Malaysia sebelum ini pernah menghadapi lima kali peristiwa darurat. Kelima-lima peristiwa tersebut jika disingkap adalah dilatari dengan perbezaan konteks masa, budaya, bentuk pasaran, masyarakat dan peranan negara. Kelima-lima petunjuk dan pemboleh ubah ini penting untuk merungkai sama ada keputusan melaksanakan Darurat di dalam keadaan ketidaktentuan politik dalam tempoh demokrasi transisi bersesuaian ataupun sebaliknya,
Demokrasi transisi dibahas oleh Samuel P. Huntington sebagai proses kebiasaan yang pernah berlaku di negara-negara barat kerana acuan demokrasi ini juga datangnya daripada ketamadunan Barat itu sendiri. Perkara ini juga berlaku di Malaysia sebagai sebahagian analisis Huntington di kawasan Asia Tenggara yang memperlihatkan ledakan ekonomi juga telah memunculkan perubahan pengamalan dalam sistem demokrasi seperti mana pengalaman negara-negara Barat sebelum ini. Justeru perubahan dan peralihan kuasa di era demokrasi transisi ini adalah normal bagi negara-negara pembangunan dan ini juga telah berlaku hari ini di negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Jepun, Hong Kong dan lain-lain lagi.
Berbalik kepada lima peristiwa darurat di Malaysia, peristiwa darurat yang pertama ialah pada 16 Jun tahun 1948 apabila Malaysia ketika itu menghadapi ancaman subversif. Perintah darurat ini biarpun dimateri semasa penjajahan British tetapi disambung dan tamat pada 31 Julai 1960. Dalam tempoh tersebut, faktor masa antara yang dominan dalam mempengaruhi perisytiharan darurat khususnya ia memberi ruang dan peluang yang cukup untuk British mengekalkan hegemoni dan warisan minda koloni. Kedua ialah untuk meletakkan batu asas ideologi yang kukuh untuk perkembangan sistem politik demokrasi di Malaysia. Justeru pada masa dan ketika itu, ia dianggap bersesuaian bagi sebuah negara seperti Malaysia yang baharu merdeka untuk menangkis ancaman yang terkait dengan keselamatan dan melaksanakan darurat.
Peristiwa darurat kedua pada 13 September 1964, apabila Indonesia melancarkan konfrontasi ke atas Malaysia. Faktor yang mendorong kepada konfrontasi ini adalah terkait dengan soal kedaulatan, peranan negara, dan hala tuju serta budaya politik yang ingin ditanam. Strategi pelaksanaan darurat ketika itu adalah sebagai langkah negara untuk menjamin kedudukan Malaysia dan rakyatnya di atas perkembangan pesat yang berlaku dalam pasaran, kewibawaan kuasa autonomi di peringkat serantau dan praktis demokrasi yang semakin meluas. Oleh itu, mengambil kira kesesuaian ancaman luar ke atas perkembangan negara maka keperluan Darurat ketika itu juga adalah relevan dan signifikan untuk menjamin kesejahteraan warga di dalamnya.
Berbeza pula dengan darurat ketiga, keempat dan yang kelima. Ketiga-tiga darurat ini kesemuanya adalah berkaitan dengan pergelutan dan pertarungan di kalangan elit politik. Darurat ketiga berlaku pada 14 September 1966, apabila Stephen Kalong Ningkan enggan meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak dan menyebabkan campur tangan daripada kerajaan pusat untuk mengambil langkah mencadangkan darurat. Sementara itu, darurat keempat berlaku pada 15 Mei 1969 ekoran daripada rusuhan kaum yang tercetus pada 13 Mei 1969 atas sebab egoisme dan kedegilan elit politik ketika itu yang tidak menunjukkan toleransi, sifat mengalah dan dendam. Begitu juga darurat kelima pada 8 November 1977, apabila Muhammad Nasir yang merupakan Menteri Besar Kelantan ketika itu enggan melepaskan jawatan dan memberikannya kepada Mohd Asri yang menerima sokongan majoriti. Hal ini menyebabkan wujud kehilangan sokongan dan usul undi tidak percaya yang akhirnya membawa kepada campur tangan kerajaan pusat untuk melaksanakan darurat dengan perkenan YDPA.
Berdasarkan kepada kelima-lima peristiwa darurat tersebut, hanya dua peristiwa darurat yang terawal boleh dikira sebagai memenuhi syarat-syarat tulen seperti yang terkandung dalam Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan. Selebihnya adalah bersifat pertarungan elit politik dan usaha untuk mengelak kejatuhan kuasa. Dalam konteks kesesuaian masa, pada ketika itu mungkin kerana literasi demokrasi dan perkembangan teknologi di Malaysia masih jauh ke arah menuju matang. Justeru, kecenderungan untuk salah guna maklumat adalah tinggi. Implikasinya juga besar ke atas kecelaruan yang juga boleh membawa kepada rusuhan. Maka mengambil kira pertimbangan tersebut ia sesuai untuk dilaksanakan Darurat walaupun secara asasnya adalah kurang signifikan.
Walau bagaimanapun, dalam realiti pada hari ini, keperluan Darurat adalah tidak relevan. Tambahan usulan darurat yang mungkin dikemukakan elit politik adalah sama seperti peristiwa sebelum ini iaitu kerana pertarungan kuasa, ketiadaan sokongan kepada pentadbiran semasa, defisit kepercayaan yang tinggi di dalam politik permuafakatan, dan langkah untuk mengekang yang mendapat sokongan terbanyak ataupun majoriti.
Sememangnya di dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 150 memperuntukkan akta yang memberikan kuasa prerogatif kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat. Namun, berdasarkan sejarah asal darurat pertama dan kedua, menunjukkan peruntukan tersebut adalah mengikut kepada kesesuaian masa dan keadaan ketika itu yang menurut YDPA adalah wajar untuk dilaksanakan darurat.
Bagi darurat ketiga, keempat dan kelima adalah jelas bahawa peranan elit-elit politik begitu banyak mempengaruhi keputusan-keputusan yang menyumbang kepada perisytiharan darurat. Namun atas kebijaksanaan YDPA, dan kesesuaian masa dan budaya masyarakat ketika itu mewajarkan pelaksanaan darurat. Namun, strategi ini sekali lagi cuba diambil kesempatan dan diulangi oleh elit politik yang bertarung dengan harapan ia akan membawa kepada pengekalan kuasa semasa di samping ruang dan peluang alasan akibat peningkatan kes COVID19.
Justeru, apakah impak sekiranya darurat ini dilaksanakan pada dekad ini? Dalam penulisan ini, masih berpandu kepada impak ke atas lima faktor yang dikemukakan di awal perbincangan iaitu masa, masyarakat, budaya, pasaran dan negara.
Dalam soal masa ia akan memberi impak ke atas demokrasi transisi itu sendiri dan membawa kepada kemunduran kepada perkembangan pengamalan demokrasi yang telah dibina hampir 63 tahun. Terutamanya setelah peralihan kuasa yang pertama berlaku dalam sejarah di Malaysia pada PRU14. Oleh itu, mahu atau tidak, peralihan pada Februrari 2020 sebelum ini juga adalah norma baharu dalam konteks masyarakat politik demokrasi transisi. Sekiranya sekali lagi berlaku peralihan, hal ini juga sebenarnya adalah suatu kebiasaan baharu yang perlu dihadapi oleh rakyat Malaysia. Oleh yang demikian, darurat hanya mengekang kepada kreativiti, kebebasan dan pilihan rasional rakyat dalam membuat pemilihan akan datang dan ia memberi kesan kepada konfigurasi parti politik.
Kedua dan ketiga ialah impak ke atas budaya dan masyarakat yang boleh dibahaskan secara bersama. Pertamanya ialah dengan kemajuan teknologi pada hari ini, ia telah membentuk perbezaan budaya masyarakat dalam berpolitik dan mengenal erti kesedaran politik. Pelaksanaan darurat ini hanya akan menimbulkan salah tafsir, kecelaruan, dan antara yang merisaukan ialah masyarakat akan mula menunjukkan sikap “atheis” dalam politik. Sedangkan dalam hidup bernegara, politik adalah salah satu landas penting untuk membebaskan segala aspek berkaitan keinsanan. Jika unsur ini mati, ia agak merungsingkan untuk pemimpin akan datang dalam soal mitigasi dan pelan pemulihan kesedaran politik rakyatnya sendiri.
Keempat dan kelima ialah impak ke atas pasaran dan negara yang mana kedua-duanya adalah saling mengimbangi di antara satu sama lain. Keadaan ekonomi negara yang semakin tenat dan dijangka dunia bakal menghadapi kemelesetan pada penghujung tahun 2020 menambahkan lagi impak ketidaktentuan kepada rakyat. Keadaan darurat ini hanya akan menyulitkan lagi keadaan masyarakat dan pasaran apabila ia dilaksanakan, di samping kesan sosioekonomi daripada peningkatan kes COVID19.
Kesimpulannya, usulan untuk melaksanakan perintah darurat ini perlu mengambil kira garis masa sejarah darurat di Malaysia dan sejauhmana kesesuaian serta kesediaan masyarakat pada hari ini dan sebelum itu dalam berhadapan dengan darurat. Pastinya tidak sama dan ini perlu difikir oleh elit politik dengan lebih mendalam sebelum sesuatu keputusan cadangan itu dibawa kepada YDPA. Secara pensejarahan hal ini telah dijelaskan menerusi peristiwa darurat. Namun pada hari ini ia sekali lagi berulang khususnya membabitkan pertarungan elit politik yang tidak sepatutnya mengheret rakyat yang telah matang untuk berhadapan dengan darurat bagi memenuhi kepentingan dan kepuasan individu-individu tertentu.