Pengenalan
Migrasi telah menjadi satu isu yang mendesak yang dihadapi oleh semua kerajaan dalam dunia kini. Ada negara yang penduduknya melebihi daripada kemampuan negara untuk menampung kepadatannya, manakala ada juga negara yang berusaha untuk mendapatkan tenaga kerja untuk memenuhi tuntutan tenaga kerja yang diperlukannya. Dalam abad ini, proses migrasi menjadi suatu fenomena global yang menjadi semakin kompleks dan telah mewujudkan kepelbagaian dalam masyarakat. Boleh dikatakan dalam dunia kini, tiada lagi negara yang hanya didiami oleh satu bangsa sahaja, bahkan persoalan migrasi, pendatang asing dengan atau tanpa izin adalah merupakan satu isu yang utama dalam sesebuah negara, tidak terkecuali Malaysia.
Migrasi: Sorotan sejarah
Menurut Wallerstein’s (1974:15)[i] (dalam Cohen 1995), diakhir abad ke 15 dan awal abad ke 16, munculnya apa yang disebut sebagai “European world economy”. Wallerstein menyebut bahawa ianya adalah sesuatu yang berbeza dengan ekonomi dunia sebelumnya seperti Empayar China atau Empayar Parsi dan Empayar Rom, dimana ekonomi dunia yang dikuasai oleh Eropah ini berpaksikan kepada perniagaan, bukannya melalui pembinaan empayar-empayar kerajaan yang baharu. Perniagaan baru ini juga bukan hanya tertumpu kepada komoditi seperti emas, bulu binatang, rempah ratus atau gading, bahkan turut melibatkan pelayar, penduduk tetap, peniaga dan hamba abdi. Secara faktanya, European Mercantilism telah memulakan proses migrasi paksaan yang terbesar dalam sejarah dunia, iaitu migrasi seramai 10 juta hamba abdi dari Afrika ke dunia baru.
Perhambaan dan Perjanjian adalah merupakan dua perkara utama yang mendominasi proses migrasi selama 300 tahun dalam sistem dunia ekonomi Eropah ketika itu. Selepas tamatnya sistem perhambaan, para pekerja dari China, India dan Jepun pula dibawa berkerja di sektor peladangan milik orang Eropah. Kewujudan buruh paksa ini sehinggalah keabad 20, sehinggalah tahun 1941 dalam Syarikat Hindia Timur, dinyatakan oleh para sarjana sebagai faktor penyumbang kepada evolusi kapitalism dalam skala global
Perkembangan kerajaan Eropah juga disekalikan dengan migrasi sukarela orang orang Eropah ke dunia baru, iaitu di kawasan tanah jajahan, dominions[ii] dan juga ke Amerika. Migrasi sukarela orang Eropah ini disemarakkan oleh orang tempatan dan kemahuan peribadi dan juga ada antaranya yang ditaja untuk ke sana. Negara Britain, Belanda, Sepanyol dan Peranchis antara negara-negara yang mempromosikan peluang kepada warganya untuk bermigrasi ke luar negara asal mereka. Britain adalah sebuah kerajaan yang sangat berjaya dalam mempromosikan migrasi rakyatnya ke kawasan jajahan mereka.
Migrasi baharu kemudianya bermula dengan kemunculan Amerika sebagai sebuah kuasa besar dunia dalam bidang industri. Bermula dari pertengahan abad ke 19 lagi, sektor pembuatan telah menunjukkan peningkatan yang sangat besar dalam dunia, dari 14.7% (1880) kepada 23.6% (1900), 32% (1913) sehinggalah 39.3% pada tahun 1928. Berjuta juta pekerja dari negara negara yang ekonominya yang tidak berdaya maju dari Eropah telah bermigrasi ke Amerika Syarikat dari tahun 1880-1993. Proses migrasi ini kemudiannya telah menjadi perlahan kesan dari proses imigrasi yang diketatkan dan juga kemudian berlakunya kemelesetan ekonomi.
Dari penghujung abad ke 19 sehinggalah pertangahan abad ke 20, migrasi merentas antarabangsa adalah menjadi enjin penting kepada pembangunan ekonomi bagi negara-negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Argentina, Australia, Brazil dan New Zealand. Kebanyakkan immigran ini datangnya dari negara Eropah, terutamanya dari Ireland, Italy, Sepanyol. Poland, dan Negara-negara skandinavia (Andres Solimano: 2)
Robin Cohen (1996) menjelaskan tentang beberapa dimensi penting untuk memahami tentang konsep dan teori tentang migrasi, iaitu
- Pertamanya dilihat dari aspek kehendak individu itu sendiri atau dalam contextual reason untuk bermigrasi.
- Keduanya dari aspek The rate vs incidence of migration iaitu perbandingan antara motivasi individu dengan struktur persekitaran untuk migrasi.
- Ketiganya sama ada migrasi itu bersifat dalaman sahaja atau antarabangsa,
- keempat sama ada migrasi itu bersifat sementara atau migrasi kekal,
- kelimanya sama migrasi itu untuk membina penempatan kekal atau hanya migrasi untuk mencari pekerjaan,
- keenam sama ada migrasi itu sesuatu yang dirancang ataupun dipaksa untuk bermigrasi.
- Ketujuh sama ada migrasi itu berorientasikan ekonomi (economic migrants) ataupun menjadi pelarian politik,
- kelapan sama ada migrasi itu secara haram atau migrasi sah dan yang
- kesembilan ialah faktor penolak dan penarik dalam migrasi.
Naratif Migrasi Di Malaysia
Di Malaysia, penjajahan memberikan wajah kepelbagaian etnik hingga sekarang. Penjajah British telah menguasai Tanah Melayu semenjak dari Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 lagi dan dasar pentadbiran British telah memberikan impak kepada pembentukan masyarakat kepelbagaian di Malaysia. Dalam era pentadbiran kolonial British, para imigran dari negara China dan India dilihat sebagai golongan pekerja yang diperlukan untuk kepentingan ekonomi British. British telah membawa masuk imigran dari negara China secara besar-besaran mulai pertengahan abad ke 19 apabila permintaan dunia yang tinggi untuk bijih timah. Manakala kemasukan immigran India ke Tanah Melayu seiring dengan pembukaan ladang-ladang getah secara besar-besaran, terutamanya di negeri-negeri sebelah pantai barat Malaysia.
Kedatangan immigran dari China dan India telah membawa perubahan kepada beberapa keadaan antaranya lahirnya masyarakat majmuk dan perubahan dalam demografi penduduk Tanah Melayu. Tanah Melayu sebelumnya didominasi oleh orang Melayu telah berubah corak masyarakatnya dengan kemasukan orang China dan India, walaupun kehidupan mereka yang terpisah antara satu sama lain. Kerajaan British telah menjalankan dasar “divide and rule” yang terus berkembang dan meluas sehingga selepas merdeka dan sehingga terbentuknya Malaya dan Malaysia. Pengkhususan pekerjaan, pengasingan penempatan, proses mobilasi dan penyusunan sosial masyarakat yang terpisah dan pengasingan budaya terus diperkukuhkan dan dikekalkan lagi semasa Pendudukan Jepun dan darurat. Manakala kemerdekaan Tanah Melayu 1957 dan pembentukan Malaysia 1963 tidak menunjukkan sebarang perubahan kepada polisi pecah dan perintah ini.
Kerajaan telah melaksanakan dasar liberalisasi ekonomi dalam usaha untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara, termasuklah pengambilan pekerja-pekerja asing dalam mengisi kelompangan tenaga kerja yang diperlukan. Malaysia sekali lagi telah terdedah kepada proses migrasi disebabkan oleh perkembangan pesat ekonomi sejak 1970-an. Projek industrialisasi dibawah Dasar Ekonomi Baru (1971-1990) dan Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000) telah menjadikan Malaysia kekurangan tenaga kerja yang diperlukan, terutamanya dalam sektor pertanian, pembinaan dan pembuatan. Sektor-sektor ini sangat bergantung kepada pekerja-pekerja asing, terutamanya dari Indonesia. Dianggarkan pada tahun 1996, jumlah pekerja asing di Malaysia adalah seramai 1.7 juta orang di seluruh Negara yang merangkumi pekerja-pekerja dari Indonesia, Bangladesh, Fillipina, Pakistan, Thailand dan sebagainya. Mengikut statistik tahun 2019, jumlah bukan warganegara di Malaysia meningkat kepada seramai 3.2 juta orang.
Jadual 1: Anggaran Penduduk Semasa Malaysia, 2019
Sumber:https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/pdfPrev&id=Vjc3dFd5cXhNYTZtbnVhS0lEWEpudz09
Jika dilihat dari statistik pekerja asing aktif terkini mengikut sektor sehingga 30 Jun 2019, memperlihatkan bahawa kebergantungan tinggi kepada pekerja asing berkemahiran rendah, terutamanya dalam sektor perkilangan, pembinaan dan perladangan. Jumlah keseluruhan pekerja asing yang sah taraf pada tahun 2019 ialah seramai 2,002,427 orang. Kebanjiran pekerja asing berkemahiran rendah di negara ini menjejaskan produktiviti ekonomi dan mengakibatkan peningkatan pekali pekerjaan kepada KDNK.
SUPER KEPELBAGAIAN MASYARAKAT MALAYSIA DISEBALIK PERSOALAN EKONOMI DI MALAYSIA
Disamping persoalan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi berkait dengan kemasukan pekerja asing, persoalan dari sudut lain yang amat penting juga perlu diberi perhatian iaitu mengenai soal perubahan struktur masyarakat dari masyarakat kepelbagaian kepada masyarakat Super kepelbagaian.
Super-kepelbagaian mengambarkan kepelbagaian dan faktor saling menguntungkan yang dikaitkan dengan status dan pengalaman masa kini yang telah mencorakkan kontek pelbagai budaya di bandar (Vertovec 2007). Ini termasuk migran diberikan layanan yang berbeza dan hak yang terbatas, pengalaman pasaran buruh yang berbeza, profil gender dan umur, pola agihan ruang spatial dan penerimaan oleh pusat pemberi perkhidmatan di kawasan setempat dan penghuni. Pelbagai komplek set batas kumpulan yang cair dan bergerak terbina di bandar sekitar gender, umur, agama, etnisiti, budaya, bahasa, atau pertanda sosial lain, terbina dalam interaksi setempat dan difahami dalam wacana global. Super-kepelbagaian dan pasca sekular membina dan mentafsir semula nilai, budaya, amalan dan keagamaan untuk menolak autoriti yang mengongkong gender, ekonomi kapitalist dan komplek ketenteraan. Nilai, budaya, amalan dan keagamaan ditafsir baru sebagai menolak untuk berada dalam satu jemaah dengan secara kekal, terikat dengan program kerohaniah secara keluar masuk, mengamalkan dan keyakinan tentang kehidupan dan kekuatan diri yang berbeza dengan amalan agama tradisi dan kefahaman setempat (Mansor 2017)
Dalam konteks Malaysia pula, Shamsul Amri (2016), beliau menghujahkan mengenai pola migrasi baharu yang berlaku di Malaysia, iaitu
- melibatkan pelbagai individu dan kelompok yg berbeda, rata-rata bersaiz kecil,
- Migrasi berlaku lebih pantas dari zaman kolonial, selalunya tak terkawal, yang haram dan halal
- Tiba dengan berbagai alasan: pelarian, pendatang haram, pelajar antarabangsa, expatariat, penyeludupan, perdagangan manusia dan juga aktiviti-aktiviti belakang tabir seperti pelacuran dan sebagainya.
Shamsul Amri (2016) menjelaskan lagi fenomena masyarakat super kepelbagaian yang berlaku mengakibatkan berlakunya pelipatgandaan kepelbagaian (multiple diversities); merumitkan proses mengurusnya dan mengkaji mengenainya. Ianya adalah berdasarkan kepada kedatangan mereka daripada ratusan tempat asal dan pelbagai etnik dan pecahan etnik, yang amat berbeza dengan migrasi awal zaman British yang hanya melibatkan etnik Cina dan India. Ianya juga melibatkan ramai orang dan bertompok-tompok tapi bersifat fragmented sering terpisah-pisah dari segi ruang penempatan. Justeru itu, super diversity ini adalah sangat kompleks dari segi budaya, bahasa , agama dan sistem sosialnya. Ditambah lagi dengan status migrasi yang berbeda yang melibatkan saluran migrasi haram dan halal (pekerja, pelajar, ahli keluarga), orang pelarian, umur yang berbeda, buruh pasaran tinggi dan rendah taraf, gender bercampur-campur, banyak dalam sektor pengeluaran dan juga perkhidmatan, dan akhirnya mempunyai hubungan diaspora kuat.
Seterusnya beberapa persoalaan dikemukakan oleh Shamsul Amri (2016) dalam memahami masyarakat Super Kepelbagaian di Malaysia, iaitu apakah Malaysia sudah bersedia dengan transformasi dari KEPELBAGAIAN ke SUPER KEPELBAGAIAN di dunia dan di Malaysia? Bagi beliau, Malaysia belum lagi mampu memahami fenomena tersebut dengan baik, malah masih merangkak and rabun untuk memahami fenomena Super Kepelbagaian dalam proses pembandaran. Manakala dari segi ilmiahnya pula, ahli akademik masih terikat kepada konsep kepelbagaian tradisional serta perpaduan nasional, malah ada lagi ahli akademik serta masyarakat awam yang masih melihat masyarakat Malaysia dari perspektif masyarakat majmuk, walhal masyarakat Malaysia kini jauh berubah dan sangat rencam berbanding dengan masyarakat zaman dahulu. Shamsul Amri menghujahkan bahawa para penyelidik dan ahli akademik masih lagi tidak memberi perhatian kepada fenomena super kepelbagaian walaupun situasi tersebut berlaku di depan mata mereka sendiri.
Saya menghujahkan bahawa fenomena super kepelbagaian ini perlu diambil perhatian oleh pihak pemerintah dari sudut bagaimana Malaysia sepatutnya menguruskan masyarakat super kepelbagaian yang sangat rencam kini. Kepelbagaian bahasa yang dituturkan, kepelbagaian budaya, pinjam meminjam budaya, perkahwinan campur yang berlaku, kepelbagaian agama yang dianuti memerlukan satu bentuk pengurusan yang lebih tuntas dan terperinci dari pihak pemerintah.
Pandemik covid 19 yang melanda dunia tidak terkecuali Malaysia juga telah memperlihatkan banyak sisi sisi bahaya masyarakat super kepelbagaian jika ianya tidak diurus dengan baik. Diskriminasi dari segi penempatan pekerjaan oleh pemodal dalam mengaut keuntungan berlipat kali ganda akhirnya membawa kesan buruk kepada peningkatan jumlah kes covid 19. Seumpama apa yang dapat diperhatikan apabila kerajaan melaksanakan perintah kawalan setempat di Selayang, soal berhimpit himpitnya manusia dalam sebuah rumah yang kecil, penguasaan etnik migran dalam pasar borong selayang, dan terpalit dengan kritikan Al Jazeera mengenai cara Malaysia menguruskan pekerja asing di Malaysia.
Antara sisi lain yang memberikan imej buruk kepada Malaysia ialah dari sudut aktiviti pelacuran dimana dilaporkan bahawa Malaysia adalah antara destinasi pelacuran yang popular di dunia walaupun pelacuran adalah diharamkan di Malaysia. Kebanyakkan pelacur adalah dating dari negara-negara jiran terutamanya dari negara China (https://www.deccanchronicle.com/lifestyle/travel/080817/10-sex-tourism-destinations-around-the-world.html).
Rujukan
Andres Solimano. 2010. International Migration in the Age of Crisis dan Globalization. Cambridge University Press.
G. Beijer. Modern patterns of international migratory movements. 1969. In Migration edited by J.A. Jackson. Cambridge At The University Press
Cohen, Robin (ed.) 1995. The Cambridge Survey of World Migration, Cambridge: Cambridge University Press.
Cohen, Robin. 1996. “Theories of Migration”, dalam Robin Cohen (editor) Theories of Migration. UK. The International Library of Studies on Migration.
Cohen, Robin. 2006. Migration and its Enemies: Global capital, migrant labour dan the nation state. UK. University of Warwick.
Mako Yushimura. 2000. Economic Development and Foreign Workers in Malaysia – Migrant Workers and labour structure in Globalization. In Workshop 2000 “Globalization and Labour in Malaysia. 5-6 September 2000. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mansor Mohd Noor. 2017. Super Kepelbagaian dan Keselamatan Malaysia. Tidak diterbitkan.
Shamsul, A.B; . 1996. The Construction and transformation of a social Identity: Malayness and Bumiputeraness re-examined. Dalam Journal of Asian and African Studies, No. 52,
Shamsul A.B. 2016. Daripada KEPELBAGAIAN ke
SUPER-KEPELBAGAIAN: Cabaran Terkini di Bandar. Wacana MPN, 24 jun 2016 Di Persada UKM, Bangi
Vertovec, S. (2007). Super-diversity and its implications. Ethnic and racial studies, 30(6), 1024-1054.
https://www.malaymail.com/news/malaysia/2015/02/04/second-class-ethnic-chinese-controlling-malaysias-economy-swiss-muslim-acad/833909
http://www.data.gov.my/data/ms_MY/dataset/statistik-pekerja-asing-terkini-mengikut-negeri-dan-sektor/resource/e739947b-bca7-419c-b572-5fbb89d260f0
:https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/pdfPrev&id=Vjc3dFd5cXhNYTZtbnVhS0lEWEpudz09
[i] Dalam “Part One: Prologue, The Cambridge Survey of World Migration, 1
[ii] Dominion, the status, prior to 1939, of each of the British Commonwealth countries of Canada, Australia, New Zealand, the Union of South Africa, Eire, and Newfoundland. Although there was no formal definition of dominion status, a pronouncement by the Imperial Conference of 1926 described Great Britain and the dominions as “autonomous communities within the British Empire, equal in status, in no way subordinate one to another in any aspect of their domestic or external affairs, though united by a common allegiance to the Crown and freely associated as members of the British Commonwealth of Nations.”