Pendahuluan
Saya bertemu dengan keluhan dan soalan jujur daripada seorang wartawan di dalam Twitter. Keluhan dan soalannya berbunyi begini:
“Kepada lecturer yang suruh students dia create content dan upload di YouTube DAN students perlu dapat X amount of views. DAN viewership is 30% of carrying marks. Pertama sekali. Has our academic field turned into a popularity contest?”
Saya menjawab dengan ringkas bahawa fenomena ini sistemik dan terkait dengan betapa universiti swasta sememangnya ‘pulun’ mengambil pelajar saban tahun. Justeru, itulah jalan paling mudah untuk para pensyarah menanda dan menilai setiap tugasan mereka.
Walau bagaimanapun, saya tidak mendapat tindakbalas daripada wartawan tersebut, sebaliknya saya ditempelak oleh seorang lagi pengguna Twitter. Tempelakannya berisi soalan:
“So lecturer buat sistem yg memudahkan keja dia tanpa fikir apa impak pada students yg bayar yuran mahal nak dapatkan wisdom nya? Tanpa fikir yg viralism berkadar terus dgn kebodohan?”
Saya hanya membalas,
“Universiti sekarang tak jual wisdom, saudara. Universiti jual employability rate. Wisdom tu diluar pagar universiti lagi banyak”.
Memang, jawapan saya itu bersifat umum dan saya sanggup menerima sanggahan berdasarkan jawapan itu. Tetapi, dengan had abjad yang terhad sebanyak 280; saya fikir Twitter bukanlah platform yang terbaik untuk menjelaskan duduk letak perkara ini—yang sebenarnya terkait dengan sebuah struktur yang lebih besar. Perkara ini adalah segumpal kekusutan; dan penjelasannya memerlukan benang kekusutan ini dilerai satu persatu dengan cermat.
Baik, saya pernah bertugas sebagai pensyarah di sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) selama tempoh tiga tahun. Tahun kedua bekerja, saya telah dilantik sebagai koordinator subjek. Sebagai seorang koordinator subjek, saya bertanggungjawab penuh untuk menentukan aktiviti, tugasan, ujian dan soalan akhir semester untuk para pelajar yang mengikuti subjek ini. Setiap semester, sekurang-kurangnya terdapat lebih kurang 400-500 orang pelajar yang berdaftar untuk subjek ini. Sebagai sebuah subjek wajib universiti, para pelajar datang daripada pelbagai jenis program pengajian.
Subjek ini boleh dikategorikan sebagai subjek perkhidmatan (servicing). Subjek perkhidmatan ini mudahnya digelar sebagai subjek teras universiti. Tiada program khusus untuk segulung ijazah yang khas ditawarkan untuk subjek ini—di universiti ini. Namun, semua pelajar diwajibkan ambil dan lulus untuk memperoleh segulung ijazah dalam pengajian masing-masing.
Memang perkara yang biasa untuk subjek-subjek teras universiti seperti ini mempunyai jumlah pelajar yang ramai. Justeru, setiap semester para pensyarah akan bermesyuarat untuk menentukan mekanisme yang terbaik (dan mudah) untuk mereka daripada segi penilaian dan pembelajaran. Dengan jumlah pelajar yang ramai, lazimnya para pensyarah akan memilih jalan yang mudah untuk menilai semua pelajar ini. Salah satunya adalah melalui tugasan berkumpulan. Penghasilan video misalnya. Video-video ini akan dinilai melalui rubrik khusus yang disepakati, bersesuaian dengan piawai Taksonomi Bloom mengikut peringkat pengajian.
Di sinilah saya mendapat sanggahan daripada pengguna-pengguna Twitter itu tadi. Adakah pensyarah benar-benar mencipta sebuah mekanisme yang memudahkan kerja mereka tanpa memikirkan impak kepada pelajar yang membayar yuran mahal dan seterusnya meminggirkan wisdom?
Jika daripada saya, daripada segi memudahkan kerja jawapannya—ya. Dan wisdom bukanlah sesuatu yang benar-benar ditawarkan pada waktu ini. Mungkin masih ada, tetapi yang menjadi tawaran universiti (terutamanya universiti swasta) pada waktu ini adalah; jaminan terhadap peluang pekerjaan setelah para pelajarnya bertungkus lumus menghabiskan tiga atau empat tahun pengajian. Oleh disebabkan saya hanya mempunyai pengalaman di IPTS, maka hujah saya seterusnya terhad dalam lingkungan ini. Perkara yang ingin saya bawa ini tertumpu kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh para pensyarah di IPTS. Tulisan ini juga jauh sekali berhasrat untuk menghentam mana-mana pihak, tetapi lebih sebagai sebuah renungan dan refleksi untuk kita bersama
Bagaimana Perkara Ini Terjadi?
Untuk soalan-soalan itu, saya melihat jawapannya bersandarkan sekurang-kurangnya daripada tiga faktor; (i) jumlah pelajar ke UA dan IPTS, (ii) bilangan ranking universiti dan; (iii) budaya penyelidikan dan penerbitan. Saban tahun, ratusan ribu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) akan mencari peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Asasi, Matrikulasi, Diploma atau Ijazah. Semestinya, ibu bapa serta pelajar lepasan peperiksaan ini akan berusaha keras untuk mencari peluang ke Universiti Awam (UA). Namun, tempat yang ditawarkan di UA adalah sangat terhad untuk menampung semua pelajar. Kesukaran untuk mendapatkan peluang ke UA ini ditambah lagi dengan kriteria-kriteria pemilihan yang sangat ketat. Justeru, pilihan alternatif yang ada adalah ke IPTS. IPTS telah berjaya mengisi ketidakupayaan UA untuk menampung ratusan ribu pelajar yang mahu menyambung pelajaran mereka ke peringkat tertiari. Sudah tentu, apabila penawarannya kurang dan permintaan pula meningkat, sesuatu komoditi itu akan menjadi ekslusif. Justeru, dengan melihat kepada fenomena ini, tempat ke UA sememangnya sebuah peluang yang amat eksklusif. Kita lihat perbandingan data jumlah enrolmen pelajar diperingkat PhD, Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma diantara UA dan IPTS pada tahun 2017 dan 2018:
Jadual 1: Bilangan Kemasukan, Enrolmen dan Keluaran Pelajar Mengikut Peringkat Pengajian di IPT bagi Tahun 2017 dan 2018 (Data diambil dan diubahsuai daripada Kementerian Pengajian Tinggi)
Data perbandingan menunjukkan bahawa enrolmen pelajar ke peringkat diploma di IPTS telah melebihi UA. Enrolmen pelajar ke peringkat Ijazah Sarjana Muda pula hampir sama antara UA dan IPTS. Manakala, daripada segi jumlah enrolmen pelajar pascasiswazah pula, UA sememangnya telah mendahului IPTS. Secara empirikalnya, memang IPTS berjaya memenuhi fungsi pendidikan di Malaysia dengan upayanya menampung sejumlah besar pelajar yang mahu menyambung pelajaran ke peringkat tertiari.
Ranking dan Perkara-Perkara di Sebaliknya
Kita harus akui bahawa keuntungan adalah matlamat asas bagi sesebuah perniagaan. Justeru, untuk terus melangsungkan sesebuah perniagaan, pelbagai inovasi dan produk harus dicipta dan diperkenalkan kepada pengguna untuk melariskan jualan. Begitulah halnya yang berlaku di IPTS, yang mana jaringan dengan industri, kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menarik, pemasaran yang luas harus dilakukan untuk kekal relevan dan tampil kehadapan berbanding dengan para pesaing yang lain.
Para pensyarah bukan sahaja harus menyediakan kaedah pembelajaran yang menarik, malah turut terlibat dengan pelbagai aktiviti seperti yang dinyatakan diatas. Malah, ada sesetengah IPTS yang meletakkan Key Performance Indicator (KPI) kepada para pensyarahnya untuk memujuk para pelajar sedia ada supaya meneruskan pengajian di universiti yang sama. Malah, ada juga pensyarah yang diwajibkan untuk mencari calon-calon dalam kalangan masyarakat untuk dijadikan prospek pelajar di universiti.
Meskipun negara kita mempunyai lambakan graduan siswazah dan pascasiswazah, namun masalah kekurangan kakitangan dalam kalangan pensyarah selalu berlaku dalam IPTS. Sepanjang pengamatan saya, pensyarah di IPTS sentiasa bersilih ganti, hal ini bersangkutan dengan langkah penjimatan serta tuntutan kerja maksimum yang telah menjadi tradisi seperti dikebanyakan syarikat-syarikat korporat. Selain daripada menggalas tugas mengajar, para pensyarah lazimnya turut bertanggungjawab untuk melaksanakan semua aktiviti didalam dan diluar kelas seperti yang telah digarisi dalam sesebuah rangka perniagaan (business plan). Dalam hal ini, rancangan aktiviti ini khusus untuk para pelajarnya. Tidak terhenti setakat itu, sebahagian besar para pensyarah ini juga dituntut untuk melaksanakan tugas-tugas pentadbiran dan perkeranian.
Dewasa ini, tangga ranking telah menjadi faktor pelaris untuk sesebuah universiti. Dalam hal ini, IPTS juga tidak terkecuali untuk turut bersama-sama menyertai pertandingan nombor sedunia yang diakui sangat berprestij. Lewat kebelakangan ini, kita dapat menyaksikan sejumlah besar IPTS telahpun menduduki bilangan ranking Quacquarelli Symonds (QS) dan Times Higher Education yang menakjubkan didalam dan luar negara. Tumpuan IPTS daripada universiti yang menyediakan pengalaman pembelajaran yang menarik serta jaringan industri untuk pekerjaan para pelajarnya telah bertambah—dalam bidang penerbitan dan penyelidikan. Bagaimanakah yang dikatakan sebagai pelaris? Seperti yang kita maklum, keterujaan manusia terhadap nombor sememangnya telah mendarah daging. Kita tidak harus terlalu naif.
Memang bagi sebahagian besar golongan ibu bapa dan pelajar sendiri, peluang pekerjaan selepas tamat pengajian adalah antara faktor yang utama difikirkan ketika memilih pengajian disesebuah universiti. Mungkin bagi 20 buah UA yang telah sekian lama kukuh dan dikenali masyarakat, pemasaran tidak menjadi satu masalah. Malah, ‘jenama’ Universiti Awam itu sendiri telah mempunyai daya penarik yang memikat, khususnya daripada segi mutu, kepakaran, akreditasi, kestabilan dan yuran yang murah. Tetapi, bagi IPTS, angka ranking ini sebahagian besarnya mewakili sebuah simbol yang besar maknanya untuk mendapat kepercayaan dan kredibiliti yang setara dengan UA di mata masyakarat. Malah, yuran tinggi yang dikenakan oleh para pelajarnya haruslah berbaloi dengan prospek yang ditawarkan oleh mereka. Justeru, ranking dilihat sebagai sebuah simbol yang amat ampuh untuk dijadikan sebagai alat pemasaran.
Budaya Penyelidikan dan Penerbitan
Seperti statistik yang kita lihat sebelum ini, IPTS tidak mempunyai jumlah pelajar pascasiswazah yang ramai berbanding UA. Bilangan pelajar pascasiswazah yang ramai di UA memberikan laluan mudah daripada segi penghasilan penerbitan dan penyelidikan serta peluang kepada geran-geran penyelidikan. Malah, ada amalan di sesetengah UA yang meletakkan syarat penerbitan Scopus kepada para pelajar pascasiswazahnya sebagai syarat untuk bergraduasi.
Perkara ini sebaliknya tidak berlaku di IPTS, kekurangan pelajar pascasiswazah dan geran-geran penyelidikan daripada kerajaan – seterusnya sekali lagi – mengheret para pensyarahnya untuk menghasilkan penerbitan, penyelidikan dan menyediakan kertas-kertas kerja bagi memohon geran penyelidikan. Tumpuan para pensyarah semakin terpencar, tuntutan untuk menghasilkan penyelidikan dan penerbitan bertindih dengan jumlah jam mengajar yang boleh mencapai sehingga 24 jam seminggu. Ini juga termasuk dengan kelas-kelas hujung minggu untuk pelajar separuh masa atau yang mengikuti pengajian secara jarak jauh. Lewat kebelakangan ini, banyak universiti telah menawarkan perkhidmatan mereka dalam bentuk Blended Learning atau Full-Time Weekend untuk memenuhi tuntutan pendidikan para pelajar yang semakin bertambah. Untuk sesebuah universiti yang dahulunya asing dengan budaya penerbitan dan penyelidikan, matlamat untuk mengejar ranking telah menuntut para dekan fakulti dan ketua-ketua jabatan menyediakan rancangan yang sistematik, cepat dan berkesan untuk mencapai matlamat mereka daripada segi jumlah bilangan penerbitan.
Memang, indikator ranking tidaklah semata-mata tertumpu kepada penyelidikan dan penerbitan Scopus sahaja (tetapi ianya tetap menuntut para pensyarah menyediakan dokumentasi-dokumentasi lain misalnya untuk penilaian pihak Malaysian Qualifications Agency), walau bagaimanapun, faktor masa, ketekunan serta idea yang jernih amat diperlukan untuk menghasilkan sesebuah penyelidikan dan penerbitan yang benar-benar bermutu. Masalah berlaku apabila ada sesetengah pihak yang menuntut penghasilan jurnal-jurnal Scopus dalam bilangan yang amat mustahil untuk dihasilkan dan diterbitkan dalam tempoh setahun! Namun begitu, perkara-perkara ini juga kadangkala menjadi keanehan bagi saya, malah ada sesetengah universiti yang berjaya mencapai hasrat ini dengan cara yang amat misteri. Malah, saya pernah melihat beberapa orang pensyarah yang tidak dikenali dalam laman Research Gate mempunyai bilangan sitasi dan pembaca yang amat tinggi berbanding dengan seorang Profesor Ulung yang sememangnya terkenal melalui sumbangan beliau dalam penerbitan dan penyelidikan. Menakjubkan.
Khatimah
Harus diakui bahawa, para pensyarah di IPTS sememangnya menanggung tanggungjawab dan beban yang berat demi tuntutan-tuntutan pentadbiran. Dengan jumlah pelajar yang terlalu ramai, sememangnya para pensyarah akan cuba mencari jalan yang mudah dan pantas untuk meringankan beban mereka sendiri. Kegagalan seseorang pelajar dalam sesebuah peperiksaan pula bakal menuntut penjelasan yang kukuh daripada ibubapa dan pentadbir. Malah, kegagalan seseorang pelajar ini memungkinkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Amanah Rakyat (MARA) atau biasiswa-biasiswa yang diterima ditangguhkan atau ditarikbalik. Penarikan balik sumber kewangan mereka ini bakal membawa masalah untuk pembayaran yuran—dan kegagalan mereka untuk membayar yuran pula bakal memberi masalah kepada pendapatan universiti. Para pensyarah ini pula kebanyakannya bukanlah datang daripada latarbelakang pengajian media. Mungkin sebahagian besarnya tidak cakna dengan teknik-teknik untuk mendapatkan penonton (views) atau rating dalam laman sosial. Malah mungkin juga sebahagian besar daripada mereka ini tidak fasih langsung dengan penghasilan video. Mungkin yang mereka tahu hanyalah untuk menyiapkan rancangan pembelajaran dan menilai tugasan yang diberikan. Sudah tentu, akan ada sanggahan bahawa pensyarah perlulah bersifat multitasking dan ini bakal menuntut sebuah perbahasan yang lebih panjang lagi.
Makalah ringkas ini sebenarnya tidak cukup untuk membincangkan semua masalah yang besar ini. Malah, tulisan ini juga tidak dapat menganjurkan apa-apa jalan penyelesaian untuk dilema-dilema yang dihadapi oleh pensyarah di IPTS pada waktu ini. Justeru, apa yang hanya dapat ditawarkan dalam tulisan ini hanyalah sebuah renungan yang boleh difikiran bersama-sama. Bahkan, tulisan ini mungkin boleh menjadi refleksi kepada kita terhadap wisdom yang langsung tidak dibincangkan secara mendalam melalui tulisan ini. Mungkin makalah ini sepatutnya dimulakan dengan takrifan wisdom itu sendiri—dan bertolak daripada itulah permasalahan seterusnya harus dilacak.
Tetapi begitulah, seperti di universiti, mungkinkah wisdom telah menjadi soal pinggiran?