34.9 C
Kuala Lumpur
1 October 2023 (Sunday)
spot_img

Laporan Kunjungan Wacana Studio Naratif di Sabah – Borneo Komrad, Pangrok Sulap dan Pertubuhan Wanita Kampung Song-Song (WANIS)

PENGENALAN

Mengangkat naratif masyarakat di Sabah dan Sarawak menjadi matlamat utama Pertubuhan Naratif Malaysia (NARATIF) menerusi Wacana Studio Naratif semasa kunjungan ke Sabah Negeri Di Bawah Bayu, pada 1 hingga 4 Julai 2022. Kunjungan ini merangkumi aktiviti rakaman rancangan Tamu Naratif dan pembinaan jaringan bersama komuniti aktivis di Sabah, khususnya kolektif Borneo Komrad, aktivis seni Pangrok Sulap dan komuniti wanita Pertubuhan Wanita Kampung Song-Song (WANIS). Tiga objektif program ini adalah seperti berikut:

  1. Mewujudkan keterangkuman naratif saluran Youtube Wacana Studio Naratif dengan melibatkan kolektif (i) Borneo Komrad, (ii) Pangrok Sulap dan (iii) WANIS yang mewakili ‘naratif masyarakat Sabah dan Sarawak’.
  1. Mempromosikan agenda komuniti dan menyebarkan ilmu pengetahuan serta maklumat mengenai isu dan kegiatan yang dijuarai kolektif Borneo Komrad, Pangrok Sulap dan WANIS melalui media sosial dan penerbitan akademik.
  1. Membina jaringan dengan komuniti tempatan berasaskan semangat “kesarjanaan untuk aktivisme, aktivisme untuk kesarjanaan” untuk potensi kerjasama pada masa hadapan.

CATATAN AKTIVITI PADA 1 HINGGA 4 JULAI 2022

1 Julai 2022 (Jumaat) – Kumpulan kerja Wacana Studio Naratif telah bertolak ke Kota Kinabalu, Sabah pada pada jam 8.30 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 11.00 pagi. Ketibaan kami disambut oleh Saudara Afiq Nazrin Nor Rizlan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS). Atas sebab isu logistik, perancangan awal penyediaan set rakaman di Sekolah Alternatif, Teluk Layang pada sebelah petang terpaksa dibatalkan. Aktiviti pada hari pertama diteruskan dengan sesi taklimat gerak kerja sepanjang tiga hari, perbincangan sumbang saran idea dan persediaan teknikal rakaman, serta output program yang terdiri daripada tiga siri rakaman video rakaman slot Tamu Naratif, penerbitan artikel dan laporan aktiviti program.

2 Julai 2022 (Sabtu) – Kumpulan kerja Wacana Studio Naratif bergerak untuk sesi rakaman pertama di Sekolah Alternatif, Teluk Layang pada jam 8.30 pagi. Bagi menuju ke lokasi, kami telah merentasi kawasan perkampungan pesisir pantai Kampung Teluk Layang sejauh kira-kira satu kilometer didiami warga yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri. Sesampainya di Sekolah Alternatif, kami telah disambut oleh Cikgu Haziq Ikhsan, Cikgu Faiz dan Cikgu Naiem Zikri yang merupakan tenaga pengajar di Sekolah Alternatif iaitu sekolah bagi kanak-kanak tanpa dokumen. Guru-guru di Sekolah Alternatif telah diwawancara oleh Saudari Fatimah Tajuddin selaku hos slot Tamu Naratif. Ia merangkumi iltizam politik, stigma dalam isu ketiadaan akses pendidikan, pembentukan falsafah dan orientasi pendidikan dan harapan masa depan untuk anak-anak tanpa dokumen. Selain aktiviti rakaman, kami telah berpeluang berinteraksi dengan para pelajar di Sekolah Alternatif, bertukar fikiran dan pandangan bersama tenaga pengajar mengenai aktiviti pelajar, cabaran pelaksanaan dan realiti aktivisme pendidikan di lapangan. Di samping itu, ucapan perkenalan dan pendorong semangat kepada para pelajar Sekolah Alternatif telah disampaikan oleh Dr. Muhamad Azwan Abd Rahman.

Saudari Fatimah Tajuddin (dua dari kiri) tekun mewawancara tenaga pengajar di Sekolah Alternatif terdiri daripada Cikgu Faiz (paling kiri), Cikgu Haziq Ikhsan (dua dari kanan) dan Cikgu Naiem Zikri (paling kanan).
Dr. Muhamad Azwan Abd Rahman mewakili NARATIF sedang menyampaikan kata-kata motivasi kepada para pelajar di Sekolah Alternatif.
“…Ilmu-ilmu yang diajarkan di sini akan menjadi alat pembebasan ataukah alat penindasan?…” – petikan sajak Pertemuan Mahasiswa oleh W.S. Rendra merupakan inti penting yang diterapkan di Sekolah Alternatif.

            Aktiviti hari kedua diteruskan di studio kumpulan aktivis pemerkasaan komuniti melalui seni, khususnya seni ukiran kayu iaitu Pangrok Sulap. Di sini, kumpulan kerja Wacana Studio Naratif melalui bantuan Saudara Eko Prayitno Joko iaitu Pensyarah di UMS memperkenalkan kami kepada para penggerak Pangrok Sulap, terdiri daripada Saudara Rizo Leong, Saudara Ray dan Saudara Awang. Rakaman wawancara Tamu Naratif bersama Saudara Rizo Leong dan Saudara Ray daripada Pangrok Sulap dikendalikan oleh Dr. Muhamad Azwan Abd Rahman. Ia merangkumi soal jawab yang bertujuan memahami kembali naratif yang ingin dibawa oleh Pangrok Sulap pada awal pewujudannya sehinggalah naratif tersebut berhadapan dengan cabaran yang mungkin wujud daripada kolaborasinya dengan pihak kerajaan mahupun komuniti-komuniti aktivis yang sejajar. Selain itu, kami berkesempatan berkenalan dengan Saudara Omar Musa, salah seorang kolektif dalam Pangrok Sulap yang giat menyampaikan mesej melalui seni suara ‘rap’ dan puisi. Meskipun pertemuan kami agak singkat, ia amat bermakna sebagai langkah awal pembinaan keserakanan bersama para penggiat seni untuk pemerkasaan komuniti di Sabah.

Dr. Muhamad Azwan Abd Rahman (kiri) bertanya mengenai karya yang melatari wawancara, sementara Saudara Rizo Leong (tengah) dan Saudara Ray (kanan) pula menjawab dan memberikan pencerahan.
Salah satu daripada ‘kekayaan seni’ yang dimiliki Pangrok Sulap yang sarat dengan suara komuniti di Sabah.
Sepotong daripada karya Pangrok Sulap bertajuk ‘Sabah Tanah Air-Ku (2017)’ ini merupakan koleksi tetap di Balai Seni Visual Negara, Kuala Lumpur.

3 Julai 2022 (Ahad) – Kami bertolak lebih awal untuk bermalam di Kundasang, sebelum menuju ke Kampung Song-Song di Kota Belud yang terletak kira-kira 85 kilometer dari tempat penginapan. Sesampainya di Kampung Song-Song, kami disambut oleh Cik Nadhirah Mohd Rifai daripada Reef Check Malaysia yang merupakan perantara penting bagi pertemuan kami. Di sini, kami menerima sambutan mesra daripada pemimpin dan ahli-ahli WANIS. Wawancara bersama pemimpin WANIS dikendalikan oleh Saudara Muhammad Rahimi Hasan bersama empat orang pemimpin komuniti ini iaitu Puan Salinah Bakri (Pengerusi), Puan Sunah Karim (Timbalan Pengerusi), Puan Dyg. Hamidah Abd. Ghani (Setiausaha) dan Puan Jailan Preeh (AJK/Tenaga Pengajar), serta Cik Nadhirah Mohd Rifai. Kami amat berbesar hati kerana ahli-ahli WANIS turut meluangkan masa bersama di Pusat Pembelajaran Komuniti Kampung Song-Song. Pengisian wawancara adalah untuk memahami awal mula kesedaran wanita untuk pemerkasaan diri dengan peranan All-Party Parliamentary Group of Malaysia on Sustainable Development Goals (APPGM-SDG) sebagai solution provider. Selain itu, inisiatif untuk kemajuan wanita, cabaran pelaksanaan dan harapan WANIS untuk kemajuan komuniti Kampung Song-Song diselami, khususnya dalam rencana mandiri melalui penjanaan pendapatan sendiri dan pembinaan kemahiran.

Saudara Rahimi Hasan (paling kanan) mengendalikan wawancara bersama pemimpin wanita WANIS terdiri daripada (dari kanan) Puan Salinah Bakri, Puan Dyg. Hamidah Abd. Ghani, Puan Jailan Preeh dan Puan Sunah Karim, serta Cik Nadhirah Mohd Rifai.
Bergambar kenangan bersama pimpinan dan ahli-ahli WANIS di hadapan Pusat Pembelajaran Komuniti Kampung Song-Song.
Kraf tangan diperbuat daripada daun serdang merupakan hasil kerja WANIS untuk penjanaan pendapatan sendiri.

4 Julai 2022 (Isnin) – Hari terakhir di Kota Kinabalu telah diisi dengan pertemuan semula bersama Saudara Haziq Ikhsan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UMS. Pertemuan diadakan atas permintaan kami berikutan daripada isu teknikal yang berbangkit daripada rakaman di Sekolah Alternatif, Teluk Layang. Kami menjalankan rakaman semula bersama Saudara Haziq Ikhsan dengan dikendalikan oleh Saudari Fatimah Tajuddin. Beberapa pertanyaan diperdalam melalui wawancara dan perbincangan mengenai aktivisme di Sabah. Pertukaran pendapat dan maklumat membayangkan bahawa kami perlu memberikan refleksi dapatan selama empat hari berada di Sabah, seterusnya melaksanakan susulan. Sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur, kami mencuri sedikit masa ke Pasar Filipina, seterusnya bergerak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk terbang pulang menaiki pesawat pada jam 4.30 petang dan selamat tiba di KLIA 2 pada jam 7.00 petang. 

Pasukan kerja Wacana Studio Naratif mengabadikan kenangan semasa bersinggah sebentar di Pekan Nabalu.

KESIMPULAN

Berdasarkan sesi penilaian dan refleksi ringkas pada 3 Julai 2022, projek rakaman Wacana Studio Naratif di bawah slot Tamu Naratif ini dianggap berjaya mencapai tiga objektif yang digariskan. Dalam kunjungan ini, ketiga-tiga kolektif komuniti telah memberikan kerjasama dan sambutan yang amat baik terhadap hasrat kunjungan NARATIF. Sehubungan itu, pihak NARATIF ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Borneo Komrad, Pangrok Sulap dan WANIS atas kerjasama dan perkongsian selama kami bertamu di Sabah. Kami juga mengucapkan terima kasih khusus kepada Saudara Haziq Ikhsan, Saudara Eko Prayitno Joko dan Cik Nadhirah Mohd Rifai kerana dengan bantuan kalian, pertemuan ini telah dapat dijayakan. Hasil kunjungan ini akan menemui anda dalam saluran Youtube Wacana Studio Naratif tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

204FansLike
1,313FollowersFollow
692SubscribersSubscribe
spot_img

Artikel Terkini