Tema: Melayu dalam Persoalan Nasional
Tempoh penyelidikan: Mac 2019 – Disember 2019
Bentuk aktiviti: Syarahan, Seminar, Bengkel, Wawancara, Forum
Penaja: Kerajaan Negeri Johor, IKMAS
Abstrak
Mengambil iktibar daripada beberapa buah negara membangun lain yang mengalami proses pendemokrasian – sebagaimana yang sedang dilalui oleh Malaysia kini – wujud keperluan untuk mengolah citra kebangsaan yang lebih inklusif dengan mengetengahkan kebudayaan Malaysia yang progresif dan anjal, agar tidak terperangkap dalam politik komunal yang sempit. Usaha ini adalah penting bagi menangani banyak persoalan nasional yang tidak pernah terselesai sejak Kemerdekaan. Malah, kecamukan persoalan nasional ini semakin serius dalam situasi negara yang sedang merundingkan kembali peranannya dalam pembangunan bangsa dan negara. Oleh yang demikian, adalah penting agar persoalan ini ditangani secara menyeluruh.
Sebagai usaha mula kepada hasrat ini, Naratif Malaysia (NM) telah memulakan insiatif untuk membahaskan kembali letak duduk Melayu dalam agenda pembangunan Malaysia baharu ini.
Projek penyelidikan “Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional” ini berhasrat untuk membangunkan kembali naratif kemelayuan yang memberdaya, inklusif dan progresif sebagai suatu naratif balas terhadap naratif Melayu sedia ada selama ini yang sarat politik etno-nasionalisme sempit yang hanya merugikan orang Melayu. Meskipun fakta sejarah bahawa Melayu adalah kaum teras di Malaysia bukanlah suatu pertikaian, namun begitu, naratif komunal selama ini, hanya menyudutkan kaum Melayu dalam perspektif yang tidak mampu untuk menghadapi dunia persaingan, seiring dengan arus pemodenan dan globalisasi – sehingga mewujudkan pula rasa ketakutan dan kekerdilan dalam diri sebahagian orang Melayu yang dengan mudahnya terpancing dengan politik etno-nasionalisme sempit.
Sehubungan dengan itu, tema utama daripada keseluruhan projek penyelidikan “Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional” ini adalah untuk memaparkan betapa kebudayaan Melayu, pada hakikatnya, berupaya untuk berdepan dengan keterbukaan dunia, selain terus mempertahankan kebitaraan identitinya. Oleh itu, penyelidikan ini akan menampilkan dapatan beberapa pembentang—yang terdiri daripada ahli akademik, pemikir, budayawan, penulis dan seniman—menerusi empat tema utama. Selain daripada itu, projek ini turut menghasilkan sebuah buku hasil daripada seminar naratif Malaysia, sebuah lagi buku hasil himpunan karangan tentang naratif Malaysia serta menerjemahkan tiga buah buku yang berkaitan dengan kajian Melayu dan Malaysia.