Free Porn
xbporn
https://www.bangspankxxx.com
voguerre
southampton escorts
26.6 C
Kuala Lumpur
7 December 2024 (Saturday)
spot_img

Hakikatnya Semua Manusia Tidak Setara

Bailey, J. Issac. 2018. My Brother Moochie: Regaining Dignity of the Face of Crime, Poverty, and Racism in the American South. New York: Other Press.

Semua manusia adalah setara.

Memang, “all men are created equal,” ujar Thomas Jefferson. Walau bagaimanapun, frasa tersebut hanya suatu gambaran kepada suatu keadaan yang unggul (ideal). Kenyataannya, ia masih jauh untuk direalisasikan di bumi yang bercogankan “”Life, Liberty and the pursuit of Happiness”. Hatta, frasa itu turut bertentangan dengan perlakuan individu tersohor yang pertama kali menuturkannya di kancah politik AmeriKKKa (meminjam ejekan Moochie) (Bailey 2018: 277). Ternyata, ada jarak antara “apa yang diucap” dengan “apa yang dibikin.” Jarak tersebut memberi bentuk dan landasan (trajectory) kepada seluruh perjalanan sejarah negara tersebut.

Issac J. Bailey, yang menulis buku yang bercorak sosiologi dalam nada penceritaan “My Brother Moochie,” telah membentangkan bagaimana Moochie bergelut dalam persekitaran rasisme yang memerangkapnya. Namun begitu, bukunya tersebut bukan sekadar tentang Moochie, kekanda sulong kepada Bailey; bukan juga hanya kisah sebuah keluarga berkulit hitamnya di antara kawasan paling tidak selamat dan termiskin di Amerika Syarikat. Lebih daripada itu, buku ini lebih tepat mencoretkan bagaimana nasib boleh menjadi pembolehubah penting kepada seluruh perjalanan kehidupan sebuah keluarga, termasuk keluarga Bailey. Nasib adalah kata nama lain kepada takdir. Memang, keluarga Bailey telah ditakdirkan dilahirkan sebagai kaum yang berkulit hitam. Takdir, barangkali, adalah sejarah yang tidak boleh dilawan. Takdir inilah yang mencorakkan seluruh tema tentang ‘pengalaman kehidupan’ Bailey — sebagai seorang wartawan yang mengalami PTSD, gagap dan CIDP. Pengalaman kehidupannya ini menunjukkan suatu kerumitan (complexity) rasisme yang terdapat dalam sejarah Amerika Syarikat.

Memang sudah nasib Moochie dilahirkan sebagai orang yang berkulit hitam. Moochie, atau nama penuhnya Mtume Obalaji Mfume, merupakan tonggak keluarga (breadwinner) yang telah terlibat dalam kejadian pembunuhan pada tahun 27 April 1982. Malangnya, mangsanya adalah seorang yang berkulit putih: Seorang tauke kedai yang memang dikenalinya. Penghakimannya: hukuman penjara seumur hidup. Inilah nasibnya.

Persoalan yang dipulangkan kepada kita: Adakah Moochie akan memperoleh hukuman setimpal itu sekiranya mangsanya Mr. James Bunch bukan berkulit putih? Apakah hukuman tersebut sama sekiranya Moochie pula yang berkulit putih?

Bagi Bailey, kemungkinan ini tidak boleh dielakkan. Jika Moochie berkulit putih, beliau mungkin akan memperoleh layanan penghakiman yang sama sekali berbeza. Sekira dirinya merupakan orang berkulit putih, maka faktor generalisasi, stereotaip dan stigma mungkin tidak menjadi pemberat utama dalam keputusan penghakiman. Begitu juga andainya mangsa pembunuhan tersebut bukan individu yang berkulit putih, maka tentu sekali persoalan mengenai rasisme tidak akan berbangkit—sama ada secara langsung mahupun tidak langsung—dalam kamar penghakiman.

Tentu sahaja, kemungkinan-kemungkinan ini boleh sahaja dibangkitkan. Tetapi, pada akhirnya, setiap keputusan terhadap mereka yang berkulit hitam ibarat nasib: Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Ini kerana, tanggapan rasisme terhadap kes tersebut masih lagi berkisar batas individu: berkenaan dengan sosok warna kulit pelaku mahupun mangsa. Menariknya, Bailey berjaya menunjukkan “My Brother Moochie” lebih jauh daripada sosok Moochie semata. Menerusi bukunya ini, Bailey berjaya menunjukkan bahawa persoalan rasisme di Amerika Syarikat sebenarnya melampaui garis individu. Ia, bahkan, mencengkam dalam segenap struktur kehakiman, pasukan keselamatan dan sistem penjara negara tersebut. Bailey menunjukkan betapa sistem di Amerika Syarikat telahpun tertanam peraturan dan nilai yang berunsurkan rasisme.

Untuk membuktikan perihal ini, maka sejarah menjadi mauduk perbincangan kita. Moochie memang terkesan dengan sejarah perhambaan di Amerika. Baginya, dosa terbesar orang kulit putih ialah perhambaan. Pemenjaraannya semakin membuktikan kepercayaannya ini. Bagi Moochie, Orang kulit putih bukan sekadar memperdagangkan orang kulit hitam, hasil perculikan dari tanah Afrika. Lebih daripada itu, kaum kulit putih turut membunuh, merogol, mendera dan mendiskriminasi kaum kulit hitam dalam sejarah panjang perhambaan mereka. Individu yang melakukan perbuatan ini bukan biasa-biasa. Jefferson sendiri telahpun merogol hamba kulit hitam bawah umurnya (Bailey 2018: 21). Bukankah Jefferson tersebut merupakan presiden Amerika yang ketiga? Bukankah sosok tersebut yang berkata bahawa “all men are created equal”? Ironi, tetapi itulah sejarahnya.

Mungkin kita boleh pejam mata. Paling tidak, sama seperti Moochie yang bertarung dengan seluruh persekitaran rasis secara individu, maka demikian juga Jefferson. Sekurang-kurangnya, kita boleh pejam mata dengan bersangka baik bahawa Jefferson melakukan kesalahan tersebut atas kapasitinya sebagai seorang individu. Tetapi, Bailey memperlihatkan betapa seluruh struktur sistem Amerika yang rasis ini bukannya sekadar persoalan individu lagi. Struktur tersebut telahpun dicengkam dengan peraturan dan nilai rasisme sejak sekian lama. Dalam kata lain, rasisme telah diinstitusikan secara sistematik dalam setiap struktur sistem kemasyarakatan Amerika Syarikat. Misalnya, mengenai ketidakseimbangan pembangunan antara wilayah Amerika selatan dengan wilayah Amerika utara. Sudahnya, South Carolina menjadi daerah terabai lantaran majoriti penduduknya adalah berkulit hitam. Begitu juga dengan pembahagian sekolah yang dibezakan kemudahannya antara sekolah majoriti kulit hitam berbanding dengan kulit putih. Sudahnya, sekolah di St. Stephen dianak-tirikan. Ini belum disebutkan lagi kepincangan keputusan kehakiman sekiranya melibatkan tertuduh di kalangan kulit hitam. Bailey (2018: 162-163) menukilnya:

Never mind that we lived in a region where white men who had systematically raped and killed black people were openly honoured every day, and in a country whose currency featured the faces of slave owners. Celebrating those white men wasn’t condoning violence, defining down decency, or an affront to the victims and their families. It was righteous. It was American.”

Dalam banyak keadaan, Bailey mengesan betapa sistem Amerika Syarikat memang diselubung oleh bahana rasisme. Hanya sahaja dengan kemunculan gerakan hak warga (civil rights movement) pada sekitar 1960-an, maka hak kalangan warga kulit hitam mula mendapat perhatian meskipun tidak menyeluruh. Bahkan, sehingga Barrack Obama menjadi presiden berkulit hitam pertama sekalipun, tetap sahaja permasalahan rasisme belum ditangani sepenuhnya. Di sini, rasisme telah menjadi persoalan nasional (national question) bagi negara yang dianggap paling demokratik dan berkuasa di dunia. Rupa-rupanya rasisme adalah sisa-sisa barbarik yang masih tertinggal dalam kemajuan peradaban Amerika.

Memang, sistem boleh dipersalahkan. Ini adalah ‘jalan pintas’ untuk memaafkan diri sendiri. Sungguhpun begitu, sistem tetap terbentuk daripada hasil tangan manusia. Lantaran itu, menerusi tangan manusia juga, sistem sentiasa berupaya untuk diubah. Sistem sosial Amerika Syarikat pada tahun kelahiran ibu Moochie dan Bailey pada tahun 1930, adalah tidak sama dengan sistem sosial pada tahun 2014 di mana Bailey memperoleh parol. Sehubungan itu, ternyata, ada yang lebih parah daripada sistem. Budaya merupakan sesuatu yang lebih sukar untuk diubah berbanding sistem. Dalam hal ini, budaya merupakan sesuatu yang tersemat dalam fikiran, tuturan dan tindakan masyarakat Amerika Syarikat. Ia adalah suatu tabiat yang terakam dalam seluruh perilaku bawah sedar (subconscious) masyarakat Amerika. Dalam bahasa Bailey (2018: 266), “racism is as insidious and as rooted into our culture.” Meskipun sudah tertulis dalam perlembagaan bahawa semua manusia adalah setara, tetap orang seperti Donald Trump dipilih oleh rakyat Amerika Syarikat. Apakah rasisme tidak pernah berubah antara tahun 1930 dengan 2019? Malah, mungkin lebih teruk? Apa lagi bentuk rasisme yang tidak difikir, diucap dan dilakukan oleh Trump? Hemat Bailey (2018: 275-276):

Imagine him using his privileged perch to help railroad five young black and brown boys into prison sentences for a rape they did not commit (even though he would be accused of rape by an ex-wife before she softened her language). Image he reportedly said he believed blacks had a lazy trait and had black employees ushered into the background when he showed up at one of his properties; and imagine he lead a bigoted movement fueled by a conspiracy theory about the birthplace of the country’s first black president.”

Dan, kita boleh terus menyambung bayangan Bailey tersebut, lagi dan lagi.

Tetapi, semua kemungkinan bayangan ini tetap sahaja akan merujuk kepada individu yang sama. Ia akan merujuk kepada individu yang dilahirkan pada tahun 1946 tetapi pada akhirnya menjadi presiden ke-45 Amerika Syarikat. Individu tersebut tetap dirujuk sebagai presiden kepada sebuah negara yang menempatkan pertubuhan bangsa-bangsa bersatu (PBB)? Akan tetapi, rasisme tidak pernah mengenal zaman dan tempat. Kemajuan peradaban bukannya bertanda pada perbezaan antara masa lalu (the past) dengan masa kini (the present). Sebaliknya, kemajuan peradaban bertanda pada nilai-nilai kemanusiaan. Dan, ini tidak terdapat dalam diri Trump yang mewakili gambaran umum kepada konsep individu Amerika, sistem Amerika dan budaya Amerika.

Kendatipun begitu, kita perlu berhati-hati. Bahawa adalah suatu kesilapan besar sekiranya kita mengambil kesimpulan mudah dengan menyalahkan individu, sistem dan budaya sebagai punca kepada nasib malang yang menimpa keluarga Bailey secara bertimpa-timpa: Daripada Moochie sehinggalah Zadoc. Bukan sahaja Moochie yang mendekam di penjara, beberapa lagi ahli keluarga menyusulnya: James, Jordan, Smooch, Zadoc dan lain-lain lagi. Kalau tidak kerana kesalahan membunuh, maka pastinya kerana kesalahan jenayah berat. Dadah mungkin adalah punca yang mudah untuk ditunding.

Dadah memang menjadi musuh utama kepada St. Stephan, kawasan kediaman Bailey yang majoritinya berkulit hitam. Dadah juga menjadi musuh ketat kepada keluarga Bailey. Sekiranya pada tahun 1982 Moochie dipenjara kerana membunuh, maka “the cycles of violence” (Bailey 2018: 241) yang sama berulang. Pada tahun 2001 pula, adiknya Jordan pula dituduh atas kesalahan yang sama. Semua pembunuhan ini bermula dengan dadah. Keadaan ini mengambarkan seolah-olah terdapat ‘lingkaran celaka’ yang menyelubungi takdir orang berkulit hitam. Lebih-lebih lagi di South Carolina. Dan, lebih-lebih lagi di St. Stephan. Bahkan, lebih-lebih lagi, kononnya menurut Zadoc “real men go to prison” (Bailey 2018: 253). Dadah bukan sahaja menghasilkan jenayah, lebih menyedihkan, turut membentuk kerancuan pemikiran mereka yang terlibat. Dadah telah membudaya dalam persekitaran keluarga Bailey.

Walau bagaimanapun, Bailey tidak dengan mudah menyalahkan takdir ini. Dadah bukanlah punca utama kepada nasib keluarganya. Buktinya: Beliau sendiri adalah anomalinya.

Bailey mengalami kegagapan semenjak Moochie mulai mendekam di dalam penjara. Ia adalah suatu peristiwa traumatik bagi Bailey. Walaupun tiada bukti saintifik adanya hubungan antara peristiwa traumatik dengan masalah kegagapan, seperti mana yang dinyatakan oleh pakar mengenai kegagapan, tetapi kebetulan tersebut tetap menunjukkan betapa kehilangan Moochie sangat dirasakan oleh keluarganya, terutamanya Bailey yang berumur 9 tahun pada masa kejadian tersebut. Kalau tidak kerana kekuatan ibunya, tentu sukar untuk Bailey dan keluarganya menempuh waktu-waktu berikutnya. Ibunya adalah lambang kesabaran yang menjadi teladan kepada Moochie. Biarpun segala sistem dan budaya tidak memihaknya, ibunya tetap sabar berdepan dengan sebarang cabaran: dipukul oleh suaminya, penglibatan anak-anaknya dalam kegiatan jenayah, penyalahgunaan dadah dan alkohol yang bermaharajalela dalam kerabat keluarganya dan sebut sahaja apa lagi. Pendek kata, rasa bersalah (guilt) dan malu (shame) tidak mampu untuk mengikis sikap positifnya. Keberaniannya berdepan dengan takdir terpampang tatkala dengan penuh berani hadir ke majlis pengebumian Mr. Bunch. Dengan rasa kesal tetapi tetap tampak kuat, ibunya memohon maaf bagi pihak Moochie, anak sulongnya. Tidak mungkin kehadirannya tersebut tidak dilihat sebagai suatu teladan yang mempunyai makna yang mendalam oleh Bailey?

Berkat teladan ibunya tersebut, Bailey menjadi anak yang sama sekali berbeza. Kegagapannya, barangkali, menurut Bailey sendiri, adalah rahmat. Kerana kegagapannya, Bailey lebih terasing, agak menyendiri dan selesa bungkam. Dengan kurang bercakap juga, Bailey lebih memilih untuk berkomunikasi dengan pena dan kertas. Akhirnya, siapa sangka Bailey menjadi seorang wartawan? Kegagapannya adalah cabaran. Bukan hambatan. Malah peristiwa yang menimpa Moochie, pada awalnya menjadi azimat untuk Bailey memilih karier sebagai wartawan penyiasatan. Kata Bailey (2018: 132), “before that, I had desperately wanted to use my journalistic skills to uncover a grave injustice, to prove that Moochie was just another young black man in the South railroaded by a racist system.” Dengan kekuatan individu yang dimiliki oleh Bailey, maka bukan sahaja sistem yang pincang dan tidak memihaknya berjaya ditempuhinya. Sebaliknya, budaya rasis dan dadah sama sekali tidak mendapat tempat dalam membentuk pandangan-dunianya.

Sudah tentu, mengubah budaya bukanlah kerja yang bernoktah. Mengubah budaya adalah kerja abadi, terus-menerus, tanpa henti. Budaya adalah sesuatu yang dinamik, yang sentiasa berkisar antara ulangan (repetition) dan pembaharuan (innovation) dalam perjalanan ruang dan waktu. Perbezaan sesuatu budaya tidak boleh dikesan dengan ketara dalam masa beberapa tahun. Beberapa dekad, mungkin. Beberapa abad, ternyata.

Tetapi, menunggu berabad adalah mustahil bagi kadar umur lazim manusia. Justeru, mengubah budaya barangkali terlalu sukar untuk dilihat keberkesanannya dalam ruang waktu kehidupan kita. Maka, apa lagi pilihan yang ada? Bailey menyebutnya dengan mudah: Keluarga.

Ternyata, mempunyai sebuah keluarga, setidaknya dengan seorang ibu yang kuat seperti ibu Moochie dan Bailey, boleh memberi makna kebebasan yang hakiki. Segala kerumitan rasisme tampaknya boleh diringkaskan tatkala terdapat empat dinding rumah yang bernama keluarga.

Sebab itu, keseluruhan buku “My Brother Moochie” ini menghimbau betapa kebebasan tiada mempunyai makna tanpa kehadiran keluarga yang mengisi seluruh rasa hampa kita. Di sini kita tidak ingin berhujah bahawa individu, sistem dan budaya adalah subjek-subjek yang enteng dalam menakdirkan jalan cerita seseorang. Akan tetapi, semua takdir tersebut boleh diralat dengan adanya sebuah keluarga yang sakinah mawaddah warrahmah. Moochie memerlukan 32 tahun penjara (1982 – 2014) untuk menyedari hal ini berkata kepada Ikey, “Boy, without family, I don’t know what I would do.” Ikey, nama panggilan Moochie untuk Bailey (2018: 274), mendengarnya tanpa membantah. Ikey telah lama menyedari bahawa hanya dengan mencintai keluarga, maka dirinya akan dapat mencintai dirinya sepenuhnya (Bailey 2018: 286).

Moochie dan Ikey benar. Tanpa keluarga, kebebasan adalah penjara. Lantas, keluarga adalah harapan terakhir untuk setiap penderitaan (suffering). Tidak mempunyai keluarga adalah suatu malang terbesar bagi manusia: Bererti setiap penderitaan tidak boleh ditebus (redemption). Jika ada yang dinamakan takdir yang tidak boleh dilawan, maka tidak mempunyai keluarga adalah perkaranya. Setidaknya, Ikey, Moochie dan seluruh kaum keluarganya dalam buku “My Brother Moochie” tersebut mengajar kita suatu perkara yang berharga yang patut disyukuri: keluarga tiada galang gantinya.

Jelas sekali, “My Brother Moochie” menunjukkan bahawa semua manusia adalah tidak setara. Hakikat ini yang mewarnai dunia rasisme bukan sahaja di Amerika Syarikat tetapi juga di seluruh dunia. Namun begitu, rasisme pada hakikatnya lagi—sama ada bertumpuk dalam sosok individu, sistem mahupun budaya—boleh sahaja dilawan dengan rasa kebersamaan (solidarity) yang terdapat dalam sebuah keluarga. Tembok rasisme, sama seperti tembok penjara, boleh dirempuh dengan semangat kekeluargaan yang tinggi. Bak kata Bailey (2018: 273) sebagai merumuskan kepentingan empat dinding keramat tersebut:

Prison isn’t a place you send a man; it’s what you do to his family, and what his family eventually does to society.”

Artikel Berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

204FansLike
1,308FollowersFollow
711SubscribersSubscribe
spot_img

Artikel Terkini