Tujuh puluh lapan tahun dahulu, pada 21hb Disember,1946, sayap pemuda Parti Kebbangsaan Melayu Malaya telah menerbitkan sebuah dokumen yang tiada taranya sehingga munculnya satu rancangan raksasa kejuruteraan sosial masyarakat Malaysia
– Dasar Ekonomi Baru – dua puluh lima tahun kemudian, pada 1971.
Disediakan Ahmad Boestamam (1920 – 1983), ketua satu Lembaga Tertinggi Angkatan Pemuda Insaf (A.P.I) Malaya, dokumen tersebut diberikan nama Testamen Politik A.P.I. – Merdeka dengan Darah (1946).
Pada 17 Februari, 1946 Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang terdiri pada 17 Oktober, 1945 menubuhkan sayap pemudanya, Angkatan Pemuda Insaf Malaya. Sayap pemuda tersebut dipimpin oleh Ahmad Boestamam. PKMM pada ketika itu mempunyai kira-kira 10,000 anggota dari seluruh Tanah Melayu.
Setahun setelah terdirinya sayap pemuda tersebut itu, kerajaan kolonial Inggeris mengharamkan A.P.I. Lalu, menjadikannya parti politik pertama yang terlarang di Tanah Melayu. Parti induknya (PKMM) diharamkan kemudian setelah diisytiharkan Darurat pada Jun, 1948.
Dilaporkan kira-kira 1,000 anggota PKMM ditahan dibawah Darurat. Beratus lagi anggotanya menyertai gerakan bawah tanah. Selebihnya menyertai parti politik lain pada ketika itu sehingga terdapat seorang daripadanya dilantik Timbalan Perdana Menteri, selain beberapa orang yang menganggotai Kabinet persekutuan. Terdapat beberapa orang yang memimpin kerajaan negeri, dua di Terengganu dan seorang di Kelantan. Sebilangan kecil menyertai Tentara Nasional Indonesia melawan Belanda.
Anggota-anggota yang tertangkap dianggap Kerajaan Kolonial sebagai “firebrand” (pengapi-api), “fanatics”, “”thugs” (penjahat), “bandits” (penyamun), “docile” (jinak, mudah mematuhi), “subservient” (tunduk), “vulnerable” (mudah tertawan), “extremist” (terlampau). Gambaran diatas adalah jelmaan stereotaip ras tentang orang Melayu.
Testamen Politik API-Merdeka dengan Darah (1946) (Testamen) pun dilarang. Boestamam diseret ke mahkamah. Beliau dikatakan mahkamah Kolonial menyalahi undang-undang hasutan. Lalu, Boestamam dijatuhkan hukuman penjara atau denda. Beliau memilih membayar denda sekalipun terdapat sebilangan anggota yang menyarankan penjara sebagai tanda protes. Antaranya Shamsiah Fakeh.
Sayang sekali Ahmad Boestamam tidak dinasihati peguamnya, John Eber supaya Boestamam membuat kenyataan bela diri dari kandang ‘orang salah’ di
mahkamah kolonial Inggeris seperti halnya dengan pleido (pidato bela diri di mahkamah) historik Sukarno di mahkamah kolonial Belanda pada 1930. Judul pidato Sukarno “Indonesia menggugat” walaupun dia sendiri tertuduh. Mungkinkah kedua-dua Ahmad Boestamam dan John Eber tidak tahu, sekalipun pleido itu terjadi 16 tahun sebelumnya? Bayangkan pemidato terulung ketika itu menjerit di mahkamah “Dengan darah akan kita merdeka”, lalu membaca Testamen disitu!
Isinya
Dokumen Testamen A.P.I.-Merdeka dengan Darah (Testamen) adalah “wasiat” politik untuk dilaksanakan para pemuda patriotik Malaya. Ia mengandung 26 muka surat dan terbahagi dua. Enam muka surat pertamanya adalah penyataan awal yang disediakan Ahmad Boestamam pada 31 Oktober, 1946. Bahagian awal itu signifikan kerana usahha A.P.I. menarik dukungan sebuah organisasi pemuda antarabangsa yang berbasis di Eropah. Hal itu adalah sisi internasionalnya. Ternyata sumber inspirasi A.P.I. adalah perjuangan pemuda Indonesia menuntut dan mencapai kemerdekaannya.
Mulai muka surat tujuh, Testamen melukiskan “Tujuan-tujuan A.P.I”, “Ideologi A.P.I.”, hal bersangkutan “Dalam politik”, “Dalam ekonomi”, “Dalam sosial”.
Dinyatakan juga secara umum strategi dan taktik perjuangan A.P.I.
Ekonomi
Tentang rancangan ekonomi “A.P.I. mahu kepada satu susunan yang teratur (planned economy) yang bukan-nya untok faedah satu dua orang atau satu dua puak sahaja tetapi untok faedah bersama-sama untok faedah orang ramai atau raayat jelata”
Lalu, Testamen memberikan pertimbangan mengapakah planned economy dipilih “A.P.I. berkeyakinan untok mendapat susunan ekonomi tarator yang demikian itu segala sesuaua yang mengenai soal ekonomi haruslah dipegang oleh Negara – atau State.”
Soal ekonomi, namun tidak terpisah dengan soal politik. Oleh kerana itu Testamen menyimpulkan bahawa “Pendek-nya kuasa politik-lah yang lebeh dahulu patut kita ambil baharu dapat kita menyusun ekonomi yang terator”.
Hal ini tentunya bererti “Ekonomi yang terator tidak akan dzahir jika negara maseh terjajah.”
Keperluan kemerdekaan sebagai prasyarat kejuruteraan sosial masyarakat Malaya mendorong para pemuda yakin dengan semboyan “Merdeka dengan Darah”. Hal ini dapat dimengertikan lagi apabila diterima hakikat bahawa zaman tersebut mengabsahkan perjuangan bersenjata, selain cara runding. Mereka terilham oleh perjuangan pemuda Indonesia, seperti Bung Tomo. Perjuangan bersenjata suatu yang lazim di Vietnam, Kemboja, dan Laos, selain China pada zaman itu. Demikian kuat
sekali pengaruh roh zaman – zeitgeist keatas gerakan politik kita. Malah dalam kalangan kiri, mengangkat senjata adalah jelmaan tertinggi perjuangan kelas.
Strategi – taktik
Satu hal menarik yang disebut ulang dalam Testamen adalah kaedah perjuangan
A.P.I. Dinyatakan di muka surat 11 hingga 14 bahawa terdapat dua cara perjuangan – “Jalan chepat, radical dan serentak” dan “Jalan sehat, lambat dan
perlahan-lahan”. Maka diantara dua jalan tersebut “A.P.I. memileh jalan yang pertama — Sebab itu-lah A.P.I. memakai semboyan: KERAS LAWAN KERAS, LEMBUT LAWAN LEMBUT”. Ternyata A.P.I. tidak menolak cara runding, sekalipun perjuangan bersenjata adalah kaedah utamanya.
Hal terakhir itu menarik kerana terdapat sebilangan anggota yang berpendapat strategi dan taktik perjuangan sayap kiri parti itu berkecenderungan “adventuris”. Hal tersebut dinyatakan secara lisan oleh Kamaruzaman Teh, salah seorang pemimpin PKMM.
Dari satu segi, pemilihan jalan pertama itu oleh A.P.I. boleh dianggap satu kritikan serius terhadap strategi dan taktik perjuanngan parti induknya, PKMM, yang ketika itu pimpinan Burhanuddin Helmi dan yang difikirkan memilih “Jalan sehat, lambat dan perlahan”.
Perbezaan dalaman parti terpancar benderang pada soal ekonomi impiannya.
A.P.I. memilih “planned economy”, sementara menurut seorang pemimpin pusat PKMM pada ketika itu, Abdullah C.D. ideologi parti induk adalah demokrasi sosial.
Planned economy bermaksud penolakan pasaran sebagai cra tunggal dan jalan eksklusif kearah pembahagian kekayaan kepada para warga. Dalam kerangka ekonomi terancang yang menyeliakan ekonomi adalah institusi negara. Argumennya begini: sebarang langkah reformasi pasti ditolak oleh kelas pemodal. Terdapat pula pelbagai
variasi ekonomi terancang seperti jenis sentralisasi dan desentralisasi serta sosialisme pasaran yang terdapat pada zaman A.P.I. belum dapat dipastikan variasi apa pilihan
A.P.I.
Ideologi parti induk PKMM pula adalah demokrasi sosial. Arguman ideologi tersebut begini: demokrasi sosial adalah ideologi yang menggabungkan penyeliaan aktiviti ekonomi oleh institusi negara bersama pasaran. Segi-segi penting bidang
ekonomi diseliakan negara.
Kesimpulan
Ternyata sebelum Testamen Politik A.P.I. (1946) tidak terdapat sebarang visi masyarakat impian oleh parti politik Malaysia. Dasar Ekonomi Baru yang muncul 25 tahun kemudian telah melakarkan visi masyarakat yang bebas kemiskinan dan
monopoli ekonomi menurut etnik.
Menurut Teo Lee Ken* (2018), seorang sarjana tempatan, Testamen sebagai risalah politik yang ditulis pada 1946 itu tiada tolok bandingnya. Dokumen itu memiliki kekuatan, kejelasan dan radikalisme, menurutnya lagi.
Testamen sebagai program politik menjadi lebih lengkap apabila dibaca bersama-sama risalah 9 Tesis Marhaenizem juga susunan Ahmad Boestamam, ketua satu Lembaga Tertinggi, Angkatan Pemuda Insaf Malaya. Setelah membaca sembilan tesis tersebut, maka dapat didebatkan lagi apakah posisi A.P.I. tentang ekonomi terancang dalam Testamen dan wawasan masyarakat dan ekonomi dalam 9 Tesis Marhaenisme. Hanya belum dapat dipastikan risalah manakah yang diterbitkan dahulu kerana 9 Tesis Marhaenizem tidak bertarikh.
Risalah 9 Tesis Marhaenisme (tanpa tarikh) dijadikan judul tesis untuk ijazah sarjana muda di Universiti Sains Malaysia pada 2023 oleh Ikram Ismail.
Terdapat satu kekhususan dalam DEB (1971) yang mencerminkan, sekalipun samar-samar, titian batin sejarah antaranya dengan Testamen. Pada 25 Julai, 1971 di Morib, arkitek DEB, Tun Abdul Razak Hussein menyatakan bahawa yang menjadi landasan DEB adalah ideologi “nationalist socialism”. Sosialismenya menolak teori pertentangan kelas Marxis-Leninis. Beliau memakai konsep campur tangan negara yang dipanggilnya “doktrin kebajikan” sebagai ideologinya untuk maksud mengagihkan kekayaan dengan adil dan berekuiti. Berkebetulan sejarah ini juga kelihatan apakala dibandingkan DEB dengan 9 Tesis Marhaenisme tentang jenis masyarakat impian masing-masing. Terdapatkah satu kontinuum sejarah? Atau berkebetulan semata.
21 Disember 2024.
Abdul Halim Ali
Catatan: Southeast Asian Studies, Vol.7, No.1. April 2018, pp. 65-84.