Sekitar kurun ke-18, berlakunya anjakan paradigma dalam pembangunan ilmu apabila bidang sains sosial diterima sebagai bidang baru yang bakal diajar di peringkat pengajian tinggi sekitar Eropah ketika itu. Pengiktirafan ini memerihalkan bahawa bidang sains sosial sudah diterima untuk dimasukkan ke dalam sistem sekaligus mengiktiraf bahawa ia sebahagian daripada korpus ilmu.
Dalam suatu pengantar bertajuk,“Malaysian Social Science: Yesterday, Today and Tomorrow?,” Clive Kessler (1974) menyatakan bahawa “pelonjakan akan bidang sains sosial adalah apabila diiktiraf dan dijustifikasikan sebagai kerangka intelektual (intellectual framework) dalam mendepani kedinamikan masyarakat”.
Tradisi ini kemudiannya berterusan mula mempengaruhi pembangunan pandangan sarwa bagi setiap kumpulan masyarakat di peringkat global, serantau mahupun tempatan. Pengaruh ini turut melimpah ke Tanah Melayu di mana sains sosial dilihat sebagai antara ilmu yang begitu banyak menyumbang kepada pembangunan masyarakat dari era pra merdeka sehingga ke era millenium Malaysia.
Atas garisan kesejarahan inilah, maka artikel ini sebetulnya bertujuan ditulis dengan semangat renung kembali, lebih-lebih apabila saya dijemput untuk turut serta sebagai peserta dalam projek “Bengkel Pembinaan Kapasiti Penyelidik Muda Sains Sosial” baru-baru ini. Bengkel tersebut dianjurkan oleh pihak Naratif Malaysia (NM) bersama dengan IKMAS-UKM, Malaysia Reform Initiative (MARI), USAID dan Kedutaan Amerika Syarikat dengan tema bengkel “Sains Sosial Abad ke-21: Menerus Tradisi Intelektual, Menanggap Transformasi Sosial” disandarkan atas tema besar “Creating Think-Space for Political Narrative”.
Semangat Aktivisme-Intelektualisme
Sebagai seorang ahli akademik muda yang sedang berkhidmat dengan universiti awam di Malaysia, saya melihat perkembangan perubahan aktivisme-intelektualisme yang dibawa oleh NM boleh mempengaruhi senario sains sosial di Malaysia mutakhir ini. Tradisi yang telah ditinggalkan generasi awal wajar harus digali kembali memandangkan sains sosial bergulir daripada sejarah yang memiliki susur galurnya sendiri serta menyumbang kepada pembentukan karakter pembentukan dan perkembangan ilmu sains sosial di Malaysia.
Malangnya, realiti yang berlaku di Malaysia dewasa ini, terdapat muncul suara sumbang membangkitkan tentang kerelevanan bidang sains sosial sejurus selepas gelombang IR 4.0 mula meledak.
Benar, peredaran zaman berlaku, manakala masyarakat terus berkembang, tetapi jika dibiarkan bidang sains sosial ditekan dan tidak diberikan ruang, maka penulis merasakan bahawa sisi manusiawi manusia pastinya akan sedikit demi sedikit terhakis akibat lingkaran ganas gelombang modenisasi, faham kebendaan (materialism) dan konsumerisme yang mementingkan soal inovasi komersialisasi berbanding penghasilan inovasi konsep dan teori yang selama ini menjadi pelantar besar (major platform) untuk perkembangan sains sosial.
Justeru dengan adanya usaha dari pihak NM, saya yakin dan percaya ia berupaya mengisi ruang gerakan aktivisme-intelektualisme ke arah membangkitkan kembali budaya ilmu yang dilihat semakin gersang di kalangan masyarakat khususnya bagi anak muda.
Pengaruh ilmu kolonial
Walau bagaimanapun, perlu disedari bahawa perkembangan sains sosial di Malaysia hakikatnya tidak bersifat organik. Sebaliknya, ia sedikit sebanyak terbentuk hasil pengaruh dari luar. Peranan pihak kolonial Inggeris yang menapak lama di Tanah Melayu telah memediasikan banyak penghasilan penulisan berkisar masyarakat Melayu dan etnik lain sehingga ia menyumbang dan membentuk satu korpus ilmu yang digelar ilmu kolonial.
Melalui kehadiran korpus baru ini, satu bentuk “garis asal ilmu” (baseline knowledge) diwujudkan sebagai kerangka asas dalam mengembangkan ilmu sains sosial sehingga ke era moden Malaysia hari ini. Garis asal ilmu yang dibangunkan ini dijadikan sebagai asas kerangka dalam ilmu sains sosial yang memicu kepada perkembangan wacana kritis dalam menganalisis fenomena sosial di Malaysia.
Pembangunan sains sosial di Malaysia sebetulnya bukan didirikan atas sumbangan daripada pihak kolonial saja. Bahkan, lebih tepat lagi, ianya turut didirikan atas dua ruang utama.
Abdul Rahman Embong (1974) dalam makalah bertajuk, “Menoleh ke Belakang, Melangkah ke Hadapan: Sains Sosial di Malaysia”, menyifatkan dua ruang tersebut adalah merangkumi “ruang awam yang dicirikan oleh pemikiran sosial tempatan” dan “ruang pentadbiran penjajah yang menjanakan ilmu kolonial”. Demikian itu, frasa berkenaan dua ruang utama ini dilihat sebagai paling dominan dalam pensejarahan sains sosial di Malaysia.
Ditambah pula dengan kelahiran pemikir-pemikir sosial tempatan klasik seperti Abdullah Munshi (1796-1854), Syed Sheikh Syed Ahmad al-Hadi (1867-1934), Zainal Abidin Ahmad atau Za’ba (1895-1973), Abdul Hadi Haji Hassan (1900-1937) turut mempengaruhi perkembangan sains sosial di Malaysia. Ini belum dimuatkan sekali dengan kemunculan pemikir pascamerdeka seperti Syed Hussein al-Attas (1928-2007) yang menghasilkan magnum opus-nya, The Myth of Lazy Native, sebuah karya yang mengkritik para pemikir kolonial Tanah Melayu seperti Frank Swettenham, RO Winstedt, JM Gullick, LR Wheeler dan RJ Wilkinson.
Bertitik-tolak daripada kesedaran ini, maka saya mengamati bahawa usaha kumpulan penyelidik muda NM ini tampaknya ingin memeta, merangka dan mengusahakan kembali perspektif sejarah jangka panjang (longue duree) dan pendekatan sejarah idea (history of ideas) dalam meneliti perkembangan sejarah ilmu sains sosial di Malaysia.
Paling utama, pembinaan legasi bukan saja berkisar dalam soal penerusan idea pemikir-pemikir sosial tempatan yang pernah wujud dalam korpus sains sosial. Malah, pembinaan tersebut merupakan satu keperluan untuk generasi terkini dalam membangunkan legasi sains sosial yang mandiri yang lebih cerdas dan cergas, tanpa menidakkan tradisi dan legasi dari generasi terdahulu.
Dengan bantuan dan panduan daripada tokoh pemikir besar gagasan sains sosial di Malaysia terutamanya Prof Emeritus Dr Abdul Rahman Embong sebagai tokoh rujukan utama beserta legasi pemikir sains sosial lain seperti Norani Othman, Abdul Halim Ali, Syed Husin Ali, Shamsul Amri Baharuddin, Ahmat Adam, Francis Loh Kok Wah, Cecelia Ng dan lain-lain, kumpulan penyelidik muda NM ini memberi harapan baharu sebagai pewaris tradisi aktivisme-intelektualisme di Malaysia.
Bagi merealisasikan usaha perkembangan sains sosial di Malaysia adalah penting untuk kita mengenal pasti beberapa cabaran utama yang meliputi soal perkembangan di peringkat global. Cabaran ini, secara umumnya, melibatkan pembentukan pandangan sarwa dan pengkaedahan terkini dalam kajian sains sosial.
Lebuh khusus lagi, cabaran utama bagi kumpulan penyelidik muda NM ini adalah bagaimana menjadikan sains sosial di Malaysia sesuai dengan perkembangan di peringkat global dan impaknya kepada Malaysia. Kesepakatan dicapai apabila enam mega trend utama dilihat sebagai sesuatu yang memberikan impak kepada perkembangan sains sosial di Malaysia yang melibatkan pertambahan kajian berkenaannya.
Dalam hal ini, sepertimana yang dibentangkan oleh Prof. Abdul Rahman, enam mega trend tersebut adalah pertentangan globalisasi Barat vs globalisasi oriental, impak revolusi maklumat dan digital, transisi urbanisasi dan bandaraya berdaya huni, ketaksamaan sosial dan proses precaritisation, transisi demokrasi serta musibah risiko dan dampak ke atas negara dan masyarakat memfokuskan kepada kewujudan pandemik global dan pengamalan norma baharu pasca pandemik.
Apa yang boleh dikatakan, melalui bengkel yang bertenaga ini, terdapat banyak idea dan naratif baru cuba diselongkar dan dibangunkan oleh para penyelidik muda NM. Naratif tersebut termasuklah meliputi soal pembangunan dan ketaksamaan, sosiologi, media, perkembangan demokrasi vs populisme dan perkaitan dengan pensejarahan, agama serta seni yang kesemua ini mempuyai pertalian dengan perkembangan mega trend yang dijelaskan.
Melawan Watak Tertawan
Bagi sebuah negara yang berstatus “pernah dijajah” oleh sebuah empayar kolonial, fenomena “watak tertawan” (captive mind) seperti diusulkan oleh Syed Hussein al-Attas tampaknya berberterusan meskipun kemerdekaan telah lama diperolehi.
Fenomena watak tertawan ini sangat berleluasa di dalam masyarakat bekas tanah jajahan lebih-lebih lagi di kalangan ahli sains sosial tempatan kita sekarang. Penyakit ini merupakan jelmaan daripada sikap dan sifat beberapa kelompok masyarakat yang cenderung mengambil jalan dengan mencedok tanpa mempersoalkan apa yang telah dihasilkan oleh orang lain terutamanya dari negara maju.
Selain itu, terdapat juga penafsiran sejarah yang bersifat superficial tanpa adanya penilaiannya kritis ke atasnya dan tidak berusaha mewujudkan sumbangan sendiri. Suka saya labelkan semua fenomena ini sebagai “Malay sunset syndrome.” Sindrom ini mendorong kita melihat apa yang datang dari Barat sebagai model penyelesaian sebarang kemelut di negara kita.
Memang, tidak dinafikan bahawa dominasi kerangka sains sosial dari Barat masih lagi utuh melingkari fahaman pemikir-pemikir sosial tempatan dewasa kini. Utuh lantaran kalangan ini masih mengagumi bulat-bulat apa yang datang dari Barat. Justeru itu, sudah menjadi tanggungjawab para pemikir sosial tempatan era kini untuk meruntuhkan pegangan cetusan mitos dibangunkan pihak kolonial.
Mitos ini barangkali berpunca dari sikap kita sendiri yang sebelum ini terlalu bergantung kuat dengan korpus daripada Barat. Kebergantungan ini turut disebabkan oleh ketidakupayaan kita menghasil dan membina korpus sains sosial kita sendiri. Adalah mustahak sains sosial mandiri, seperti yang menjadi tema utama “Bengkel Pembinaan Kapasiti Penyelidik Muda Sains Sosial”,” diperkukuhkan untuk menanggapi fenomena ini dari terus menawan pemikiran generasi terkini atau masa depan.
Kumpulan penyelidik muda NM juga diletakkan harapan tinggi untuk menghasilkan karya yang lebih bersifat thereotically informed (paras teori) dan berbasiskan kepada kerangka wacana kritis (critical discourse). Harapan ini semakin tinggi dan berat memandangkan kebanyakan institusi pengajian awam tinggi hari ini banyak menumpukan kepada soal kaedah pengajaran dan pembelajaran. Bahkan, kebanyakan kajian para saintis sosial di Malaysia khususnya pasca 1990-an lebih bersifat empirikal dan dekskriptif.
Lebih menggusarkan lagi, bentuk ataupun kaedah penyelidikan sebegini begitu kuat melingkari kerangka pemikiran saintis sosial kini yang lebih menumpukan soal pengumpulan data dan terperangkap dengan sindrom “more of the same” dan kajian yang bersifat “saw dust”.
Kajian-kajian yang bersifat “paras teori” amat kurang dan jika ini berterusan, persoalan yang timbul: bagaimana kita mahu melahirkan penyelidik sains sosial yang begitu mementingkan kemandirian bidang ini? Mungkin ini dikatakan kesan daripada fenomena “jurang generasi” (generation gap) menyebabkan keterputusan legasi sekitar penghujung 1980-an membolehkan kelompok ‘statistical-empirical” melebarkan pengaruh dengan penekanan terhadap pengkaedahan bukan kepada isi pengkajian.
Sungguhpun begitu, kita tidak boleh salahkan penyelidik sains sosial muda hari ini juga. Barangkali hambatan ini berpunca daripada cabaran struktur dan institusi di negara kita pada hari ini. Cabaran paling utama khususnya bagi penyelidik sains sosial di Malaysia pasca 2000-an adalah memastikan kerelevanan bidang sains sosial di Malaysia. Ini berkait dengan soal penghasilan inovasi dan pengkaedahan baharu yang membawa kepada penekanan terhadap aspek kuantiti, bukan lagi soal kualiti penyelidikan yang dihasilkan.
Ini termasuklah penekanan yang berlebihan dalam memenuhi kehendak KPI (Key Performance Index) dan trajektori pasaran melalui pengkorporatan universiti (corporatization of university) yang didasarkan kepada ketergantungan institusi pengajian tinggi kita terhadap kerangka pendidikan dari Barat. Ini dibuktikan dengan penghasilan kajian dan graduan yang bersifat untuk memenuhi tuntutan pasaran.
Selain itu, pengejaran ranking universiti di peringkat dunia juga muncul sebagai cabaran utama untuk kelangsungan bidang sains sosial di Malaysia. Apabila ini berlaku, maka penumpuan hanya diberikan kepada kuantiti bukannya kepada penekanan terhadap kualiti penyelidikan ahli sains sosial itu sendiri.
Sains sosial mandiri
Mengambil kira beberapa cabaran dalam perkembangan sains sosial masa ini di Malaysia, maka sudah menjadi satu keperluan untuk diberikan penekanan kembali kepada pengukuhan orientasi sains sosial di Malaysia.
Di sini apa yang diusahakan oleh pihak NM membangunkan sekumpulan penyelidik muda dari pelbagai latar disiplin sains sosial harus dipuji dan disokong. Dengan cabaran terkini melalui perkembangan teknologi dan revolusi maklumat yang pantas, maka peranan kumpulan penyelidik muda NM ini semakin penting. Ini boleh dilakukan menerusi penghasilan karya-karya, buah fikir dan hasil kajian baru. Matlamat akhirnya, semua usaha ini adalah bertujuan untuk membina sains sosial mandiri yang bersifat saintifik, relevan serta kritis.
Pada pengamatan saya, kumpulan ini dibentuk dengan bervisikan penghasilan pemikiran yang berteraskan kepada kerangka wacana kritis (critical discourse). Sebelum ini, kerangka seperti ini kurang dijadikan sebagai intellectual framework dalam penghasilan kajian sosial. Menerusi kerangka ini, maka sekurang-kurangnya dapat membentuk kesedaran sejarah bagi generasi muda yang mengalami keterputusan legasi dari generasi sebelum ini. Naratif “sains sosial tidak bebas nilai” harus dibangkitkan kembali, agar pengisian kajian lebih tajam untuk menganalisa fenomena sosial.
Dalam masa yang sama, sama seperti saranan Prof. Abdul Rahman, aspek keserakanan (collegiality) wajar juga ditekankan untuk menjayakan agenda ini. Bagi saya, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kumpulan penyelidik muda NM ini sebagai perintis (pioneer) kepada penubuhan kumpulan pemikir muda saintis sosial di Malaysia era millennium.
Di samping itu, melalui bengkel yang dianjurkan oleh NM, kumpulan penyelidik muda NM ini diberikan ruang bagi menghasilkan sesuatu yang baru, yang asli dan menyumbang ke arah sains sosial mandiri berasaskan kepada aspek komitmen dan advokasi. Ianya juga sebagai refleksi kepada usaha mewujudkan pengembaraan kesarjanaan (scholarly journey) yang jelas serta berpaksikan kepada tradisi dan legasi dalam menanggapi transformasi sosial.
Apatah lagi, kalau diperhatikan betul-betul, soal pengembaraan kesarjanaan ini tidak kuat ditekankan di kalangan ahli sains sosial muda kini di IPTA/IPTS, mungkin kerana faktor penekanan capaian KPI daripada pihak pengurusan tertinggi institusi menjadikan setiap penghasilan kajian berteraskan “cukuplah sekadar mencapai KPI”. Saya gusar jika berterusan begini, kita mungkin bakal melahirkan generasi pemikir yang bersifat “jadong,” yang sekali gus menjadi batu penghalang kepada pembangunan kumpulan penyelidik muda. Lantaran itu, peranan kumpulan penyelidik muda NM ini adalah untuk tidak mengulangi kesilapan generasi lama dahulu.
Melakukan kesilapan kedua, bukanlah suatu pilihan. Sebaliknya, ini adalah tanggungjawab para cendekiawan muda yang bernaung di bawah gerakan baharu bernama Naratif Malaysia. Tanggungjawabnya adalah untuk merealisasikan manifesto yang tertunda: menerus tradisi intelektual, menanggap transformasi sosial!
Tulisan ini pertama kali diterbitkan di Malaysiakini pada 12 Ogos 2020.