Oleh Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo
DIALOG Meja Bulat, Akademi Profesor Malaysia (APM) membincangkan keberkesanan Pelan Pemulihan Negara (PPN) baru-baru ini menampilkan profesor tersohor seperti Prof Dr Jomo Kwame Sundaram, Prof Ulung Datuk Dr Rajah Rasiah, Prof Emeritus Datuk Dr Abd Rahman Embong, Prof Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed dan Prof Dr Adlina Suleiman sebagai pakar sumber.
Sementara itu lebih 15 profesor lain dalam pelbagai bidang ilmu dijemput membuat intervensi bagi melengkapkan kefahaman syumul mengenai COVID-19 dan wawasan PPN.
Perbincangan lebih tiga jam sangat kaya dengan kebijaksanaan, iltizam dan pengetahuan mendalam. Perbincangan yang pelbagai tetapi terfokus itu, membabitkan ilmuwan begini jarang dimanfaatkan pembuat dan pelaksana dasar apabila berhadapan krisis kemanusiaan negara.
Dialog ini bertujuan menghasilkan resolusi strategik bakal disampaikan kepada kepemimpinan negara sebagai suara ketiga, iaitu suara pemimpin ilmu. Tidak mungkin dapat saya huraikan semua penghujahan bernas dalam tulisan ini, tetapi sekadar memilih beberapa pandangan berinovasi yang kelihatan sedikit menongkah arus.
Asas perbincangan bukan untuk menyokong atau menyanggah apa dilakar dalam PPN. Sebaliknya untuk membuka minda mereka yang diberikan tanggungjawab bagi melakukan yang betul demi kesejahteraan masyarakat.
Pepatah Melayu ada menyebut, sekali air bah, sekali pasir berubah, mungkin ini perlu dijadikan asas langkah ke hadapan. Apakah kita mahu kembali kepada keadaan asal atau berganjak ke situasi lebih sempurna?
Soalnya, apakah Malaysia sebelum COVID-19 sebuah negara kita idamkan dan kemajuannya amat cemerlang? Apakah sistem governans, kesihatan, ekonomi, pendidikan dan kemajuan dalam agenda kesepaduan bangsa amat membanggakan?
Jika tidak, inilah masanya untuk kita tinggalkan yang keruh dan ambil yang jernih semasa melakukan aktiviti pemulihan akibat krisis COVID-19. Perkara ini dihujahkan kebanyakan ilmuwan semasa berdialog. Anggaplah pemulihan sebagai reset atau reformasi ke arah Malaysia yang kita idamkan.
Saya tertarik dengan kenyataan Jomo mengenai kepemimpinan kita yang ‘lambat belajar.’ Selepas lebih setahun dunia dilanda COVID-19, pelbagai tindakan diambil untuk mengatasi isu getir ini, banyak kejayaan dicapai dan kegagalan dipelajari.
Apakah kita tidak mampu belajar dan mengambil amalan terbaik bersesuaian dengan jiwa ketimuran kita? Perlukah kita terus-menerus berkiblatkan pemikiran Barat yang bertakhtakan kepentingan ekonomi atau kita sememangnya ‘budak baik’ kepada kelompok bekas penjajah itu?
Beliau menyebut, ‘hidup atau kerja adalah tuntutan palsu, sebaliknya apa diperlukan ialah kehidupan.’ Inilah amalan masyarakat Timur mulai kita tinggalkan.
Rajah menyebut kegemaran kita untuk membuat dasar ‘hutan-rimba, tetapi bukan pokok dan habitat yang hidup di dalamnya.’ Saya amat bersetuju pandangan ini kerana dalam banyak hal, institusi kebangsaan gemar memberikan tumpuan kepada keseragaman dan mudah kawal.
Dasar dan tindakan menyeluruh untuk semua tidak akan berkesan jika ia tidak mengambil kira kelainan terdapat di setiap tempat, daerah dan negeri.
Bangsa Melayu mempunyai banyak pepatah mengenai isu sama, umpamanya marahkan nyamuk kelambu dibakar atau seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit menggambarkan tindakan menyeluruh mempunyai banyak keburukan.
Dasar diumumkan perlu diterjemahkan kepada tindakan berfokus bersifat tempatan dan dengan memberikan kepercayaan secukupnya kepada semua pihak berkepentingan. Dalam isu kelestarian, kita menyebutnya ‘berfikiran global, bertindak ‘lokal.’
Dua perkara dibangkitkan Abdul Rahman amat menarik perhatian. Isu membina daya tahan masyarakat jarang diberikan tumpuan. Dalam keadaan krisis kehidupan berterusan, tanpa bantuan kerajaan, berapa lamakah masyarakat boleh bertahan, sekurang-kurangnya mempunyai makanan mencukupi?
Ini isu besar dan sudah ketara ketika sebelum COVID-19, semakin terserlah apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pelan pemulihan perlu memberikan perhatian tinggi kepada agenda memperkasa daya tahan masyarakat dengan membina jaringan sokongan kendiri, bukannya menggalakkan kebergantungan mereka kepada bantuan kewangan dan bakul makanan.
Lebih menarik apabila beliau menyentuh isu governans dan kepimpinan negara agak rapuh hingga sukar mengambil tindakan tepat dan berasaskan kepentingan ramai.
Beliau mengesyorkan Kabinet diperkecilkan dengan memilih pemimpin berwibawa dan berpengalaman, sama ada daripada parti kerajaan, pembangkang dan golongan teknokrat atau ilmuwan.
Bolehkah reformasi governans diperkenalkan berasaskan keupayaan pemimpin, bukannya sokongan umum kepada parti? Apabila pemimpin berasakan tanggungjawab untuk membangun negara adalah berat, tidak setimpal dengan faedah untuk diri dan keluarga, barulah negara mampu menarik pemimpin berwibawa, jujur dan ikhlas.
Isu reformasi pendidikan, keupayaan pembelajaran, norma baharu dan lost generation dibangkitkan Abdul Rashid sebagai tokoh pendidikan. Semua isu ini muncul sebelum COVID-19 dan pandemik ini sepatutnya memaksa kita memikirkan kepentingan mengambil tindakan drastik bagi menyelamatkan generasi akan datang.
Adlina sebagai tokoh perubatan terbabit secara langsung dengan apa berlaku di hospital merasakan institusi ini sudah sangat terbeban dan tiba masanya kelompok kecil komuniti diperkasa untuk bersama mempertahankan serangan COVID-19.
Tanggungjawab kendiri, unit kecil masyarakat seperti keluarga, kampung, pekan, bandar dan daerah boleh digembleng secara bersepadu sebagai ejen bertindak.
Saya berpendapat dialog begini amat penting dan perlu digalakkan bagi mengumpul pandangan berinovasi daripada ilmuwan. Walaupun sebahagian pandangan ini memerlukan perubahan dasar dan iltizam politik, pihak berkuasa perlu berfikiran terbuka untuk menilai kewajaran suara ketiga begini.
Dalam membangun tamadun bangsa, kelompok ilmuwan lazimnya bertindak sebagai ‘pemimpin mendahului zaman.’ Dalam kes ini, APM boleh dianggap sebagai perantara bagi menyampaikan ilmu untuk faedah masyarakat dan negara.
Zaman untuk kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berlalu, kerjasama pintar antara kerajaan dan ilmuwan perlu diperkasa.
Saranan ini bukan untuk menyimpangkan usaha murni PPN akibat COVID-19, tetapi bertindak sebagai sumbangan pelengkap ke arah Malaysia diidamkan.
Pelan jangka pendek mungkin tertumpu kepada isu pemulihan, tetapi pelan jangka sederhana dan panjang perlu mengambil kira isu reformasi menyeluruh demi kesejahteraan masyarakat dan meletakkan negara pada pentas dihormati.
Penulis adalah Ahli Majlis, Akademi Profesor Malaysia dan Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Pautan asal: Berita Harian.