato’ Dr. hendak nyatakan?

PROF. DATO’ DR. MOHAMMAD AGUS YUSOFF: Terima kasihkerana sudi menemu bual saya dan memberi kesempatan untuk saya meluahkan perasaan saya selama 37 tahun saya membedah politik Malaysia dari UKM.

Semestinya saya mengucapkan terima kasih kepada UKM dan barisan kepimpinannya kerana telah memayungi saya selama saya berkhidmat di universiti watan ini. Bahagianya saya hanya Allah SWT yang tahu. Dan jika pun saya tidak lagi di universiti ini, kenangannya akan tetap segar di hati saya.

Dalam kerjaya saya sebagai seorang ahli akademik, mereka ini cukup bertanggungjawab dalam membina kerjaya saya dan menjadi sahabat saya. Di UKM, ialah Prof. Emeritus Dr. Wan Hashim Wan Teh dan Tan Sri Prof. Dr. Noor Azlan Ghazali. Di FSSK, UKM ialah tiga bekas Dekan saya Prof. Dr. Mohd Fuad Mat Jali, Prof. Dr. Hazita Azman, dan Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub. Di Pusat Pengajian ialah Arwah Prof. Emeritus Dr. Nik Anuar Nik Mahmud dan Arwah Tuan Haji Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latiff.

Di Universiti Malaya, universiti pertama yang memperkenalkan saya kepada dunia kampus, saya merindui mahaguru saya, Arwah Prof. Dato’ Dr. Shaharil Talib Robert dan Arwah Prof. Dato’ Dr. Mohammad Raduan Ariff, dan juga adinda saya Prof. Dr. Hanafi Hussin. Di luar itu semua, yang juga bertanggungjawab membina kerjaya saya ialah Prof. Dr. Zaid Ahmad, Dr. Ibrahim Omar dan Dr. Azmi Awang.

Semestinya yang mencorak pemikiran dan sikap akademik saya ialah penyelia saya di University of Manchester, Ralph Young. Beliaulah mahaguru yang telah membentuk saya, cuma bezanya dengan saya ialah beliau baik dan sederhana, manakala saya sebaliknya.

Begitulah perjalanan akademik yang sempat saya lalui selama 37 tahun di UKM. Saya mohon maaf atas segala kesilapan dan kekurangan. Terima kasih semuanya.

DR. MUHAMAD AZWAN ABD RAHMAN: Saya ingin merakamkan penghargaan dan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Prof. Dato’ Dr. kerana sudi bersama saya untuk ditemu bual bersempena dengan ulang tahun kelahiran dan persaraan Dari UKM: 37 Tahun Agus Membedah Politik Malaysia. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

PROF. DATO’ DR. MOHAMMAD AGUS YUSOFF: Sama-sama dan terima kasih. Waalaikumusalam warahmatullahi wabarakatuh.

Artikel Berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

204FansLike
1,308FollowersFollow
712SubscribersSubscribe
spot_img

Artikel Terkini