Pada malam ambang sambutan tahun baru 2023, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyebut keperluan kepada pembangunan yang tidak semata-mata berasaskan pertumbuhan ekonomi, pendapatan per kapita dan pembinaan ‘gedung raksasa, projek mega dengan segala kemewahan tetapi tidak mempedulikan nasib rakyat’. Menurut Anwar lagi, Malaysia memerlukan anjakan paradigma dalam melihat erti pembangunan. Anwar Ibrahim dalam hal ini sangat konsisten sebenarnya sejak zaman mudanya – rujuk antaranya tulisan Khoo Boo Teik, The Making of Anwar Ibrahim’s “Humane Economy” (2020).
Sungguhpun demikian, jika kita menelusuri wacana mengenai konsep pembangunan ini, pembangunan dengan berpaksikan kemanusiaan ini bukanlah bermula dengan Anwar dan tidak mungkin berakhir dengan beliau. Anwar sedar akan wacana ini dan menekuninya dengan erat. Selepas perang dunia kedua, khasnya pada dekad-dekad 1970-an hingga 1990-an dunia mula beralih kepada konsep pertubuhan yang melangkaui pertumbuhan ekonomi dan KDNK. Pertubuhan (growth) hanyalah sebahagian daripada makna pembangunan (development). Di peringkat badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) misalnya kita dapati pada mulanya aktiviti pembangunan PBB tertumpu kepada membantu negara pulih daripada Perang Dunia Kedua. Apabila keahlian PBB berkembang pada tahun 1960-an dan 1970-an, pembangunan perindustrian dan infrastruktur, serta pertumbuhan ekonomi dan menyediakan persekitaran mesra perdagangan bagi negara membangun, dilihat sebagai penyelesaian utama untuk mengeluarkan negara daripada kemiskinan bagi mencapai pembangunan. Kemudiannya, secara berperingkat kita dapati PBB mula melihat dimensi pembangunan yang lebih holistik, dengan berpaksikan kemanusiaan apabila PBB memulakan persidangan antarabangsa berkenaan kependudukan (1974), wanita (1975), penempatan (1976), perlucutan senjata dan pembangunan (1987) sehinggalah membawa kepada penerbitan Laporan Pembangunan Manusia (Human Development Report) (1990), Deklarasi Milenium (2000) dan kini Agenda 2030 Matlamat Pembangunan Mapan.
Demikian juga di dalam negara kita, sejak tahun-tahun awal Merdeka, wacana besar yang tumbuh dalam masyarakat ketika itu adalah persoalan mengisi Kemerdekaan – apakah makna merdeka, bagaimana kehidupan layak untuk sesuatu masyarakat yang Merdeka? Daripada cerpen, novel hinggalah kepada filem-filem ketika itu secara langsung mahupun tidak ikut membahaskan persoalan ini. Melalui dasar negara, mulai tahun 1970-an kita dapati agenda membasmi kemiskinan dan meningkatkan kehidupan rakyat melalui akses kesihatan dan pendidikan itu menjadi fokus utama bagi setiap Rancangan Malaysia. Hasilnya, Malaysia secara dramatik berjaya menurunkan paras kemiskinan mutlak, membasmi buta huruf dan mengurangkan kematian bayi. Secara keseluruhannya, Malaysia berjaya keluar daripada takrif negara miskin atau tidak membangun (underdeveloped).
Cabaran kini telah berubah. Pembangunan bukan hanya pertumbuhan ekonomi (kuantitatif) tetapi juga merangkumi kehidupan yang bermaruah (kualitatif). Di sini kita tidak lagi bercakap soal kemiskinan mutlak tetapi kemiskinan relatif. Jika kemiskinan mutlak merujuk kepada ketidakmampuan bagi memenuhi keperluan asas, kemiskinan relatif merujuk kepada ketidakmampuan untuk hidup bermaruah dan hanya semata-mata memenuhi keperluan asas – hidup sekadar hidup. Seringkali juga kita menyebut kelas sosial ini sebagai miskin kota meskipun mereka ini tidak hanya terhad di kota-kota sahaja.
Kelas miskin relatif ini bukan sahaja tidak buta huruf, malah kebanyakan paling tidak punya sijil diploma atau ijazah pertama atau paling tidak pun sijil SPM. Mereka ini adalah berpelajaran tetapi menjadi mangsa underemployment atau overeducation kerana struktur pekerjaan di Malaysia yang kekal mendak (stagnant). Akibat kenaikan inflasi yang tidak sejalan dengan peningkatan gaji, maka golongan ini wajib, mahu tidak mahu, memikul dua atau tiga pekerjaan untuk kekal hidup. Mereka juga adalah kumpulan yang dibelenggu dengan hutang yang tinggi. Gaji hanya untuk membayar hutang dan mencukupkan hidup untuk bulan seterusnya. Dengan demikian, tidak hairanlah ramai pelajar lepasan sekolah yang tidak lagi ghairah untuk melanjutkan pelajaran – kerana sijil diploma dan ijazah tidak ada lagi nilainya jika tidak mampu menjanjikan kehidupan yang bermaruah.
Akan tetapi meskipun mengenal pasti dan menginsafi wujudnya masalah adalah langkah mula yang baik, apa yang lebih penting adalah jalan mengatasinya. Tanpa perancangan jalan keluar ini, tema-tema ‘pembangunan kemanusiaan’ oleh Anwar Ibrahim ini tidak akan lebih daripada sekadar marhaenisme populis – Mat Arep pastinya lebih layak membahaskan tema ini. Dalam ucapan yang sama pada malam akhir tahun 2022 itu, Anwar ada membayangkan jalannya iaitu dengan membetulkan tata kelola negara, merancakkan kembali ekonomi agar agihan semula kekayaan itu dapat dilakukan. Tetapi agihan semula kekayaan itu bukanlah semudah model “meminta RM10 juta untuk Disember 2022 dan RM50 juta lagi untuk tahun 2023 daripada Syed Mokhtar untuk petani sawah bendang miskin.”
Malaysia memerlukan bukan sahaja enjin pertumbuhan ekonomi yang baru tetapi juga wilayah pertumbuhan yang baru. Ya, idea ini bukan baru tetapi setelah diperkenalkan oleh PM Pak Lah, para penggantinya masih tidak mampu merealisasikan gagasan ini. Misalnya, pada tahun 2022, Malaysia mengimport RM55 bilion makanan berbanding eksport yang hanya berjumlah RM33 bilion. Memberi tumpuan kepada pertanian adalah langkah jangka panjang dan mampu untuk mewujudkan wilayah pertumbuhan baru, khasnya di negeri-negeri yang kurang membangun. Hal ini juga dapat mengurangkan aliran migrasi masuk ke Lembah Klang dan negeri-negeri maju yang hanya akan menambah masalah perbandaran – perumahan dan kesesakan lalu lintas.
Kesenjangan pertumbuhan antara wilayah di Malaysia ini adalah antara hambatan yang merencatkan potensi kemajuan negara. Pada masa yang sama, Malaysia juga mengalami proses urbanisasi yang pesat. Majoriti rakyat Malaysia kini tinggal di bandar-bandar. Di bandar-bandar utama di seluruh negara, secara mudahnya, kelas miskin relatif ini hanya ada dua pilihan (i) membina keluarga di rumah sempit di bandar (ii) membina keluarga di rumah kurang sempit di pinggir bandar. Bezanya, mereka harus bersesak antara 2 hingga 4 jam sehari berulang alik ke tempat kerja – masa yang tidak produktif ini adalah masa yang seharusnya digunakan bersama keluarga dan kawan-kawan untuk membolehkan mereka menikmati kehidupan yang bermaruah. Oleh yang demikian, jatuh hukum wajib mutlak untuk kerajaan menambah baik pengangkutan awam di negara ini sehingga mencapai tahap kecekapan dan keselesaan yang tinggi kerana sebagaimana yang diungkapkan oleh bekas datuk bandar Bogota, Enrique Peñalosa:
Una ciudad avanzada no es en la que los pobres pueden moverse en carro, sino una en la que incluso los ricos utilizan el transporte público (Sebuah bandar yang maju bukanlah sebuah bandar di mana orang miskin boleh bersiar-siar dengan kereta, tetapi bandar di mana orang kaya pun menggunakan pengangkutan awam).
Hanya dengan adanya pengangkutan awam yang cekap dan selesa, orang ramai bukan sahaja akan mendapatkan kembali masa mereka malah akan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian. Kebergantungan kepada kereta antara punca hutang isi rumah yang tinggi dan salah satu sebab utama belia bankrap di negara ini. Menurut Bank Negara, sehingga Disember 2021, hutang isi rumah Malaysia merupakan antara yang tertinggi di rantau ini dengan nisbah hutang isi rumah kepada KDNK pada kadar 98 peratus – berbanding Singapura 69.7 peratus dan Indonesia 17.2 peratus. Keseluruhan hutang ini berjumlah RM 1.4 trilion dengan 58 peratus daripadanya adalah pinjaman perumahan, 13 peratus pinjaman peribadi, 12 peratus pinjaman kereta dan 3 peratus kad kredit.
Namun ini semua merupakan langkah jangka panjang atau sederhana yang sukar untuk dilihat dalam tempoh satu penggal apatah lagi setahun dua. Maka pada tempoh jangka pendek, kerajaan pastinya perlu (i) meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban bagi menambat keyakinan pelabur (ii) melakukan rasionalisasi belanjawan bagi memastikan kesan serta merta dapat dirasai oleh rakyat bagi menjamin sokongan dan kestabilan politik. Kedua-dua ini nampaknya sedang dilakukan meskipun semestinya bukan mudah.
Bagi jangka pendek, tumpuan kerajaan dalam rasionalisasi ini tentunya terhadap kos sara hidup dan kuasa beli rakyat – dengan menstabilkan harga barangan asas. Bibit-bibit usaha ini telah mula kelihatan. Dalam hal ini, Malaysia tidak boleh terus menerus dibiarkan menderita dengan gaji yang rendah. Selama ini kita mendapati keuntungan syarikat gergasi di Malaysia bertambah. KDNK negara berkembang hampir empat kali ganda dalam dua puluh tahun terakhir namun gaji yang diterima oleh pekerja di negara ini, baik pekerja mahir mahupun tidak, tidak selari dengan keuntungan syarikat.
Kaji selidik isi rumah juga mendapati 30.4 peratus isi rumah di Malaysia masih berpendapatan di bawah RM4,000 dengan sebahagian (24.8 peratus) berada dalam kelas pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,999. Ini menunjukkan kuasa beli isi rumah masih rendah, di mana 56.2 peratus isi rumah hanya berbelanja kurang dari RM4,000 sebulan Secara konteksnya, bagi mereka yang tinggal di Lembah Klang, Bank Negara Malaysia menganggarkan pasangan tanpa anak memerlukan RM 4500 sebulan manakala pasangan dengan dua anak memerlukan RM6500 sebulan sebagai pendapatan wajar (living wage). Pendapatan wajar ini bukan merujuk kepada pendapatan minimum tetapi pendapatan yang membolehkan sesuatu keluarga itu terlibat dalam aktiviti sosial, ruang untuk menambah baik kualiti diri dan keluarga serta bebas daripada tekanan kewangan.
Sudah tentu terdapat banyak lagi usaha yang perlu disusun bagi menterjemahkan makna pembangunan ini. Namun, secara prinsipnya, usaha ini hanya boleh dilaksanakan melalui reformasi institusi (bukan individu) dan desentralisasi kuasa. Hubungan antara desentralisasi kuasa dan pembangunan ini akan dibincangkan pada artikel berikutnya. Sebagaimana negara yang sedang mengalami proses transisi pendemokrasian, jalannya tidak sentiasa satu dan tidak sering pula tidak lurus serta sentiasa bercabang. Tetapi yang pasti, jalan pendemokrasian harus sentiasa melangkah kehadapan. Selamat tahun baru NM.