Oleh Nurfarhana Che Awang
Kita melihat dalam dua tiga dekad akhir ini, dua ideologi ekonomi Kapitalisme dan Sosialisme berlumba-lumba menunjang pengaruhnya diseluruh dunia. Kedua-dua ideologi ini berapitan membuktikan kepada dunia bahawa ideologi masing-masinglah yang paling benar dan ampuh serta harus didukung oleh seluruh umat manusia. Kedua-dua ideologi ini bersaing, mengemukakan hujah bahawa ideologi mereka akan bertahan melewati waktu. Kekuatan dominasi ekonomi tidak lain dan tidak bukan, lahir daripada sebuah politik imperialisme dan kolonialisme—sehingga membentuk sebuah sistem ekonomi yang berkiblatkan penganiayaan dan pengeksploitasian dalam menjana keuntungan semaksimum mungkin. Dominasi sistem ekonomi ini jauh meninggalkan sistem ekonomi Islam yang amat dituntut.
Tuntasnya, matlamat ekonomi Kapitalisme dan Sosialisme merupakan sebuah ideologi yang berfalsafahkan kepada kebendaan. Pada suatu sudut lurus, sistem ini menjamin kemajuan material yang kudus sepanjang zaman. Pada sudut yang lain pula, ideologi ini tersirat dengan konsep perhambaan, eksploitasi, penganiayaan, kezaliman dan kekejaman. Konsep-konsep ini memperlembukan manusia disebalik kehebatan kemajuan material yang dimanifestasikan atas kehebatan prestasi. Kesudahannya, melahirkan hamba bahagia (happy slaves) dalam kalangan umat manusia.
Keutamaan terhadap hak-hak individu (kemanusiaan) dalam sistem Kapitalis seringkali menghadirkan konflik dalam masyarakat. Dalam konflik Kapitalisme ini, acapkali masyarakat miskin menjadi korban kekalahan kelompok kaya yang menguasai daya sumber ekonomi yang tinggi. Jurang antara golongan kaya dengan miskin telah menimbulkan keadaan yang tidak seimbang (asymmetrical), sekaligus gagal menyediakan ruang dan peluang kepada golongan pekerja untuk bersaing secara adil dan saksama. Natijahnya, perjuangan dalam menuntut kesejahteraan ekonomi bagi masyarakat sering kali dikorbankan oleh kepentingan individu-individu yang rakus. Akhirnya, pada hari ini kita diperlihatkan dengan kerakusan sistem Kapitalis yang mengaut keuntungan tanpa sedikit pun menghiraukan nilai-nilai kemanusiaan keatas golongan pekerja di pelbagai sektor. Begitulah kitaran sistem Kapitalis berjalan di atas dunia ini. Permasalahan-permasalahan diatas melahirkan bantahan pada masyarakat sivil. Aliran kesedaran secara perlahan mengalir ke peringkat masyarakat massa, menyedarkan tentang pengeksploitasian dan perlembuan yang dilaksanakan oleh golongan pemodal.
Kini, sektor pekerjaan atau pengkorporatan sedang melalui zaman-zaman kemerosotan. Ini dapat dilihat dengan kemunculan secara besaran perkembangan dalam sektor ‘gig ekonomi’. Sekaligus memperlihatkan pekerja moden mulai menukar haluan ke arah majikan mandiri. Menurut kajian oleh Ambank Research pada tahun 2020. Seramai 37,260 pekerja mulai menceburi bidang pekerjaan gig. Kesedaran ini dipacu hebat oleh pembangunan teknologi digital dan perkembangan sistem kebajikan PERKESO. Keadaan ini mulai merubah posisi landskap sektor ekonomi secara drastik.
Malahan, kajian daripada sudut ekonomi turut meramalkan bahawa sektor pengkorporatan akan mengalami suatu perubahan besar pada masa akan datang. Hal ini adalah ekoran daripada kekurangan minat pekerja moden untuk bekerja dalam sektor korporat. Perubahan minat pekerja moden bersandarkan kepada kesedaran terhadap penindasan dan eksploitasi yang diamalkan dalam sektor pengkorporatan. Tekanan dan penindasan yang wujud dalam pekerjaan sektor pengkorporatan, telah membentuk suatu teori pekerjaan moden yang dipanggil sebagai ‘multi-tasking’.
Kajian menyatakan, bahawa pekerja moden pada hari ini dengan hebat mengalami ‘rima pekerjaan’. Akibat penerimaan tekanan yang tinggi dari sudut emosi dan tekanan prestasi dari sektor pengkorporatan. Fenomena ini terjadi lantaran pengenalan ‘dogma’ atau ‘doktrin baharu’ yang diperkenalkan oleh sektor pekerjaan. Doktrin ini dijadikan sebagai ideologi atau senjata sebagai pengaut kekayaan dan meminimumkan penggunaan sumber dalam menjana keuntungan semaksimum mungkin (pay for an apple get pineapple) oleh sektor pengkorporatan. Ideologi atau ‘sistem perlembuan’ ini ditanam dan digembar-gemburkan sehingga diterima hebat dalam kotak pemikiran pekerja; bahawa, keupayaan berbilang-tugas (multi-tasking) adalah manifestasi kehebatan seseorang pekerja. Keupayaan untuk berbilang-tugas ini telah dijadikan sebagai penanda aras. Bahkan, pekerja hebat dan yang berprestasi tinggi adalah mereka yang memiliki sifat berbilang-tugas dalam menjalankan tugasan. Sedangkan secara lazimnya, tugasan tersebut seharusnya dilaksanakan oleh tiga hingga empat orang pekerja. Namun, tanpa sedar golongan pekerja telah diperlembukan oleh golongan Kapitalis diatas laungan dogma kehebatan berbilang-tugas. Dokrin ini menempatkan pekerja pada posisi perlembuan atau perkeldaian (happy slaves). Ini bertentangan dengan norma dan hak asasi manusia.
Apakan daya, dokrin ini dinormalisasikan dengan perkataan ‘multi-tasking’. Sehingga tiada yang menyedari, bahawa sistem ini adalah sistem ‘perlembuan’ oleh majikan. Bahkan, lebih malang lagi apabila sistem perlembuan atau berbilang-tugas ini telah dijadikan prinsip hidup oleh pekerja. Lantaran itu, golongan pekerja telah berlumba-lumba untuk mencapai KPI (key performance indicator) supaya dapat menggapai tahap kegemerlapan karier dalam kehidupan; tanpa menghiraukan nilai-nilai kemanusiaan. Malahan, sistem perlembuan atau penghambaan moden ini kini turut merebak ke dalam universiti. Sekaligus menyaksikan perlumbaan yang giat untuk mengejar KPI—sehinggakan, meminggirkan matlamat dan makna akan gedung ilmu tersendiri.
Namun demikian, berbeza pula dengan pekerja moden yang beralir-fikir idealisme. Mereka bijak menilai, menyoal kejayaan bukan diukur duduk semata-mata pada ruang kehebatan ‘berbilang-tugas’. Tetapi mendahului perletakkan nilai moral dalam kehidupan. Jajaran ini memperlihatkan sebahagian pekerja moden cenderung untuk memalingkan diri daripada sektor pengkorporatan Kapitalis dan menuju ke arah sektor gig ekonomi yang mandiri dan bebas.
Boleh diperungkapkan, bahawa ini adalah gambaran nasib masa hadapan sektor pekerjaan pengkorporatan dalam dua puluh atau tiga puluh tahun mendatang. Pengoperasian berorientasikan pengeksploitasian buruh murah bakal menempelak diri mereka sendiri. Ekoran, perubahan dan kebangkitan populis masyarakat dek kesedaran terhadap sistem perlembuan yang diamalkan. Perubahan ini turut dipacu dengan pemancuan teknologi pendigitalan 5G. Mampu menyajikan pekerja sebuah kenikmatian dan kebebasan waktu bekerja tanpa kawalan majikan. Pada masa itu juga, semakin ramai pekerja moden mulai sedar akan realiti jarum susuk pada sistem pengkorporatan yang melembukan pekerja di balik dogma ‘multi-tasking’.
Kesedaran ini akan mengubah landskap sistem ekonomi Adam Smith, yang telah menyahaktifkan nilai kemanusiaan. Bahkan, mempertuhankan kebudayaan materialistik sebagai jalan kehidupan tanpa menghiraukan nilai kemanusiaan. Pada saya, pengamalan sistem Key Performance Indicator (KPI) yang didukung oleh golongan kapitalis dan juga organisasi dunia sebagai alat peningkatan dan pengukuran prestasi pekerja merupakan suatu penyelewangan makna dan pengeksploitasian secara halus dalam memaksimumkan penjanaan keuntungan bagi kepentingan golongan kapitalis.