Teks Bicara Buku: Sains Sosial Malaysia: Meneruskan Tradisi, Menanggapi Transformasi Masyarakat oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong

0
251

Tarikh: 21 Januari 2022 (Jumaat)

Masa: 9.30 pagi – 12.00 tengah hari

Tempat: Bilik Senat, Aras 5, Bangunan Canselori, UKM Bangi dan Pautan Zoom

Assalamualaikum wbt, Salam Sejahtera dan Selamat Pagi.

Yang Berbahagia Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong yang kita raikan pelancaran buku beliau pagi ini bertajuk SAINS SOSIAL MALAYSIA: Meneruskan Tradisi, Menanggapi Transformasi Masyarakat.

Prof. Emeritus Dr. Jomo Kwame Sundaram, Prof. Dr. Sufian Jusoh (Pengarah IKMAS), Prof. Dato’ Dr. Rashila Ramli (Presiden PSSM), Prof. Abdul Halim Ali dan Saudari Syahida Johan. Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin yang saya hormati.

Pertama, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) atas undangan sebagai panelis dalam sesi bicara buku ini. Membicarakan buku ini ialah tanggungjawab berat sekali gus penghargaan bagi saya kerana buku yang dibicarakan ini ialah ‘buah tangan’ nama besar dalam Sains Sosial di Malaysia, bahkan peringkat antarabangsa iaitu Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong.

Baiklah, saya kira ada dua komponen utama yang boleh saya kongsikan berdasarkan pertanyaan moderator Saudari Fatimah mengenai (1) PENGALAMAN PENYELENGGARAAN BUKU dan (2) KEKUATAN BUKU KEPADA PENYELIDIK MUDA.

  1. PENGALAMAN PENYELENGGARAAN BUKU

Buku ini diilhamkan berdasarkan enam siri kuliah oleh Prof. Rahman dalam program pembinaan kapasiti penyelidik muda yang dianjurkan oleh Naratif Malaysia pada tahun 2020.

Siri kuliah tersebut bertujuan memberikan kefahaman mengenai tradisi Sains Sosial Malaysia dan keperluan mempertautkannya dengan transformasi kini. Ia amat sesuai dan tepat pada masa kerana masyarakat Malaysia khususnya, masyarakat global amnya pada masa itu baru sahaja dilanda pandemik Covid-19 yang dapat kita lihat impaknya hingga hari ini iaitu kita pada pagi ini—ada yang mengikut secara bersemuka, ada yang secara dalam talian. Bahkan, sudah pasti berterusan impaknya dalam jangka masa ke hadapan.

Saya fikir itu adalah salah satu sebab mengapa siri kuliah tersebut menjadi rancak dengan pertanyaan-pertanyaan tentang masa hadapan globalisasi Oriental, globalisasi Barat, penguncupan peranan negara dalam globalisasi dan percaturan kuasa-kuasa besar dunia global akibat megatrend baharu pandemik Covid-19. Dalam sesi syarahan dan sesi soal jawab, perihal Covid-19 disebut khususnya dalam Bab 1 dan Bab 2.

Selebihnya, para peserta kuliah dan saya sebagai salah seorang peserta tentulah mempunyai soalan-soalan yang sememangnya sudah terpendam dan ingin ditanyakan. Sama ada soalan itu sudah memang menjadi minat penyelidikan atau secara spontan terpancing dengan teori dan konsep yang dikemukakan oleh Prof. Rahman, kemudian dikaitkan dengan isu-isu semasa.

Maka, oleh sebab itulah buku yang dihasilkan ini yang mana saya bersama seorang lagi rakan daripada Naratif Malaysia iaitu Saudara Haris Zuan bukan sahaja menampilkan enam kuliah bahkan berserta sesi soal jawabnya sekali. Ia berbeza dengan buku-buku Sains Sosial lain. Saya terlibat dalam proses awal iaitu menyediakan transkrip penuh. Pertama, perlu mendengar semula kuliah tersebut. Kedua, membuat transkrip berdasarkan audio dan video serta nota kuliah yang disediakan oleh Prof. Rahman. Ketiga, merapikan transkrip tersebut menjadi lebih berstruktur kepada manuskrip awal seperti mana dapat dilihat hasil akhirnya dalam bentuk buku yang merupakan dokumentasi untuk mereka yang tidak mengikuti kuliah-kuliah secara langsung.

  • KEPENTINGAN BUKU KEPADA PENYELIDIK MUDA

Apabila menyebut kekuatan buku ini kepada penyelidik muda, ‘muda’ itu sendiri harus diluaskan definisinya. ‘Muda’ dalam konteks penyelidik muda khusus Sains Sosial bukan hanya daripada segi usia kerana dalam buku Prof. Rahman menekankan wujudnya generasi-generasi Sains Sosial daripada zaman berbeza. ‘Muda’ boleh juga ditakrifkan sebagai penyelidik yang baru menekuni Sains Sosial. ‘Muda’ juga adalah apabila seseorang penyelidik Sains Sosial dihadapkan dengan persoalan baharu dalam masyarakat. Apabila megatrend Covid-19 itu muncul, kita semua sebenarnya menjadi ‘muda’ dalam erti kata sama-sama ‘masih baharu’ menghadapi persoalan baharu dalam masyarakat ini. Maka, buku ini haruslah dirujuk oleh penyelidik-penyelidik muda tersebut. Sehubungan itu, saya ada tiga inti yang ingin diketengahkan sebagai kekuatan buku ini.

Pertama, buku ini bukan sekadar himpunan kuliah akademik. Ia merupakan dokumen penting yang merakamkan bahawa sudah ada ‘dialog’ antara angkatan Sains Sosial awal dengan sekarang. Hal ini ditunjukkan dalam bahagian soal jawab yang menunjukkan kecaknaan isu-isu generasi sekarang dengan angkatan awal yang memastikan tradisi Sains Sosial Malaysia yang mempunyai keupayaan untuk berperanan secara mandiri dengan gandingan imperatif akademik dan imperatif advokasi—disentuh dalam Bab 4 dan Bab 5. Dalam hal ini, para penyelidik muda perlu membaca sebuah lagi buku iaitu Peranan dan Orientasi Sains Sosial Malaysia suntingan Prof. Rahman. Tegasnya, kedua-dua buku ialah dokumen penting bagi mereka yang ingin memahami dan mendalami citra Sains Sosial di Malaysia kerana kedua-dua buku ini mewakili ‘semangat zaman’ berbeza tetapi tidak terputus tradisinya walaupun menghadapi transformasi. Bab 3, Bab 4 dan Bab 5 dalam buku ini boleh memberikan jawapan kepada persoalan Sains Sosial kita ini dari mana dan untuk apa Sains Sosial di Malaysia?

Kedua, buku ini bukan sekadar buku teks akademik bahkan lebih penting ialah pesanan dan cabaran yang diketengahkannya adalah semacam amanat atau manifesto kepada generasi kini. Harapan ini tentunya dipertanggungjawabkan ke atas generasi kini Sains Sosial Malaysia yang dinyatakan oleh Prof. Rahman sebagai ‘generasi pelapis’. Dalam buku ini, generasi kini mempunyai peranan khusus iaitu PEMBINAAN SAINS SOSIAL MANDIRI. Sains Sosial Mandiri ini bersifat utuh, bebas dan saintifik untuk kemajuan masyarakat dan negara—bukan bersifat bebas nilai semata-mata tetapi Sains Sosial yang komited atau committed social science.

Ketiga, buku ini memperkenalkan dan membahaskan kerangka teori dan konsep yang sama ada lama atau baharu tetapi relevan, signifikan dan mustahak untuk dijadikan garis panduan dalam penyelidikan mahupun pengajaran atau analisis masyarakat bagi mereka yang terlibat secara langsung dalam dunia aktivisme. Salah satu antara teori-teori dan konsep-konsep yang dijelaskan dalam buku ialah konsep ‘naratif’ yang menjadi Bab 6 iaitu bab terakhir. Dalam buku ini, dinyatakan bahawa naratif telah menjadi suatu istilah baharu yang kian popular dalam wacana awam. Dengan memanfaatkan konsep ‘naratif’ ini, tentunya ia menghadirkan lebih banyak cerita atau  kisah daripada mereka yang berada di pinggiran yang tidak boleh dikesampingkan. Maka, buku ini merapikan lagi ‘naratif’ sebagai data, konsep, kaedah kajian. Melalui konsep ini, kita bukan hanya ditemukan dengan jawapan kepada persoalan yang kita hadapi, malah bertembung pula dengan persoalan baharu yang akhirnya boleh memperkukuh Sains Sosial Mandiri.

Akhirnya, menegaskan semula kekuatan buku ini. Pertama, ia dokumen penting yang merakam semangat zaman Sains Sosial pada masa kini. Kedua, ia merupakan amanat atau panduan kepada generasi kini Sains Sosial di Malaysia. Ketiga, ia memberikan panduan kepada generasi kini terhadap teori dan konsep yang relevan dalam menanggapi perubahan masyarakat Malaysia kini dan mendatang. Sekian, terima kasih.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here