“Aku ada, selagi mana aku maju; tidak maju, maka Aku tiada..” – Muhammad Iqbal, dipetik menerusi Umer Chapra (2008)
Dengan Nama Allah, yang Maha Pengasih dan Penyayang; yang Maha Hidup, Membangun dan Memajukan.
Sekali lagi, aku ditugaskan untuk menulis, menulis pula pada hari meraikan Hijrah, tentang pembangunan Islam, untuk Naratif Malaysia. Ada apa dengan Hijrah? Dan apa pula kaitannya dengan wacana naratif pembangunan Islam di Malaysia?
‘Hijrah’ sebagai satu kisah perjalanan baginda Nabi SAW, bersama para sahabatnya dari Mekah ke Madinah sudah jadi modul wajib pembelajaran Islam dari pra-sekolah hinggalah ke pengajian ijazah, dalam kepelbagaian sesi usrah dan halaqah, juga dalam siri-siri kuliah di perkampungan dan kejiranan. Malah, peristiwa ini sudah jadi sambutan rasmi dari tahun ke tahun dengan perarakan, nyanyi-nyanyian, juga upacara penganugerahan. Peringatan berterusan ini tidak menghairankan mengambil kira kepentingan kisah perjalanan ini. Peri pentingnya peristiwa Hijrah inilah yang membawa kepada pembentukan awal komuniti Muslim, lalu membangun Ummah, yang kemudiannya turut menghasilkan kita antara komuniti-komuniti Muslim di seluruh dunia. Tanpa Hijrah, kita sebagai komuniti Muslim ini tidak ada.
Namun, peristiwa Hijrah ini juga wajar difahami melangkaui pengertian perjalanan komuniti awal Muslim antara dua tempat suci, tetapi juga satu anjakan sosial dan psikologi; daripada kezaliman kepada keamanan; ketakutan kepada kebahagiaan; daripada kegelapan kepada cahaya. Malah, lebih dari itu, penghayatan fenomena Hijrah ini juga memungkinkan kita memahami satu prinsip penting mendasari sudut pandang kehidupan Islam, iaitu pergerakan (movement). Penghargaan terhadap prinsip ini memberi kesedaran betapa Islam menuntut para penganutnya untuk sentiasa dinamik, membangun, serta terus-menerus maju.
Prinsip pergerakan dalam Islam ini dihuraikan oleh pujangga-filasuf Islam awal abad ke-20, Muhammad Iqbal (2013) dalam karya beliau “Rekonstruksi Pemikiran Agama dalam Islam.” Iqbal menegaskan betapa pentingnya buat seseorang Muslim itu untuk sedar bahawa kehidupan ini di tahap yang paling dasar adalah spiritual, atau dengan kata lain, pada setiap diri insan itu sedia adanya terkandung unsur kerohanian suci yang asalnya dari Tuhan, sepertimana firman Allah dalam Al-Qur’an (32:9) yang mengisahkan penyempurnaan penciptaan manusia:
“Kemudian Dia menyempurnakan ciptaanNya dan ditiupkan ke dalam dia daripada ruhNya…”
Berdasarkan kesedaran kerohanian ini, kehidupan di dunia ini dihayati sebagai satu pergerakan aktif menuju realiti ideal, Tuhan, yang Maha Sempurna. Maka, kehidupan berteraskan iktikad Tauhid memerlukan seseorang itu hidup dalam satu proses pergerakan menuju kesempurnaan. Dengan penerapan prinsip pergerakan ini, tidak dapat tidak, kehidupan seseorang Muslim haruslah mengarah kepada kemajuan dan pembangunan, untuk diri sendiri, juga untuk masyarakat.
Namun, penghujahan ideal prinsip-prinsip kemajuan Islam ini perlulah hadir bersama sudut pandang realiti, khususnya dalam memahami perkaitan agama dengan pembangunan masyarakat. Hal ini wajar ditekankan dengan pemahaman bahawasanya Islam ini bukan hanya melibatkan hal-hal keyakinan agama yang melangit, tetapi lebih penting manifestasi penghayatan agama yang membumi. Hanya melalui manifestasi keyakinan boleh terhasilnya pembuktian. Tanpa pembuktian, apa yang diyakini sebagai kebenaran itu sukar untuk dibezakan dengan angan-angan ilusi keagamaan atau sekadar sembang wacana falsafah golongan ilmuwan. Oleh itu, penghujahan tentang penekanan keagamaan Islam terhadap prinsip-prinsip kemajuan dan pembangunan masyarakat secara ideal tidak boleh berdiri sendiri, tetapi haruslah datang sama melalui penilaian empirikal.
Penilaian ini boleh diusahakan, antara lain dengan melihat trend pembangunan global dalam masyarakat majoriti Muslim pada masa ini menuju penghujung abad ke-21. Pew Research Center (2011) menjalankan kajian bertajuk “Masa Hadapan Populasi Muslim Global”, di mana pada tahun 2010, populasi Muslim berjumlah 1.2 bilion (74%) tinggal di 49 negara majoriti Muslim. Populasi Muslim di negara-negara majoriti Muslim ini dijangka meningkat kepada 1.7 bilion (78%) pada tahun 2030. Satu lagi kajian Pew Research Center (2015) bertajuk “Masa Hadapan Agama-agama Dunia: Jangkaan Peningkatan Populasi 2010 – 2015” menunjukkan populasi Muslim di seluruh dunia sedang meningkat pantas, dua kali ganda berbanding peningkatan populasi global secara umum. Populasi Muslim dijangka terus meningkat daripada 23% (1.6 bilion) pada tahun 2010, kepada 30% (2.8 bilion) pada tahun 2050, serta berkemungkinan meningkat kepada 35% menuju penghujung abad ke-21, sekaligus menjadi komuniti agama global yang paling ramai di dunia.
Namun, kajian-kajian pembangunan global juga menunjukkan peningkatan populasi ini kebanyakannya berlaku di negara-negara Muslim yang ‘Kurang Maju (Less-developed countries)’. Berdasarkan dapatan kajian United Nation Development Programme (2019), Indeks Pembangunan Manusia (Human Development Index, HDI) menunjukkan hanya 24 negara-negara majoriti Muslim berada pada tahap HDI ‘Tinggi’ atau ‘Amat Tinggi’, sedangkan terdapat 25 negara majoriti Muslim lainnya berada pada tahap HDI ‘Sederhana’ atau ‘Rendah’.
Hal ini menunjukkan kebanyakan negara dan populasi Muslim masih berada dalam keadaan tidak membangun, menghadapi permasalahan kemiskinan, serta tahap pembangunan pendidikan dan kesihatan yang rendah. Tambahan pula, dalam kalangan negara-negara majoriti Muslim dengan tahap HDI yang tinggi, khususnya di negara-negara Timur Tengah menunjukkan kadar kesenjangan ekonomi yang tinggi. Tahap pembangunan masyarakat di negara-negara majoriti Muslim dapat diteliti dengan lebih meluas dengan melihat indeks-indeks utama pembangunan global lain seperti tahap keamanan global, demokrasi, kelestarian alam sekitar, kesetaraan jantina dan sebagainya, dengan rata-rata dapatan penilaian ini cenderung memperlihatkan permasalahan pembangunan yang serius di kebanyakan negara-negara majoriti Muslim.
Perbincangan ringkas di atas; melalui penghujahan ideal prinsip pembangunan Islam, kemudiannya penilaian pembangunan global masyarakat Muslim, memberikan gambaran seakan-akan terdapatnya pertentangan antara penghujahan ideal dengan keadaan realiti berkaitan Islam dan pembangunan masyarakat; atau setidak-tidaknya terdapat ‘gap’ yang luas antara aspirasi ideal Islam dengan keadaan realiti semasa masyarakat Muslim. Hal ini wajar dilihat sebagai satu permasalahan, apatah lagi mengambil kira peningkatan populasi global komuniti Muslim pada dekad-dekad yang akan datang hanya akan merumitkan lagi keadaan sekiranya kita terus gagal untuk menangani permasalahan asas berkaitan pembangunan masyarakat.
Oleh yang demikian, komuniti Muslim khususnya dalam kalangan pemimpin dan cendekiawan mestilah berusaha sebaik-baiknya mencari penyelesaian dan langkah-langkah intervensi, atau dengan kata lain keperluan untuk menghasilkan ‘Ijtihad’ baharu berkaitan pembangunan masyarakat. Penerapan Ijtihad ini diberikan penekanan oleh Iqbal sebagai asas kepada prinsip pergerakan dan kemajuan Islam dalam menghidupkan semangat keagamaan yang dinamik, kreatif dan progresif, serta telah menyumbang kepada perkembangan Ummah ke seluruh dunia pada abad-abad awal Islam. Namun, Iqbal menjelaskan kegagalan komuniti Muslim untuk menerapkan prinsip Ijtihad secara meluas sepanjang lima abad yang lalu telah membawa kepada kemunduran Ummah secara keseluruhannya.
Kepentingan menghidupkan prinsip ‘Ijtihad’ ini juga ditekankan tokoh sosiologi agama Malaysia, Syed Husin Alatas (1979) dalam karya beliau “Kita dengan Islam.” Beliau menjelaskan tanpa penerapan ‘Ijtihad’ secara aktif, keadaan masyarakat Muslim pada zaman ini seakan-akan “tumbuh, tapi tiada berbuah..”, satu frasa perbandingan yang tepat dalam menjelaskan peningkatan populasi Muslim pada masa ini, namun gagal membangun masyarakat secara mapan, apatah lagi menjadi peneraju pembangunan kemanusiaan di peringkat global.
Justeru itu, Aku merasakan langkah-langkah awal ke arah membangun semula masyarakat Muslim haruslah bermula dengan penerapan ijtihad-ijtihad baharu. Penerapan ijtihad bukan hanya dalam erti kata klasik berkaitan peranan para ilmuwan perundangan Islam atau sekadar hal-hal dalam kerangka fiqh, tetapi wajar digalakkankan kepada semua ahli umat dalam semua hal penjanaan kreativiti, produktiviti dan pembangunan masyarakat. Keperluan ini tidak sukar difahami dengan kepekaan keadaan masyarakat masa kini dalam era ‘kemodenan lewat (late-modernity)’, di mana ahli-ahli masyarakat tidak lagi semudahnya dibentuk oleh autoriti melalui kerangka perundangan, mahupun lain-lain instrumen struktural, tetapi lebih cenderung digerakkan melalui kreativiti idea, pencerahan wacana, serta tindakan kolektif ahli-ahli masyarakat itu sendiri.
Maka, tanggungjawab meneroka permasalahan pembangunan ini mestilah digarap aktif oleh para ilmuwan dan pemimpin masyarakat lalu menawarkan penyelesaian. Peranan mereka sangat penting, terutamanya di Malaysia, antara negara majoriti Muslim dengan tahap pembangunan masyarakat yang relatifnya lebih baik berbanding yang lain. Persoalan-persoalan penting yang perlu ditanggapi secara kritikal dan konstruktif, antara lain, termasuklah; sejauhmana penerapan keagamaan masyarakat kita pada masa ini menjurus kepada realisasi potensi diri dan masyarakat?; sejauhmana penerapan unsur-unsur Islam dalam kerangka sistem moden masih dapat mengekalkan integriti keagamaan pada masa yang sama menjana pembangunan?; sejauhmana model pembangunan global, berserta indikator-indikator penilaiannya bertepatan dengan aspirasi pembangunan masyarakat kita?; Malah, penghasilan teori-teori pembangunan baharu wajar digalakkan dalam mencari penyelesaian permasalahan pembangunan menuju penghujung abad ke-21 ini.
Kewajipan Muslim dalam menggerakkan pembangunan masyarakat masa ini amatlah luas. Mengambil inspirasi Hijrah dan perjuangan baginda Nabi SAW dalam membangun komuniti awal Muslim, sewajarnya kita turut sama komited dalam membangun masyarakat di Malaysia, juga umat manusia keseluruhannya. Semoga dengan setiap akal fikir, degupan zikir dan laungan takbir dari hari ke hari, hadir bersama usaha menggerakkan pembangunan, seterusnya membuahkan kejayaan satu masa nanti.
“Dengan akal-fikir jadi perisai dan rasa cinta jadi senjata,
Hai sang hamba Tuhan! Kepimpinan dunia ini selayaknya kau miliki..
Seru ‘Allah-u-Akbar’ menghapus segalanya melainkan Tuhan; Ianya api yang membara!
Sekiranya benar kau seorang Muslim, takdirmu ialah untuk mencapai apa yang dicitai! – Muhammad Iqbal (1977)
Semoga rahmat Tuhan sentiasa bersama kita. Dan Allah yang Maha Tahu akan segalanya.
Rujukan
Al-Qur’an (32:9). Tafsir Message of the Qur’an. Terjemahan Muhammad Asad.
Dr. Syed Hussein Alatas. 1979. Kita dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah. Pustaka Nasional PTE LTD. Singapura
Muhammad Iqbal. 1997. Shikwa and Jawab-i-Shikwa. Oxford University Press. [Terjemahan penulis]
Muhammad Iqbal. 2013. The Reconstruction of Religious Thought in Islam. Stanford University Press. Stanford.
Muhammad Umer Chapra. 2008. The Islamic Vision of Development in the Light of Maqasid al-Shari’ah. The International Institute of Islamic Thought (IIIT), London. [Terjemahan penulis]
Pew Research Center. 2011. The Future of the Global Muslim Population.
Pew Research Center. 2015. The Future of World Religions: Population Growth Projections, 2010-2050.
United Nations Development Programme (UNDP), 2019. Human Development Report 2019