Dr. Wan Abdul Manan Wan Muda adalah Professor of Nutrition & Public Health di the Graduate School of Public Health, Alma Ata University, Yogyakarta, Indonesia. Sebelumnya beliau adalah Profesor di Universiti Sains Malaysia sehingga beliau bersara wajib, Visiting Professor di Kyoto University, Japan dan Felo Tamu Kanan di Khazanah Research Institute (KRI). Beliau kini adalah Pengerusi Persatuan Hak Dapat Makanan Malaysia (HADAM). Dr. Wan Manan adalah pengasas dan bekas Pengerusi, Pertubuhan Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK) dan bekas Presiden, Persatuan Kakitangan Akademik dan Pentadbiran USM. Beliau merupakan seorang aktivis akademik sejak tahun 1980an lagi. Wawancara bersama tokoh aktivisme akademik ini membantu kita untuk merenung kembali peranan ahli akademik serta memelihara roh universiti yang sebenarnya, apatah lagi di kala krisis pandemik kini amat memerlukan ‘suara yang hilang’ iaitu peranan aktif ahli akademik untuk masyarakat.
KEBEBASAN AKADEMIK
NARATIF MALAYSIA (NM): Prof. ada menulis beberapa makalah berkenaan kebebasan akademik. Ia menjadi antara dokumen penting bagi penyelidikan 50 tahun Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971) dalam konteks kebebasan akademik. Mengapakah kita perlu menggunakan ‘kebebasan’ bersama akademik, sedangkan akademik sudah menjadi kosa kata yang objektif?
PROF. WAN ABDUL MANAN (WAM): Persoalan ini berkait dengan konsep kebebasan itu sendiri. Kebebasan ialah soal kita bebas melakukan atau tidak melakukan. Kita perlu membezakan antara ‘hak’ dan ‘kebebasan’. Hak sememangnya wajib diberikan, hak untuk hidup, makan, bernafas. Ia tanggungjawab kerajaan atau sesiapapun. Kebebasan itu berkait dengan sifat bebas kita, misalnya untuk menundi atau tidak mengundi dan sebagainya. Pokoknya, kebebasan itu perlu ada sebagai seorang manusia yang bebas. Ramai orang di Malaysia salah faham bahawa kebebasan perlu datang dengan tanggungjawab. Kebebasan itu tidak dengan penekanan tanggungjawab. Tanggungjawab itu memang sudah sedia ada dalam kebebasan. Itu yang membezakan orang yang bebas dengan seorang hamba. Seorang hamba, tuannya yang bertanggungjawab bukan dirinya. Ia merujuk kepada sejarah perbudakan. Orang di negara ini takut, maka ditambahkan penekanan terhadap tanggungjawab. Itu tidak perlu. Orang yang bebas ialah orang yang bertanggungjawab. Jika tidak, kita tidak panggil orang itu bebas.
Soal kebebasan akademik ini kita tidak tahu sejauh mana kita harus meninjau ke belakang. Jika kita ingin tinjau ke belakang setakat zaman universiti-universiti di Jerman, ia berasaskan konsep lernfreiheit (kebebasan untuk belajar) dan lehrfreiheit (kebebasan untuk mengajar). Jadi, dalam hal itu, universiti zaman dahulu adalah kepunyaan gereja. Banyak tekanan daripada segi moral atau etika. Seseorang tidak boleh bebas menterjemah atau mengajar sesuatu, terutama dalam bidang Sains. Jika Sains didapati membuktikan pertentangan dengan mitos atau ajaran sedia ada, ia tidak akan diterima atau kadangkala dihukum. Seperti Galileo Galilei dan ramai lagi jika dilihat dalam sejarah. Di mana-manapun wujud isu ini. Saya banyak membaca tentang kebebasan akademik yang banyak bertitik tolak daripada buku-buku dari Amerika Syarikat. Ada perbezaan antara Amerika dan Eropah. Penekanan di Amerika ialah kebebasan akademik. Sementara di Eropah lebih menekankan autonomi universiti. Kedua-dua ini saling berangkai. Autonomi universiti perlu untuk kita bertindak meraikan kebebasan akademik itu.
NM: Memandangkan Prof. telah memberikan contoh di Eropah dan Amerika mengenai kebebasan akademik, ada satu pengalaman di negara kita yang diperkenalkan oleh beberapa negarawan seperti Tun Dr. Mahathir dan Lee Kuan Yew. Mereka memperkenalkan nilai Asia lawan nilai Barat. Kebetulan, Prof. menyebut tentang hak melawan tanggungjawab. Maka, adakah kebebasan akademik di Asia berbeza dengan nilai kebebasan akademik di Barat?
WAM: Sepatutnya tiada perbezaan. Orang di Malaysia sahaja yang terlalu takut untuk meluahkan ketidakpuasan mereka sepenuhnya. Takut kerana alasan agama, etnik dan sebagainya. Seharusnya tidak perlu takut. Kita harus berani. Di Malaysia, kita tiada pemberani. Baik dalam kalangan mahasiswa atau ahli akademik. Sekarang ia menjadi semakin sukar kerana telah disogok dengan hadiah-hadiah kewangan melalui penerbitan misalnya. Ia nilai berbentuk konspirasi atau neoliberalisme yang boleh dikatakan kolonialisme ke atas universiti dalam bentuk baharu. Kini, ramai orang yang terpaut dengan perkara itu. Mabuk semuanya sekarang ini.
NM: Sebentar tadi Prof. katakan kita perlu berani. Adakah sebelum ini kita takut?
WAM: Dulu bukannya takut, tetapi tidak ramai orang yang berani. Misalnya dahulu (1980an), hanya ada kira-kira 4,000 orang kakitangan akademik di empat buah universiti. Kini, sudah ada kita-kira 70,000 kakikatangan akademik (IPTA dan IPTS). Jadi, dengan jumlah yang begitu ramai, ditambah pula dengan mahasiswa berjumlah 1,000,000 orang, mengumpul kekuatan 100 orang mahasiswa yang berprinsip untuk maju masih tiada. Perjuangan mahasiswa untuk kebebasan akademik tidak perlu ramai, tetapi perlu ada solidariti. Sekiranya 100 orang ahli akademik di Malaysia yang bersolidariti, lingkup semua Naib Canselor dan Dekan-Dekan yang tidak berkelayakan. Semuanya akan lari. Jika satu, dua atau tiga orang, mereka tidak boleh bersuara lantang. Saya ada pengalaman ketika di Universiti Sains Malaysia (USM). Kita menggunakan kebebasan akademik untuk menentang tindakan yang tidak rasional. Setahu saya, kita tidak akan diambil tindakan kerana bersuara, ia bukan kesalahan jenayah. Implikasinya hanya lewat untuk kenaikan pangkat sahaja. Itu pengorbanan yang kita buat. Perbezaan dengan orang lain ialah, mungkin kenaikan pangkat dalam masa lima tahun, tetapi kita mengambil masa 10 tahun. Orang lain dinaikkan pangkat Profesor mengambil masa 10 hingga 15 tahun, kita mengambil masa 20 hingga 25 tahun. Namun, kita bebas bersuara. Kita tidur nyenyak.
NM: Kita ada banyak istilah mengenai kebebasan akademik. Salah satunya merujuk kepada pembawa idea tersebut iaitu public intellectual, activist scholar, public scholar. Istilah-istilah ini digunakan untuk menunjukkan apa sebenarnya? Mengapa perlu ada intelektual awam?
WAM: Intelektual awam tidak semestinya ahli akademik. Kadangkala tiada kaitan dengan ahli akademik. Ahli akademik kebanyakannya ialah para ilmuan, para saintis, orang yang mendalami satu-satu bidang, terutama sekarang. Zaman sudah berubah. Bidang-bidang telah dikotak-kotakkan (compartmentalization) menjadi lebih kecil. Intelektual awam ialah seorang yang dapat melihat dan merasakan degup jantung masyarakatnya. Seperti kata Ali Shariati, mereka mampu menilai masyarakat berserta perubahan-perubahannya. Intelektual awam juga tidak semestinya seorang ahli akademik. Malah, ramai ahli akademik bukan intelektual. Malah ramai ahli akademik bukan saintis, mereka hanya mempunyai ‘specialisation at higher degree’. Oleh kerana pemikirannya tidak saintifik walaupun pakar dalam bidang-bidang tertentu, tidak saintifik kerana mereka tidak berani mendepankan kebenaran yang ditemui sebab mereka takut. Sains itu sendiri tidak semestinya “neutral.” Ia bersifat value-laden, penuh dengan nilai. Seperti keadaan masa kini, soal siapa yang membiayai kajian atau geran kita. Misalnya, seperti hal-hal berkaitan vaksinasi berkait rapat dengan pembiayaan penyelidikan.
Buku yang pernah saya baca dan rasakan bagus direnung kembali ialah karangan Russell Jacoby bertajuk The Last Intellectual (1987). Beliau menyatakan public intellectual semakin berkurangan kerana berlaku apa yang diungkapkan sebagai ‘academicization of intellectual’. Intelektual dipahatkan di kampus-kampus yang dengan sendirinya dijauhkan daripada masyarakat dan diberikan ganjaran yang lumayan untuk mengkaji sesuatu yang sempit dan mendalam, serta dinaikkan pangkat.
Sebenarnya, intelektual boleh datang daripada pelbagai peringkat dalam masyarakat. Itu tanggapan salah. Di Malaysia, cerdik pandai pada masa dahulu tidak ramai. Hanya mereka yang berada di universiti yang berani berbicara tentang sesuatu, mengkritik kerajaan kerana mereka mempunyai ilmu dan banyak membaca. Namun, kini sudah tidak begitu lagi. Malahan, saya melihat ada mahasiswa yang muda mempunyai keintelektualan dan keberanian untuk mengkritik masyarakat. Budaya kritik harus ada pada intelektual, yang disebut oleh Alvin Gouldner (1979) sebagai CCD (culture of critical discourse). Pada saya, jika seseorang itu tiada budaya kritik, dia bukan seorang intelektual. Kadangkala ada intelektual yang sudah dikembirikan. Asalnya mungkin intelektual, tetapi tidak bertahan lama. Jika kita membaca Edward W. Said dan Antonio Gramsci, terdapat budaya kritik yang bererti, kritikal terhadap masyarakat, tidak mengira siapa, sama ada pemerintah atau sesama rakan di universiti pun.
PERKEMBANGAN KEBEBASAN AKADEMIK DAN AUTONOMI
NM: Prof. sendiri ialah ‘generasi pertengahan’ iaitu generasi kedua ahli akademik pada tahun 1980-an dan 1990-an yang menyambung legasi generasi pertama 1960-an dan 1970-an, dan melihat pula generasi ketiga pada 2000-an hingga kini. Prof. melihat ke belakang iaitu generasi pertama dan boleh melihat apa yang berlaku dalam kalangan generasi ahli akademik sekarang. Apakah perbandingan yang boleh Prof. jelaskan antara zaman generasi intelektual dahulu, zaman Prof. sendiri, dan zaman sekarang, berdasarkan karakter, ciri, dan mungkin ada perubahan paradigma dalam kalangan ahli akademik tiga zaman tersebut?
WAM: Sememangnya sudah berlaku evolusi dalam beberapa dasawarsa yang lalu. Golongan ahli akademik terdahulu saya anggap lebih berani kerana pada masa itu masih belum ada AUKU dan lain-lain yang mengongkong mereka. Jika ada, kongkongan itu adalah dalam kalangan elit. Mereka yang dapat memasuki universiti ialah golongan cerdik pandai dan elit. Akan tetapi, apabila berlaku pendemokrasian pendidikan tinggi dalam negara, lebih ramai dapat memasuki universiti. Ia adalah suatu yang positif pada pandangan saya. Isunya yang memasuki universiti itu tiada tapisan tentang siapa yang bakal menjadi pensyarah dan sebagainya. Dahulu, sesiapa yang mempunyai PhD sudah dikira melepasi suatu tapisan yang rumit, tetapi kini perlu ada temuduga untuk pemilihan. Budaya lama dahulu, orang-orangnya lebih kritikal tentang masyarakatnya.
Pada zaman saya, masih ada yang kritikal kerana separuhnya masih berani berkempen untuk parti pembangkang dengan ceramah dan sebagainya. Kita tidak takut jika diheret oleh pihak polis kerana mereka yang berada di pihak sebelah juga pergi berceramah di pentas parti politik di sana-sini. Maka, ia tidak menjadi masalah.
Akhir-akhir ini, keadaan sudah berubah kerana pada saya, gaji pensyarah juga sudah besar. Secara materialis, kos rumah, kenderaan dan barangan masa kini sudah meningkat. Tanggungjawab hari ini lebih banyak. Bukan hanya tertumpu kepada masyarakat. Sekarang ini, kita harus pilih apa yang ingin kita perjuangkan. Di universiti, kita ingin perjuangkan hak alam sekitar, hak asasi manusia atau gender? Masalahnya, tidak ramai sanggup melaksanakannya. Saya melihat batang tubuh yang sama berjuang dalam isu hak asasi manusia, politik dan menyuarakan isu-isu semasa. Jika ada budaya kritikal dalam kalangan 70,000 pensyarah di universiti, tentu banyak perubahan berlaku, dasar-dasar boleh diperbaiki agar demokrasi kita lebih sihat. Malangnya, ruang demokrasi di universiti semakin sempit. Pada masa kini, ahli akademik lebih digalakkan menghasilkan key performance indicators (KPI) dan sebagainya, justeru mengakibatkan pensyarah terkongkong atau terkepung dalam keadaan sebegitu. Saya berkesempatan melawat teman-teman di universiti. Nampaknya sudah tiada open door policy, tiada perbincangan. Keadaan ini dilaksanakan oleh universiti kerana tiada sebarang penentangan daripada pensyarah dan mahasiswa. Namun, di negara-negara lain, pihak mahasiswa masih menentang. Pihak pentadbiran universiti akan akur dengan tuntutan mereka. Namun, di negara kita tidak berlaku sedemikian. Di Malaysia, secara umum, gaji pensyarah adalah salah satu yang tertinggi. Saya pernah menjadi Profesor Pelawat di Jepun yang mana gaji seorang Profesor di Malaysia lebih tinggi berbanding Jepun yang mempunyai kos sara hidup lebih tinggi. Namun, di Jepun mereka menawarkan bonus yang lebih. Jika tiada bonus, pensyarah akan kesulitan.
Perubahan masa akan datang terletak kepada generasi muda atas asas kategori generasi yang dikenal pasti mengikut beberapa kategori. Orang yang lahir tahun 1945 atau sebelumnya dipanggil ‘silent generation’; generasi saya dipanggil ‘baby boomers’; generasi kini dipanggil sebagai ‘Generation X’ atau Milenial. Golongan yang akan membuat perubahan ialah ‘Generation Z’. Bilangan mereka besar. Mereka belum tahu kekuatan mereka. Jangan bimbang, perubahan akan berlaku kerana bilangan mereka besar. Hanya kotak pemikiran perlu diperbetul sedikit.
NM: Prof. mengatakan bahawa jumlah ahli akademik sekarang ini semakin besar, tetapi mengapakah ia tidak berkadaran dengan mereka yang menjadi kritikal?
WAM: Pada pandangan saya, mereka tidak kritikal kerana tidak didedahkan dengan pemikiran kritikal meski pun berada di universiti. Di universiti, minggu suai kenal mahasiswa diatur oleh pihak pentadbiran universiti, Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan sebagainya. Sebenarnya, dahulu tiada Timbalan Naib Canselor. Di luar negara tiada, mungkin seorang Dekan atau Dean of Students. Di peringkat-peringkat lain seperti di fakulti para pelajar melaksanakan sendiri. Kita semuanya diatur. Pensyarah juga diatur. Mereka dilibatkan dalam suai kenal, belajar memohon geran, dan menerbit. Masa dihabiskan di situ sahaja. Program itu tidak perlu kerana dengan sendirinya kita akan belajar. Program-program ini memberikan angan-angan yang tidak munasabah. Dahulu, kita membina kapasiti secara mandiri. Misalnya dalam tempoh lima atau sepuluh tahun kita merasakan diri sudah layak, kita kemukakan permohonan. Ia proses pembelajaran dan pengalaman. Ada orang yang cepat dan ada yang lambat. Semua orang tahu siapa mereka. Kini, kita tidak tahu. Orang mendahului kita tanpa kita sedar. Terdapat pelbagai cabaran yang kita hadapi dengan zaman internet yang mana kita sukar mengawalnya. Apabila kita mempunyai budaya kritikal, kita dapat mengesan kesongsangan di universiti atau masyarakat dengan segera. Hal ini tidak berlaku. Oleh itu, kita harus berpegang kepada integriti kerana lambat laun masa kita akan sampai. Apa yang saya lihat kini ialah masyarakat ‘campus society in a hurry’ atau ‘lecturer in a hurry’. Semuanya ingin segera.
Oleh sebab kita tiada budaya kritikal, maka kita menjadi konsumeris sahaja. Ada buku-buku sekarang ini kita lihat menekankan tentang ‘university capitalist’ dan ‘university colonialist’ dalam bentuk baharu. Usaha-usaha dekolonialisasi tidak akan berjaya jika hanya dua atau tiga orang yang bercakap. Agenda ini tidak akan sampai ke mana jika seminar mengenainya hanya sekali sahaja. Keadaan kembali kepada asal yang mana ia ‘business as usual’. Tetapi, bagi saya, itu bukan ‘business as usual’. Perkara begini yang akan menenggelamkan universiti.
Seperkara lagi, ialah pihak pengurusan tertinggi universiti yang tidak toleran terhadap kebebasan akademik. Kadangkala mereka sendiri tidak tahu apa itu autonomi universiti. Dalam akta (AUKU) itu, ada peruntukan autonomi, tetapi kepada Lembaga Pengarah Universiti (LPU). Ia bukan autonomi universiti dalam erti kata sebenarnya. Kakitangan akademik tiada di situ. Kadangkala mereka tidak bersuara lagi. Dahulu kita banyak bersuara. Hal-hal sebegini kita tidak benarkan, tetapi tidak berjaya. Sekurang-kurangnya telah disuarakan. Sekarang, ia tidak disuarakan. Saya perhatikan LPU pula yang berkuasa sekarang ini. Padahal yang sepatutnya berkuasa ialah Naib Canselor. LPU hanya pemegang amanah (trustee). Baru-baru ini, LPU di beberapa universiti mencampuri urusan itu dan ini kerana kakitangan universiti tidak bersuara, mahasiswa tidak bersuara. Katakan 5,000 mahasiswa bersuara, ahli LPU itu akan dipecat sahaja. Tiada lagi. Orang tidak tahu kekuatan suara kita itu. Kakitangan akademik bersuara seramai 100 orang sahaja sudah cukup. Tekanan dari pihak atasan pastinya ada. Itu normal. Apabila sudah ramai, mereka tidak boleh berbuat apa lagi. Seperti keadaan tekanan militari di Myanmar sekarang ini, ia masih boleh bergerak di luar kampus universiti. Di Thailand, wujud universiti pada tengah malam seperti di Chiang Mai tidak lama dulu dan sebagainya. Kita tiada budaya begitu. Kita hanya memerhati. Itu tidak mengapa kononnya kerana kita dalam keadaan yang berbeza.
NM: Sebelum ini Prof. ada menyebut tentang AUKU. Prof. juga menyatakan pada zaman Prof. dan rakan-rakan tiada halangan untuk menyampaikan pandangan dan bersikap kritikal terhadap pentadbiran universiti. Adakah AUKU bermasalah? Walaupun AUKU wujud, orang akademik seperti Prof. masih dapat muncul meski kita dihambat AUKU.
WAM: AUKU itu kita tidak perlukan sejak dahulu lagi kerana itulah yang kita perjuangkan sejak dahulu lagi. Dalam AUKU, terdapat peruntukan tindakan tatatertib. Kini, tindakan tatatertib telah digantikan dengan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) [Akta 605]. Itu lebih ketat. AUKU itu seumpama ‘pedang di atas kepala’. Ia menunggu masa sahaja untuk digunakan. Kadangkala ia digunakan. Namun, apabila persatuan kakitangan akademik ramai, ia tidak digunakan kerana khuatir akan terlucut jawatan. Jika seorang dua bersuara, ia akan digunakan. Di mana-mana negara, tiada penggunaan undang-undang seperti AUKU. Ia seperti juga Internal Security Act 1960 (ISA) dahulu, iaitu akta-akta yang bersifat obnoxious. Akta itu tidak perlu kerana kita berfikiran matang, terbuka, rasional dan sebagainya, justeru tidak memerlukannya. Akta-kata untuk mengawal hasutan dan sebagainya juga tidak perlu kerana itu warisan zaman kolonial. Ini sudah zaman moden. Zaman pasca industri. Saya pun tidak pasti kenapa orang ramai membenarkan perkara sebegini berterusan. Perkara ini menyekat kebebasan yang saya sebutkan tadi. Jika kita percaya kepada demokrasi, demokrasi akan menyelesaikan isu itu. Apatah lagi, isu-isu seperti liberal dan sekular. Demokrasi itu sendiri sudah berupa suatu yang liberal. Jika tiada liberal, tiadalah demokrasi sebab sifat kebebasan sivil dan sebagainya adalah sebahagian darinya. Namun demikian, ia tidak sama dengan neoliberal dan neokonservatif.
AHLI AKADEMIK DAN MASYARAKAT
NM: Terdapat keakraban hubungan antara ahli akademik dan masyarakat. Ahli akademik bukan bergelumang di kampus sahaja, tetapi turut memiliki hati nurani dengan masyarakat. Di sini, memetik pendapat Syed Hussein Alatas, intelektual ialah indikator kemajuan sesebuah negara. Menurut Prof., adakah intelektual ialah lapisan golongan paling penting dalam masyarakat?
WAM: Saya berpandangan kita perlu lihat peranan masing-masing. Intelektual memberikan peranan yang berbeza. Golongan pekerja atau proletariat juga ialah golongan penting dalam masyarakat. Jika jumlah golongan intelektual itu besar dan ramai, ia akan membawa perubahan dalam kalangan masyarakat. Masalahnya, kita tidak tahu siapa intelektual dan siapa pseudo intelektual. Ramai memegang gelaran PhD dan Profesor, ramai yang berada dalam Senat, tetapi bungkam dan tidak bersuara. Inilah keadaan yang dikatakan oleh Paulo Freire sebagai “budaya bisu.” Ada beberapa badan profesor di negara ini, tetapi saya lihat masih kurang berkesan menyumbang ke arah membela nasib rakyat. Ada secara individu yang berniat dan berusaha membantu dan membela golongan tertindas, tetapi sebagai suara kolektif ia tidak menunjukkan sedemikian. Golongan intelektual penting dalam masyarakat, terutama untuk membedah masyarakat dan memberikan pandangan-pandangan tertentu. Pandangan itu mungkin diterima atau tidak. Mereka ialah orang yang dapat merasakan degup jantung masyarakat, jika tidak kita akan kekal dalam keadaan hedonistik yang berlaku sekarang ini. Orang ramai akan terikut-ikut, tetapi intelektual akan melihat dengan mata yang lebih kritikal. Misalnya, sesetengah orang mungkin tidak bersetuju dengan pro globalisasi. Wujud mereka yang menjadi agen-agen imperialis dalam masyarakat dan kampus, bukan dalam erti kata imperialis zaman dahulu. Misalnya mereka yang memperjuangkan ranking universiti ialah agen-agen neoliberalisme yang akan menghisap daya fikir cerdik pandai kita yang sepatutnya boleh digunakan ke arah membantu masyarakat. Kita mungkin lebih banyak menerbitkan artikel-artikel jurnal antarabangsa, sama ada orang memandang atau tidak, tetapi kita mendabik dada. Ia kehebatan palsu bagi saya. Seronok hanya dua tiga hari. Kemudian, orang akan lupakan jurnal itu. Namun, mereka tidak henti-henti melakukan perkara itu berulang-ulang. Oleh sebab itu, pada masa pandemik Covid-19, tidak ramai tokoh-tokoh Sains yang ke hadapan memberikan pandangan yang lebih bernas. Universiti dalam hal ini tidak berperanan sebagai ‘kepala’ tetapi hanya mengekori sahaja. Kita tidak menggunakan minda ke arah membina masyarakat. Seharusnya dari awal pandemik Covid-19 lagi universiti telah memainkan peranan. Dalam kalangan profesor dan pensyarah ramai yang cerdik dan lebih waras. Dalam kalangan pimpinan universiti tidak ramai yang boleh memberikan pimpinan ke hadapan seperti Allahyarham Prof. Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid (1922-2020) atau Allahyarham Syed Hussein Alatas (1928-2007) yang berani melontarkan buah fikiran. Mungkin tidak ramai bersetuju. Sekurang-kurangnya idea itu telah dikedepankan. Kita kini tidak begini. Kita hanya menunggu arahan daripada atas sahaja. Universiti tidak seharusnya begitu.
Dalam konteks negara Jepun, kebebasan akademik ialah satu kebebasan orang universiti yang lebih tinggi berbanding rakyat biasa. Ia kerana mereka dianggap orang yang cerdik pandai dan boleh berbahas. Sedangkan di sini, kita menjadi pensyarah seolah-olah warganegara kelas kedua kerana akta itu menyekat dalam banyak perkara. Kita tidak bebas seperti rakyat biasa. Jika di Jepun, kita naik satu tingkat lebih daripada rakyat biasa. Akan tetapi, kita seharusnya tidak melakukan tindakan salah guna kebebasan. Selalunya orang akan mengatakan pula keperluan kita untuk bertanggungjawab. Isu ini sepatutnya tidak timbul. Contohnya, kita meminta seorang hakim bertanggungjawab dalam pengadilannya. Sampai bila-bila tidak akan selesai jika kita berhujah begitu.
NM: Berkenaan hasrat dan pandangan Prof. mengenai pandemik yang bukan sahaja melanda Malaysia malah global. Apakah sikap ahli akademik, khususnya intelektual muda dalam menghadapi pandemik masa kini dan apakah yang perlu mereka lakukan?
WAM: Pandemik ini tidak dapat kita elakkan kerana ia merebak ke seluruh dunia. Jika kita ikuti sejarah perkembangan wabak zaman dahulu, saya ada membuat pembacaan mengenai perdebatan antara germ theory dan public health. Ia bertujuan mencari sebab mengapa ramai manusia meningkat jangka hayat, populasi meningkat dan kurangnya kematian. Berdasarkan satu pandangan, ia dikaitkan dengan kemajuan kemudahan kesihatan awam pada waktu itu. Meskipun ada penemuan baharu seperti penisilin, dan penemuan oleh Louis Pasteur, mereka juga perlu fokus kepada faktor-faktor lain seperti kemudahan bekalan air bersih, makanan yang lebih tahan lama kerana refrigerator, dan perancangan bandar seperti tempat pembuangan sampah dan sisa. Kini, kita perlu juga melihat aspek-aspek lain, selain vaksinasi. Dari dahulu, masalah ini tidak akan dapat diselesaikan kerana wabak akan wujud pada bila-bila masa sahaja apabila kebersihan atau hygiene tidak dijaga, atau makanan cukup tidak diberikan kepada rakyat.
Kini, kita tidak membincangkan perkara ini. Semua orang perlu mendapatkan vaksin. Itu langkah pertama. Kita masih perlu mendalamkan perbincangan mengenai langkah-langkah penambahbaikan yang harus diambil kerana keistimewaan negara kita yang terletak di kawasan tropika daripada segi alam sekitar dan lain-lain. Saya tidak pasti sama ada usaha sedemikian telah berjalan, tetapi ia mesti ditonjolkan. Universiti mesti mengambil peranan itu. Ia mesti mewacanakannya, seperti universiti-universiti di Barat yang telah lama mengambil berat perbincangan Sains.
Berbangkit daripada itu, di sini, kita ingin mencontohi mereka dalam soal peer review. Bagi saya, peer review juga agenda neoliberalisme. Tetapi, orang kita lebih kepada testimoni, bukan peer review. Kita perlu mencari harmoni dalam hal-hal begini. Sekarang, kita berhadapan dengan soal seumpama ini dalam isu ivermectin dan sebagainya. Peer review ini cara penilaian, tetapi ia dikawal dan berlaku bias.
NM: Berdasarkan penjelasan Prof. saya tertarik dan melihat universiti telah mendakap budaya konsumerisme dalam kalangan ahli akademik atau pensyarah sendiri. Prof. menyebut mengenai ‘high degree of specialisation’. Ia akhirnya melupakan ideologi kebebasan akademik itu sendiri. Apakah respons Prof.?
WAM: Idea kebebasan akademik itu sendiri tidak bersemarak dalam kampus. Dua hal harus seiring. Kebebasan akademik memerlukan autonomi kampus. Tafsiran autonomi mesti betul. Rekomendasi UNESCO pada tahun 1997, di Paris, mengenai Recommendation concerning the Status of Higher-Education Teaching Personnel boleh dijadikan panduan untuk tujuan itu. Di Indonesia, akta baharunya terpampang mengenai kebebasan akademik. Dalam mana-mana akta, kita tiada mengenai kebebasan akademik. Kita takut akan perkara ini. Berdasarkan UNESCO, ia merupakan kebebasan sebagai seorang profesional, tetapi ia tidak begitu kukuh. Namun, dalam keadaan orang mempertahankan profesionalisme, ia boleh ditimbulkan kerana kita mengajar, berbincang, dan menyebarkannya kepada masyarakat. Kebebasan akademik ini harus lebih berbentuk freedom of expression.
NM: Apabila mendengar penjelasan Prof., kita sedar bahawa sebagai seorang ahli akademik, Prof. adalah dalam bidang Sains dan Kesihatan. Menariknya, daripada penjelasan itu tadi seperti seorang ahli Sains Sosial. Lazimnya, wacana kebebasan akademik ialah minat para ahli Sains Sosial yang turut terlibat dalam kegiatan kemasyarakatan. Namun, ia dibicarakan oleh Prof. dengan latar belakang bidang kesihatan. Apakah ada persentuhan antara bidang kesihatan dengan isu kebebasan akademik yang kita bicarakan?
WAM: Bidang saya boleh sahaja dikaitkan dengan penderitaan masyarakat. Saya menceburi bidang kesihatan dan pemakanan. Kemiskinan, kebuluran, kelaparan, penyakit dan sebagainya. Saya memilih bidang ini kerana pada masa dahulu berlaku banyak kebuluran di dunia. Asalnya saya sepatutnya dalam bidang matematik yang teknikal. Keterlibatan saya dalam hal berkaitan Sains Sosial adalah kerana penglibatan dalam organisasi-organisasi kiri, progresif, dan menentang kuasa, terutama penentangan terhadap Perang Vietnam. Saya juga bertemu dengan ramai tokoh-tokoh, mendengar kuliah atau ceramah oleh tokoh-tokoh intelektual terkemuka. Saya belajar di luar negara. Ramai pelajar yang terlibat dengan aktiviti pelajar adalah daripada bidang teknikal dan kejuruteraan. Tidak ramai daripada Sains Sosial. Saya ada sejarah yang panjang dahulu. Apabila saya pulang pada awal 1980an , keadaannya sesuai untuk membicarakan perjuangan. Di USM ketika itu, ramai tokoh-tokoh sedang berjuang bersama.
* Wawancara ini merupakan sebahagian daripada projek penyelidikan “MAL 169 – After 50 Years of AUKU: The Role and Impact of AUKU’s Development on Academic Freedom in Malaysia” oleh Naratif Malaysia dengan kerjasama Malaysia Reform Initiative (MARI), Higher Education Malaysia Association (HEYA), Cent-GPS dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
RUJUKAN
Gouldner, Alvin W., The Future of Intellectuals and the Rise of the New Class. London: Macmillan Press, 1979
Jacoby, R. 1987. The Last Intellectuals American Culture In The Age Of Academe. New York: The Noonday Press.
UNESCO. 1997. Recommendation concerning the Status of Higher-education Teaching Personnel, adopted by the General Conference at its twenty-ninth session, Paris, 21 October. UNESDOC Digital Library. – 12 November 1997. https://unesdoc.unesco.org/ar k:/48223/pf0000113234.page=2 [5 Ogos 2021].