27.1 C
Kuala Lumpur
22 April 2024 (Monday)
spot_img

Trend Pengundian ‘Rentas Parti’ PRU-15 Memugar Harapan Memaju Inspirasi Ke Arah Kesatuan Kaum dan Pembentukan Masyarakat Inklusif

Oleh Nurfarhana Che Awang

Kehangatan bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bertemakan ‘rentas parti’ memperlihatkan gelombang kematangan baharu dalam landskap politik di Malaysia. Walau bagaimanapun, kesedaran dan kebangkitan populisme telah menatijahkan kesan kepada trend pengundian parokial dan kelangsungan politik lapuk. Hal ini sekaligus merubah konsep dan naratif lama dalam mozek politik di negara ini (Muhammad Arif Asyrul Adnan, 2022). Naratif politik lama yang berkisarkan ideal parokial dan kelangsungan politik yang bertemakan perkauman, bangsa, agama, kebencian dan identiti telah membataskan negara dalam mencapai perpaduan dan pembinaan negara bangsa (Ibid).

PRU15 ini telah mempamerkan kemunculan trend pengundian rentas parti dan naratif politik baharu yang lebih membugar.  Bahkan trend ini membawa kepada arah alir yang lebih inklusif dan terangkum dari kerangka sosial, ekonomi dan politik. Trend pengundian rentas parti ini telah memanifestasikan naratif politik baharu yang tidak lagi bersandarkan kepada politik berfokuskan kepada perkauman, pemanipulasian dan kebencian. Sebaliknya, memperlihatkan kesedaran dan kebangkitan populis ke arah yang lebih bersepadu dan rencam sifatnya seperti kestabilan ekonomi, politik dan sosial.  

Revolusi arah alir kebangkitan populisme dan rentas parti dalam PRU15 ini terdorong daripada percanggahan antara kehendak umum (rakyat) dengan realiti yang wujud pada hari ini. Daripada konteks pentadbiran rejim lama, wujud jurang sosial yang amat ketara antara pemimpin dengan rakyat marhaen.

Golongan elit politik dilihat terus menikmati kedudukan dan kehidupan yang istimewa daripada segi kuasa dan sosial. Bahkan ada yang memonopoli peluang daripada pelbagai konteks ekonomi, sosial dan undang-undang. Justedru, kebangkitan naratif politik baharu ini adalah merupakan cubaan golongan populis untuk menyekat dan menentang golongan elit pemerintah daripada berterusan menikmati keistimewaan dan penyalahgunaan kuasa.

Bahkan ada yang berhasrat meruntuhkan penguasaan rejim lama sekaligus menuntut peluang dan kedudukan yang sama rata. Hal ini diperjuangkan supaya rakyat mendapat manfaat yang lebih banyak di bawah pentadbiran yang baharu yang lebih berintegriti; telus, bertanggungjawab dan memiliki berakauntabiliti.

Trend pengundian rentas parti atau naratif politik baharu ini turut boleh dilihat sebagai suatu revolusi yang digerakkan dari aliran bawah ke atas (bottom-up) melalui kesedaran hak sivil golongan rakyat. Hal ini bertujuan untuk menghapuskan sistem politik feudal yang bercitrakan perkauman kepada politik yang lebih inklusif dan mesra kaum. Malahan, trend PRU15 ini turut memanifestasikan kematangan politik serta kesedaran mengenai hak sivil setiap warganegara untuk meruntuhkan amalan kleptokrasi yang telah memundurkan kemajuan Malaysia.

Gelombang populisme ini bukanlah suatu aliran baharu yang wujud dalam lipatan sejarah negara mahupun dunia. Tetapi aliran ini telahpun wujud pada era Revolusi Perancis 1789-1799 yang menyaksikan kemunculan revolusi borjuis dan revolusi antifeudal. Gerakan ini  digerakkan oleh golongan borjuis yang telah muak dengan golongan agama dan bangsawan yang menikmati kehidupan yang berprestij tanpa menghiraukan kesengsaraan golongan bawahan (Arifin A, 2022). Revolusi atau kebangkitan populisme yang bersifat bottom-up ini telah menjadi model yang memicu gerakan revolusi dan reformasi dunia moden pada hari ini. Kebangkitan revolusi atau gerakan radikal di Nusantara turut dapat dilihat di  Indonesia melalui peranan Sukarno (wira gerakan radikal) sekaligus memberi kesan kepada golongan sayap kiri Tanah Melayu yang dicetuskan oleh pemimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) Dr Burnanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestaman, Ishak Hj Muhammad dan Ibrahim Haji Yaacob (Ramlah Adam, 2019).

Perubahan landskap politik dari naratif lama kepada naratif baharu memugar harapan ke arah kesatuan kaum yang lebih baik dan pembentukan masyarakat yang lebih inklusif. Umpamanya sebuah masyarakat Malaysia yang tidak lagi berteraskan kepada bangsa dan perkauman. Sebaliknya, ke arah pewujudan sebuah konsep bangsa Malaysia yang sejati. Idea dan konsep penyatuan bangsa bukanlah suatu konsep yang baharu di Malaysia; bahkan ia telahpun wujud sebelum tertubuhnya Perlembagaan Persekutuan (1948). Idea penyatuan bangsa, negara bangsa dan pembinaan negara bangsa serta masyarakat inklusif telah terlebih dahulu dicitrakan oleh pemimpin Melayu PKMM yang telah melihat dan meramal masa hadapan Tanah Melayu 50 tahun kehadapan.

Kemajuan dan kemakmuran Tanah Melayu tidak harus didasarkan kepada kepentingan bangsa majoriti semata-semata. Sebaliknya, kesepaduan dan perkongsian identiti bersama sebagai sebuah bangsa Malaysia adalah asas kekuatan dan kemajuan negara. Hal ini telah dizahirkan di dalam Perlembagaan Rakyat (1947) yang memperuntukan kepentingan bangsa sebagai asas perpaduan dan keharmonian negara. Pewujudan dan penciptaan identiti baharu bersama-sama tiga bangsa utama di Tanah Melayu adalah untuk membentuk suatu masyarakat bayangan dengan pengenalan kepada konsep ‘bangsa Melayu’. Konsep bangsa Melayu yang bersifat inklusif dan tidak sempit telah dicadangkan oleh PKMM sebagai perlembagaan negara yang dikenali sebagai Perlembagaan Rakyat. Memperuntukan bahawa kaum Melayu, kaum Cina dan kaum Kaum India sebagai bangsa Melayu. Idea ini bertujuan untuk mencapai perpaduan dan kesepaduan sebagai bangsa idaman yang baharu di Tanah Melayu yang berpaksikan kepada politi Melayu serta tidak menafikan kewujudan kaum lain sebagai bangsa Melayu.

Perlembagaan Rakyat 1947 telah mengasaskan idea bangsa yang lebih inklusif dan turut bercita-cita untuk membentuk ‘Federation of Malayan Nation’ yang terbahagi kepada Malaya, Jawa, Sumatera, Borneo, Celebes dan kepulauan lain yang berada di nusantara ini.[1] Ini kerana pemimpin PKMM seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy percaya bahaya kesatuan adalah kekuatan seperti kenyataan berikut:

…“bersatu itu ialah satu kekuatan kita. Dan apabila ada kekuatan kita akan berupaya membuat atau menghasilkan apa juga yang kita citakan…”

Namun begitu, konsep ini telah ditolak oleh pemimpin dan masyarakat Melayu pada waktu itu dan kini konsep dan idea satu bangsa Malaysia dilihat telah menjadi harapan baharu kepada Malaysia untuk lebih maju. Justeru, gelombang naratif politik baharu ini dilihat dapat memugar harapan ke arah kesatuan bangsa yang lebih inklusif serta kematangan politik di Malaysia. Harapan trend naratif baharu ini mampu menjadi kerangka asas dalam membentuk negara Malaysia ke arah pembinaan negara bangsa[2] dan masyarakat yang inklusif sehaluan dengan matlamat pembangunan mampan 2030 yang digazetkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Umpamanya, seperti matlamat ke-10 iaitu untuk mempromosi dan memperkasakan nilai sosial, ekonomi dan politik yang lebih inklusif tanpa perlu mengira soal konteks umur, jantina, ketidakupayaan, bangsa, etnik, asal usul, ekonomi dan status. Bahkan dengan pemerkasaan matlamat ini mampu mewujudkan keamanan dan keadilan dan institusi politik yang mampan seperti yang terkandung di dalam matlamat pembangunan mampan.

RUJUKAN

Ariffin, A. (2022). Revolusi Perancis 1789-1799, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ramlah Adam. (2019). Gerakan Radikalisme Di Malaysia (1938-1965), Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Arif Asyrul Adnan. (2022, November 1). Berita Harian.

https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/08/985861/beri-ruang-kepemimpinan-belia-usah-guna-umpan-populis


[1] Adam, R. (2019). Gerakan Radikalisme Di Malaysia (1938-1965), Dewan Bahasa dan Pustaka.

[2] Muhammad Arif Asyrul Adnan. (2022, November 1). Berita Harian.

Artikel Berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

204FansLike
1,308FollowersFollow
708SubscribersSubscribe
spot_img

Artikel Terkini