“Berdasarkan gambaran konsep masyarakat pada zaman moden dan juga pada zaman pra-penjajahan, saya sebenarnya bertambah yakin bahawa ras dan etnisiti—kategori-kategori yang memberikan dampak penting terhadap cara hidup dan penterjemahan alam di sekeliling kita selama lebih dua abad—sering menimbulkan salah tafsir.”- Anthony Milner, The Malays (terj: 2019)
Melayu. Satu terma yang sering menimbulkan kesalahtafsiran.
Melayu, juga satu perkataan yang apabila diangkat dalam perbincangan pastinya akan membibitkan pandangan hangat tentang sifat Melayu, pandangan alam yang terkandung dalam pemikiran Melayu dan kebudayaan Melayu. Mungkin juga kerana Melayu dari segi populasinya sebagai etnik paling ramai dan dominan. Malahan, faktor pensejarahan juga telah membuktikan bahawa masyarakat Melayu sudah lama wujud mendiami Tanah Melayu, dengan merujuk kepada fasa kemegahan kewujudan empayar Kesultanan Melayu Melaka.
Memang, ini citra sejarah yang sering diagungkan oleh masyarakat Melayu sejak berabad lamanya sehingga ke fasa moden hari ini. Citra sejarah ini juga sering disalah tafsir bukan saja oleh bukan Melayu, masyarakat Melayu juga sendiri sering menyalah tafsir pensejarahan mereka. Kita tidak boleh salahkan Melayu tentang itu, itu sifat asal sebagai Melayu. Masyarakat Melayu sungguhnya kuat memegang pada tradisi dan waktu silam (baca: sejarah). Jika dipermainkan soal pensejarahan Melayu di Malaysia, pastinya akan ada kumpulan ultra-Melayu membangkitkan kehangatan mencetuskan rasa keterancaman terhadap kedudukan orang Melayu. Lebih menghangatkan dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang latar masyarakat bersifat rencam, soal kedudukan Melayu acap kali dilihat sebagai tajuk utama.
Namun, dalam kebanyakan inti perbincangan tentang masyarakat Melayu, yang paling dan sering dijadikan tumpuan adalah soal pegangan politik orang Melayu. Soal ini yang sering lagi disalah tafsir oleh pelbagai pihak. Banyak kajian dilakukan ahli sains politik berkisarkan tentang Melayu. Perihal politi (polity) dan budaya politik Melayu khususnya amalan penaung-dinaung (patron-client) dan jaluran feudalisme masih mencengkam kuat walaupun evolusi zaman mengubah aktor yang terlibat.
Jika ditelusuri sifat masyarakat Melayu di Malaysia, pegangan masyarakat Melayu agak cenderung ke arah “konservatif” dengan ciri kurang menyukai perubahan drastik, tradisi harus berkesinambungan dengan sejarah, keperluan utama menjaga kepentingan komuniti, pengekalan hierarki yang telah lama wujud dan mempertahankan autoriti. Itu jalur pegangan asas sebagai masyarakat yang berpegang pada faham konservatif dan pengamalannya dilihat kuat dalam masyarakat Melayu. Walaupun agak kontroversi memandangkan konservatif dilihat sebagai satu terma yang sering mengalami cemuhan atau tidak menyenangkan (pejorative), tetapi kita tidak boleh nafikan bahawa konservatif merupakan ideologi yang paling dominan melingkari kuat pemikiran kebanyakan pemimpin hebat dunia (Schumann 1978).
Persoalannya, apakah benar masyarakat Melayu itu konservatif? Salahkah masyarakat Melayu berpegang pada jalur ideologi konservatif? Ini inti yang sepatutnya diangkat dalam mewacanakan hubungan pengamalan konservatisme dalam masyarakat Melayu.
Melayu dan Konservatisme: Berpisah Tiada
Istilah konservatif sering kali dilihat dalam konotasi yang negatif, kolot, lapuk dan buruk. Secara ideologikal, sifatnya memang keras dan menyukarkan untuk penerimaan namun sering kali diperdebatkan baik dalam dunia akademik mahupun di ruang awam. Konservatif juga sering disalah ertikan sebagai pegangan ideologi yang jumud, mungkin kerana tumpuan konservatif banyak berkisarkan persoalan tentang penolakan terhadap perubahan.
Sebetulnya, konservatif tidak menolak perubahan, namun perubahan tersebut seharusnya tidak mengancam kelangsungan sesuatu kelompok majoriti ianya pasti diterima. Konservatisme juga meliputi soal nilai-nilai dominan dan dan pemikiran dasar yang memacu kepada pengorganisasian dan modus operandi dalam perlakuan politik. Ini dibuktikan dengan kajian awal menggunakan kerangka konservatisme di Malaysia oleh Mohamad Abu Bakar (2000) melalui tulisannya di dalam Pemikir bertajuk, “Konservatisme dan Konflik: Isu ‘Kafir-Mengkafir dalam Politik Kepartian 1955-2000”.
Pegangan politik masyarakat Melayu sebetulnya digerakkan oleh kesatuan yang menggagaskan idea dan prinsip “nasionalis-konservatif” dan dijelmakan ke dalam bentuk gerakan nasionalis (Funston 1980). Prinsip ini dimanifestasikan melalui medium pembentukan parti politik yang bersifat kaum misalnya seperti kewujudan UMNO (United Malays National Organization) sebagai parti yang mengagaskan nasionalisme Melayu. UMNO dilihat sebagai sebuah parti politik yang mempunyai kecirian ke arah pegangan ideologi politik konservatif.
Tulisan Muhammad Takiyuddin Ismail bertajuk, Konservatisme Dalam Politik UMNO (2011) dan UMNO dan Konservatisme (2012), menjustifikasikan UMNO sebagai sebuah parti politik yang berpegang pada nilai-nilai konservatif dengan melihat kepada pengukuhan konservatisme dalam pentadbiran Mahathir Mohamad (1981-2003) semasa menjawat posisi sebagai Perdana Menteri ke-4. Legasi konservatisme dalam UMNO diketengahkan juga sewaktu pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi (2003-2009) namun agendanya dilihat bertentangan dengan legasi Mahathirisme. Struktur UMNO juga dilihat sama seperti kewujudan Labour Democratic Party (LDP) di Jepun yang berpegang kepada jalur konservatif sebagai paksi kepada pengamalan dan pengangkatan imej sebagai sebuah parti politik yang dominan.
Perjuangan UMNO mengangkat soal kelangsungan dan kepentingan masyarakat Melayu. Ini ditandai dengan pencirian konservatisme mengaitkan masyarakat UMNO yang boleh dilihat sebagai sesuatu yang berkait rapat dengan masyarakat Melayu. Pencirian ini dimulai dengan kecenderungan konservatisme untuk menekankan pendekatan preskripsi dan prinsip pemautan memfokuskan kepada tradisi, waktu silam, duluan, konvensyen, peranan institusi, keharmonian, kelangsungan dan status quo. Pencirian ini begitu rapat dengan masyarakat Melayu yang mementingkan soal pemautan apabila mengaitkan kesinambungan antara era pra-kemerdekaan dengan pasca-kemerdekaan.
Kedua, konservatisme sangat mengutamakan kepentingan komuniti dan masyarakat melebihi individu. Ini dibuktikan ketika era pemerintahan Mahathir yang menekankan penerapan nilai konservatisme melalui aspek kawalan dan tekanan yang bertujuan untuk kestabilan politik pemerintah dalam menjaga kepentingan Melayu selain daripada peranan kelompok ultra-Melayu yang memperjuangkan perihal kelangsungan kedudukan Melayu.
Ketiga, penolakan terhadap usaha mencari kesamaan sosial. Ini dijelmakan dalam masyarakat Melayu dengan kewujudan kedudukan istimewa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dan kewujudan ini dipersoalkan yang kemudiannya mencetuskan tentangan kuat masyarakat Melayu terhadap bukan Melayu yang menyuarakan soal kesamarataan kedudukan.
Keempat, kepercayaan bahawa perubahan harus tetap diiktiraf dan diterima. Masyarakat Melayu percaya bahawa perubahan harus berlaku namun tidak secara drastik.Ini tanda bahawa mereka menerima perubahan namun harus beransur-ansur, tidak mengorbankan kepentingan pihak terdahulu serta harus mesra dengan masyarakat melayu itu sendiri. Buktinya, dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), masyarakat Melayu menerima perubahan kerajaan pemerintah apabila Barisan Nasional (BN) yang terpalit dengan kerosakan imej politik dijatuhkan dan digantikan dengan dengan Pakatan Harapan (PH).
Perikatan Nasional (PN): Kebangkitan Konservatisme?
Pasca PRU-14 memperlihatkan perubahan dalam latar politik di Malaysia. BN yang diketuai oleh UMNO pada akhirnya tumbang setelah hampir 60 tahun mendominasi gelanggang pilihan raya umum menjadikan Pakatan Harapan (PH) muncul sebagai pemerintah baru untuk negara Malaysia. “Reformasi” yang dianjurkan PH bukan lagi dilihat sebagai slogan, malahan ianya telah dijadikan sebagai agenda perubahan apabila pendekatan reformasi dilaksanakan untuk menstrukturkan kembali sistem kerajaan. Dengan laungan “Malaysia Baru” pastinya rakyat menginginkan berlakunya perubahan khususnya dari segi budaya, struktur dan institusi politik di Malaysia.
Walau bagaimanapun, soal keterancaman Melayu mula wujud di bawah pemerintahan PH apabila naratif “Melayu Malas”, “Melayu nak kena suap lagi” dibangkitkan kembali oleh Mahathir Mohammad yang ketika itu dilantik sebagai Perdana Menteri ke-7 Malaysia, ianya dilihat sebagai sesuatu yang mencetus kemarahan masyarakat Melayu.
Serangan-serangan dari wakil-wakil parti bukan Melayu seperti DAP yang mempersoalkan kedudukan Melayu dalam perlembagaan menjadikan situasi ini lebih hangat. Kesannya besar, euforia “Malaysia Baru” selepas setahun kemenangan PH semakin pudar. Laungan kelompok ultra-Melayu berkenaan naratif “kedudukan Melayu terancam di bawah PH” akhirnya menyebabkan masyarakat Melayu tidak melihat PH sebagai sosok yang mampu mewakili mereka.
Ditambah pula dengan projek penjenamaan semula UMNO dengan menawarkan tokoh-tokoh berimej bersih mereka seperti Mohammad Hassan atau Tok Mad mempengaruhi kecenderungan sokongan Melayu kepada UMNO. Pengukuhan juga dilihat melalui pembentukan Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dengan Parti Islam se-Malaysia (PAS) menjadikannya sebagai tapak permulaan ke arah kebangkitan konservatisme di dalam latar politik keMelayuan di Malaysia pasca PRU-14 (Norhayati Ismail 2019). Naratif seperti “tanah ini sejarahnya adalah Tanah Melayu” dan “orang Melayu berbesar hati menerima bangsa-bangsa lain untuk berkongsi nikmat, kemewahan, kemakmuran dalam negara ini” diungkit kembali yang menatijahkan sisi populis kelompok konservatif ini.
Romantisnya hubungan dwipihak antara UMNO-PAS ini telah menyumbang kepada penginstitusian nilai konservatisme dalam pakatan MN. Soal Melayu dan Islam menjadi nadi kepada penginstitusian ideologi konservatisme dalam MN. Penginstitusian ini diperkukuhkan lagi dengan krisis dalaman parti pemerintah ketika itu yang membawa kepada perpecahan PH. Perpecahan ini kemudiannya menyumbang kewujudan satu versi baru pakatan politik pasca MN dengan kemasukan BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) menyertai UMNO dan PAS, yakni Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yaasin sebagai penakhoda, dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8. Pembentukan PN sebagai parti pemerintah baru menggantikan PH mencetus kehangatan apabila dilabel sebagai “kerajaan pintu belakang” dan plantikan sebagai pemerintah tidak melalui prosedur etika yang sah. Asas kewujudan BERSATU juga sebetulnya didirikan paksinya melalui penjiwaaan Melayu-konservatif dalam prinsip politik.
Kendatipun begitu, dengan perlantikan PN mengesahkan bahawa elemen konservatisme kembali diperkukuhkan selepas tapaknya dibina oleh pakatan MN. Dengan UMNO dan PAS yang sememangnya berpaksikan kepada konservatisme, ditambah dengan kehadiran BERSATU, parti yang juga berteraskan Bumiputra Melayu menyertai PN menjelaskan bahawa citra politik Melayu masih berkisarkan soal kepentingan dan kelangsungan Melayu.
Ini tidak menghairankan, sejak citra politik Melayu sudah wujud, pengguliran masyarakat Melayu dengan konservatisme sudah lama berlaku, disebabkan oleh perpecahan dan kegoyahan penginstitusian elemen ke-Melayuan dalam PH ianya menyumbang ke arah pengukuhan PN sebagai pelantar (platform) baru untuk mewakili suara masyarakat Melayu.
Walau bagaimanapun, kerisauan turut melanda apabila potensi kelompok konservatisme untuk menjadi ekstrem adalah tinggi (Zin Mahmud 2019). Ini memandangkan retorik yang digunakan oleh kelompok ultra-konservatif Melayu dilihat hampir senada dengan kelompok rasisme, pelampau keagamaan, fasisme, populis kanan dan kelompok memperjuangkan politik identiti. Ini juga tanda bahawa konservatisme kembali bangkit melalui penjelmaan dalam bentuk PN.
Terbaru, dengan kehadiran PEJUANG sebagai parti baru berkisarkan Melayu dibentuk oleh Mahathir Mohamad menambahkan lagi kerancakan kebangkitan konservatif Melayu dalam politik Malaysia. Cuma, bezanya adalah PEJUANG dibentuk dalam barisan pembangkang menjustifikasikan bahawa konservatisme juga boleh digagaskan melalui imej pembangkang dan kepembangkangan.
Justeru, dalam konteks Malaysia, soal dominasi parti berasaskan etnik Melayu masih kuat, cuma persoalan yang harus dibangkitkan adalah, sejauh mana citra politik Melayu ini akan bertahan dalam era revolusi maklumat dan teknologi yang semakin pantas hari ini? Bagaimana dengan latar politik Malaysia pada masa hadapan, apakah masih berkisarkan soal politik perkauman? Atau berpindah kepada soal politik kelas? Apakah dominasi konservatisme bakal berakhir dan digantikan dengan progresivisme? Sampai bila retorik politik etnosentrisme akan membelenggu politik Malaysia?
Semua pertanyaan ini harus dibincangkan pada masa hadapan dalam usaha kita memperkukuhkan spektrum ideologi di Malaysia dari disalah tafsir dan membuang imej pejoratif terhadap citra politik konservatif masyarakat Melayu.
Rujukan:
Anthony Milner. 2019. The Malays. (terj: Izzudin Ramli, Melayu dan Kemelayuan: Menelusuri Sejarah Idea). Petaling Jaya: SIRD
Funston, J. 1980. Malay Politics in Malaysia: A Study of UMNO & PAS. Kuala Lumpur: Heinemann.
Malaysia Kini. 2020. Naratif “Melayu Malas” kesilapan PH, kata Anwar. 12 Jun. https://www.malaysiakini.com/news/529939
Muhammad Takiyuddin Ismail. 2011. Konservatisme dalam Politik UMNO. Jurnal Jebat. Vol 38 (1): 57-80.
Muhammad Takiyuddin Ismail. 2012. UMNO dan Konservatisme. Dlm. Haris Zuan & Rizal Hamdan. Wajah Baru Politik Malaysia. Petaling Jaya: SIRD.
Norhayati Ismail. Pakatan UMNO-PAS: Kebangkitan Konservatisme. 4 Apri. www.sinarharian.my
Tanaka Mustafa. 2020. Jiwa Konservatif dalam PBBM. 28 Februari. https://www.1media.my/2020/02/jiwa-konservatif-dalam-ppbm.html
Schumann, H. G. 1978. The Problem of Conservatism: Some Notes on Methodology. Journal of Contemporary History Vol 13(4).
Zin Mahmud. 2019. Kebimbangan Terhadap Fahaman dibawa UMNO-PAS. 19 Mac. www.freemalaysiatoday.com.