31.2 C
Kuala Lumpur
22 April 2024 (Monday)
spot_img

Wawancara bersama Dr Chandra Muzaffar:  Antara Tanggungjawab Ahli Akademik dan Hak-Hak Pemerintah

Wawancara ini diadakan bersama Dr Chandra Muzaffar, seorang ahli Sains Politik dan aktivis. Beliau pernah berkhidmat di Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaya (UM), serta aktif dalam dunia aktivisme iaitu Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN). Dr Chandra juga kini merupakan Presiden International Movement for a Just World (JUST).

IDEA DAN KONSEP KEBEBASAN AKADEMIK

NARATIF MALAYSIA (NM):  Prof. bukan sahaja seorang ahli Akademik tetapi merupakan aktivis pada pandangan Prof. Apakah yang dimaksudkan dengan idea kebebasan akademik?

CHANDRA MUZAFFAR (CM): Kebebasan akademik itu memiliki tradisi tertentu. Ada beberapa pihak yang membincangkan konsep ini.  Dalam beberapa ratus tahun ini konsep ini berkembang. Terdapat sumber-sumber tertentu yang menjelaskannya secara lebih mendalam. Saya mengetahui sumber-sumber ini berdasarkan pengalaman dan perbincangan antara saya dan rakan-rakan. Ia mempengaruhi saya mengenai konsep kebebasan akademik ini. Dalam konteks negara kita, ia kebebasan untuk mengkaji atau menjalankan penyelidikan. Ia berdasarkan kepada pemahaman individu tertentu dan pengaruh peribadi, serta pengaruh persekitaran. Ia bererti bebas untuk mengajar dan bebas untuk menyebarkan idea-idea tertentu. Kebebasan untuk meningkatkan khazanah idea dalam masyarakat melalui individu atau interaksi dengan pihak lain juga penting untuk kebebasan akademik. Itulah pemahaman saya tentang kebebasan akademik. Namun demikian, jangan kita lupa bahawa kebebasan akademik itu adalah sebahagian daripada konsep kebebasan yang lebih besar seperti kebebasan bersuara, kebebasan untuk berhimpun,  kebebasan untuk mendirikan persatuan, dan kebebasan untuk menyumbang kepada masyarakat yang lebih luas. 

NM: Definisi yang Prof. berikan secara tidak langsung menghubungkan konsep kebebasan akademik dengan konsep kebebasan yang lebih luas. Namun demikian,  persoalan saya, ada pembahagian antara tanggungjawab dan hak yang mana kebebasan ini ialah hak kepada manusia. Bagaimanakah perspektif Prof. dalam meletakkan hubungan di antara hak dan tanggungjawab  iaitu keseimbangan di antara kedua-duanya? Adakah hak itu mendahului tanggungjawab atau dua perkara ini adalah sesuatu yang seimbang? 

CM: Pada pandangan saya kedua-duanya adalah seimbang kita tidak boleh memisahkan antara kedua-duanya ini. Misalnya, jika saya menyuarakan pandangan saya tentang masalah rasuah, daripada satu segi kita menganggapnya sebagai suatu hak. Namun, lebih penting daripada hak, ia juga merupakan tanggungjawab. Tanggungjawab sebagai warga dan seorang insan. Saya bertanggungjawab untuk menyuarakan suatu cabaran sosial yang membawa implikasi kepada keseluruhan masyarakat. Ia bermakna hak saya itu berpunca daripada rasa tanggungjawab. Dalam konteks ini tanggungjawab mendahului hak kerana saya berasa bertanggungjawab. Saya menyuarakan tentang rasuah, diskriminasi terhadap golongan minoriti dan hubungan kaum. Bermakna saya melaksanakan hak saya kerana rasa tanggungjawab. Bagi saya hak yang benar-benar bermakna dan bererti ialah hak yang wujud daripada rasa tanggungjawab. 

NM: Lanjutan daripada persoalan pembahagian tentang hak dan tanggungjawab, kami tahu bahawa Prof. menyedari kebanyakan pemerintah atau pihak yang berautoriti menggunakan alasan tanggungjawab untuk meredam aktivisme golongan akademik dengan menyatakan  atas sebab kepentingan tanggungjawab ahli akademik perlu untuk melakukan pencarian ilmu, menjalankan penyelidikan dan bukannya dengan memperjuangkan idea-idea tentang kebebasan yang merupakan sebahagian daripada hak. Apakah Prof. juga melihat dan mengamati ada kecenderungan pihak pemerintah menggunakan dalil tanggungjawab melebihi hak?

CM: Itu sememangnya sudah menjadi satu masalah besar. Apabila kita cuba mengaitkan antara hak dan tanggungjawab, ada sesetengah pihak yang cuba meminggirkannya dengan hujah tentang tanggungjawab. Akan tetapi,  kita harus faham cara bagaimana mereka menggunakan konsep tanggungjawab itu. Bagi mereka, tanggungjawab itu ialah hak pemerintah. Pemerintah yang menentukan dan mentakrifkannya. Pemerintah yang menggariskan sempadan itu adalah sebagai hak mereka. Oleh kerana mereka menganggap itu sebagai hak mereka dan begitulah mereka menafsirkan tentang tanggungjawab, mereka menggunakan tanggungjawab untuk menafikan hak. Walau bagaimanapun, seperti kita perkatakan tadi,  tanggungjawab itu adalah sebahagian  daripada kondisi insan. Ia boleh dikaitkan dengan tanggungjawab kerana wujudnya manusia untuk mewujudkan keadilan.  Tanggungjawab bukan sesuatu yang boleh ditentukan oleh sesuatu pihak untuk kepentingannya. Tanggungjawab saya adalah untuk melindungi masyarakat daripada pengamalan hak-hak tertentu yang sebenarnya ialah tanggungjawab manusia. Memperjuangkan keadilan, menentang kezaliman dan penindasan merupakan tanggungjawab penting. Bermakna soal hak dan tanggungjawab ialah suatu yang penting kerana ia berhubung kait dengan konsepsi asas manusia. Tanggungjawab bukan konsep yang ditentukan oleh sesetengah pihak tertentu. Tanggungjawab ialah konsep yang terletak kepada keadaan seseorang insan.

NM: Beberapa kali menggunakan konsep kondisi insan atau keadaan manusia itu yang mana hak dan tanggungjawab ini sebenarnya ialah keadaan atau kondisi insan. Dalam keadaan kita memahami hak dan tanggungjawab ialah kondisi insan, maka apakah keperluan fungsi perundangan, legal, hak dan sebagainya diadakan? Dalam contoh ini, kebebasan akademik ditentukan oleh legal seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU 1971) dan sebagainya. Adakah masih perlu untuk kita mempunyai sistem perundangan untuk kebebasan akademik sebagai contoh bagi membataskan atau menggalakkan kebebasan tanggungjawab akademik itu sendiri? 

CM: Umumnya, manusia dan masyarakat itu memerlukan undang-undang. Contoh yang sering diberikan adalah dengan ketiadaan peraturan, akan tercetus keadaan huru-hara. Maka, kita perlukannya. Adakah peraturan-peraturan itu meningkatkan kemanusiaan? Sekiranya peraturan-peraturan itu membunuh kemuliaan insan, wujud satu keadaan di mana manusia hilang kemanusiaannya. Itulah sebabnya penting untuk kita memahami peraturan-peraturan ini. Jika kita lihat, AUKU 1971 digubal pada tahun 1971.  Kemudian,  pada tahun 1975 ia dipinda oleh Kerajaan,  peraturan-peraturan tertentu telah diperketatkan, khususnya daripada segi struktur. Jika kita lihat pada kesannya, dari tahun 1975 hingga tahun 2000-an apabila ia dilonggarkan daripada segi menyuarakan pendapat tentang politik, terlibat dalam politik dan sebagainya. Jika kita lihat dalam tempoh itu, peraturan-peraturan tersebut memberi kesan terhadap konteks perkembangan intelektual. Perkembangan intelektual yang saya maksudkan bukan yang formal, tetapi yang tidak formal iaitu perkembangan melalui perbincangan perbahasan dan sebagainya. Perkembangan intelektual itu terhad dan tidak maju. Saya dan beberapa individu lainnya dapat membuat perbandingan. Pada tahun 1971 hingga 1975, dibandingkan dengan masa selanjutnya sehingga 1990-an,  Ketika saya mengajar di Universiti Sains Malaysia (USM), para pelajar Sains Kemasyarakatan lebih giat terlibat dalam soal-soal kemasyarakatan. Mereka terlibat dalam meluahkan pendapat melalui penulisan dan perbincangan bersama para pensyarah. Itulah sebabnya pada tahun 1974 sudah ada demonstrasi dan sebagainya, akibat daripada suasana pada masa itu. Namun, pada tahun-tahun selepas tahun 1975, persekitaran berubah. Para pelajar tidak begitu terlibat dalam soal-soal kemasyarakatan. Ia membawa kesan kepada kedudukan mereka sebagai pelajar daripada segi esei-esei yang ditulis. Dimensi tentang kemasyarakatan itu kurang. Ia menjadi semakin kurang terserlah. Seolah-olah apa yang ditulis itu terpisah daripada apa yang berlaku. Jadi, itulah sebabnya saya melihat adanya perbezaan dalam kalangan para pelajar pada tahun 1971 hingga sekitar tahun 1975.

PERKEMBANGAN KEBEBASAN AKADEMIK

NM: Prof. beberapa kali menyebut tentang pelajar, tetapi saya ingin membawa perbincangan ini kepada ahli akademik. Sebagai orang lama dari tahun-tahun 1970-an, 1980-an, 1990-an dan 2000-an hingga sekarang, banyak melihat perubahan khususnya di dunia kampus dan akademik. Bagaimanakah perbezaan ahli akademik dalam beberapa generasi dari dahulu hingga sekarang menurut pandangan Prof.?

CM: Mungkin penilaian saya kurang seimbang kerana keadaan di USM berbeza sedikit. Pada dasawarsa 1970-an, sebahagian besar pensyarah di Fakulti Sains Kemasyarakatan yang digelarkan sebagai ‘sekolah’, saya lihat mereka itu ialah ahli akademik dari luar kerana sebelum USM memperkenalkan Sains Kemasyarakatan, tiada universiti-universiti lain, kecuali universiti terulung iaitu Universiti Malaya (UM). Di UM, tiada kursus Sains Kemasyarakatan. Oleh kerana tiada pensyarah atau kursus Sains Kemasyarakatan, yang mengisi tempat dalam ahli akademik ialah ahli akademik dari luar. Oleh kerana mereka dari luar terdapat kekurangan. Sememangnya sebahagian daripada mereka itu baik. Sumbangan mereka itu tidak dapat kita nafikan, tetapi saya melihat mereka ini tiada komitmen tertentu terhadap isu-isu tempatan yang penting bagi para dan masyarakat. Adakalanya, cara mereka mendekati isu-isu tertentu adalah sebagai pengkaji dari luar. Itu menjadi masalah kerana adakalanya mereka tidak memahami unsur-unsur yang mewarnai pemahaman kita mengenai isu-isu tertentu.

Perbandingan antara dua era ini agak sukar. Namun, saya sedar bahawa pada dasawarsa 1990-an, sudah ada perubahan besar dalam kalangan pensyarah. Mereka yang aktif menyuarakan isu-isu tentang masyarakat kecil bilangannya. Mereka yang menulis dan mahu membuktikan penglibatan mereka itu hanya segelintir. Berkemungkinan mereka berasa agak takut lebih-lebih lagi apabila menyuarakan sesuatu yang tidak kena. Tidak tahu apa kesan terhadap keluarga mereka. Kali terakhir para pensyarah menyuarakan isi hati mereka mengenai isu-isu masyarakat ialah pada tahun 1974 semasa Peristiwa Baling. Meskipun tidak ramai, tetapi ada. Kita tahu apa yang berlaku. Kita terpaksa menyembunyikan diri dan sebagainya. Pada masa itu, saya sebagai setiausaha Persatuan Kakitangan Akademik USM. Kita ada membincangkannya. Jangan lupa pada Peristiwa Baling 1974, Dr. Syed Husin Ali ditahan, juga lain-lain bukan ahli akademik, pelajar-pelajar yang aktif, bekas pelajar, pemimpin belia seperti Anwar Ibrahim. Beliau Dr. Syed Husin Ali ditahan di Kamunting, Perak. Saya masih ingat kerana saya antara yang menghantar buku-buku kepada beliau. Sudah tentu peristiwa itu ada kesannya. Mesej daripada hal ini kepada ahli akademik ialah komitmen dan penglibatan dalam masyarakat merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. 

NM: Kita lihat ada beberapa metafora yang digunakan oleh beberapa ahli akademik dalam menggambarkan kemuraman dunia akademik dewasa ini. Sebagai contoh, Almarhum Prof. Dr. Syed Hussein Alatas menggunakan istilah ‘ahli akademik kangkung’ atau ‘profesor kangkung’. Dr. Syed Husin Ali pula menggunakan istilah ‘ahli akademik menikus’. Kita juga pernah mendengar ‘ahli akademik mandul’ dan sebagainya. Apakah Prof. juga melihat atau mengamati adanya perkembangan atau kemerosotan dalam ahli akademik dewasa ini berdasarkan metafora oleh ahli akademik tersebut?

CM: Dua metafora yang digunakan itu menggambarkan keadaan-keadaan tertentu. Kita harus membezakannya. Istilah ‘profesor kangkung’ yang digunakan oleh Almarhum Prof. Dr. Syed Hussein Alatas itu menggambarkan keadaan yang mana kita melantik begitu ramai ahli akademik sebagai Profesor, Profesor Madya dalam tahun-tahun 1980-an dan 1990-an tanpa menghargai dan mengutamakan kualiti. Meskipun seseorang itu mendapat PhD selama satu atau dua tahun, beliau sudah dilantik menjadi Profesor Madya meskipun belum ada sumbangan signifikan daripada segi penulisan dan sebagainya. Itu sesuatu yang berlaku pada masa itu. Ada yang dinaikkan pangkat dalam tempoh yang begitu singkat tanpa bukti-bukti akademik yang meyakinkan. Mereka malahan dilantik untuk berperanan sebagai Timbalan Dekan, Dekan, Timbalan Naib Canselor dan sebagainya. Itu suatu yang luar biasa kerana universiti itu bukan perkhidmatan awam yang mana tempoh perkhidmatan dan isu tertentu berkaitan kerjaya diberikan keutamaan. Akan tetapi, di universiti lain ukurannya. Kita harus memberikan keutamaan kepada sumbangan ilmiah. Sumbangan ilmiah bukan diukur daripada segi tempoh waktu berkhidmat. Ahli-ahli akademik mungkin membandingkan diri mereka dengan rakan-rakan yang menyertai perkhidmatan awam dalam waktu yang sama. Oleh kerana mereka terus memasuki perkhidmatan awam selepas lulus pengajian, tempoh perkhidmatan mereka adalah lebih lama berbanding ahli akademik. Ahli akademik mengambil masa yang lebih lama untuk ijazah pertama dan kedua, selanjutnya Doktor Falsafah. Jika kita ingin membuat perbandingan sedemikian, agak susah kerana golongan akademik berbeza. Mungkin kerana itulah ahli akademik ini diiktiraf kedudukan mereka melalui perjawatan. Hal ini yang menduka citakan saya bahawa nilai jawatan-jawatan tertentu seperti Profesor dan Profesor Madya menurun martabatnya. Itulah yang dimaksudkan dengan istilah ‘profesor kangkung’. Ramai yang tidak senang dengan gelaran tersebut kerana ia mungkin dirasakan ditujukan kepada mereka. Namun, ada juga kebenarannya bagi sesetengah individu, tetapi ada juga yang baik. Realitinya harus kita akui.

Tentang ahli akademik yang ‘menikus’ ini adalah salah satu kesan secara langsung daripada suasana yang wujud selepas pengenalan AUKU 1971. Sebelum AUKU 1971, demokrasi daripada segi para pelajar dan ahli akademik agak berbeza sedikit. Pada Pilihan Raya Umum tahun 1969, para pelajar memainkan peranan penting dalam kempen seperti Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) yang bukan atas platform parti politik, tetapi isu-isu yang mereka bangkitkan. Saya masih ingat bahawa masyarakat kita menghargai sumbangan mereka dan bangga dengan penglibatan dalam isu-isu. Ahli akademik juga aktif, tetapi para pelajar itu lebih aktif. Pada keseluruhannya, suasana sehingga tahun 1970 ialah di UM iaitu satu-satunya universiti pada masa itu. Jika kita ingin memberikan sebab-sebab kenapa berlaku perubahan suasana. Kawalan daripada pemerintah lebih ketara pada tahun-tahun 1970-an. Jika kita lihat keadaan sebelum akta dilaksanakan, pengerusi majlis universiti adalah dalam kalangan tokoh pembangkang iaitu Dr. M.K. Rajakumar dan selepas itu Tan Sri Dr. Tan Chee Khoon. Meski kedua-dua individu ini memberikan komitmen dan cergas dalam isu-isu di universiti, latar balakang politik mereka yang bersifat kekirian itu tidak menjadi isu. Mereka diterima tanpa sebarang halangan.

HUBUNGAN AHLI AKADEMIK DENGAN MASYARAKAT DAN NEGARA

NM: Berdasarkan latar belakang sebagai Presiden ALIRAN, daripada ALIRAN juga saya mengenali istilah scholar activist atau activist scholar. Menurut Prof., apakah wajah atau potret sebenar seorang activist scholar?

CM: Bagi saya istilah ini hampir sama dengan public intellectual atau cendekiawan awam yang lebih sering kita gunakan berbanding scholar activist. Keseluruhannya, public intellectual ialah cendekiawan yang menggunakan ilmunya sebagai asas untuk membawa perubahan dan mempertingkatkan kesejahteraan kepada masyarakat. Mereka menggunakan sumbangannya sebagai individu yang mewarisi tradisi tertentu sebagai ahli fikir dan individu yang tahu peranan ilmu dalam proses pembinaan masyarakat, justeru cuba untuk memberikan sumbangan. Takrif public intellectual bagi tokoh-tokoh seperti Edward W. Said, seorang public intellectual itu mesti sanggup mengorbankan kepentingan dirinya. Hal ini kerana sudah tentu ada kekangan daripada pemerintah di mana-manapun. Ia tidak semestinya dalam kalangan negara sedang membangun atau negara yang kurang demokratik. Dalam masyarakat lain juga wujud kekangan daripada pemerintah, mereka yang berharta dan kaya raya. Mereka sememangnya tidak bersetuju dengan hujah dan idea. Jika kita kembali kepada sejarah. Kita lihat kepada Kung Fu Tze, teks tamadun Cina, raja-raja dan kerabat diraja yang feudal tidak menerima idea Kung Fu Tze dengan mudah, walaupun adakalanya mereka bekerjasama. Kita lihat peranan yang dimainkan oleh ahli-ahli fikir yang lain. Itulah sebabnya hujah-hujah yang dikemukakan oleh Jalaluddin Rumi yang tahu tentang masalah ini, antara sarjana pada satu pihak dan pemerintah pada satu pihak lain. Ia berdasarkan pengalaman-pengalaman beliau. Beliau berkata, sarjana yang baik dan bernilai tidak akan berbuat khianat, tetapi akan mempertahankan kebebasannya. Seperti mana yang kita perkatakan ini ialah masalah antara sarjana dan pemerintah. Itulah sebabnya saya berpendapat bahawa cendekiawan awam penting dan harus memainkan peranannya. Mereka diterima bukan hanya daripada segi idea semata-mata. Mereka diterima sebagai satu empati yang ada peranannya. Di negara-negara yang lebih terbuka daripada segi demokrasi, individu-individu ada peranannya. Ramai yang dipecat, diusir daripada jawatan dan dibunuh kerana pendirian mereka. Itulah contoh-contoh tentang masalah ini. Pada akhirnya, perubahan berlaku. Inilah masalah beberapa negara yang sedang membangun atau boleh kita anggap sebagai sebahagian daripada Global South. Masalah negara-negara Selatan ini wujud sejak mereka mencapai kemerdekaan. Pemerintah di negara-negara ini ingin memperkukuh kedudukan mereka. Antara mangsa mereka ialah golongan intelektual. Pemikiran mereka mungkin berbeza, tidak tunduk kepada pemerintah. Perkara ini memang berlaku. Kita mesti memahami proses sejarah ini. Kita harus mempertahankan peranan yang dimainkan oleh cendekiawan awam walaupun besar pengorbanannya.

NM: Prof. banyak membincangkan mengenai perkembangan pada tahun 1960-an dan 1970-an yang mana mahasiswa aktif, maka AUKU 1971 diperkenalkan. Pada masa itu juga Prof. memperkenalkan Piagam Universiti. Bagaimanakah latar belakang pemikiran di sebalik itu dan penerimaan golongan universiti atau intelektual pada masa itu?

CM: Piagam Universiti ialah cadangan idea daripada beberapa individu yang merasakan bahawa kita memerlukannya selepas beberapa pindaan terhadap AUKU 1971 dan peraturan-peraturan baharu yang diperkenalkan melalui majlis-majlis universiti. Segolongan kecil ini daripada empat universiti yang ada pada masa itu iaitu UM, USM, UKM dan UPM. individu-individu ini tidak memegang jawatan tinggi dalam hierarki universiti, tetapi telah mengadakan beberapa mesyuarat untuk menggubal Piagam Universiti. Kita boleh menyifatkannya sebagai respons kepada suatu keadaan yang wujud, bukan peristiwa tertentu. Keadaan itu wujud akibat daripada pindaan-pindaan AUKU pada tahun 1975. Matlamat kita adalah untuk mempertahankan autonomi dan kebebasan universiti daripada tiga segi. Piagam tersebut bukan dokumen luar biasa kerana dokumen sedemikian rupa dikeluarkan di tempat-tempat lain. Kita menggunakan pengalaman kita sendiri, selain dokumen-dokumen lain sebagai garis panduan.

Pertama, ia bertujuan mempertahankan hak universiti iaitu hak sarjana-sarjana dan pelajar-pelajar untuk menjalankan penyelidikan atau projek ilmiah. Kita menganggap itu sebagai asas. Kedua, ia memberikan perhatian terhadap struktur urus tadbir universiti. Kita tidak mahu universiti menjadi apa yang menghantui kita kini. Kita tidak mahu universiti diangkat sebagai jabatan kerajaan, birokrasi dan struktur perkhidmatan awam. Kita mahu semua pihak terutamanya pemerintah memahami perbezaan universiti. Saya masih ingat dalam rundingan dengan pihak-pihak tertentu yang merupakan pegawai-pegawai tadbir dan para pensyarah mengenai soal gaji dan sebagainya. Antara faktor yang kita tekankan bahawa kedudukan staf universiti, staf akademik universiti perlu sabatikal. Sabatikal itu bukanlah suatu keistimewaan yang dianugerahkan, tetapi merupakan suatu keperluan daripada segi kajian penyelidikan dan sebagainya. Bagi pegawai-pegawai tertentu pada masa itu, para pegawai kerajaan, mereka kurang faham mengapa staf akademik harus diberikan sabatikal itu. Ia dipersoalkan kerana mereka tiada hak untuk sabatikal. Hal ini menunjukkan bahawa mereka tidak faham. Mereka tidak memahami peranan distinctive yang unik di universiti. Itu perkara yang kita cuba fahamkan kepada mereka. Jangan kita menganggap universiti itu sebagai cabang perkhidmatan awam. Meskipun saya sudah tiada hubungan dengan universiti secara formal kira-kira lapan tahun, tetapi saya masih berdepan dengan isu ini dalam perbincangan bersama rakan-rakan iaitu konsep, struktur dan peranan universiti. Kita berdepan dengan soal-soal ini dalam usaha mentakrifkan kebebasan akademik. Ketiga, soal kebebasan akademik yang pertama daripada aspek kegiatan dan kebebasan akademik kedua daripada segi struktur dihubung kait dalam soal kebebasan yang lebih luas iaitu hak asasi manusia dan tanggungjawab manusia. Itulah sumbangan piagam daripada individu-individu yang pelbagai. 

Namun, sebagai respon balas, penerimaan pihak pentadbir seperti tiada respons. Cara mereka tidak jauh berbeza dengan ahli-ahli politik. Mereka hanya mengabaikannya. Mereka tidak menentang kita, tetapi mereka menganggap kita sebagai golongan idealis yang mengemukakan cadangan. Jadi, mereka hanya menyimpannya dalam fail mereka. Tiada reaksi. Masyarakat keseluruhannya, ada serba sedikit liputan dalam akhbar, tetapi pada keseluruhannya tiada. Salah satu daripada cara untuk meminggirkan idea-idea yang tidak digemari oleh pihak-pihak tertentu adalah dengan mengambil tindakan tidak perlu menyerang.. Ketepikan sahaja. Itu tindakan para pentadbir dan pemerintah pada masa itu. Saya berharap golongan muda yang masih di universiti boleh memainkan peranan yang aktif untuk meneruskan dan mempertingkatkan perjuangan ini menjadi lebih bermakna.

 *Wawancara ini adalah dibawah projek penyelidikan MAL 169 – After 50 Years of AUKU: The Evolving Roles and Impacts of AUKU on Academic Freedom in Malaysia oleh Naratif Malaysia yang merupakan sebahagian daripada Projek Kebebasan Akademik, dengan kerjasama Malaysia Reform Initiative (MARI), Higher Education Malaysia Association (HEYA), Cent-GPS dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Artikel Berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

204FansLike
1,308FollowersFollow
708SubscribersSubscribe
spot_img

Artikel Terkini