33.5 C
Kuala Lumpur
28 March 2024 (Thursday)
spot_img

Wawancara bersama Abdul Halim Ali

Abdul Halim Ali merupakan Felo Akademi Profesor Malaysia (APM). Sebelum ini beliau pernah menjadi profesor sosiologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pemegang Kursi Nusantara di UNIMAS, Sarawak. Selain terlibat dalam dunia akademik, beliau juga pernah berkecimpung dalam Parti Rakyat Malaysia sebagai Setiausaha Agong. Beliau dikenali sebagai seorang yang mesra anak muda dan sentiasa mementingkan kesinambungan antara dunia aktivisme dengan dunia keilmuan. Manakala wawancara ini meneroka pandangannya mengenai hubungan antara aktivisme dan akademik, serta makna dan tujuan daripada idea kebebasan akademik itu sendiri.

Naratif Malaysia (NM): Konsep kebebasan, menurut satu pespektif, adalah sebuah konsep tabii, yang bersifat sejagat dan berasaskan hak asasi manusia. Justeru itu, adakah tepat kita menggunakan istilah dan konsep seperti kebebasan akademik? Adakah memang ada keadaan di mana wujudnya dunia akademik yang tidak bebas?

Abdul Halim Ali (AHA): Kebebasan boleh berbeza ertinya bergantung kepada perspektif falsafah dan ideologi tertentu. Namun, kebebasan akademik, mahu atau tidak, haruslah diletakkan dalam konteks sejarah dan sosiologi masing-masing masyarakat. Ini kerana konteks masyarakat maju dan masyarakat kurang maju adalah sama sekali berbeza. Dalam konteks kita, kebebasan akademik sentiasa terlempar ke dalam hubungan ambivalen antara universiti dengan pemerintah. Jadi, sifatnya kebebasan itu ditentukan oleh kualiti yang terdapat dalam senjang hubungan tersebut.

Chandra Muzaffar, misalnya, melihat hubungan antara universiti dengan pemerintah ditandai dengan ‘dilema’, iaitu situasi sukar dalam menentukan antara dua pilihan, sementara kedua-dua pilihan tersebut bukan yang terbaik mahupun yang diinginkan. Lalu, Chandra berhujah bahawa dilema tersebut sesungguhnya dilema antara para intelektual dengan pemerintah.

Pengamatan Chandra ini boleh kita fahami dengan lebih baik apabila kita menyorot kembali 2,420 tahun lalu tatkala Sokrates mengalaminya pembatasan kebebasan. Saat itu, Sokrates di hukum meminum hemlok di Agora Athens di hadapan para muridnya sehingga meninggal dunia.

Pendek kata, berbicara mengenai dunia akademik yang relatif tidak bebas, maka kita perlulah menganalisa bagaimana National University Singapore (NUS) telah dianggap sebagai yang terbaik di rantau ini. Apakah harganya, dan apakah rahsianya?

NM: Prof hidup di zaman semasa AUKU digubal dan diwartakan pada tahun 1971. Sudah tentu ini menjadikan Prof sebagai antara individu yang melalui dua zaman—sebelum dan selepas AUKU. Soalannya, apakah punca yang membawa kepada penggubalan AUKU pada masa tersebut?

AHA: Dilahirkan hujung 1939, saya beruntung dapat menyaksikan beberapa perkembangan di kampus universiti sejak tahun 1950an. Pada pandangan saya, AUKU 1971 boleh dimengerti dengan lebih baik sekiranya ditempatkan dalam konteks sejarah pengajian tinggi di Malaysia. Ini termasuklah menanyakan kembali mengenai apakah peristiwa sejarah sekitarnya sebelum tahun 1971. Hal ini kerana pada tahun 1971 adalah kemuncak rentetan kepada suatu guliran peristiwa mendahuluinya. Izinkan saya memetakan urutan sejarah dua dekad sebelum AUKU, 1971.

Pertamanya, kita sorot balik sejarah aktivisme mahasiswa University of Malaya (UM) yang tertubuh 1949 di Singapura. UM merupakan produk dari institusi pendidikan yang bernama Raffles College. Antara alumnusnya adalah Abdul Razak bin Hussein dan Lee Kuan Yew.

Pada 1955 sekelompok mahasiswa anggota Socialist Club, UM didakwa di Mahkamah Kolonial Singapura atas tuduhan aktiviti-aktiviti yang bersifat anti-kolonial. Kes menghasut berprofil tinggi itu dibela oleh seorang Queen’s Counsel dari England dan dibantu Lee Kuan Yew. Itulah percubaan pertama pihak wewenang dalam membataskan kebebasan universiti, malah pembatasan ini berlaku di England sendiri di mana sewajarnya autonomi universiti di sana dijunjung.

Pada ketika sama muncul di kampus UM Singapura pula terdapat mahasiswa Melayu yang cenderung nasionalis, liberal, dan sosialis Fabian. Muncul aktivis seperti Ismail Hussein, Syed Husin Ali, Kassim Ahmad dan Abdullah Majid. Mereka penyusul kepada para aktivis sebelumnya seperti Aminuddin Baki, Ungku Omar dan Mahathir Mohammad. Utusan Melayu menjadi pentas mereka. Bersama-sama wartawan progresif seperti Keris Mas, Usman Awang, Samad Ismail, mereka bergalang sambil mendirikan Asas 50 dengan slogan “seni untuk masyarakat”, suatu sambungan gema perjuangan angkatan 45 Indonesia dan G.V. Plekhanov pada 1905.

Tahun 1950an juga, menurut pengamatan saya, turut menandakan kemunculan tiga aliran pemikiran utama di kampus – nasionalisme dan egalitarianisme mirip fabianisme Britain. Aliran pertama mempunyai pengikut yang ramai, sementara aliran kedua lebih kecil bilangannya sekalipun mereka ini amat berdedikasi. Namun majoritinya, sama ada aliran nasionalisme mahupun egalitarianisme, masing-masing adalah liberalisme barat. Aliran islamisme tidak seberapa pada ketika itu walaupun terdapat persatuannya di kampus.

Manakala situasi politik dunia dan serantau pada 1960an pula tegang kerana Perang Dingin. Ketika itu, teori domino menjadi dominan. Malah, berdasarkan pengalaman komunikasi peribadi saya dengan Mahathir, beliau sendiri pernah meramalkan Malaysia menjadi sosialis apabila menjelang tahun 2000. Tahun ini bukan mauduk yang ingin kita bahaskan.

Apa yang ingin kita bahaskan ialah mengenai AUKU. Pada tahun 1971, jadilah AUKU. Lalu, perlu diselidik apakah yang menjadi raison d’être AUKU 1971, yakni apakah justifikasinya? Apakah perspektif Perang Dingin yang saya pakai absah? Apalah kiranya Naratif Malaysia mewancarakan Mahathir dalam rangka hari ulang AUKU. Itu akan sangat membantu penyelidikan. Juga wajar dicungkil kembali peranan Ungku Aziz yang merupakan arkitek bersama AUKU seperti yang dikatakan Syed Husin Ali di dalam memoirnya.

NM: Apakah kesan AUKU—sama ada kepada mahasiswa dan ahli akademik—terus sahaja dapat dirasakan sebaik sahaja ianya dikuatkuasakan pada masa tersebut?

AHA: Saya fikir tidak serta merta dirasakan kesannya. Ini kerana pada masa tersebut masih ada sisa tradisi kebebasan di dalam kampus, khususnya di UM. Namun, beberapa tahun setelah itu, Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) pada pertengahan 1980an dalam satu kenyataannya mendakwa telah berlaku herotan autonomi universiti sedikit demi sedikit. Perlahan-lahan universiti terserap ke dalam birokrasi kerajaan.

Pandangan ini ada benarnya. Ini kerana fungsi universiti dan tadbir urusnya telahpun terarah kepada kemahuan kerajaan. Etos birokrasi kerajaan mulai menampak dan mencengkam. Bersama-samanya, satu kecenderungan secara voluntary dan involuntary mulai wujud, khususnya sejak 1980an. Keadaan ini akhirnya memunculkan suatu bentuk sains sosial yang berjenis birokratik. Dalam kata lain, empirisisme mendahului teori dan falsafah. Sementara, penyelidikan konsultansi menjadi norma. Manakala, kecepatan hasil penyelidikan menjadi pengukur. Justeru, refleksi natijahnya akan dianggap sebagai suatu bentuk kemunduran.

NM: Benarkah AUKU ini telahpun memandulkan ahli akademik di Malaysia? Mengapa?

AHA: Ahli akademik mandul? Memang, mandul secara literalnya tidak terjadi. Sebab, ramai sahaja yang berkeberahian akademik. Namun, bukankah suatu “penghinaan sosial” kepada ahli akademik apabila tidak lagi memiliki hak warga biasa semasa di luar universiti? Menurut saya, mereka secara ironinya telahpun dihina apabila dilarang untuk bergelumang dalam kancah masyarakat. Mereka tidak boleh lagi menyumbang kepada masyarakat kerana dihalang menyertai politik atau persatuan pekerja.

Suasana kampus yang terbentuk ialah suasana di mana sekadar kehadiran kakitangan kerajaan dengan pelbagai aturan rutin. Menghadiri persidangan, sambil judul kertas kerja memerlukan izin terlebih dahulu dari pihak kementerian. Begitu juga cuti sabatikal, smeuanya mesti dalam pengetahuan dan keizinan. Silabus tentu sekali memerlukan izin kementerian. Paling ketara adalah kepimpinan Canselori ditentukan oleh kementerian, manakala pihak Canselori pula menentukan pemilihan Dekan dan Ketua Jabatan.

Tahun 1977, bulan November khususnya, merupakan kemuncak keaiban akibat peraturan-peraturan kakitangan akademik. Lalu, sebagai tanggapan, terdapat lima kepimpinan persatuan kakitangan akademik di universiti awam telahpun menerbitkan satu dokumen yang luar biasa kandungannya: Piagam Universiti yang diterbitkan pada Januari 1978. Dokumen penting tersebut menyentuh beberapa prinsip utama tentang sifat asasi dan peranannya berkaitan penyelidikan dan pengajaran. [Lihat Ilmu Masyarakat, April-Jun 1983. Persatuan Sains Sosial Malaysia]

NM: Bagaimanakah tanggapan Prof tahap dan kualiti kebebasan akademik di Malaysia setelah 50 tahun AUKU dikuatkuasakan? Lebih baik, merosot atau sama sahaja?

AHA: Sebenarnya struktur universiti dalam acuan AUKU masih wujud dan kerana itu kita akan mengambil banyak masa untuk merubah sikap masyarakat. Yang menggembirakan AKDN sudah tiada. Ertinya hilang sudah satu sumber generalised fear di peringkat nasional. Yang tinggal hanya specific fear daripada AUKU di kampus sahaja.

Walau bagaimanapun, usaha untuk menggantikan AUKU kepada sesuatu yang lebih baik harus dicari. Pada pendapat saya Piagam Universiti, 1978 dengan beberapa pembaikan boleh dijadikan asas piagam baharu.

Penyertaan ahli akademik muda dalam debat Covid-19 memperlihatkan seperti tidak pernah wujud cengkaman AUKU di kampus. Begitu juga sejumlah kecil sarjana muda di bidang sains sosial yang terus-terusan mencari perspektif baru. Terbaharu, popularnya pendekatan longue duree dalam sains sosial merupakan suatu usaha yang menggembirakan saya. Justeru itu, kalau aktivisme diertikan kesungguhan dalam mencapai perubahan politik dan sosial, maka menurut saya sudah terdapat tanda-tanda ke arah itu. Benarlah, setiap zaman ada rohnya sendiri.

NM: Apakah ahli akademik memerlukan penglibatan dalam dunia aktivisme, sama seperti aktivis-aktivis sosial yang lain? Bukankah memadai seorang ahli akademik hanya memberi tumpuan kepada pengajaran dan penyelidikan sahaja, tanpa perlu terlibat dalam dunia luar, apatah lagi dunia luar tersebut berkaitan dengan politik?

AHA: Pada saya, peranan ahli akademik yang beraktivis sesungguhnya seiring dengan fungsi universiti sebagai “… an institution of learning, a community of students and scholars…” seperti yang didefinisikan Piagam Universiti, 1978.

Malah, ini juga yang amati oleh para penyelidik Malaysia masih mengalami masalah pasca-penjajahan yang menghalang penambahan korpus pengetahuan, khususnya tentang pensejarahan nasional dan sosiologi peribumi. Sebab itulah, keterikatan kepada paradigma lama amat kejap. Maka disini letaknya aktivisme intelektual. Bahkan, sekiranya aktivisme diertikan daya gigih mencapai perubahan pengetahuan, politik dan sosial, maka itu semua tetap memerlukan juga keterlibatan ahli akademik di dunia luar.

NM: Benarkah wujudnya golongan ahli akademik yang menikus di Malaysia, seperti mana yang dinyatakan oleh Syed Husin Ali? Apa puncanya?

AHA: Umumnya terdapat dua budaya dalam dunia universiti, seperti jua halnya dengan dunia intelektual. Pertama, budaya yang optimis dan yang menginginkan penyelesaian masalah demi masa depan. “Ada esok, maka ada suria…”, madah Kassim Ahmad. Budaya kedua terbenam di dalam kubangan pesimisme. “Tiada esok bagimu”, kutipan sinis, yakni menolak sisi kebaikan sesuatu. Dalam bahasa lain, tahu kos sesuatu, tetapi tidak tahu nilainya. Budaya tersebutlah yang kemudian menghasilkan tukang rewel.

Lima puluh tahun berlalu sejak AUKU. Kalau satu generasi manusia itu 25 tahun, maka sudah akhirnya kini generasi kedua. Mahasiswa yang berusia 20 tahun pada tahun 1971 kini berusia 70 tahun. Mereka terasuh dalam dua lingkungan yang toksik – AKDN dan AUKU. AKDN mengenakan generalised fear. AUKU specific anxiety. Apabila tergabung dua lingkungan ini, maka akibatnya adalah mengerikan, termasuk keperilakuan ‘menikus’ dan ‘swa-sensor’. Yang perlu diperiksa lagi apakah mereka ini menikus dalam semua isu? Ternyata mereka ‘mulut banyak’ dalam isu hak asasi (manusia dan haiwan) dan iklim, tetapi menghindari isu struktur dan sistem sosial.

Hal ini demikian, justeru mereka telah melalui setengah abad proses de-ideologisasi, malah pengalaman pembunuhan ideologi – ideologicide, semuanya berkat peranan apa yang dipanggil Louis Althusser ‘ideological state apparatus‘. AUKU adalah aparat tersebut.

‘Menikus’ terhadap isu struktur dan sistem adalah masalah intelektual yang memerlukan reorientasi keperilakuan intelektual tersebut agar menjadi seimbang kembali. Kembali kita kepada dua budaya dalam dunia intelektual – sang optimis dan sang pesimis. Kini terdapat tanda budaya pertama itu mencuba upaya reorientasi intelektual di kalangan korban generalised indoctrination AUKU.

NM: Apakah masih lagi rasional wujudnya sebuah akta yang memantau dan mengawal ‘displin’ ahli akademik, sama seperti AUKU?

AHA: Satu dokumen perlu dijadikan pedoman para ahli akademik. Ternyata AUKU, 1971 bukan dokumen yang wajar dipertimbangkan. Sebaliknya yang boleh dipertimbangkan ialah University Charter, January 1978. Antara yang menarik adalah saranannya dilembagakan “The University Commission” tentu sahaja, dokumen berusia 43 tahun perlu dipadankan kepada situasi kini. Namun, prinsip di dalamnya, menurut saya, masih relevan.

NM: Apakah yang boleh kita renungkan menerusi episod AUKU dalam sejarah tahahair ini?

AHA: Saya fikir ada beberapa pertanyaan untuk kita sama-sama fikirkan.

Pertama, mungkinkah AUKU 1971 satu persediaan untuk dilaksanakan perekayasaan sosial D.E.B (1971) agar tiada daya perlawanan dari para mahasiswa yang kemampuannya kelihatan dengan ketara semasa ‘Peristiwa Paris, 1968’ sehinggakan Presiden Perancis tergoncang kedudukannya?

Kedua, mungkinkah menurut ideologi fabianism, di mana Abdul Razak Hussein menjadikan Rukun Negara sebagai supra-structure kepada Dasar Ekonomi Baru sebagai base-structure?

Ketiga, apakah mungkin Naratif Malaysia mewawancarakan Mahathir Mohamad agar diketahui justifikasi, raison d’être AUKU?

Dan, keempat, apakah sebenarnya Ungku Aziz adalah co-author AUKU seperti tercatat di dalam memoir Syed Husin Ali?

Semua pertanyaan ini perlu ditanggap bersama, bagi mencari jawapan yang lebih jelas dan saksama mengenai dampak AUKU kepada generasi dewasa ini.

Wawancara ini merupakan sebahagian daripada projek penyelidikan “MAL 169 – After 50 Years of AUKU: The Role and Impact of AUKU’s Development on Academic Freedom in Malaysia” oleh Naratif Malaysia dengan kerjasama Malaysia Reform Initiative (MARI), Higher Education Malaysia Association (HEYA), Cent-GPS dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Artikel Berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

204FansLike
1,308FollowersFollow
705SubscribersSubscribe
spot_img

Artikel Terkini