Kassim Ahmad anak zamannya. Alur fikirnya hasil interaksinya dengan lingkungan eranya. Beliau turut terbentuk oleh persekitaran intelektual, politik dam sosial tahun-tahun 1950an, 1960an, dan awal 1970an. Selanjutnya, Kassim berinteraksi pula dengan gelombang kebangkitan semula Islam sekitar 1980an dan 1990an. Period-period tersebut ditandai dengan beberapa peristiwa besar dunia dan di dalam negeri.
Pada period pertama, Asia Tenggara menjadi panggung laga kuasa-kuasa sosial, politik dan diikuti perselisihan terbuka aliran ideologi. Perjuangan heroik Vietnam menundukkan adikuasa dunia. Terlancarnya perekayasaan sosial raksasa di China dan Kemboja. Kebangkitan semula memori sosial gagasan Maphilindo.
Sebaliknya pula, munculnya rejim autoritarian di Indonesia diikuti pemandian darah disitu. Konflik sekitar pembentukan Malaysia yang mengorbankan gerakan kiri Malaysia. Kehancuran total perjuangan kiri di Singapura. Revolusi China tergendala setelah kematian Mao Tze Dong.
Semua peristiwa tersebut, meminjam metafora Charles Dickens, adalah satu masa terbaik, satu masa terburuk; satu kurun waktu harapan, satu kurun kekecewaan rakyat rantau ini. Era itu dipanggil Kasim ‘ zaman pancaroba’, kiasan yang menggambarkan keadaan kacau dan tidak tentu arah. Waktu harapan tersebut adalah manifestasi cita-cita mendirikan satu dunia alternatif – membentuk semula dunia tetapi dengan perspektif revolusioner. Upaya radikal pada zaman tersebut dianggap satu tuntutan agensi politik, malah menjadi desakan sejarah. Begitulah roh zaman itu.
Pada period kedua pula, Kassim berinteraksi dengan lingkungan keagamaan, iaitu ketika timbulnya upaya baru meninterpretasi semula Quran. Sebelum itu pula, pada 1979, revolusi Iran tercetus dan 10 tahun kemudian runtuhnya Tembuk Berlin dengan segala kesimpang- siuran arah dialami golongan kiri. Pada kesempatan kekosongan tersebut, maka timbul politik Islam berbagai variasi.
Jadi, respons dan proaksi Kassim kepada lingkungan diatas terpancar pada pemikirannya dibidang-bidang kesusasteraan, politik, dan keagamaan.
ii
Memperingati Kassim Ahmad bererti merenungi upaya beliau membuka jalan-jalan kecil, lalu, dari situ dibinanya saranan radikal di bidang -bidang kesusasteraan, politik, dan keagamaan sesuai dengan tuntutan roh zaman. Itu juga kekhususan Kassim.
Beliau adalah penerus cita-cita Asas 50 dengan menambah dimensi teori dan ciri klas yang lebih jelas pada karya kesusasteraan agar terpancar ‘benderang’ semboyan “seni untuk masyarakat” dan supaya menjadi lebih tertata karya tersebut mencapai perimbangan wajar antara isi dengan bentuk, antara substansi dengan estetika. Ertinya, kesusasteraan tidak semata- mata ornamen maupun propaganda, tetapi menjadi gabungan yang harus. Idea utama Kassim berkisar pada pemancaran realiti dalam sastera; pentingnya teori, khususnya teori dan falsafah sosial; dan perlunya perspektif kelas sosial dalam pengkaryaan seni. Upaya melihat sastera seperti ini dimulakan ahli-ahli teori sastera Eropah Timur seperti Mehring (1893) dan Plekhanov (1912) yang membahaskan ketika itu The Representation of Reality dalam sastera dan seni.
Kassim juga penyusul ideologi perjuangan politik kiri dengan menganggap bahawa ideologi Parti Sosialis Rakyat Malaysia iaitu sosialisme saintifik itu sekadar satu pedoman dan bukan dogma. Hal tersebut harus dibezakan dengan falsafah atau metafisika kerana sesungguhnya, ideologi parti tidak memerlukan falsafah. Malah falsafah menjadi satu yang berlebihan, satu redundancy. Inti ideologi parti sudah merangkumi sejarah dan ekonomi. Sejarahdijadikan bahan untuk menganalisis bagaimana bentuk-bentuk masyarakat muncul. Lalu, masyarakat Malaysia seadanya dihuraikan lewat sejarah, termasuk sejarah jangka panjangnya. Bererti dikaji melalui sejarah bagaimana terdirinya bentuk masyarakat seperti ‘bangsa (nation)’, ‘negara (state)’, ‘agama’, ‘kuasa pasar’, ‘kelas sosial’, di Malaysia. Ekonomi pula diprioritikan sebagai sebab guna menghuraikan proses sejarah Malaysia. Namun, tidak menolak peranan idea dalam huraian tersebut.
Kassim juga penyambung cita-cita umum ‘Kaum Muda’ awal abad ke-20 serta beberapa reformis agama zaman tersebut dalam upaya historik masing-masing mengembalikan Islam ketempat asalnya dan bukan sekadar agama ritual. Beliau telah memilih jalannya sendiri, lalu merobek monopoli kelompok ulama konservatif keatas Islam. Tentunya usahanya itu diiringi konsekuensi berat hingga pada akhir hayatnya.
Dalam inisiatifnya sebagai penerus , penyusul, dan penyambung cita-cita terdahulu, lalu membuka beberapa jalan baharu, maka ternyata Kassim telah
mencuba sedaya inteleknya agar cita- cita tersebut itu menjadi lebih utuh sementara isi dan bentuknya termantap sesuai dengan roh zamannya. Pastinya usahanya itu sarat dengan resistensi.
Hal demikian, justeru kerana sesungguhnya Kassim berdiri diatas pundak mereka sebelumnya. Seperti jua mereka sebelumnya pula tegak diatas bahu angkatan terdahulu. Berdiri diatas pundak gergasi intelektual memungkinkan beliau melihat masa depan dengan jelas selain berdaya berpandangan jauh.
Sememangnya manusia menciptakan sejarahnya sendiri, tetapi bukan secara sesuka hatinya. Tidak pula ia menciptakan sejarah dalam keadaan yang dipilh-pilihnya melainkan dalam lingkungan yang tersedia dan dalam persekitaran yang diwarisi dari lampau. Demikianlah pendapat seorang ahli fikir Jerman abad ke-19. Itulah rintangan yang dihadapi Kassim. Justru, satu perspektif revolusioner diperlukan oleh beliau.
iii
Dalam upaya memperingati Kassim Ahmad, maka dicari-carikan apakah ‘benang merah’, ‘benang jelujur’ yang melekatkan ketiga-tiga bidang kajian beliau yang kelihatannya terpisah-pisah itu. Hal ini penting agar diperoleh a conception of the whole tentang pemikiran beliau.
Pada saat ini, diperingkat paling umum, benang jelujur itu menunjukkan kearah satu doktrin yang mengintegrasikan tiga kuasa sosial – nasionalisme, agama , dan sosialisme – yakni satu kerangka fikir yang diwarnai kekhususansejarah dan sosiologi rantau Nusantara. Ketiga-tiga kuasa sosial tersebut tercatat dalam sejarah sebagai pemersatu bangsa dan penopang kemerdekaan pada waktu-waktu melawan penjajah Inggeris dan Belanda. Doktrin tersebut malah terungkap dalam pidato Burhanuddin Helmi pada 1955. Tentunya, perimbangan ketiga-tiga hal diatas tidak proporsional dalam bidang-bidang kajian Kassim Ahmad. Namun, perimbangan dialektis ketiga-tiga kuasa sosial tersebut umumnya ternyata hadir.
iv
Apakah terdapat tanda-tanda awal bahawa legasi pemikiran Kassim Ahmad akan diamati generasi berikutnya?
Kira -kira tujuh belas hari sebelum Kassim Ahmad meninggal, satu forum dianjurkan di Kampung Atap, Kuala Lumpur oleh sekelompok generasi Y, tiga generasi setelah beliau. Para panelisnya juga dari generasi tersebut, melainkan seorang dari generasi X, iaitu dua generasi setelah Kassim. Satu generasi bersamaan dua puluh lima hingga tiga puluh tahun.
Acara itu rupanya satu upaya sekelompok generasi muda menyebut semula nama Kassim. Seorang panelis berusia tiga puluhan mengimbau agar Kassim mengembangkan prinsip interpretasi Quran kerana tarikan intelektual teknik penyelidikan Kassim. Beliau lulusan jurusan pengajian hadis di Universiti Al-Azhar.
Harapan seorang panelis lain yang berusia sama pula agar pemikiran sosial seperti pemikiran Kassim terus bercambah, lalu diletaknya pemikiran sosial Kassim dalam rangka sejarah idea. Seorang pengarang muda di dalam buku luncuran malam itu pula menaruh harapan kepada karya sastera Kassim dalam upaya sasterawan baharu menghidupkan kembali tradisi literary criticism di Malaysia. Seorang panelis lain pula menyarankan supaya pemikiran politik Kassim diterbitkan dan dikaji.
Alur fikir para pemuda pada malam itu sekadar sampel kecil yang terungkap dalam suasana perang dingin yang tiada lagi dan dalam suasana tanpa purbasangka ideologi generasi terdahulu. Tanggapan tersebut sekadar satu petanda, hanya satu alamat, pengukapan satu gelagat tentang sikap umum generasi baru terhadap karya Kassim Ahmad.
v
Pada 2015 dengan keyakinan tinggi dan keberanian luar biasa yang menjadi antidotnya, Kassim secara metafora menghirup hidangan ‘hemlok’ yang dikenakan oleh aparat negara tersebut keatasnya. Hal tersebut mengilas balik peristiwa ahli falsafah Socrates, gurunya Plato yang dihukum mati dengan meminum racun oleh negara. Beliau terus-terusan menyampaikan kuliahnya sambil meminumnya sehingga meninggal dihadapan para siswanya dimedan pasar Athens. Kejadian historik dan tragis itu terjadi 2399 tahun lalu, pada tahun 399 sebelum Masihi. Socrates terdakwa kerana memakai akal menganalisis agama pagan zamannya serta dituduh merosak jiwa para belia dengan falsafahnya.
Demikian kisah sang intelektual Malaysia yang sangat terpanggil seruan “dare to know” dan “ I think, therefore I am” – “sapere aude” dan “cogito ergo sum”.
Hendaknya Kassim dalam hidupnya telah dianugerahkan al-hikmah oleh Sang Pencipta kerana “…Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran.” (Q,2:269).