Pada era pemerintahan Perdana Menteri Najib Razak, ruang polisi atau autonomi Malaysia semakin mengecil dalam merencana dan melaksanakan agenda pembangunannya dalam urusan hal ehwal ekonomi dengan China. Pengecilan ruang autonomi ini berpunca daripada beberapa faktor domestik iaitu pelaksanaan program rasionalisasi hutang 1MDB dan bail-out 1MDB oleh China, serta kegagalan kerajaan untuk menguatkuasakan undang-undang dan peraturan, serta menetapkan pengisian tempatan dalam usaha sama dengan pelabur China. Namun, penyusutan ruang polisi ini tidak hanya spesifik kepada Malaysia tetapi ia turut dialami oleh beberapa negara yang mempunyai hutang luar sedia ada yang besar, ditambah pula dengan perolehan pinjaman yang besar dari China. Ini berlaku di negara-negara seperti Sri Lanka, Djibouti, Pakistan, Republik Kyrgyz, Laos, Maldives, Republik Mongolia, Montenegro dan Tajikistan.
Walau bagaimanapun, berbeza dengan negara-negara di atas, Malaysia pada era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dari Mei 2018 hingga Februari 2020 menunjukkan bahawa negara kecil seperti Malaysia masih mampu mempertahankan ruang polisi atau autonomi dan kepentingan negara dalam kerjasama ekonomi dengan kuasa besar seperti China. Kes Malaysia mungkin boleh dijadikan sebagai model kepada negara-negara kecil lain yang mempunyai hutang yang besar dengan China tetapi berusaha untuk mempertahankan autonomi dan kepentingan negara tanpa mengundang reaksi negatif dari China.
Pada hemat saya, model Malaysia ini terdiri daripada beberapa ciri berikut. Pertama, kewujudan elit politik yang mengutamakan kepentingan negara dan ideologi pembangunan. Meskipun kerajaan telah bertukar daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14, elit-elit politik PH masih diterajui oleh Mahathir Mohamad, iaitu pemimpin kuat yang berpegang kepada ideologi pembangunan dan kepentingan negara. Menurut Mahathir, Malaysia gagal untuk mencapai Wawasan 2020 – yang bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju sepenuhnya pada 2020 – berikutan salah guna kuasa dalam pentadbiran lepas. Oleh yang demikian, peranan negara di era PH dikembalikan untuk mencapai beberapa matlamat pembangunan yang digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama.
Ciri kedua, pengembalian semula peranan negara di atas diletakkan dalam kerangka regulatori baharu yang bertujuan untuk memulihkan keupayaan governan atau tadbir urus negara agar peranan negara ini bersifat telus, bertanggungjawab dan diuruskan berasaskan prinsip tadbir urus yang baik. Dalam usaha ini, kerajaan telah menubuhkan Pasukan Khas Siasatan 1MDB untuk membuat siasatan, pengesanan dan rampasan aset serta pendakwaan terhadap beberapa individu berkaitan skandal 1MDB dan SRC, selain memperbaiki tadbir urus dan kewangan beberapa GLC atau syarikat berkaitan kerajaan termasuklah Felda, Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera. Tambahan, kerajaan turut melaksanakan reformasi institusi yang lebih menyeluruh seperti memberikan kebebasan yang lebih luas kepada media, melantik pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam kalangan ahli parlimen pembangkang, mensyaratkan ahli parlimen untuk mengisytiharkan aset, dan melancarkan Pelan Anti-Rasuah Nasional 2019-2023.
Ciri ketiga, kerajaan berusaha untuk memulih dan memperkasakan keupayaan berunding negara bagi merunding semula projek-projek mega China di Malaysia. Pada era pemerintahan PH, institusi penting yang ditubuhkan bagi mencapai matlamat tersebut adalah Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang terdiri daripada lima individu yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang ekonomi dan kewangan. CEP berperanan tidak hanya untuk mengenalpasti kedudukan ekonomi dan kewangan negara serta membantu kerajaan untuk merealisasikan manifesto dalam tempoh 100 hari tetapi juga membekalkan sumber maklumat utama kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri Mahathir untuk membuat keputusan bagi merunding kembali projek-projek mega China. Dalam rundingan semula projek-projek China, dua individu CEP memainkan peranan yang penting iaitu Daim Zainuddin dan Robert Kuok. Sebagai bekas Menteri Kewangan – pada zaman pemerintahan pertama Mahathir sebagai Perdana Menteri – yang mempunyai jaringan yang luas dengan para pemimpin China dan pengalaman yang mendalam mengenai China, Daim ditugaskan untuk mengetuai rundingan semula tersebut. Sementara itu, Robert Kuok – iaitu tokoh korporat besar berpusat di Hong Kong yang mempunyai hubungan yang rapat dengan pimpinan China dan dihormati di China – pula memainkan peranan tidak langsung untuk menyantuni para pemimpin China untuk kembali ke meja rundingan. Melalui peranan langsung dan tidak langsung kedua-dua pemimpin ini, Malaysia berjaya mendapatkan terma perjanjian yang lebih baik bagi projek East Coast Rail Link (ECRL) dan Bandar Malaysia (yang dihidupkan kembali sebagai timbal balas bagi terma perjanjian yang lebih baik).
Ciri keempat dan terakhir, kerajaan bertegas untuk mempertahankan autonomi dan kepentingan negara. Usaha ini dapat dilihat apabila kerajaan bertindak membatalkan projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Multi-Product Pipeline (MPP), serta merampas dana berjumlah RM1 bilion daripada akaun bank kontraktor projek tersebut. Kerajaan juga menolak pelaburan China dalam sektor hartanah yang dilihat sebagai tidak menguntungkan negara. Dalam hal ini, unit-unit kediaman di Forest City dan Melaka Gateway dilarang untuk dijual kepada warga asing dan visa tidak akan dikeluarkan kepada warga asing untuk tinggal di Malaysia. Bagi projek Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), kerajaan menunjukkan ketegasan ketika lawatan Mahathir ke China dengan memaklumkan pemimpin-pemimpin utama China tentang keperluan syarikat-syarikat China untuk mematuhi undang-undang dan peraturan di MCKIP. Selain itu, kerajaan turut menggunakan ruang polisinya dengan mempelbagaikan sumber pinjaman khususnya dari Jepun yang membawa kepada persetujuan kerajaan Jepun untuk menawarkan jaminan penerbitan bon samurai yang bernilai RM7.4 bilion untuk tempoh 10 tahun dengan kadar kupon tetap pada 0.53 peratus setahun.
Berdasarkan huraian di atas, keupayaan Malaysia untuk merunding kembali beberapa projek mega China boleh dijadikan model untuk mempertahankan autonomi negara dan ruang polisi. Model ini mungkin boleh diteladani oleh negara-negara membangun lain yang berusaha untuk mempertahankan ruang polisi atau autonomi bagi melindungi kepentingan negara masing-masing dalam kerjasama dengan kuasa besar seperti China. Model Malaysia ini terdiri daripada empat ciri utama iaitu kewujudan elit politik yang berpegang teguh kepada kepentingan negara dan ideologi pembangunan; kemunculan semula peranan negara dalam kerangka regulatori baharu bagi memulihkan keupayaan governan negara; pemulihan keupayaan berunding kerajaan yang terdiri daripada pemimpin yang mempunyai jaringan dan pengalaman yang luas tentang China; serta ketegasan pimpinan negara untuk mempertahankan ruang polisi atau autonomi bagi melindungi kepentingan negara.