Negara Idaman: Mencari Identiti Kebangsaan

Tema: Negara Idaman: Mencari Identiti Kebangsaan
Tempoh penyelidikan: Jun 2019 – Disember 2019
Bentuk aktiviti: Syarahan dan Bengkel
Penaja: Penang Institute dan Team Selangor

Abstrak

Identiti, negara dan bangsa adalah tiga perbahasan utama dalam persoalan nasional. Dari sejarah, masyarakat Malaysia bukanlah terbentuk semenjak tahun 1957. Latar belakang dan latar hadapan kepada projek negara-bangsa Malaysia memainkan peranan penting dalam memberi makna kepada apa yang dinamakan sebagai Bangsa Malaysia. Malaysia, yang berlatarbelakang empat tiang utama—agama, bahasa, budaya dan raja—telah memberikan citra utama kepada identiti kebangsaan. Keempat-empat tiang ini menjadi unsur utama kepada kebudayaan Melayu.

Walau bagaimanapun, konteks mutakhir masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk mewarnai latar hadapan kepada pencarian suatu identiti kebangsaan yang dapat disepakati ramai. Persoalannya kini: Adakah masih lagi wajar citra Melayu menjadi asas kepada identiti kebangsaan tatkala kita telahpun melangkaui enam dekad pasca-kemerdekaan? Bagaimanakah identiti-identiti kelompok lain di Malaysia dapat diintegrasikan dalam suatu identiti kebangsaan yang memperoleh muafakat semua? Apakah usaha pencarian ini boleh menyebabkan identiti kebangsaan akhirnya menjadi hibrid, sinkretik, ataupun bercampur-baur sehingga boleh menguburkan identiti teras?

Semua ini menjadi mauduk kepada penyelidikan mengenai “Mencari identiti kebangsaan”. Justeru itu, penyelidikan ini berusaha untuk menyiasat identiti kebangsaan di ambang seliratan beragam faham yang terdapat masyarakat plural, superplural mahupun politekstural. Dengan tabii identiti yang memang sifatnya berubah, maka kekal kepada suatu identiti semasa—selama-lamanya—bukanlah suatu pilihan.

Maka, apakah rupa bentuk identiti yang kita dambakan untuk Malaysia masa hadapan? Suatu negara idaman bersama menuntut usaha kita untuk merealisasikannya: suatu negara yang bukan sahaja berjaya hubungkan negara dengan bangsa, malah, lebih daripada itu, turut berjaya membentuk identitinya yang tersendiri. Dari usaha ini, maka hasrat penemuan suatu identiti kebangsaan yang “stabil dalam sebarang ketidakstabilannya” bukanlah suatu yang mustahil. Penemuan ini bukan sahaja menghubungkan antara negara dengan bangsa, malahan dapat mengukuhkan lagi identiti kebangsaan yang dihasratkan.