Pada bahagian pertama rencana ini semalam saya telah pun membentangkan data-data tentang pola pengundian yang memperincikan kekalahan Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih (PRK Semenyih). Persoalannya sekarang ialah kenapa?
Sudah banyak jawapan sebenarnya yang telah diberikan oleh penganalisis-penganalisis politik tentang kekalahan PH di PRK Semenyih. Daripada faktor kegagalan PH menunaikan janji manifesto PRU14 mereka, sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh PAS, Menteri-Menteri PH yang kurang berpengalaman, kos hidup yang masih terus meningkat, populariti Najib dengan jenama “bossku” beliau, ketakutan Melayu terhadap DAP, kedudukan Islam yang dianggap terancam, sehinggalah kepada faktor calon yang dilihat kurang berwibawa – semuanya ini pada hemat saya adalah benar.
Justeru itu, tidak perlu lagi untuk saya mengulang jawapan yang telah pun dihuraikan dengan cukup baik oleh penganalisis-penganalisis politik tersebut.
‘Keterpendaman’
Huraian saya kepada soalan kenapa kekalahan itu berlaku akan lebih menumpukan kepada apa yang saya istilahkan sebagai ‘keterpendaman Melayu’.
Apa itu ‘keterpendaman’? Keterpendaman adalah dari kata akar pendam yang membawa maksud – tersembunyi, tersorok, tertutup tapi ada; tersembunyi di dalam hati; ditekan ke bawah sehingga tidak nampak oleh pemerhatian kasar tapi ada; tidak kelihatan secara nyata tapi wujud dalam rasa; sesuatu yang dirasa di dalam hati tapi belum dizahirkan secara nyata.
Dari apa yang saya huraikan di atas, keterpendaman adalah sesuatu yang tersembunyi, tersorok, tertutup dan ianya tidak nampak oleh pemerhatian kasar dan tidak terzahir secara nyata tapi ia wujud dan ada, serta dirasa di dalam hati.
Dari takrifan saya itu ‘keterpendaman’ adalah suatu bentuk perasaan. Wujudnya itu diruang rasa. Tapi wujudnya rasa itu adalah dari proses dan pengalaman yang dilalui di alam nyata yang berkait rapat dengan proses sejarah yang dikongsi bersama oleh sesuatu bangsa itu.
‘Keterpendaman Melayu’
Justeru itu, ‘keterpendaman Melayu’ adalah perasaan kolektif manusia Melayu yang tersembunyi dan tersorok dalam hati, yang mana keberadaan rasa tersebut adalah hasil daripada proses sejarah yang panjang yang dilalui oleh manusia-manusia Melayu secara kolektif di awal kemunculannya sebagai sebuah bangsa melalui artifak-artifak budaya yang diperkongsikan bersama dan diwarisi oleh generasi Melayu yang seterusnya melalui naratif-naratif yang diperturunkan sama ada melalui sejarah lisan mahu pun sejarah tekstual yang kemudiannya membentuk memori yang dikongsi bersama sebagai sebuah komuniti sejarah.
Bukanlah menjadi tujuan tulisan ini untuk memperincikan bagaimana proses pembentukan ‘keterpendaman Melayu’ itu terhasil. Di tulisan ini cukup sekadar untuk saya memberi takrifannya secara umum. Apa yang terkandung di dalam ‘keterpendaman Melayu’ ini akan saya huraikan di bahagian keempat siri tulisan ini.
Perasaan Umum Yang Dirasa Manusia Melayu
Istilah ‘manusia Melayu’ yang saya gunakan ini bermaksud mereka yang menganggap diri mereka sebagai Melayu.
Untuk mengelak daripada membuat huraian pukul-rata atau generalisasi terhadap kesemua mereka yang menganggap diri sebagai Melayu, elok saya nyatakan di sini ‘keterpendaman Melayu’ adalah perasaan yang dirasakan secara umumnya oleh kebanyakan manusia Melayu.
Adalah diakui ‘keterpendaman Melayu’ ini mungkin tidak dikongsi oleh semua Melayu tetapi menjadi rasa yang ada pada kebanyakan manusia Melayu di Malaysia ini.
Situasi ‘Keterpendaman Melayu’ Dizahirkan
Memandangkan ‘keterpendaman Melayu’ ini adalah suatu rasa yang tersembunyi tapi ada, maka penzahiran rasa kolektif yang ada itu tidak ditunjukkan secara terbuka atau langsung kecuali bila munculnya situasi tertentu yang mendesak yang memerlukan rasa itu dizahirkan. Ianya terpendam tapi akan dizahirkan dan diserlahkan bila faktor-faktor sosialnya muncul dan situasinya tiba.
Dan PRK DUN Semenyih adalah situasi di mana ‘keterpendaman Melayu’ itu telah dizahirkan. Begitu juga dengan demontrasi ICERD yang menghimpunkan puluhan ribu manusia-manusia Melayu dari seluruh pelusuk Malaysia adalah satu lagi contoh situasi di mana ‘keterpendaman Melayu’ dizahirkan secara terbuka dan langsung.
Penzahiran ‘keterpendaman Melayu’ di perhimpunan anti-ICERD misalnya, selain daripada ucapan-ucapan pemimpin yang berisi retorik-retorik Melayu dan Islam, di akar-umbi juga terzahir peluahan perasaan oleh puluhan ribu peserta yang menyertai perhimpunan tersebut yang mengambil bentuk-bentuk perlambangan dan simbolik seperti slogan yang digunakan, sepanduk yang diangkat, kata-kata pada plakad, poster dan kain rentang yang digunakan, sejarah silam momen-momen penyatuan Melayu yang dipanggil semula dalam ucapan dan yang tertera pada sepanduk, serta pakaian yang dipakai oleh beberapa kelompok yang mencerminkan ciri-ciri yang khas keMelayuan dan keIslaman.
Mengambil contoh dari sejarah yang lepas pula – peristiwa perang antara Melayu dan ‘Bintang Tiga’ yang memakan korban ratusan orang di zaman selepas Jepun menyerah kalah, gerakan anti-Malayan Union yang turut menghimpunkan ramai manusia-manusia Melayu dari seluruh Semenanjung, dan tragedi 13 Mei 1969 yang menyaksikan amukan manusia-manusia Melayu adalah antara situasi di mana ‘keterpendaman Melayu’ itu dizahirkan.
Situasi yang membuatkan ‘keterpendaman Melayu’ ini dizahirkan adalah rasa tersudut, tergugat atau terancam. Situasi seperti ini jika dipergunakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan mampu untuk memicu proses penzahiran ‘keterpendaman Melayu’.
Sumber Kepada ‘Keterpendaman Melayu’
Justeru, pertanyaan selanjutnya ialah apakah sumber kepada ‘keterpendaman Melayu’ ini? Sumber kepada ‘keterpendaman Melayu’ pada hemat saya adalah cita-cita dan aspirasi nasionalisme Melayu.
Nasionalisme Melayu dalam perjalanan sejarahnya yang rencam dan rumit adalah sebuah nasionalisme yang gagal. Perjalanannya hanya separuh jalan dan gagal untuk sampai ke destinasi yang dicita-citakannya. Kegagalan inilah yang menyebabkan ia menjadi sebahagian daripada sentimen, psike dan rasa kolektif bangsa Melayu yang terpendam.
Cita-cita nasionalisme Melayu dari sejarah awalnya, baik yang dari jalur kiri atau kanan, jalur bangsa atau agama, jalur bahasa atau budaya, jalur keRAJAan atau perlembagaan – disebalik keberagaman nasionalisme Melayu ini – kesemuanya bertemu di satu titik yang sama iaitu cita-cita untuk mendirikan sebuah negara-bangsa dengan rupa-bentuk Melayu, beridentiti Melayu, berkeperibadian Melayu dan berjati-diri Melayu.
Namun begitu cita-cita ini telah digagalkan oleh realiti sejarah yang bergulir yang telah mengubah lanskap ekonomi, politik, sosial dan budaya wilayah yang kita kenali sekarang sebagai Malaysia.
Sejarah penjajahan Inggeris yang membawa masuk jutaan migran dari Tanah Besar China dan India menjadikan negara yang diwarisi bukan lagi Tanah Melayu tetapi Malaya yang majmuk dengan pelbagai kaum, agama, budaya dan bahasa.
Malaya kemudiannya menjadi semakin majmuk dan rencam lagi dengan kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaya untuk sama-sama membentuk Persekutuan Malaysia pula.
Justeru, cita-cita nasionalisme Melayu yang pada awalnya untuk mendirikan sebuah negara-bangsa berupa-bentuk Melayu, berkeperibadian Melayu dan beridentiti Melayu itu akhirnya lebur tapi tak pernah berkubur.
Gagal Tapi Kekal Menjadi Aspirasi
Apa yang dicitakan oleh nasionalisme Melayu ini gagal tapi aspirasinya tetap kekal buat manusia-manusia Melayu. Memandangkan ianya gagal tapi kekal wujud dan terus menjadi cita-cita yang tak pernah hilang, maka kekal wujudnya itu adalah dalam bentuk ‘keterpendaman’.
Ia terpendam tapi tak pernah padam. Ia kekal ada dan akan terus mempengaruhi tindak-tanduk politik manusia Melayu. Malahan ia wujud sebagai asas pertimbangan kepada sebarang strategi, dasar dan tindakan politik oleh mana-mana pemimpin politik Melayu baik dari parti pemerintah (PH) mahu pun parti pembangkang (UMNO dan PAS). Ia bisa berfungsi sebagai bara yang senantiasa siap untuk dinyalakan oleh mereka yang berkepentingan.
‘Keterpendaman Melayu’ Pasca PRU14
Dan nyalaan “keterpendaman Melayu” ini sudah pun dimulai sejak BN tumbang dalam PRU14 yang lepas. Ia mula membakar di demonstrasi anti-ICERD yang berjaya menghimpunkan puluhan ribu manusia Melayu, tua dan muda, dari seluruh Malaysia merentasi kelas-ekonomi dan fahaman politik.
Kemudiannya ia merebak ke PRK Cameron Highlands dan semakin tak terkawal di PRK Semenyih. Meski pun DUN Semenyih adalah milik PH pada PRU14 yg lepas, ditambah pula dengan kelebihan PH sebagai kerajaan yang memerintah negeri Selangor dan Persekutuan, tetap saja PH tewas.
Hatta kehadiran Perdana Menteri Tun Mahathir sendiri yang turun berkempen di Semenyih pun tetap gagal untuk menghalang nyalaan bara ‘keterpendaman Melayu’ ini.
Dan penzahiran ‘keterpendaman Melayu’ yang paling membakar tentunya datang dari ‘perkahwinan’ dua parti Melayu dan Islam yang terbesar di Malaysia, UMNO dan PAS, yang telah pun ditandatangani pada 5 March 2019 yang lepas.
Apakah yang mendasari kerjasama dan ‘perkahwinan’ kedua-dua parti yang dulunya merupakan musuh ketat ini? Apakah yang menyatukan mereka? Ikuti tulisan bahagian ketiga.