33.3 C
Kuala Lumpur
11 August 2022 (Thursday)
spot_img

Wawancara bersama Sharifah Nursyahidah: Pandangan Terhadap Kebebasan Akademik dan Aktivisme daripada Perspektif Ahli Akademik Muda

Sharifah Nursyahidah merupakan seorang ahli akademik yang percaya dengan kepentingan untuk mewujudkan kebebasan akademik di Malaysia. Beliau kini merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Berlatarbelakangkan pengalaman aktivisme dan akademik sekaligus, Sharifah Nursyahidah berkongsi perspektif gerakan akademik dengan memerihalkan arus bawah yang terdapat dalam masyarakat, di samping keperluan untuk setiap ahli akademik terus tegas dan tekal dengan penghujahan akademik.

Soalan wawancara mengenai kebebasan akademik

NARATIF MALAYSIA (NM): Boleh berikan latar belakang Saudari dan bagaimana boleh terlibat dengan dunia akademik?

SHARIFAH NURSYAHIDAH (SN): Saya telah bergerak dalam aktivisme dan penulisan sebelum saya terlibat dengan dunia akademik. Saya pernah menyumbangkan tulisan dalam zine dan menghasilkan buku – yang mungkin boleh dikategorikan sebagai bukan akademik. Buku Jalanan Kota Kinabalu yang saya bangunkan bersama dengan seorang rakan merupakan titik pertama yang mengembangkan pemikiran dan pertemanan saya sehinggalah saya dapat mengenali ramai rakan aktivis, intelektual dan tokoh-tokoh penting bukan sahaja di dalam negara, bahkan juga di luar negara.

Sebelum saya bekerja dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), saya sebenarnya pernah menjadi pembantu penyelidik di universiti tersebut dan Universiti Malaya (UM), dan menjadi pensyarah sambilan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah. Pada waktu ini, saya juga sedang melanjutkan pengajian Ph.D di Universiti Sains Malaysia (USM). Ijazah Sarjana saya pula dari UKM dan Ijazah Sarjana Muda saya dari UiTM. Secara tidak langsung, saya mempunyai serba sedikit pengalaman di empat universiti awam yang berlainan di Malaysia, sama ada bekerja atau belajar – UiTM, UKM, UM dan USM.

NM: Bagaimana dengan minat dan aktiviti di luar kampus, apakah ikut mempengaruhi aktiviti akademik Saudari?

SN: Saya tidak mencampurkan aktiviti luar kampus dengan aktiviti akademik saya. Saya fikir kedua-duanya harus diasingkan. Walau bagaimanapun, dari segi minat, ia memang mempengaruhi aktiviti akademik saya khususnya penyelidikan. Misalnya, saya berminat dengan narasi penentangan terhadap kapitalisme atau sudut pandang golongan yang dipinggirkan. Lanjutan daripada itu, terhasil penyelidikan saya tentang punk dan raver yang mempunyai sangkut paut dengan perlawanan. Malah, kajian Ph.D saya juga membicarakan tema sama. Saya kini sedang meneliti tentang kesatuan sekerja.

Dari segi pengajaran pula, saya fokus dan objektif terhadap penyampaian saya. Cumanya memang banyak kali dan ramai mahasiswa yang teruja dengan minat penyelidikan saya yang dianggap berbeza dengan yang lain. Saya tidak dapat menolak jika ada yang ingin bertanya. Malah, saya pernah menyelia tesis mahasiwa yang bernafas segar. Misalnya, muzik indie, hallyu, diskriminasi gender dan sebagainya.

NM: Pada pandangan saudari sebagai seorang pensyarah muda, apakah kualiti yang perlu ada oleh seorang ahli akademik yang baik?

SN: Saya ingat lagi. Soalan seperti ini pernah ditanyakan kepada saya ketika saya ditemu bual untuk permohonan mengisi jawatan kosong pensyarah. Jawapan saya pada ketika itu ialah pengajaran, penyelidikan dan penerbitan (3P). Walau bagaimanapun, tiga ciri tersebut tidaklah cukup. Saya fikir P yang keempat ini lebih penting dan kedudukannya berada di atas ketiga-tiga P tadi. P yang saya maksudkan ialah pengabdian. Pengabdian kepada masyarakat.

Sekiranya kita mengabdi kepada masyarakat, dalam konteks ini berbakti kepada masyarakat dan sentiasa berpihak kepada masyarakat khususnya golongan bawahan, pengajaran, penyelidikan dan penerbitan kita akan menjadi murni dan membentuk kualiti yang perlu ada pada seseorang ahli akademik. Bagi saya, istilah ahli akademik yang baik itu relatif. Tetapi yang lebih penting lagi, apakah ahli akademik itu menggunakan keahliannya dengan adil. 

NM: Apakah kebebasan akademik ikut menyumbang menjadikan seseorang itu ahli akademik yang baik?

SN: Ya, kebebasan akademik merupakan salah satu faktor yang dapat membina ahli akademik yang baik. Kebebasan untuk berpendapat, menulis, bersuara, mendengar, mengajar, menyelidik, menerbit dan mengadakan diskusi ialah penting kerana ia menjadi wacana bukan sahaja untuk ahli akademik tetapi juga mahasiswa, pengurusan, warga masyarakat dan sebagainya untuk berbincang dan bertukar suara secara ilmiah sesama mereka. Bukan secara emosional.

NM: Apakah takrifan mengenai konsep kebebasan akademik pada saudari?

SN: Menurut saya, kebebasan akademik mampu mewujudkan suasana yang kondusif dan akomodatif untuk kegiatan akademik, interaksi antara sesama pensyarah, sesama mahasiswa, antara pensyarah dengan mahasiswa dan antara warga akademik dengan masyarakat. Warga akademik mempunyai kewibawaan dan autonomi keilmuan untuk menyatakan sesuatu secara terbuka. Semua ini juga berhubung kait dengan demokrasi dan hak asasi manusia, terutamanya pendidikan. The right to get education, and the right to get the right education.

NM: Apakah batas kepada kebebasan akademik?

SN: Jika kita membicarakan tentang “kebebasan”, kita dapat menganggap bahawa tidak seharusnya ada batas atau sekatan kepada kebebasan akademik. Walau bagaimanapun, sekiranya kita melihat kepada konteks negara kita, kebebasan akademik boleh dikatakan masih dibatasi.

Dalam hal lain pula, kebebasan akademik yang dipegang juga seharusnya berlandaskan beberapa perkara. Contohnya, mempunyai nilai-nilai saintifik dan kemanusiaan, tidak menciptakan suasana intimidasi, tidak membataskan peluang untuk orang lain bersuara, mengambil kira perspektif lain dan tidak merendahkan pandangan sesiapa sahaja.

NM: Di Malaysia kita ada AUKU dan beberapa akta lain yang oleh sebahagian orang dianggap sebagai penghalang kepada kebebasan akademik. Bagaimana pandangan Saudari?

SN: AUKU dan beberapa akta lain yang dianggap menyekat kebebasan akademik menunjukkan bahawa kebebasan akademik merupakan barang mahal bagi warga akademik di negara ini. Penekanan undang-undang sebegini akan cenderung menutup ruang yang selamat untuk bersuara, mengkritik dan mengekspresikan sudut pandang yang berbeza.

NM: Apakah akta-akta itu juga meminggirkan peranan dan tanggungjawab ahli akademik dalam mengajukan pembaikan dan perubahan sosial dalam masyarakat?

SN: Ia boleh menjadi beban bagi ahli akademik kerana tidak dapat membuka dan bereksperimen secara akademis dalam ruang yang bebas dan selamat. Sekiranya ahli akademik tidak dapat melakukan sesuatu dalam pekerjaannya dan untuk mahasiswa yang akan kembali dalam masyarakat, masyarakat kita akan menjadi stagnan dan tidak dapat berkembang. Malah, kadang-kadang, masyarakat juga bertindak menyekat kebebasan akademik kerana percaya dengan fungsi akta-akta tersebut. Kebebasan akademik ini penting untuk mencerdaskan masyarakat dan menguatkan demokrasi dalam masyarakat.

NM: Sejauh manakah kebebasan akademik ini penting kepada diri saudari dan adakah kebebasan akademik ini memberi kesan terhadap kerja-kerja saudari sekarang?

SN: Kebebasan akademik ini sangat mustahak dan sudah tentu mempengaruhi kerja-kerja saya. Misalnya, ketika saya ingin menulis tentang perkara semasa, saya harus berfikir terlebih dahulu apakah tulisan saya itu akan menjadi isu atau tidak, apakah ia akan tidak disenangi.

Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana saya boleh mengajar dan menyelidik secara bebas. Contohnya, saya bebas untuk menentukan kandungan kuliah saya, saya bebas untuk menyelidik topik kegemaran saya dan saya bebas untuk meneruskan minat saya. Saya fikir inilah kebebasan akademik yang dinikmati oleh saya.

NM: Adakah saudari merasakan kebebasan akademik di Malaysia telah cukup baik, atau masih ada ruang untuk diperbaiki? Jika ada, apakah ruang-ruang tersebut?

SN: Jantung bagi kebebasan akademik ialah perwujudan kebebasan bersuara. Di Malaysia, kebebasan bersuara di luar lingkup akademik juga menjadi satu persoalan kerana ia masih berhadapan dengan halangan. Oleh yang demikian, saya berpendapat bahawa kebebasan akademik di Malaysia belum cukup baik dan sedang dicederai tetapi tidak separah seperti beberapa negara jiran. Kampus di negara kita belum ada yang benar-benar merdeka. Namun, ada potensi untuk mengadakan dan memperbaik ruang tersebut hanya jika agensi dan institusi kita memiliki tekad. Ruang yang harus diperbaiki tersebut ialah tidak antikritik. Kritikan akademik harus dijawab dengan hujah akademik. Akademik harus dipisahkan dengan kepentingan atau bias politik.

Artikel Berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

204FansLike
1,323FollowersFollow
579SubscribersSubscribe
spot_img

Artikel Terkini