Setelah 1874, Tanah Melayu dijadikan masyarakat jenis kolonial yang tujuan asasnya menghapuskan ekonomi tradisional peribumi (aktiviti pelayaran dan perlombongan) dan digantikan dengan ekonomi kapitalis jenis kolonial yang bukan sistem kapitalis biasa yang terdapat di Eropah. Itulah khususan sejarah Malaysia. Ekonomi tradisional peribumi terhapus lalu dimodernkan oleh modal barat dengan dukungan kapitalis komprador (agen) Cina imigran lewat pertimbangan prinsip perniagaan bebas dan penguasaan kerajaan kolonial keatas imigresen dengan izin para sultan Melayu disini.
Seperti Myanmar dan Indonesia masyarakat peribumi Malaysia pada zaman itu perlu disusunkan semula kuasa-kuasa kolonial berpandukan doktrin pasar bebas. Proses penyusunan tersebut dipanggil seorang penulis Myanmar sebagai ‘hirarki ras’. Di Malaysia, Myanmar dan Indonesia penyusunan berlapis-lapisan berdasarkan ras oleh Inggeris dan Belanda (colonial pecking order) yang semuanya meletakkan rakyat peribumi masing-masing dilapisan terbawah. Teratas adalah Inggeris dan Belanda sementara Cina (di Malaysia dan Indonesia) dan India (di Myanmar) di tengah-tengah. Pemisahan ketiga-tiga lapisan sosial-ekonomi demikian tercermin di bidang ekonomi, kebudayaan, kepercayaan dan geografi. Namun, keterpisahan etnik yang hampir total itu ditemukan di institusi pasar, tetapi disitupun tanpa hadirnya keazaman kebersamaan diantara mereka itu. Masyarakat plural kolonial demikian dengan beberapa penyesuaian dijadikan model masyarakat impian dalam perundingan dengan kerajaan kolonial Inggeris pada 1955 dengan segala ‘benang kusut’ nya yang hadir hingga sekarang.
Kejadian Mei 1969 dapat dihuraikan berlatarkan evolusi sejarah tersebut. Sebab-sebab terjadinya 13 Mei tersebut telah dihuraikan berbagai cara. Namun, satu pendekatan menyarankan antara pelbagai sebab yang hadir, pada sesuatu ketika tertentu itu, hanya satu yang dianggap primer. Yang lain-lain itu juga penting tetapi pada saat-saat sejarah tersebut yang lain-lain itu sentiasa bertunjangkan material, yakni ekonomi. Ketaksamaan ekonomi membuahkan ketaksamaan sosial. Kedua-dua ketaksamaan tersebut pula bersama suku bangsa dan geografi jatuh dititik sama.
Empat belas tahun setelah pemerintahan sendiri harapan rakyat dan janji kerajaan tidak terpenuhi. Sebaliknya, segala ketidakadilan ekonomi dan social memburuk. Kemiskinan mutlak dan kemiskinan relatif bergandingan pada era-era tersebut itu yang semuanya jatuh dititik kelas, etnik dan geografi.
Pencetus, Bukan Sebabnya
Secara sosiologinya, Mei 13 adalah ekspresi krisis. Krisis bererti munculnya keadaan yang genting dan berbahaya yang memerlukan penyelesaiannya. Seperti dalam bidang ilmu, sesuatu bidang ilmu itu dikatakan mengalami krisis apabila teori lamanya itu gagal menghuraikan sesuatu fenomenon. Maksudnya, teori lama itu tidak lagi berkeupayaan menghuraikannya sementara teori baharu sedang dicari. Begitulah juga halnya dengan 1969. Keteraturan sosial lama (model masyarakat plural kolonial) tidak lagi absah. Paradigma baharu diperlukan. Kejuruteraan sosial masyarakat Malaysia tidak terelakkan.
Kejuruteraan Sosial 1971
Lalu, krisis tersebut diselesaikan dengan satu projek kejuruteraan sosial masyarakat Malaysia yang raksasa sifatnya – Dasar Ekonomi Baru 1971 – dengan memakai paradigma baharu. Sungguh nyata ia satu upaya ambisius dalam sejarah kita. Dwi-matlamatnya itu radikal sekali.
Satu kacukan ideologi dipilih pada waktu itu yang mirip statisme, yakni diberikan penegasan kepada intervensi negara dalam aspek-aspek penting kehidupan ekonomi warganya. Sekalipun demikian, lingkungannya, bingkainya, penafsir signifikannya, dan penentu asasnya tetap pasar, akhir-akhirnya.
Itulah konteks luas DEB 1971 yang sesungguhnya diterlaksanakan dengan ihsan pasar. Maka itu, mudah terjadinya langkah-langkah ekonomi gangguan yang pramatang sifatnya beberapa tahun setelah terlaksananya DEB itu, seperti pada period antara 1978-1985 dan 1991-1998. Deregulasi.
Pada era-era 1950-an, 1960-an terdapat kecenderungan institusi negara memainkan peranan aktifnya dalam kehidupan ekonomi warga seperti di Sri Lanka, Myanmar, Kemboja. Juga di Timur Tengah dan di Afrika yang dipimpin ideologi sosialisme Arab dan sosialisme Afrika. Di Skandinavia, Eropah Barat, Britain sudah terdapat program negara berkebajikan.
Ternyata apakala dilaksanakan DEB 1971, sebahagian kelas menengah Malaysia pada era itu, yakni sisa dan keturunan kelas kapitalis pembantu kapitalisme kolonial Inggeris-Amerika – kelas kapitalis komprador – mencuba melawan intervensi oleh institusi negara dengan memindahkan modalnya ke luar negeri. Selain itu, ramai dari kelas profesional yang migrasi ke Australia, Britain, Kanada, dan Amerika kerana bimbang masa depan mereka dengan perekayasaan sosial DEB 1971 yang menginginkan perubahan masyarakat yang berkecenderungan struktural, seperti tercatat dimatlamat serampang dua mata DEB, 1971.
Ketidaksenangan kelas profesional itu kerana mereka terbiasa dengan masyarakat plural jenis kolonial seperti diterhuraikan teori Furnival tentang Malaysia, Indonesia dan Myanmar. Ternyata, sisanya segar sekalipun setelah merdeka. Statistiks rasmi memberikan gambaran genting begitu, khususnya landskap ekonomi dan pendidikan zaman pra 1969 di Malaysia.
Keberhasilan DEB
Sekalipun pasar menjadi bingkai luas DEB, namun kajian para ahli ekonomi seperi Jomo K.S, Ishak Shari, dan Rajah Rasiah dan selain itu, Just Faaland serta Rais Saniman, masing-masing menunjukkan jurang ekonomi antara kelas, etnik, dan geografi merapat dengan pantasnya setelah dilaksanakan DEB pada 1971 sehingga pada waktu diperkenalkan dasar deregulasi kerana desakan pasar. Setelah itu, jurang berkecenderungan melebar kembali, sekali pun tidak separah situasi pra-DEB – sehingga sekarang.
Cara wajar DEB untuk maksud penyelesaian ketaksamaan ekonomi dan sosial ditunjukkan oleh Mohamad Khalid dalam penerbitannya Antara Dua Darjat dan The Colour of Inequality. Juga menarik pada tahun sama Thomas Piketty menerbitkan jumpaannya setelah meneliti data yang terhimpun selama 200 tahun sejak Revolusi Perancis (1789) di 4 negeri Eropah dan Jepun. Jumpaan pentingnya: ketidaksamaan tersebut hanya dirapatkan pada ketika-ketika intervensi negara dan pada waktu perang. Pada waktu-waktu lain jurang ekonomi tetap melebar sekalipun ancien regime pemerintahan purba feudalisme telah tersirnar dan digantikan dengan sistem kapitalis.
Falsafah DEB
Pelaksanaan DEB 1971 menandakan era intervensi institusi negara dalam kehidupan ekonomi para warga Malaysia. Arkitek utamanya, Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri pada waktu itu mengakui memakai konsep intervensi oleh institusi negara yang dipanggilnya ‘doktrin kebajikan’ sebagai ideologinya untuk maksud
mengagihkan kekayaan dengan cara adil dan berekuiti. Diakuinya juga bahawa yang menjadi landasan kejuruteraan sosialnya itu adalah ideologi “nationalist socialism”. Menurutnya, seperti yang tercatat didalam rekod Arkib Negara, beliau menjelaskannya sebagai jenis sosialisme moderat yang menolak teori pertentangan kelas Marxis-Leninis, sekurang-kurangnya dalam urusan hubungan ekonomi dalam negeri. Peranan pasar tidak ditolak oleh DEB 1971.
Ternyata disini, DEB 1971 itu terpandu oleh satu idea, satu fahaman, satu ideologi yang bertunjangkan masyarakat peribumi Nusantara, yakni satu keberahian warganya akan persamaan sosial dan keinginan mereka akan pembangunan ekonomi yang pantas.
Hasratnya itu diartikulasikan Abdul Razak sendiri pada 25 Julai 1971 di Morib, Selangor. Ertinya, DEB itu memiliki teorinya yang khusus sesuai dengan konteks sejarah dan sosiologi Malaysia. Falsafah pragmatisme bukan dijadikan pedomannya DEB, 1971 itu. Tidak juga ideologi pasaran bebas murni.