Sheikh Omar:Tun Mahathir, Perdana Menteri kita ketika ditanya mengenai kegagalan ekonomi orang Melayu sering menyalahkan sikap orang Melayu sendiri. Kerap kali juga beliau mengatakan tidak ada masalah dengan dasar yang sedia ada. Apakah pandangan Tun Daim berkaitan perkara ini? Dan apakah Tun merasakan masih relevan politik kaum di Malaysia pada hari ini?
Tun Daim: Orang Melayu di zaman dahulu memang berjaya. Pada masa pemerintahan Kesultanan Melaka, kejayaan orang Melayu boleh dikira sebagai luar biasa. Oleh kerana kejayaannya itu, Melaka telah menarik perhatian negara-negara luar. Pada zaman kegemilangan Melaka, bahasa pertuturan yang digunakan di Melaka sahaja ada 85 bahasa. Apakah yang menyebabkan wujudnya pelbagai bahasa ini? Sebab utamanya adalah kerana perniagaan. Untuk berniaga di Melaka adalah menjadi keperluan untuk tahu pelbagai bahasa. Kalau kita mahu berniaga tapi kita tidak punya kemahiran berbahasa, ini tentunya akan mennyukarkan kegiatan jual-beli kita. Justeru, sebagai sebuah pelabuhan antarabangsa sebanyak 85 bahasa dipertuturkan di Melaka pada zaman itu. Ini adalah antara tanda yang menunjukkan betapa berjayanya Melaka. Kerana kejayaannya itu, ramai pedagang-pedagang yang datang berniaga di Melaka.
Pedagang-pedagang daripada Eropah, China, Timur Tengah, India dan sebagainya semua tertumpu ke Melaka. Ini adalah suatu kejayaan buat orang Melayu. Tapi kadang-kadang kita terlupa bahawa pada zaman awal peradaban kita, agama kita bukan Islam. Di zaman awal peradaban Melayu kita masih belum Islam. Kita hanya menjadi Islam selepasa Raja kita memeluk Islam. Pengislaman Raja-Raja Melayu membawa rakyat kepada Islam.
Sejarah peradaban awal kita bermula di Lembah Bujang, Kedah. Kerana itu dikatakan agama awal orang Melayu adalah Hindu. Tapi kemudiannya kita meninggalkan agama Hindu dan memeluk Islam. Dan sekarang antara Melayu dengan Islam tidak dapat dipisahkan. Saya fikir tidak ada bangsa dalam dunia ini yang hubungannya dengan agama seperti mana Melayu dan Islam. Bangsa-bangsa lain ada bermacam-macam agama yang mereka anuti. Tapi Perlembagaan kita mentafsirkan bahawa Melayu mestilah beragama Islam.
Orang Melayu dahulu memang pandai dalam perniagaan. Namun kedatangan penjajah telah mengubah segalanya. Pada zaman penjajahan Portugis dan Belanda keadaan tidaklah begitu teruk kerana mereka datang hanya untuk berniaga. Akan tetapi apabila penjajah British yang datang mereka melihat negara kita ini melimpah dengan hasil bumi dan kekayaan. Justeru, pihak British yang datang ke wilayah kita ini pada mulanya bukanlah kerajaannya tetapi syarikat perniagaan Hindia Timur. Mereka datang untuk mengambil peluang perniagaan yang terbuka di Tanah Melayu.
Namun apabila mereka datang dan lihat cara orang Melayu berkerja yang lambat, maka buruh-buruh asing daripada China dan India dibawa masuk untuk mengeksploitasi hasil kekayaan negara. Pada mulanya bijih timah dan kemudiannya diikuti dengan getah dan pelbagai lagi eksploitasi bumi yang lain. Pada masa yang sama penjajah British juga tidak menggalakkan orang Melayu untuk terlibat dalam perniagaan.
Buat orang Melayu, British telah menetapkan kegiatan penangkapan ikan dan penanaman padi di kampung-kampung sebagai kegiatan ekonomi mereka bagi menyediakan bahan makanan buat British dan juga buruh-buruh asing di bandar. Untuk British mengarahkan orang Cina dan India menanam padi pada waktu itu tentulah tidak munasabah kerana mereka tiada kemahiran. Begitu juga dengan penangkapan ikan, buruh-buruh asing ini masih belum ada kemahiran pada ketika itu.
Oleh kerana itu, British menyuruh orang Melayu menanam padi dan menangkap ikan sebagai kegiatan yang membekalkan sumber makanan buat British dan juga buruh-buruh asing yang berkerja di bandar-bandar. Pekerjaan sebegini tidak memerlukan orang Melayu belajar tinggi. Apa perlunya untuk belajar tinggi jika pekerjaan orang Melayu hanyalah sebagai penanam padi dan penangkap ikan? Tak perlu pergi sekolah untuk belajar menanam padi atau menangkap ikan.
Tetapi orang-orang Cina dan India pada ketika itu telah menuntut supaya dibukakan sekolah untuk komuniti mereka. Kerana apa mereka mahukan sekolah? Kerana mereka tidak berniat untuk tinggal di negara inii. Mereka datang ke sini hanya sekadar untuk mencari makan. Selepas cukup wang dikumpul, mereka akan balik semula ke negara asal mereka. Oleh kerana itu, British membenarkan sekolah Tamil dan sekolah Cina dibuka di Tanah Melayu ini.
Tapi berbalik kepada apa yang ingin saya sampaikan tadi iaitu tentang persoalan kenapa Melayu ketinggalan? Perniagaan yang boleh membawa kepada kekayaan ialah yang berbentuk perniagaan moden di bandar-bandar. Misalnya perusahaan bank, berdagang barang, jual-beli komoditi seperti bijih timah dan getah. Malangnya orang Melayu umumnya tidak terlibat di dalam perniagaan sebegitu rupa pada zaman itu. Kerana itulah kita ketinggalan.
Sebelum itu di zaman Kesultanan Melaka kita memang terkenal sebagai peniaga. Sebab itu jugalah ramai pedagang yang datang ke Melaka. Sebelum penjajahan orang Melayu memang mempunyai kepandaian berniaga. Namun begitu selepas 400 tahun dijajah dan tidak diberi peluang untuk berniaga, maka untuk orang Melayu mendapat ilmu dan kemahiran berniaga kembali tentulah mengambil masa. Jadi untuk catch-up atau sampai ke kedudukan seperti mana orang Cina Malaysia sekarang ianya mengambil masa. Perniagaan sekarang sudah menjadi semacam urban business dengan pasaran saham dan sebagainya dan pada mulanya orang Melayu tidak memahami konsep perniagaan moden sebegini. Jadi untuk memperbaiki kedudukan ekonomi orang Melayu yang ketinggalan itu, masa diperlukan.
Pada zaman penjajahan sebelum negara kita merdeka yang ada cuma segelintir kecil peniaga-peniaga Melayu. Namun dalam segelintir kecil ini ada juga dua-tiga orang Melayu yang kaya. Ngah Ibrahim misalnya adalah antara pengusaha bijih timah yang kaya pada zaman itu. Begitu juga dengan Syed Mohammed Alsagoff yang saya sebutkan dalam ucapan saya tadi, merupakan seorang peniaga Melayu yang kaya.
Namun kemudiannya mereka bergaduh sesama sendiri yang akhirnya membawa kepada perpecahan dan kehilangan kekayaan. Sikap orang Melayu ini mereka tidak boleh melihat ada orang Melayu lain yang berjaya. Seperti ketam kalau ada yang berjaya naik ke peringkat yang lebih tinggi, ketam-ketam yang lain akan menariknya turun ke bawah. Ini adalah sikap yang ada dalam adat dan budaya Melayu. Saya harap di dalam siri seminar akan datang tentang persoalan budaya nanti, perkara ini hendaklah dibincangkan.
Kelemahan orang Melayu ialah mereka tidak boleh melihat ada orang Melayu lain yang berjaya dari mereka. Kerana itu ada istilah PHD dalam masyarakat Melayu – Penyakit Hasad Dengki. Sikap khianat. Bila dilihat ada orang Melayu yang meningkat maju, orang tersebut nantinya akan dijatuhkan.
Kalau bangsa lain mereka mempunyai persatuan. Dan dalam perniagaan, mereka akan bangunkan pertubuhan atau kesatuan perniagaan seperti dewan perniagaan atau business chambers. Fungsinya adalah untuk menolong antara satu sama lain. Kalau orang Hokkien, mereka ada persatuan perniagaan mereka sendiri dan jenis perniagaan yang tertentu yang menjadi tumpuan mereka. Kalau orang Teochew akan ada persatuan dan perniagaannya yang khusus. Begitulah juga dengan orang Kantonis. Masing-masing ada persatuan dan perniagaan khusus mereka. Tapi di dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan bersama yang memerlukan sokongan semua bangsa Cina, mereka bersatu di bawah Dewan Perniagaan Cina atau Chinese Chambers of Commerce. Ini yang penting.
Jadi pada waktu itu, dengan pelbagai kekurangan dan kelemahan yang ada, Melayu memang ketinggalan. Sebab itu Tun Mahathir berkata walau pun kerajaan sudah memberi segala macam pertolongan dan bantuan tetapi orang Melayu masih ketinggalan. Manakala pencapaian orang Melayu dalam perniagaan pula masih lagi dilihat gagal walau pun bermacam pertolongan sudah diberikan. Tapi perniagaan ini bukan hanya melibatkan duit atau modal semata-mata tetapi kita juga perlu tahu selok-belok ilmu perniagaan. Ini yang penting. Jaringan perniagaan perlu ada. Hubungan dan rantaian perniagaan mesti kita tahu. Dan ini semua memerlukan ilmu, kemahiran dan pelajaran.
Tapi sekarang alhamdulillah, ramai juga orang Melayu yang saya lihat sudah berjaya. Saya telah melawat satu negara. Dan tadi saya pergi melihat di sekitar negeri Johor. Alhamdulillah kelihatannya ramai orang Melayu yang telah berjaya. Ada orang Melayu yang saya temui mengusahakan penanaman nenas untuk diekspot ke Timur Tengah dan bermacam lagi perusahaan orang Melayu yang saya lihat. Orang Melayu boleh melakukannya. Di Kluang juga saya lihat ramai orang Melayu yang berjaya. Saya agak terkejut dengan apa yang saya lihat. Misalnya tadi saya melawat Pertubuhan Peladang negeri Johor yang mempunyai 100,000 ahli. Ini adalah satu kejayaan.
Tapi cerita-cerita kejayaan seperti ini ramai orang Melayu tak tahu. Ada orang Melayu yang mengusahakan ternakan lembu dan kambing yang berjaya. Ada orang Melayu yang mengusahakan kebun orkid, sayur dan ladang buah-buahan yang juga berjaya. Ada orang Melayu yang sekarang ini menjawat pekerjaan profesional seperti jurutera, doktor dan seumpamanya.
Insyallah kalau kita sanggup bertekun, sanggup belajar, insyallah Melayu akan berjaya dan saya penuh percaya orang Melayu tetap akan berjaya. Jangan takut.
Sheikh Omar:Maknanya apakah pada masa ini Tun berpandangan naratif yang menceritakan tentang keterbelakangan orang Melayu ini hanyalah persepsi atau naratif sebegitu tidak betul atau bagaimana?
Tun Daim:Dia begini – yang menjadi masalahnya ialah bila kita melihat kepada kepemilikan Melayu menerusi pasaran saham. Kalau dari sudut pasaran saham, dikatakan kepemilikan Melayu dalam pasaran saham masih lagi kurang daripada 30%. Dasar Ekonomi Baru (DEB) menyasarkan kepemilikan sekurang-kurangnya 30% saham bumiputera dan kita masih belum berjaya mencapai sasaran tersebut. Tapi perlulah juga diambilkira kepemilikan ekonomi secara keseluruhan. Dan seperti mana yang saya sebutkan tadi ianya memerlukan masa.
Namun begitu kalau kita lihat sekarang ini sudah ramai orang Melayu yang mempunyai pengetahuan. Ada orang Melayu yang mampu membuat roket. Ada orang Melayu yang boleh membuat drone. Tapi naratif sebegini ramai orang tidak tahu. Kerana apa? Kerana tidak ada orang yang menjadikannya sebagai suatu cerita. Sebab orang Melayu ini pemalu sedikit. Bila saya datang melawat, barulah mereka tunjukkan. Wah! Orang Melayu boleh buat ini semua. Ini semua tidak diceritakan. Yang diceritakan adalah yang negatif. Cerita untuk menjatuhkan antara satu sama lain, yang negatif, itu diceritakan. Cerita yang positif masih belum disiarkan lagi. Insyaallah kalau kita sanggup berkerja kuat, sanggup menerima ilmu, jangan takut kita akan berjaya, insyaallah.
Jadi, berbalik kepada soalan Yang Berhormat tanya saya di awal tadi – apakah kita masih memerlukan politik perkauman? Jawapan saya – tak perlu. Kenapa kita orang Melayu perlu takut? Kita ramai. Jumlah kita 60% lebih. Apa yang kita takutkan? Yang penting kita perlu bersatu-padu.
Masalah ini berlaku kerana kita tidak bersatu padu. Kalau kita bersatu-padu, mempunyai niat yang sama, berjuang untuk mencapai kejayaan bangsa kita, insyaallah kita akan berjaya.
Seperti mana yang saya sebut dalam ucapan awal saya tadi, dalam dua puluh orang Melayu, ada satu professional Melayu. Jadi, apa yang kita takut? Yang penting kita perlumenimba ilmu sebanyak mungkin. Seperti mana yang saya tegaskan dalam ucapan saya tadi – iqra’, baca, baca, baca.
Tujuan kita membaca supaya kita tahu apa yang kita tak tahu. Faham apa yang kita tak faham. Itu tujuan Allah menyuruh kita membaca. Jadi, kita perlu membaca. Selepas itu carilah jalan yang lurus. Baca Al-Fatihah – kita membaca Al-Fatihah yang di dalamnya terkandung permintaan untuk ditunjukkan jalan yang lurus. Ambillah jalan yang lurus dan insyallah kita akan mencapai kejayaan. Tapi kalau ambil jalan yang salah, rosaklah kita. Ini pandangan daripada Allah sendiri yang telah memberi petunjuk pada kita. Laksanakanlah. Itu sahaja.
Sheikh Omar:Memandangkan Tun ada menyinggung sedikit tadi tentang persoalan kenapa Melayu perlu takut sedangkan Melayu adalah majoriti di Malaysia ini, maka saya pergi kepada satu soalan yang dikutip daripada peserta yang ada di dalam dewan ini. Soalannya berbunyi politik sedikit – mengapa parti-parti politik Melayu seperti Bersatu misalnya, tidak bergabung sahaja dengan parti-parti Melayu yang lain seperti UMNO dan PAS yang sekarang ini sudah pun menjalin kerjasama demi perpaduan Melayu? Bukankah lebih baik jika Melayu bersatu, Melayu akan lebih kuat dan terhormat. Apa pandangan Tun?
Tun Daim:Dalam sistem demokrasi kita boleh membuat pilihan kita sendiri. Demokrasi memberikan kebebasan kepada kita untuk memilih. Malahan kita boleh menubuhkan parti kita sendiri. Kita bebas memilih tapi yang paling penting seperti mana saya tegaskan sebelum ini, gunakan akal di dalam membuat pilihan kita itu. Kita mesti pilih yang baik. Kita mesti pilih yang membawa kebaikan kepada kita. Pilih yang membawa kita ke jalan kejayaan. Kalau kita pilih yang merosakkan kita, maka bodohlah kita. Allah beri kita akal untuk kita fikir. Gunakan akal yang diberikan itu. Sebab itu Allah berfirman – iqra’, baca, baca, baca.
Arahan untuk kita membaca itu adalah supaya kita menggunakan akal fikiran kita untuk memilih yang mana betul dan yang mana salah. Allah telah menganugerahkan kepada kita dengan bermacam-macam kelebihan.
Dalam Al-Quran, ada semua jawapan untuk kita. Jangan takut. Yang penting kita mesti memegang teguh kepada keimanan kita. Percaya kepada Allah, dan percaya kepada diri kita sendiri. Insyaallah kita akan berjaya. Jangan takut. Senantiasa berdoalah kepada Allah. Tapi doa kita itu mesti disertai dengan ikhtiar. Doa saja tidak mencukupi. Mesti disekalikan dengan kerja kuat. Allah mengarahkan kita untuk baca, baca dan baca. Yang penting seperti mana saya katakan berulang kali gunakan akal. Kita semua serupa. Tapi sesetengah daripada kita malas menggunakan akal. Itu saja bezanya.
Ajar anak-anak kita supaya jangan takut. Timba ilmu sebanyak mungkin. Belajar dan tambahkan ilmu kita dengan general knowledge atau pengetahuan am. Baca, baca dan baca. Dengan ilmu pengetahuan yang kita perolehi daripada membaca itu kita boleh berbahas dengan sesiapa sahaja secara penuh yakin. Saya percaya orang Melayu setaraf dengan orang-orang lain dalam dunia ni. Kita tidak ada kekurangan. Yang penting seperti mana saya kata tadi, kita perlu sanggup untuk berkerja kuat demi mencapai kejayaan. Itu yang penting. Yang penting kita bersatu, kita bertekun, kita berkerja kuat untuk mencapai kejayaan. Insyaallah kita akan berjaya.
Dato’ Osman Sapian:Sebagaimana jawapan daripada Yang Amat Berbahagia Tun Daim tadi kalau parti Melayu yang lain itu sudah lari daripada landasannya, bagaimana untuk kita menyatu dengan mereka?. Yang keduanya, kalau parti Melayu itu korup, pencuri, penyamun – bagaimana kita hendak bercampur dengan pencuri dan penyamun? Kalau parti Melayu itu bersih, saya rasa insyaallah Bersatu akan bersama-sama mereka. Sebaliknya kita lihat parti-parti lain – walau pun berbentuk pelbagai-kaum tapi mereka mempunyai integriti yang tinggi. Malah lebih baik daripada parti-parti Melayu yang sedia ada.
Maka saya rasa ini adalah satu prinsip yang harus kita pegang. Jadi, adalah lebih baik kita berkerjasama dengan parti yang bukan Melayu dan berlainan daripada kita tapi baik, berintegriti dan tidak korup. Sedangkan parti Melayu yang ada itu, seperti mana saya sebutkan tadi, tiada keperluan untuk kita berkerjasama dengan mereka. Nanti kalau kita bercampur dengan perompak, kita pulak yang turut jadi perompak juga. Sedangkan kita ini baik. Itu pendapat saya.
Sheikh Omar:Dua soalan saya gabungkan di sini. Sebelum ini kita sudah pun mempunyai Dasar Ekonomi Baru. Namun kedudukan orang Melayu kelihatannya masih tidak banyak berubah. Di manakah silapnya dan bagaimanakah kerajaan hari ini akan memastikan perkara ini tidak berulang kembali? Dan mengapakah kita masih membincangkan isu survival Melayu setelah lebih daripada 60 tahun merdeka? Apakah yang membuatkan kita gagal?
Tun Daim:Dasar Ekonomi Baru itu sememangnya adalah suatu mekanisme yang bagus. Yang menjadi masalahnya ialah perlaksanaan. Yang gagal itu perlaksanaan dasar tersebut.
Dulu, perlaksanaannya memberi keutamaan kepada orang UMNO. Kalau ada orang UMNO yang datang meminta (projek), maka diberi kepada mereka. Sama ada mereka itu boleh membuat kerja atau tidak boleh membuat kerja – ianya tidak dpedulikan. Yang penting ialah dari pemberian tersebut, sokongan politik akan diperolehi. Melalui jalan lobi-melobi politik, maka mereka pun mendapat projek.
Tapi sekarang kita nyatakan – kalau hendak pertolongan atau bantuan daripada kerajaan, pertamanya mesti dikenalpasti terlebih dahulu perniagaan apa yang ingin dilakukan. Selepas itu kita mahu melihat cash flow atau aliran tunai daripada perniagaan yang ingin dijalankan itu. Perniagaan itu mesti jelas aliran tunainya. Ini mesti belajar.
Kebanyakan orang Melayu bila mereka berfikir untuk berniaga, mereka terus sahaja berniaga. Ini tak boleh. Mereka mesti terlebih dahulu membuat cash flow atau aliran tunai perniagaan yang mereka rancang itu.
Misalnya seperti mana lawatan saya bertemu dengan peladang nenas siang tadi. Peladang nenas tersebut menanam sebanyak 20,000 pokok nenas untuk satu ekar tanah. Sebiji nenas beratnya lebih kurang 2kg. Harga 1kg nenas ialah RM2.50. Jadi untuk sebiji nenas dia boleh mendapat RM5.00 x jumlah nenas yang ditanam.
Bukan itu sahaja. Setiap satu pokok ada lebih kurang sepuluh anak-anak pokok nenas. Daripada sepuluh anak-anak pokok ini dia boleh menjual sekurang-kurangnya RM1.00 untuk satu anak pokok. Maknanya dia mendapat RM10.00 lagi. Tadi, sebiji nenas harganya RM5.00 dicampur dengan sepuluh anak-anak poko yang dijual dengan harga RM1.00 satu pokok, dia memperolehi RM15.00 sepokok nenas.
Selepas tu daun nenas pula boleh dibuat makanan haiwan dan juga boleh dijadikan kain untuk membuat baju. Jadi, dengan hanya satu pokok nenas, dia boleh mendapat RM20.00. Maknanya kalau dengan 20,000 pokok nenas x RM20.00, dia boleh menjana jualan sebanyak RM400,000.00 untuk seekar tanah. Bayangkan kalau ada 100 ekar, berapa banyak duit yang boleh diperolehi?
Jadi, mesti ada aliran tunai yang jelas. Kebanyakan daripada kita tidak membuat aliran tunai. Kebanyakan kita tanam hanya untuk seronok-seronok saja. Ini tak boleh. Sekarang kita mesti menggunakan kaedah perniagaan moden. Cara kita menjalankan perniagaan mesti dengan kaedah moden.
Tambahan pula sekarang ini untuk menanam menanam buah atau sayur, kita tidak lagi perlukan tanah. Dulu kita fikir untuk menanam buah atau sayur kita perlukan tanah. Sekarang ini tidak perlu lagi. Buah dan sayur hanya perlukan air dan baja sahaja. Dengan pertanian cara moden, kita boleh membina rumah hijau atau green house dan kita boleh buatkan susunan rak-rak secara vertikal atau vertical farming, Di bawah rak-rak tanaman tersebut diletakkan air dan dibela ikan di dalam takungan air tersebut. Bahan-bahan kumuh yang dikeluarkan oleh ikan-ikan tersebut secara automatik menjadi baja. Penggunaan airnya kurang tapi hasilnya cepat.
Saya telah memberitahu pihak kerajaan bahawa masa depan orang Melayu, orang Malaysia, adalah dengan bercucuk-tanam menggunakan kaedah teknologi moden. Melalui pertanian cara moden kita semua akan kaya.
Dulu kita menjangkakan melalui industri kita akan menjadi kaya. Tapi akhirnya apabila kita bangunkan sektor perindustrian, yang ramai datang berkerja adalah orang-orang Indonesia. Orang Melayu ini suka kepada tanah. Berikan tanah kepada dia dua ekor untuk dia tinggal dan berkebun. Bila dia bangun pagi dan dia lihat pokok yang dia tanam tumbuh naik, hati dia rasa lega, hati dia rasa sedap. Dan selepas itu bila pokok yang dia tanam mengeluarkan buah, dia boleh menjual buah-buah tersebut di pasar.
Saya percaya masa depan orang Melayu insyaallah adalah melalui ekonomi moden.
Sheikh Omar:Bagaimanakah seharusnya Malaysia Baru mendepani persepsi daripada masyarakat Melayu yang masih lagi paranoid dan takut kehilangan hak mereka akibat tekanan ekonomi masa kini?
Tun Daim:Bagaimana orang Melayu akan hilang hak? Perlembagaan Malaysia mempertahankan kedudukan kita. Hak orang Melayu ada termaktub di dalam Perlembagaan. Ini telah pun kita persetujui sejak 1948 lagi. Dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 memang sudah tertulis hak-hak kita. Semasa kita merdeka tahun 1957, perkara-perkara tentang Melayu yang sudah termaktub di dalam Perjanjian 1948 itu dipindahkan ke dalam Perlembagaan 1957. Tak ada yang berubah. Dan yang dikatakan tekanan itu – tekanan daripada mana? Saya pun tidak tahu tekanan apa. Jadi anda jangan keliru.
Dahulu masa kita menentang Malayan Union kita memang miskin. Pelajaran pun kita tidak ada. Apa pun kita tidak ada. Universiti pun belum ada ketika itu. Sekarang sudah banyak universiti di negara kita. Sudah ramai orang Melayu yang berkelulusan. Takkan cerdik-pandai Melayu boleh menerima semua ini?
Melayu dikatakan tertekan. Tertekan di mana? Saya sungguh tak faham. Boleh beritahu saya tertekan di mana? Jadi jangan percaya ini semua. Melayu dikatakan tertekan. Cuba tunjukkan kepada saya tertekan di mana? Tunjukkan dengan angka-angka kepada kita.
Sekarang ini kebanyakkan bank-bank besar di Malaysia siapa yang punya? Adakah Cina yang punya?
Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang punya. Dan PNB itu siapa yang punya? Orang Melayu punya.
Khazanah misalnya – siapa yang menjaga Khazanah? Siapa orang-orang yang menjaga Khazanah?
Okay, Khazanah memegang banyak saham. Khazanah pegang saham Tenaga Nasional. Khazanah pegang saham Telekom Malaysia. Khazanah pegang saham Malaysia Airport Berhad. Macam-macam syarikat yang Khazanah pegang sahamnya. Akhirnya saham-saham syarikat ini dijual kepada siapa? Dijual kepada PNB.
PNB ambil alih dan saham-saham tersebut diberikan kepada siapa? Diberikan kepada Amanah Saham.
Amanah Saham itu siapa pemiliknya? Bukankah orang Melayu?
Jadi, saya pun hairan. Jangan kita buat tafsiran yang tidak betul. Kalau tak faham, kita bertanya. Tapi jangan percaya sepenuhnya. Kita cari sendiri faktanya. Kita mesti sanggup dan berani mempersoal.
Itu yang saya katakan bahawa yang sangat penting itu adalah ilmu. Kalau kita mempunyai ilmu insyaallah orang tidak akan mampu untuk menipu kita. Negara kita akan dihormati kalau orang Melayu bangkit berjuang untuk kepentingan bangsa seperti mana yang pernah kita lakukan pada tahun 1946 dahulu. Insyaallah kita akan berjaya. Itu yang penting. Sanggup berjuang demi kepentingan bangsa dan negara bersama-sama dengan kaum yang lain. Insyaallah kita akan berjaya.
Peserta Seminar (Mohammad Nahar Bin Mohammad Nordin):Bolehkah kita menggunakan bitcoin, crypto-currency dan seumpamanya untuk berdagang nenas, petroleum, minyak, gas dan sebagainya?
Tun Daim:Ini adalah kaedah perniagaan yang baru tapi setakat ini masih belum ada lagi negara di dunia ini yang mengiktirafnya. Sepertimana bitcoin yang pernah meningkat nilai sampai RM20,000.00 tetapi selepas tu nilainya jatuh. Kita mesti berjaga-jaga tentang matawang jenis ini. Kerana ianya tidak disandarkan kepada sebarang aset. Kena beringat dan berjaga-jaga dalam hal ini. Matawang RM (ringgit) mempunyai sandarannya. Setiap matawang disandarkan kepada emas, misalnya.
Tapi matawang bitcoin atau cryto-currency ini tidak disandarkan kepada sebarang aset. Matawang ini semua orang boleh cipta. Anda pun boleh mencipta matawang seperti itu buat masa ini sehinggalah ianya dikawal-seliakan. Bila ianya dikawal-selia nanti, akan muncullah masalah-masalah berbangkit.
Tapi mungkin tren perniagaan masa hadapan akan memerlukan jenis matawang seperti itu tapi buat masa sekarang kita masih belum tahu lagi. Ianya memerlukan kajian yang lebih mendalam. Namun, pada masa yang sama jika kita hendak memulakan perniagaan digital, sekarang ini pun sudah tersedia platform seperti e-commerce. Semua orang boleh terlibat dalam perniagaan e-commerce ini. Tidak ada masalah dengan perniagaan melalui e-commerce.
Tapi apa yang anda bangkitkan dalam soalan anda itu melibatkan matawang. Matawang adalah suatu perkara yang lain. Setakat ini matawang jenis itu belum diiktiraf oleh Bank Negara. Dan Bank Negara memang sedang mengkaji tentang perkara ini sekarang. Tapi belum ada keputusan yang dibuat lagi berhubung penggunaan matawang tersebut.
Peserta Seminar (Ismarizal dari Kota Tinggi):Dalam Dasar Ekonomi Baru, terdapat agenda untuk melindungi kepentingan ekonomi orang Melayu. Dalam Malaysia Baru pula, masih adakah dasar tersebut untuk melindungi survival ekonomi orang Melayu?
Tun Daim:Kita nyatakan begini – agenda Melayu adalah agenda nasional. Yang kita maksudkan dengan agenda Melayu itu adalah melawan kemiskinan dan ketaksamaan dalam masyarakat. Maknanya kalau orang miskin kita akan tolong semuanya. Tapi nasib kita, kebanyakkan yang miskin itu adalah orang Melayul.
Sheikh Omar (mencelah): Sebelumnya tadi Tun ada mengatakan bahawa orang Melayu sudah sampai ke satu tahap ekonomi yang lebih tinggi. Tapi kali ini Tun mengatakan bahawa kebanyakkan orang yang miskin ini Melayu pula. Bagaimana sebenarnya Tun? Boleh jelaskan dengan lebih lanjut.
Tun Daim:Ya memang kedudukan ekonomi orang Melayu sudah banyak berubah berbanding dahulu. Akan tetapi ketaksamaan masih wujud. Yang kaya, tetap kaya. Yang miskin, masih miskin. Dalam masyarakat kapitalis keadaan ini memang akan berlaku. Ianya tidak boleh dielakkan melainkan kita mahu menukar sistem kita kepada komunisme. Di dalam sistem ekonomi pasaran bebas sesiapa yang berjaya akan menjadi kaya. Jadi, dalam sistem sebegini, pekerja akan masih menjadi pekerja. Kesenjangan dalam masyarakat akan menjadi lebih luas. Dalam sistem kapitalis satu dunia sebegitu. Di Amerika misalnya, 10% kontrol 90% daripada ekonomi. Ini memang hakikat sistem ekonomi kapitalisme.
Kapitalisme dalam huraian yang paling mudah ialah kita perlukan modal untuk menjalankan perniagaan. Tanpa adanya modal kita tidak boleh berniaga.
Malangnya orang Melayu tidak ada modal. Daripada dahulu lagi kita tak punya modal. Dahulu, bank pun kita tidak ada. Orang Melayu tidak memiliki bank. Hanya di tahun 1946, seorang Melayu bernama Maarof (bapa kepada pelakon veteran Melayu, allahyarham Mustafa Maarof) cuba membuat bank. Bank Melayu yang pertama. Malangnya, tidak berapa lama selepas beliau menubuhkan bank tersebut, beliau telah dibunuh. Hanya di kemudian hari barulah kita mempunyai bank seperti Malayan Banking yang merupakan bank baru.
Dalam sistem ekonomi moden kita memerlukan bank. Sepertimana sekarang ini ada e-wallet, e-commerce dan sebagainya yang merupakan sebahagian daripada sistem ekonomi moden. Ini tren perniagaan di masa hadapan. Namun, kesenjangan ekonomi dan ketaksamaan dalam masyarakat akan tetap wujud dalam sistem ekonomi kapitalis. Tidak kira sama ada ianya di Amerika, England, Australia atau Singapura – ketaksamaan tetap akan ada. Singapura mengatakan bahawa ia adalah sebuah negara yang kaya tetapi di dalam masyarakat Singapura tetap masid ada orang yang miskin. Ini adalah sifat sistem kapitalis.
Kerana itulah kita perkenalkan Dasar Ekonomi Baru untuk menolong mereka yang kurang bernasib baik. Membantu mereka yang miskin. Bukan hanya orang Melayu sahaja yang miskin – orang Cina, India, Dayak, Dusun, Kadazan dan dalam semua komuniti akan ada mereka yang masih miskin. Yang kaya, terus kaya. Yang miskin, terus miskin. Kita mahu mengurangkan jurang antara yang kaya dan yang miskin ini. Itu tujuan kita. Sebab itu, tiap-tiap tahun kerajaan menyediakan peruntukan lebih kurang 27 billion untuk menolong mereka yang miskin. 27 billion adalah suatu angka yang besar yang diperuntukkan bagi mengurangkan masalah ketaksamaan ini.
Peserta Seminar (Chong dari Majlis Bandaraya Iskandar Puteri):Apa resepi kejayaan yang boleh dicontohi oleh rakyat Malaysia untuk menjadi orang yang berjaya dalam konteks politik Malaysia baru pada hari ini? Siapa yang akan mewarisi orang seperti Tun? Mungkin ada dua atau tiga tips yang boleh Tun berikan kepada kita semua dalam menempuh Malaysia baru ini. Tips untuk kita semua tak kira Melayu atau pun bukan Melayu.
Tun Daim:Pepatah orang Melayu ada berkata – patah tumbuh hilang berganti. Insyaallah, ramai rakyat Malaysia yang pandai. Cumanya mereka tidak diberi peluang. Ramai yang pandai tapi tidak mahu menyertai politik. Ramai yang berpolitik pula, tidak mahu menyertai perniagaan. Tapi kalau boleh, rakyat Malaysia berjaya dahulu dalam bidang perniagaan, kemudian barulah menyertai politik. Bila sudah berjaya dalam perniagaan, dan tahu pula selok-belok ilmu berniaga, selepas itu dia akan boleh berfikir secara logik.
Sheikh Omar (mencelah):Kenapa perniagaan Tun?
Tun Daim:Seorang peniaga yang berjaya dia akan senantiasa berfikir secara logik. Dia akan kata 2+2 = 4. Tapi bagi orang politik, 2+2 boleh jadi 5. Jadi itu pentingnya pemikiran logik. Kerana kalau dia silap membuat kiraan, maka kita akan rugi. Kita akan bankrap. Itu yang perlu di jaga. Jadi, adalah penting untuk kita ajarkan kepada anak-anak kita tentang perniagaan.
Sebab itu daripada dulu lagi saya katakan, kalau boleh sekolah-sekolah kita, daripada kecil lagi diajarkan dalam buku bagaimana hendak berniaga. Kerana perniagaan itu mengajar orang cara berfikir logik. Tidak seharusnya ada emosi di dalam perniagaan. Orang berniaga hanya mahukan untung. Itu sahaja.
Bagaimana dia hendak membuat untung, itu dia kena fikirkan. Tidak ada overtime dalam perniagaan. Sepanjang masa kena berniaga. 24 jam satu hari. Dia kena berfikir – meniaga, meniaga, meniaga. Dalam fikirannya – nak untung, nak untung, nak untung.
Tapi yang paling penting ialah apa sahaja yang kita lakukan, kita mahu ianya berjaya. Yang penting adalah kejayaan. Dalam kehidupan mesti ada kejayaan. Bila kita berjaya, insyaallah semua benda lain akan datang. Duit akan datang, semua akan datang.
Sebab itu saya kata, orang muda pilihlah apa yang hendak anda buat. Anda hendak bermain bola pun, mainlah. Tapi mesti jadi nombor satu. Jadilah macam Messi, Ronaldo. Baru kaya. Anda hendak bermain tennis, mainlah. Tapi akhirnya jadilah macam Nadal, Federer. Kaya. Itu yang kita mahu. Hendak menjadi penyanyi pun tidak mengapa – orang Melayu, orang Cina semua – nyanyilah. Asalkan akhirnya menjadi kaya.
Tapi kejayaan yang penting dahulu. Setiap perkara yang kita mahu lakukan, mesti berjaya terlebih dahulu. Kejayaan akan membawa kekayaan. Kekayaan tidak bermakna akan membawa kejayaan. Kerana apa? Bila hendak berjaya mesti menggunakan akal. Untuk ada akal mestilah belajar.
Saya balik semula kepada apa yang saya tegaskan berulangkali sebelum ini – mesti baca, baca, baca. Itu yang penting. Kepada orang Islam – iqra’, iqra’, iqra’. Selepas itu bacalah Al-Fatihah dan fahamkan betul-betul apa itu Al-Fatihah. Kalau faham Al-Fatihah, insyaallah jalan yang lurus akan terbentang membawa kita kepada kejayaan. Itu yang penting. Buat orang Islam, selepas itu kita bersyukurlah kepada Allah. Berdoa dan kemudian bersyukur. Itu yang penting.
Peserta Seminar (Maizon dari Majlis Bandaraya Iskandar Puteri): Bilakah kita akan dapat mencapai sasaran penglibatan sekurang-kurangnya 30% wanita dalam proses pembuatan keputusan dan membuat dasar?
Tun Daim:Banyak orang kata bahawa orang Melayu ini malas. Tapi kebanyakan yang malas adalah laki-laki. Orang perempuan memang berkerja kuat. Sebagai wanita, sebagai ibu, memegang berbagai tanggungjawab. Wanita memang memainkan peranan yang penting dalam kehidupan tiap-tiap manusia. Kita perlukan wanita. Memang termaktub dalam Perlembagaan kita tentang kesaksamaan kecuali tidak disebutkan secara khusus mengenai kesaksamaan gender. Tapi wujud kesaksamaan di dalamnya. Setiap orang adalah saksama.
Kalau Puan Maizon lihat dalam kerajaan baru kita sekarang ini, ramai wanita yang telah dilantik untuk menyertai badan-badan kerajaan. Pengerusi MARA yang baru misalnya adalah dari kaum wanita. Bank Pembangunan juga, pengerusinya sekarang adalah wanita. Pengerusi Maybank juga seorang wanita. Menteri-menteri kabinet dari kalangan wanita juga semakin ramai sekarang. Jadi, mohon Puan bersabarlah sedikit. Perlahan-lahan akan ada peribahan. Insyaallah akan berjaya. Kalau hendak perubahan itu datang segera memang agak sukar. Kalau mahu menjadi Menteri, lebih ramai kaum wanita perlu bertanding. Bila menang barulah boleh dilantik menjadi Menteri. Kalau kita perhatikan perubahan dalam perkara ini memang berlaku. Misalnya Pengerusi Bursa Saham Kuala Lumpur sekarang adalah wanita. Memang ramai wanita sekarang. Jadi insyaallah kejayaan akan diteruskan.
Dato’ Osman Sapian:Saya sambung sedikit. Kerajaan Pakatan Harapan di Johor ini, semasa pilihanraya yang lepas boleh dikata mengemukakan ramai calon wanita. Tapi yang kalah dalam PRU tersebut pun ramai juga dari kaum wanita. Jadi, pada hari ini di peringkat kepimpinan dan wakil-wakil rakyat ramai wanita yang terlibat. Salah seorang yang duduk di barisan hadapan dean ini juga wanita – wakil rakyat Bandar Maharani, YB Hayati.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada hari ini, Dr. Wan Azizah – yang tidak pernah ada sebelumnya – adalah wanita. Tidak pernah dalam sejarah negara kita sebelum ini, wanita menjadi Timbalan Perdana Menteri. Tapi hari ini ada. Maknanya perjuangan wanita selama ini sudah menampakkan kejayaannya sepertimana yang tercermin dalam kerajaan Malaysia baru pada hari ini.
Peserta Seminar (Ahmad Yazid Bin Ramli dari Kluang): Saya agak terkesan dengan apa yang berlaku di bandar Kluang atas sebab penjenamaan semula Pekan Rabu Kluang kepada Kluang Junction. Sedangkan Pekan Rabu adalah satu branding bangunan perniagaan bumiputera yang kita kenal sepertimana Pekan Rabu Alor Setar, Pasar Payang, Pasar Besar Siti Khadijah. Kita gunakan nama dagangan tersebut sebagai Pekan Rabu di Kluang dan dijadikan manifesto pada PRU13 dan sekarang bangunan Pekan Rabu itu telah ditukar namanya kepada Kluang Junction dan dimasuki tycoon perniagaan yang kita kenali sebagail Songmart, yang dimiliki oleh peniaga Cina. Saya suarakan perkara ini sejak daripada 22 Januari 2018, tarikh di mana berlakunya penjenamaan semula Pekan Rabu yang dibuat tanpa perbincangan dengan penduduk setempat. Dan saya isukan juga perkara ini pada 13 Mei selepas kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14 yang lepas di mana pada 13hb Mei itu adalah pengumuman pembukaan Songmart di dalam bangunan bumiputera di Kluang. Apa usaha daripada kerajaan negeri Johor dalam memberi keutamaan kepada Melayu dalam persoalan nasional dari segi ekonomi khususnya tentang bangunan Pekan Rabu tersebut?
Dato’ Osman Sapian:Pertamanya kita akan siasat dahulu perkara ini dengan lebih teliti. Pertukaran nama daripada Pekan Rabu kepada Kluang Junction ini mungkin dibuat oleh kerajaan yang lama dahulu. Pada malam inilah baru saya mendapat tahu tentang isu. Tapi di Johor baru-baru ini kita ada satu lagi Pekan Rabu. Saya telah mengambil-alih dan sekarang saya sedang membuat pengubahsuaian terhadapnya. Siap nanti saya akan memberi peluang kepada peniaga-peniaga IKS bumiputera untuk terlibat di dalam Pekan Rabu tersebut. Saya telah pun mengarahkan Exco Usahawan kita untuk mengendalikannya. Berhubung dengan isu di Kluang ini saya akan meneliti dengan lebih lanjut dan saya akan mengarahkan Exco IKS, YB Sheikh Omar yang juga merupakan ADUN di kawasan Parlimen Kluang untuk memberikan maklumat yang lebih terperinci untuk saya lihat.
Walau bagaimanapun sebenarnya dalam hal peluang perniagaan ini, kita mesti juga memberi peluang bukan hanya kepada orang Melayu tetapi juga kepada bangsa-bangsa lain sebab mereka juga turut bersama-sama kita menjayakan Malaysia baru pada hari ini. Tetapi untuk kaum bumiputera memang dikhaskan sebab kita masih lagi mengamalkan keistimewaan-keistimewaan terdahulu yang kita fikirkan boleh memberi manafaat kepada kaum bumiputera. Keistimewaan tersebut kita akan teruskan. Kita tidak akan menganak-tirikan.
Sheikh Omar:Mohon kata-kata akhir daripada Tun sebagai penutup majlis kita.
Tun Daim:Pertamanya saya mengucapkan terima kasih kepada tuan dan puan yang hadir pada malam ini. Pesanan saya, orang Melayu jangan takut. Pemimpin-pemimpin Melayu yang jujur akan terus membela nasib orang Melayu.
Kita percaya, tiap-tiap warganegara di Malaysia, sayangkan Malaysia. Kita mahu kemajuan untuk semua orang. Kita mahukan keamanan dan kestabilan. Kita mahu pertumbuhan ekonomi yang pesat untuk semua agar masa depan kita cerah supaya kita dapat hidup bersama-sama dengan aman, harmoni dan bersatu-padu. Kita akan terus memperjuangkan nasib semua rakyat atas nama Malaysia.
Malaysia baru insyaallah kita akan berjaya. Sekian. Terima kasih.
Ini merupakan transkripsi penuh Sesi soal jawab bersama Tun Daim Zainuddin, Dato’ Haji Osman Haji Sapian dan Sheikh Omar Bagharib Ali. Sesi soal jawab ini diadakan setelah ucaptama Tun Daim Zainuddin dalam majlis perasmian Siri Seminar “Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional” pada 19 Mac 2019 di UTM, Skudai yang dianjurkan oleh IKMAS, UKM.
[…] nasional. Teks penuh ucapan Tun Daim ini (beserta transkrip soal jawab) boleh dibaca di sini dan di sini manakala satu bengkel bagi mengucap kandungan ucapan ini telah diadakan pada 3 April 2019 di IKMAS […]
[…] Persoalan seterusnya apakah sejarah lampau Malaysia hanya berhenti sebatas Melaka semata-mata? Apakah sebelum Melaka tiada langsung wujud sejarah politi-politi Melayu tua? Teks Tun Daim Zainuddin di Seminar Naratif Malaysia: Melayu Dalam Persoalan Nasional (yang disampaikan di UTM Skudai pada 19 Mac 2019) misalnya, mengajukan penerokaan sejarah politi-politi Melayu tua jauh melangkaui batas empayar Melaka. Malahan dalam sesi soal jawab di seminar yang sama Tun Daim turut mengungkapkan tentang Lembah Bujang di Kedah sebagai pemula kepada peradaban Melayu. […]