Oleh Muhamad Azwan Abd Rahman (Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa [IKMAS], UKM), Muhammad Rahimi Hasan (NARATIF) dan Afiq Nazrin (UMS)
Organisasi masyarakat sivil menurut Bank Dunia (2022) ialah sebuah gerakan organisasi yang bergerak dengan meluas, secara susunannya merangkumi kumpulan komuniti, organisasi bukan kerajaan, kesatuan pekerja, kumpulan peribumi, organisasi berkebajikan, organisasi berasaskan kepercayaan, persatuan profesional dan juga dalam bentuk yayasan. Manakala WEF (2013) mendefinisikan organisasi masyarakat sivil sebagai sebuah ruang yang terpisah di antara keluarga, pemerintah dan pasaran. Walau bagaimanapun, organisasi masyarakat sivil juga boleh dilihat sebagai sebuah gerakan yang bersifat mandiri tetapi tidak terpisah dalam keadaan tertentu di antara pemerintah dan juga pasaran. Organisasi masyarakat sivil juga dalam penemuan-penemuan kajian lepas telah diletakkan sebagai sektor ketiga terpenting selepas pemerintah (sektor pertama) dan pasaran (sektor kedua) dalam membuat perubahan-perubahan besar sosial kepada komuniti setempat. Viterna et al. (2015) ada menghuraikan bahawa kefahaman mengenai organisasi masyarakat sivil ini terlalu banyak tafsiran sehingga mewujudkan perbezaan maksud. Contohnya, dalam erti normatif masyarakat sivil dikesan membawa maksud bertamadun. Bagi erti kefungsian, masyarakat sivil ketara dalam proses pendemokrasian. Manakala dalam erti struktural, masyarakat sivil berperanan sebagai sektor ketiga.
Oleh itu, mengambil pendirian kukuh daripada penelitian Viterna et al. (2015), dengan menggunakan contoh NGO kemanusiaan telah menggambarkan bagaimana sifat omnibus masyarakat sivil ini menolak kepada penyusunan tertentu dan memerlukan sarjana-sarjana menanggapi permasalahan apabila berhasrat untuk mereka bentuk sesuatu kajian. Perkara ini juga dihadapi oleh Pertubuhan Naratif Malaysia (NARATIF) semasa berada di Sabah dalam memposisikan duduk letaknya pertubuhan-pertubuhan ini apabila ingin membuat tafsiran mengenai sifat organisasi masyarakat sivil itu sendiri. Sebagai contoh, Borneo Komrad tema juangnya adalah akses pendidikan kepada kanak-kanak yang tiada warganegara. Maka itu, juangnya Borneo Komrad ini masih terlilit dengan aspek struktural iaitu pengiktirafan pemerintah untuk hak pendidikan kumpulan ini. Begitu juga dengan Pangrok Sulap yang membawa tema seni untuk masyarakat. Pergelutan dalam membangunkan Pangrok Sulap juga bersifat mandiri dan kemudiannya bersinggungan dengan pemerintah supaya karya-karya seni yang dihasilkan diiktiraf bagi mengembangkan pasaran yang akhirnya digunakan untuk memberi kesedaran dan membantu komuniti setempat. Perkara ini juga dapat dikesan menerusi Pertubuhan Wanita Kampung Song-Song (WANIS) di Kota Belud, Sabah yang mengangkat tema kemandirian wanita dalam soal pembebasan ekonomi isi rumah dan isu setempat menerusi bantuan-bantuan di peringkat struktural.
Berdasarkan kefahaman kerangka organisasi masyarakat sivil sebagai sektor ketiga dalam perubahan sosial yang digerakkan oleh kumpulan kolektif terpilih di Sabah seperti Borneo Komrad, Pangrok Sulap dan WANIS, maka NARATIF memegang kepada pengkaedahan yang berprinsip dalam mencari kesahan, kepercayaan dan ketekalan penemuan. Kehadiran pengkaji secara berdepan menerusi pemerhatian serta temu bual separa berstruktur bersama wakil subjek pilihan yang berwibawa di lapangan amat penting untuk pengumpulan data-data yang sahih dan boleh dipercayai. Justeru, bertamunya NARATIF Malaysia di beberapa lokasi terpilih di Sabah juga adalah untuk memenuhi hasrat lapangan yang dirancang bagi menghujahkan perubahan sosial yang berlaku menerusi gerakan oleh beberapa kumpulan kolektif yang diketengahkan. Secara perenungannya, pasukan NARATIF telah berjaya membuat penaakulan awal dalam konteks dua peringkat menerusi pra lapangan yang dijalankan. Pertamanya ialah menentukan jenis dan sifat kumpulan kolektif yang beragam objektifnya. Kedua ialah organisasi masyarakat sivil di Sabah (dan mungkin di Malaysia coraknya) masih kurang bertautan dengan pemerintah dan pasaran kerana ketiadaan wadah yang bersesuaian dan menyeluruh yang boleh melengkapkan objektif mereka.
Oleh yang demikian, senada dengan Viterna et al. (2015), dan sebagai mengukuhkan perspektif yang diambil oleh NARATIF Malaysia berhubung kumpulan kolektif di Sabah – maka pendekatan struktur dan agensi ini adalah berupaya untuk menjelaskan fenomena perubahan sosial yang berlaku. Pendekatan struktur iaitu bermaksud yang diposesi oleh pihak pemerintah, manakala agensi ialah yang dikuasakan oleh masyarakat sivil. Pendekatan struktur dan agensi ini telah diperkenalkan oleh seorang sosiologis Britain iaitu Anthony Giddens. Giddens secara intelektualnya berusaha merungkai perdebatan panjang pendukung idea Emile Durkheim yang bertegas dengan melihat aspek normatif struktural sebagai satu bentuk kekangan sahaja tetapi ia juga boleh berperanan sebagai pemudah. Menerusi perungkaian tersebut, Giddens menemui proses keduaan (dualisme) yang padanya berkeupayaan untuk menjelaskan kepentingan-kepentingan di antara struktur (pemerintah) dan agensi (masyarakat sivil) adalah saling bertautan. Sesuai dengan keduaan yang dijelaskan Giddens, Viterna et al. (2015) dalam kajiannya mengusulkan tentang konsep organisasi masyarakat sivil ini seharusnya boleh diguna ubah kepada panggilan sektor ketiga dalam kajian-kajian empirikal untuk menyinggung pemerintah dan pasaran. Hal ini penting bagi menunjukkan proses keduaan (dualisme) dan juga sifat organisasi masyarakat sivil sebagai sektor ketiga adalah kekal mandiri tetapi tidak harus terpisah dengan peranan pemerintah dan kuasa pasaran.
Perbezaan keadaan masyarakat di Semenanjung dan masyarakat di Sabah perlu difahami pengkaji secara mendalam dan neutral memandangkan terdapat perbezaan budaya dan pandangan hidup antara kedua-dua wilayah. Di Sabah, isu himpitan ekonomi, ketiadaan dokumentasi pengenalan diri dan kegetiran hidup merupakan kesan berantai oleh sebahagian besar masyarakatnya yang berhadapan pengagihan kurang saksama yang kadangkala disertai kekalutan politik. Akhirnya, terdapat segelintir orang yang tidak menghiraukan usaha kemajuan dan pembangunan. Hal ini berikutan kerana nilainya yang tidak setimpal dengan cabaran hidup yang dialami oleh seseorang itu. Tambahan, ada pula sehingga yang terkesan, tertekan dan lebih membimbangkan statistik memaparkan kes bunuh diri menjadi semakin meningkat tinggi mahupun yang ditahan di Rumah Merah (Pos Tahanan Sementara Imigresen). Oleh yang demikian, penafsiran keadaan masyarakat di Sabah, sama ada atas tujuan ilmiah dalam bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan, mahupun perancangan sosial amatlah diperlukan. Kehidupan moden kini memunculkan pelbagai cabaran baharu yang bukan sekadar memerlukan ilmu sosial, malahan angkatan ilmuwan sosial terlatih di lapangan dan secara abstrak; sebelum menyentuh nilai estetika dan fungsi baik sains dan teknologi (Ishak Shari 2008: 55-56).
Baru-baru ini, bermula 1 hingga 4 Julai 2022, NARATIF mula meneroka lapangan sosial di wilayah Sabah ini. Ia bertujuan untuk memahami keadaan seharian, kerumitan isu atau paling tidak merasai suasana kehidupan di beberapa kawasan—seperti Kota Kinabalu, Kota Belud dan Kundasang—yang sememangnya memukau dengan ‘wajah’ masyarakat dan alam semula jadinya. Namun, dalam menyambut persona wilayah Sabah ini, budaya, etika, moral dan adat resam sesuatu kelompok masyarakat perlu diteliti dan difahami supaya persepsi pengkaji luar terhadap ahli dalam sesebuah komuniti dapat dijernihkan. Hal ini membantu pengkaji untuk membetulkan tanggapan atau gambaran salah terhadap satu-satu komuniti, sekali gus membuatkan pengkaji mempelajari komuniti tersebut seperti apa adanya. Ia memerlukan masa dan tenaga daripada para pengkaji untuk turun ke lapangan tanpa rasa jemu bagi memahami fenomena sosial, politik dan ekonomi dalam masyarakat Sabah.
Kampung Teluk Layang dan Sekolah Alternatif
Kunjungan ke Sekolah Alternatif Teluk Layang yang didirikan oleh Borneo Komrad telah mencetuskan persoalan ‘antara dua darjat’, jurang pembangunan dan masalah kemiskinan. Kehidupan ‘senang di atas, perit di bawah’ malah dimanifestasikan menerusi lokasi petempatan ‘anak tanpa dokumen’ di Kampung Teluk Layang yang berhampiran dengan kompleks pentadbiran negeri dan Dewan Undangan Negeri Sabah. Berdasarkan tinjauan dan perbualan bersama komuniti setempat di Kampung Teluk Layang, risiko untuk anak-anak tanpa dokumen ini untuk ditangkap adalah tinggi. Bahkan terdapat juga sebilangan kes yang mana ada segelintir pihak berkuasa (bukan semua) mengambil kesempatan meminta wang kepada warga tanpa dokumen ini bagi tujuan untuk mengelak ugutan dan ditangkap. Justeru, suasana yang mendesak ini semakin mendekam kerana tiadanya pendidikan yang berperanan dalam membantu dari segi perkembangan kesedaran. Tambahan ketaksaan ini juga merengut kesenjangan yang berlaku ke atas warga tanpa dokumen khususnya apabila generasi pewaris khususnya anak-anak tanpa dokumen ini lebih jauh tidak mengerti kerana pendidikan yang tidak dapat dicapai. Kebimbangan mengenai ketidakcapaian pendidikan oleh kelompok terpinggir ini semakin mula didengari dan mendapat perhatian oleh sekumpulan mahasiswa di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Mahasiswa ini bergerak pada awal sebagai sebuah perkumpulan yang memperjuangkan isu-isu pendidikan di dalam pagar universiti. Ufuk juang itu kemudiannya diluaskan dan mula bersentuhan dengan jiwa kelompok terpinggir khususnya anak-anak tanpa dokumen biarpun terdapat tentangan dan peremehan mengenai pergelutan dan usaha awal yang dibuat di peringkat struktural.
Bagi kolektif mahasiswa, mereka mengasuh pengalaman di medan masyarakat. Kecelikan akal budi mereka membantu masyarakat yang berada dalam susur jalan “kelam dan kabut”. Maka, mereka menjadikan pendidikan sebagai alat perubahan keadaan masyarakat yang sesuai dengan keadaan rohani dan jasmani. Pendiri Sekolah Alternatif di Kampung Teluk Layang bukan sahaja mengenderai lapangan, bahkan perlu memahami bahasa masyarakat lewat pemikiran alami. Kegiatan di Sekolah Alternatif Teluk Layang menanam minat dan praktik program melalui akses sekeliling yang ada. Ia dilaksanakan meskipun terbatas daripada segi sumber dan pelaksanaan. Selain itu, infrastruktur seperti kemudahan dalam kelas, khutub khanah dan akses teknologi perlu diberikan kepada anak-anak ini. Kemajuan Sekolah Alternatif sentiasa bergantung kepada kemajuan buah fikiran pendiri dan pendukungnya. Ia harus kekal berada dalam perhatian dan sokongan pelbagai pihak agar anak-anak sekolah ini terus dapat menerima akses pendidikan.
Pangrok Sulap
Pangrok Sulap ialah salah satu lagi kumpulan kolektif di Sabah yang juga bergelut dalam memperjuangkan kesedaran tentang pemberdayaan kelompok yang terpinggir. Muasal Pangrok Sulap ini terbentuknya di sebuah pekan kecil di daerah Ranau, Sabah pada tahun 2010 oleh sekumpulan anak muda ketika itu yang mempunyai bakat luar biasa dalam muzik yang berlatar belakangkan genre punk rock, pembikinan lirik-lirik advokasi kumpulan terpinggir sebagai manifestasi ketidakpuasan kepada pemerintah dan juga menghasilkan seni kritikal yang mempunyai nilai estetika tersendiri. Justeru, uniknya kegiatan Pangrok Sulap ini kerana ia telah muncul atas sebab minat yang sama. Kesepakatan ini juga terhasil menerusi pertemuan dalam babak-babak muzik punk rock dan kebersamaan tentang cara faham kehalusan kesenian yang seterusnya membentuk iltizam perkumpulan. Trajektori ini kemudiannya dialihkan kepada kepentingan menyedarkan masyarakat bahawa melalui muzik punk rock dan seni juga boleh memberi tafsiran bermakna untuk kehidupan komuniti mahupun individu yang terpinggir. Prakarsa awal yang telah diambil oleh kumpulan ini ialah dengan mengajak orang-orang kampung untuk melakukan kerja-kerja kesenian. Contohnya, aktiviti-aktiviti mengindahkan kawasan kampung mereka di sekitar daerah Ranau melalui penciptaan karya yang terhasil daripada stensil, mural dan lain-lain. Hasil-hasil kerja kesenian yang dimulakan ini telah mendapat beberapa maklum balas positif bahawa kumpulan kolektif ini mampu untuk pergi lebih jauh menerusi agenda seni untuk masyarakat.
Kumpulan kolektif ini kemudiannya telah bergerak secara bertebaran di seluruh Ranau dan kemudiannya mendapat tempat oleh para penggemar muzik punk rock dan seni ukiran di Kota Kinabalu, Sabah untuk menyambut obor agenda Pangrok Sulap. Penerimaan Pangrok Sulap sebagai sebuah kumpulan kolektif di tempat asal dan Kota Kinabalu pasti mempunyai cabaran tersendiri. Perkara ini dijelaskan oleh salah seorang pengasas awalnya iaitu Rizo Leong bahawa cabaran yang sukar untuk diketepikan ialah perspesi di ruang awam. Hal ini kerana terdapat sesetengah pihak khususnya di awal penubuhan Pangrok Sulap melihat kecenderungan perkumpulan ini menjurus kepada hedonis. Oleh yang demikian, untuk menangkis persepsi hedonis yang dilemparkan, Pangrok Sulap mengambil beberapa langkah dalam membuat kerja-kerja amal menerusi hasil daripada karya-karya seni mereka. Oleh itu, Pangrok Sulap selain daripada berkiblatkan seni untuk masyarakat, sumbangannya di ruang awam dalam bentuk tindakan juga lama kelamaan mendapat penerimaan di tempat asal dan sekitar Kota Kinabalu menerusi aktiviti gotong-royong di kawasan pedalaman, pendanaan awam kepada komuniti terpinggir menerusi kerja-kerja seni ukiran, dan pelbagai lagi. Gerakan Pangrok Sulap ini bukan setakat mempertaruhkan aliran punk rock dan karya seni yang diukir tetapi ia juga mendidik komuniti untuk berfikir lebih jauh dan menyanggah pemerintah yang korup menerusi karya-karya seni.
Menariknya mengenai Pangrok Sulap ialah hasil karya seni yang dihasilkan juga banyak mengkritik pemerintah menerusi isu-isu penting yang timbul di peringkat setempat mahupun nasional. Perkembangan ini juga telah memposisikan Pangrok Sulap sebagai sektor ketiga yang berperanan menyinggung pemerintah kerana impak kekangan yang dihadapi oleh komuniti terpinggir. Namun, dalam keadaan sebaliknya turut berlaku apabila Pangrok Sulap juga pernah bersinggungan dengan alat pemerintah dan pasaran untuk memastikan hasil karya seni yang dibuat mendapat liputan yang meluas. Walau bagaimanapun, Ray iaitu salah seorang pengasas awal Pangrok Sulap menegaskan bahawa seni adalah untuk semua dan masyarakat. Tambahan, pemerintah itu sebagai badan yang memudahkan warganya. Namun, jika ada yang tidak sesuai dan dikesan ada kekeliruan atau salah guna kuasa, maka kritikan pasti menerjah. Prinsip Pangrok Sulap juga jelas menunjukkan bahawa kumpulan ini tiada masalah untuk berkerjasama tetapi tidak juga terikat dengan kehendak pemerintah. Konteks ini menunjukkan kerelevanan ciri sektor ketiga adalah saling bertautan dengan sektor pertama dan kedua untuk memastikan mesej yang diperjuangkan perkumpulan kolektif ini sampai kepada sasaran secara meluas.
Ringkasnya, Pangrok Sulap jelas berprinsip dari segi perkumpulan kolektif dan konsisten dengan falsafah yang dipegang sejak ia ditubuhkan pada 2010 iaitu seni untuk masyarakat yang bertujuan untuk menyebarkan mesej, kesedaran, berkarya untuk masyarakat dan hasil seni untuk kerja-kerja amal. Pendekatan seni untuk masyarakat yang menjadi tiang falsafah Pangrok Sulap juga sebenarnya telah banyak menarik perhatian media arus bawah dan media arus perdana untuk untuk mendekati Pangrok Sulap. Namun, bukan sohor yang ingin ditemui oleh Pangrok sulap dalam bersinggungan dengan pemerintah dan pasaran tetapi emansipasi komuniti lebih didahulukan. Hal ini kerana bagi pengasas awal Pangrok Sulap isu yang dibawa harus sampai di tempat yang betul atau jika tidak ia akan menjadi sesuatu yang sia-sia.
Pertubuhan Wanita Kampung Song-Song (WANIS) di Kota Belud
Kota Belud merupakan daerah makmur yang berbilang etnik dan agama. Dari dataran sawah yang luas di bahagian pedalaman sehingga ke lembah pergunungan, daerah ini memiliki keunikan tersendiri. Istimewanya, sumber alam daerah ini dibangunkan oleh kaum wanita yang memikir dan mengusahakan kemajuan sosial. Daerah ini pula menampilkan kesedaran sosial yang lahir daripada tunjang utama keluarga iaitu wanita. Pemberdayaan komuniti di sini Kampung Song-Song didekati menerusi Pertubuhan Wanita Kg. Song-Song (WANIS).
Di kawasan pedalaman, terdapat kaum wanita cuba mengaktifkan diri dan komuniti, sekali gus berkongsi faedah pembangunan terhadap masyarakat kampung. Berikutan itu, wanita Sabah sudah menyedari adanya kegiatan-kegiatan sosial yang dapat “mententeramkan” mereka berbanding hanya melakukan sesuatu rutin kebiasaan dan lingkungan budaya kaum wanita dan juga seorang ibu. Umumnya, kaum bumiputera Islam di Sabah telah mula terlibat dalam pertubuhan sosial yang berbentuk persuratan, persaudaraan, kebangsaan dan sosio-budaya semenjak tahun 1938 (Eko Prayitno et al. 2018). Namun penglibatan tersebut lebih melibatkan kaum lelaki pada peringkat awalnya, sementara kaum wanita bumiputera Islam pula terlibat dalam pertubuhan sosial selepas itu pada tahun 1954 menerusi Angkatan Gaya Baru yang dikenali sebagai sebuah pertubuhan sosio-budaya.
Antara peranan kaum wanita yang kebanyakannya berpusat di kawasan Kota Kinabalu adalah memastikan bilangan anggota persatuan sentiasa meningkat, membantu kelangsungan aktiviti berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat di seluruh kawasan terutamanya kaum wanita. Kemudian atas usaha dan latih dalam Angkatan ini, kaum wanita telah mula menganjurkan sebuah Pesta Kebudayaan, di samping terlibat sendiri dalam kegiatan tersebut seperti pertandingan nyanyian dan masakan, pertunjukan fesyen wanita dan pertandingan hasil kerja kraftangan seperti jahitan, sulaman, dan tekatan. Oleh itu, menurut Siti Aidah (2006 : 612) kaum wanita dapat menjadikan hasil kerja tangan ini sebagai satu sumber pendapatan bagi diri dan persatuan serta berupaya meningkatkan kemahiran yang sedia ada, di samping memberi peluang kepada mereka untuk menimba pengalaman dalam persatuan. Namun begitu, cabaran pasti disusuli oleh setiap anggota baik di peringkat organisasi dan ruang peribadi / seharian. – Dari ruang rumah tangga, kaum wanita Kg. Song-Song sudah terlibat dengan aktiviti sosial dalam ruang awam. Namun, ruang itu kadangkala tertutup dan terbatas akibat rutin harian, komitmen rumah tangga dan kesibukan di kebun. Ia disusuli dengan cabaran. Wanita kampung ini mempunyai pandangan tentang fungsi alam tumbuhan dan bagaimana terjadinya cabaran politik dalam sesuatu keadaan. Dalam penjalanan rutin ekonomi melalui kraf tangan, kaum wanita kampung ini dijentik oleh sentimen politik akibat keinginan untuk mendapatkan manfaat bersama demi kemajuan masyarakat di kampung mereka.
Demikian juga penglibatan pihak lain seperti APPGM-SDGs dan solution providers yang membantu kaum wanita Kg. Song-Song. Ia menandakan kepekaan tinggi dalam gerakan sosial untuk perubahan di kawasan pedalaman Sabah yang mungkin selama ini diandaikan kebanyakan orang tidak mempunyai kemajuan sosial. Maka, memahami dan memberikan jalan penyelesaian menjadi kunci utama dalam perubahan dibawakan WANIS yang bukan sahaja untuk wanita semata-mata bahkan masyarakat secara umum.
Kesimpulan
Secara kesimpulannya, terdapat tiga perenungan yang dapat ditanggapi oleh NARATIF Malaysia menerusi kumpulan-kumpulan kolektif terpilih yang wujud di negeri Sabah. Pertamanya kumpulan kolektif yang muncul adalah bersifat organik, mandiri dan jelas berprinsip. Keduanya ialah perkumpulan kolektif yang wujud adalah bersinggungan dengan sektor pertama dan kedua iaitu pemerintah serta pasaran yang juga membentuk unsur keduaan ataupun saling bertautan biarpun ada pertentangan. Seperti dijelaskan Giddens mengenai unsur struktur bukan sahaja asasnya yang mengekang tetapi juga sebagai pemboleh atau pemudah kepada sektor ketiga khususnya yang dapat dikesan di Sabah. Sementara itu, perenungan ketiga antara paling ketara yang ditemui NARATIF Malaysia iaitu Borneo Komrad, Pangrok Sulap dan WANIS telah tertubuh atas dasar kekukuhan infrastruktur sosial yang wujud di kalangan individu dalam perkumpulan kolektif. Infrastruktur sosial ini bermaksud setiap individu ini telah sedia ada mempunyai keterikatan ideologi, kepentingan ataupun nilai keserakanan yang boleh mencetuskan perubahan sosial secara kecil, sederhana mahupun ke arah yang lebih besar. Infrastruktur sosial ini juga jika dimanfaatkan dengan betul, ia sebenarnya mampu memperkasakan organisasi masyarakat sivil untuk mempengaruhi sektor pertama dan sektor kedua dari segi semak dan imbang peranan masing-masing khususnya di negeri Sabah dan amnya Malaysia.
RUJUKAN
Ishak Shari. 2008. Pembangunan: Mengejar Impian atau Harapan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Siti Aidah Lokin. 2006. Angkatan Gaya Baru (AGABA) 1957-1962: Satu Tinjauan Terhadap Penglibatan dan Sumbangan Wanita dalam Kegiatan Persatuan Sosiobudaya di Sabah. Proceedings of Science, Technology and Social Sciences. 2. Pahang: Universiti Teknologi Pahang.
Eko Prayitno Joko. et. al. 2018. Gerakan Berpolitik Bumiputera Islam di Sabah (1938-1963). Kota Bahru: Kedai Hitam Putih.
World Bank. 2022. (February, 28). Civil Society. https://www.worldbank.org/en/about/partners/civil-society/overview#:~:text=The%20World%20Bank%20Group%20works,political%2C%20scientific%2C%20religious%20or%20philanthropic
Viterna, J., Clough, E. & Clarke, K. (2015). Reclaiming the “Third Sector” from “Civil Society”: A New Agenda for Development Studies. Sociology of Development 1(1): 173-207.
World Economic Forum (2013). The Future Role of Civil Society. World Economic Forum in collaboration with KPMG International. Retrieved from http://www3.weforum.org/docs/WEF_FutureRoleCivilSociety_Report_2013.pdf