Tarikh : 3 April 2019
Masa : 9.00 pagi – 5.00 petang
Tempat : IKMAS, UKM
Jumlah Peserta : 20
Pendahuluan
Seminar Menjawab Tun Daim anjuran IKMAS ini bertujuan untuk membincangkan teks ucaptama oleh YABhg Tun Daim Zainuddin yang disampaikan sewaktu majlis Perasmian Siri Seminar Naratif Malaysia pada 19 Mac 2019 bertempat di UTM, Skudai, Johor. Teks yang bertemakan, “Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional” telah membangkitkan beberapa persoalan yang melibatkan kedudukan orang Melayu dalam konteks kebangsaan. Antara tumpuan utama yang disentuh dalam teks tersebut ialah mengenai ekonomi, politik, budaya serta cara berfikir orang Melayu. Selain itu, kesemua aspek ini dikupas berdasarkan perkembangan politik dan ekonomi tanahair dewasa ini, apatah lagi sesudah peristiwa bersejarah yang berlaku pada 9 Mei 2018 yang menyaksikan pertama kalinya perubahan parti politik yang menerajui kerajaan. Atas semangat untuk mengisi kemenangan inilah, maka teks ucaptama tersebut mengariskan langkah-langkah yang bersifat strategik dan efektif dalam memastikan setiap perubahan bukan sahaja berjalan lancar malahan dapat menghasilkan perubahan yang bermakna.
Pendaftaran dan Kehadiran Peserta
Seminar Menjawab Tun Daim tersebut telahpun dihadiri sebanyak 20 peserta yang rata-ratanya terdiri daripada golongan pelajar pascasiswazah dan aktivis sosial. Kebanyakan peserta yang hadir merupakan mereka yang telahpun mendaftar lebih awal menerusi laman sesawang www.naratifmalaysia.com. Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian daripada peserta yang mendaftar ketika seminar dimulakan. Seminar sehari penuh ini dirasmukan oleh Pengarah IKMAS, UKM, Profesor Dr. Sufian Jusoh. Beliau menyatakan rasa gembiranya kerana pihak penganjur telah menyambut teks ucaptama dengan semangat akademik. Apatah lagi, YABhg Tun Daim Zainuddin merupakan penaja utama kerusi Pok Rafeah yang diterajui oleh IKMAS. Pengarah IKMAS mengharapkan seminar ini bukan sahaja membuahkan perbincangan yang mendalam, akan tetapi, beliau ingin melihat hasil daripada seminar ini dapat dibukukan bagiu menunjukkan tahap kesungguhan kita dalam mengangkat kembali suaut naratif Malaysia yang bersifat terangkum dan adil.
Pengisian Seminar
Pembentang pertama seminar ini disampaikan oleh Dr. Mazlan Ali, yang merupakan pensyarah UTM Kuala Lumpur. Sebagai seorang yang berkecimpung dalam bidang pilihanraya dan kedudukan orang Melayu dan Islam dalam politik kebangsaan, Dr. Mazlan menyampaikan tajuk yang sangat sesuai dengan latar belakangnya, yakni “Naratif Melayu-Islam Pasca PRU-14 dalam Garis Kaum dan Agama: Wajarkah?” Dalam pembentangannya, Dr. Mazlan membangkitkan kebimbangannya mengenai hubungan antara kaum dan etnik pasca PRU-14. Dengan menyedari bahawa terdapatnya peningkatan bahang politik perkauman dan agama, Dr. Mazlan melihat persoalan ini bukan sahaja dalam konteks politik, lebih daripada itu, beliau turut menganalisa dalam konteks budaya dan amalan serta cara berfikir orang Melayu. Dalam hal ini beliau bersetuju dengan YABhg Tun Daim bahawa isu orang Melayu tidak boleh ditangani menerusi persoalan kaum semata-mata, sebaliknya, perlu dilihat juga dalam persoalan agama.
Setelah itu, pembentang berikutnya, Encik Ramze Endut, Felo Penyelidik IKMAS telah memanjangkan perbincangan yang bersifat politik kepartian dan pilihanraya kepada perbincangan yang bersifat sosiologi dan falsafah. Beliau membangkitkan dua kritikan terhadap teks ucaptama Tun Daim Zainuddin berkenaan sejarah dan emosi. Pada hemat Encik Ramze, Tun Daim telah khilaf dengan mengandaikan bahawa setiap sejarah adalah bersifat fakta serta orang Melayu dikaitkan sebagai golongan yang beremosi. Bagi Encik Ramze, sejarah bukan sahaja fakta akan tetapi merupakan juga penafsiran. Begitu juga emosi tidak boleh berdiri sendiri, sebaliknya, ia turut berdampingan dengan logik. Membuat pemisahan salah satu antaranya bukanlah suatu konsep yang baik dalam menjelaskan kerumitan masyarakat, kaum, etnik dan agama.
Lanjutan daripada pembentangan sebelumnya, Mariam Mokhtar, seorang penulis dan kolumnis tersohor sepatutnya hadir membentangkan makalahnya yang berjudul, “Tun Daim on Success, Crutches and Emotion.” Walau bagaimanapun, beliau hanya dapat mengirimkan teks pembentangannya sahaja. Justeru itu, sesi berikutnya diteruskan oleh Dr. Hew Wai Weng yang juga merupakan Felo Penyelidik IKMAS. Beliau telah membincangkan mengenai “What Daim Really Meant.” Bagi Dr. Hew, Tun Daim gagal melihat kedudukan orang Melayu secara komprehensif. Ini kerana, Tun Daim tidak melihat kerumitan yang terdapat berikutan perkaitan antara agama dan kaum dalam konteks orang Melayu. Malah, beliau turut bersetuju dengan Encik Ramze bahawa adalah salah sama sekali untuk memisahkan antara emosi dan logic kerana golongan yang dianggap sebagai konservatif turut mempunyai logiknya yang tersendiri.
Setelah Dr. Hew, Encik Ruhan Shahrir Abdul Halim, telah menyambut perbahasan mengenai Tun Daim dengan menyifatkannya sebagai seorang Homo Economicus. Felo Penyelidik KITA yang akrab dengan pendekataan bacaan intim ini telah menganalisa hampir setiap baris teks ucaptama Tun Daim tersebut. Lebih daripada itu, beliau turut menghitung perkataan yang ditekankan oleh Tun Daim seperti istilah niaga, yang ini sekaligus menunjukkan betapa Tun Daim sangat menekankan mengenai kedudukan ekonomi orang Melayu secara khususnya dan rakyat Malaysia secara umumnya. Penekanan terhadap ekonomi ini menyebabkan cara berfikir Tun Daim, menurut pandangan Encik Ruhan, menjadi setiap idea Tun Daim sangat bercorak mekanistik, ekonomistik dan materialistik. Selain sifat-sifat di atas, Encik Ruhan turut mengkritik penggunaan Bahasa Inggeris dalam teks ucaptama Tun Daim yang mana ini tidak melambangkan keselarasan antara tema yang dibincangkan dan tindakan yang dilakukan.
Akhir sekali, Encik Hishamuddin Rais, seorang penulis aktivis sosial terkenal tanahair turut mengambil bahagian. Meskipun beliau tidak menyediakan teks, akan tetapi, hasil daripada bacaan beliau terhadap teks ucaptama Tun Daim Zainuddin tersebut telah memaparkan betapa ada persoalan nasional yang belum selesai. Bersetuju dengan Encik Ruhan, beliau telah menunjukkan betapa persoalan bahasa adalah antara persoalan nasional yang belum selesai. Pemilihan Bahasa Inggeris dalam teks ucaptama tersebut memberi gambaran bahawa bahasa Melayu masih belum berjaya menjadi bahasa pemersatu dalam tanahair. Sebagai antara individu yang sekian lama berpendapat bahawa bahasa Melayu perlu menjadi bahasa strategik dalam perubahan, Encik Hishamuddin mencadangkan agar bukunya, “Surah-surah Terlarang: Persoalan Nasional” turut dibaca bersamaan dengan teks ucaptama “Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional.”
Penutup
Seminar ini disudahi dengan ucapan penutup oleh Encik Hariszuan Jaharuddin, yang juga merupakan Felo IKMAS, Beliau mengucapkan terima kaseh kepada semua pembentang dan para peserta yang sejak daripada awal telah terlibat aktif dalam perbincangan. Hasil daripada seminar ini, beliau mengharapkan setiap makalah dapat diperbaiki dan akhirnya dapat diterbitkan sekurang-kurangnya dalam bentuk naskah monograf. Beliau juga tidak lupa mengucapkan jutaan terima kaseh kepada pihak IKMAS yang sudi menawarkan tempat kepada seminar ini.
[…] Setelah tamat dua ucapan ini, majlis terus beralih kepada acara utama iaitu ucaptama oleh YABhgia. Tun Daim Zainuddin tentang bagaimana untuk meletakkan agenda Melayu Bumiputera ini dalam persoalan nasional. Teks penuh ucapan Tun Daim ini (beserta transkrip soal jawab) boleh dibaca di sini dan di sini manakala satu bengkel bagi mengucap kandungan ucapan ini telah diadakan pada 3 April 2019 di IKMAS UKM yang dinamakan sebagai Seminar Menjawab Tun Daim dan laporannya boleh ditemukan di sini. […]