“2.3 Nasionalisme – Teras Pembentukan Bangsa
Dasar ekonomi harus dicipta dengan satu matlamat utama, iaitu membentuk bangsa Malayisa yang bersatu padu dengan landasan nasionalisme Malaysia. Dalam usaha untuk mewujudkan nasionalisme yang bersifat keMalaysiaan, kita tidak dapat menolak hakikat sejarah tanahair yang seharusnya dijadikan pedoman. Pembentukan nasionalisme Malaysia yang tulen haruslah, demi untuk memelihara kesinambungan sejarah, berpegang kepada nasionalisme Melayu/Bumiputera. Nasionalisme yang ingin ditaja itu mestilah merangkumi aspek-aspek budaya, sosial, ekonomi dan politik yang berteraskan alam Malaysia.
Bagi mencapai matlamat ini, dua aspek perlu diberi perhatian:
- Mewujudkan infrastruktur budaya, politik dan sosioekonomi dengan tujuan menggembleng tenaga perpaduan suku-suku bangsa, daerah dan wilayah di Malaysia. Ini bererti;
- dari sudut budaya, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan perpaduan hendaklah terjamin kukuh dan dijadikan wadah pengucapan dan pengembangan nilai-nilai kebangsaan yang moden. Sesuai dan seiring dengan ini, perlulah diwujudkan dengan segera satu sistem persekolahan kebangsaan yang tunggal;
- dari sudut politik, arus dan ideologi politik negara haruslah berasaskan demokrasi berparlimen dan berlandaskan sistem pemerintahan undang-undang yang universal dan moden dan yang menjamin kebebasan asasi. Kuasa politik dengan kerjasama parti-parti politik hendaklah digembleng bagi menghapuskan ciri-ciri perkauman; dan
- dari sudut sosio-ekonomi, pembangunan yang seimbang antara kaum, daerah dan wilayah hendaklah dilaksanakan sejajar dengan usaha membina keadilan sosial dan ekonomi.
- Mewujudkan semangat cinta tanahair dengan menanamkan kesedaran di kalangan rakyat jelata bahawa mereka memiliki; Satu Bangsa (Bangsa Malaysia), Satu Negara (Negara Malaysia), Satu Bahasa (Bahasa Malaysia), dan di samping itu memperagakan simbol-simbol yang boleh membawa kepada perpaduan bangsa yang berasaskan:
- kebudayaan nasional yang berteraskan ciri-ciri kebumiputeraan yang merangkumi sejarah, kebudayaan dan kesenian kaum-kaum dalam kategori Bumiputera di Malaysia, dan
- penerimaan unsur-unsur sejagat yang mulia dan murni yang digali daripada umbi-umbi kebudayaan asing yang sewajarnya digalakkan menyerap masuk ke dalam kebudayaan nasional secara difusi. Pada jangka panjangnya, serapan secara difusi ini akan memperkaya dan memberi bentuk kepada kebudayaan dan identiti nasional Malaysia.”
*Abd. Majid Salleh et al., 1990, Setelah 1990: Ekonomi dan Pembentukan Bangsa, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kumpulan Penelitian Sosial, Universiti Kebangsaan Malaysia, ms16,17.
*Anggota Kumpulan Peneliti Sosial, UKM, 1990
- Dahlan Haji Aman -almarhum
- Ishak Shari -almarhum
- Ismail Muhd. Salleh -almarhum
- Osman Rani Hassan -almarhum
- Zulkifly Mustaffa -almarhum
- Abdul Majid Salleh
- Ahmat Adam
- A. Halim Ali
- Anuwar Ali
- Chamhuri Siwar
- Hamzah Ismail
- Mohammad Hj. Alias
- Mohd. Yusof Kassim
- Ragayah Mat Zin
- Sanusi Osman