33.8 C
Kuala Lumpur
11 August 2022 (Thursday)
spot_img

Ucapan Belasungkawa Persatuan Sains Sosial Malaysia atas Pemergian Profesor Dr Wan Zawawi Ibrahim, Tokoh Antropologi Terkemuka dan Aktivis Budaya Terkenal dari Dunia Akademia (1947-2022)

RABU 18 MEI 2022

Kami dengan penuh dukacita menerima berita pemergian seorang sahabat yang disayangi, seorang sarjana yang disegani dengan pemikiran kreatif yang bagus, seorang ahli antropologi terkemuka dan aktivis budaya terkenal dari dunia akademia. Beliau diserang sakit jantung menjelang waktu subuh dan meninggal dunia dengan tenang pada 6.47 pagi tadi di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor. Walaupun keadaan kesihatannya merosot dan harus dihadapinya sejak beberapa tahun lalu, Allahyarham Wan Zawawi, 75, tetap bertekad untuk meneruskan sebaik mungkin usaha yang menjadi keberahian dan perjuangannya seumur hidup. Pemergiannya yang tidak dijangka itu memberi pukulan hebat kepada isteri dan keluarganya, dan satu kejutan besar kepada rakan-rakannya di dunia akademik, mantan pelajar dan rakan-rakan aktivis budaya dalam komuniti seni. Komuniti sains sosial Malaysia kehilangan seorang tokoh antropologi terkemuka, penyelidik yang teliti, pengarang prolifik dan seorang guru, manakala komuniti seni kreatif kehilangan bakat hebat yang mempunyai minda kreatif yang berasal dari dunia akademik. Bagi pihak Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) yang mana Allahyarham Wan Zawawi telah menjadi tonggak intelektual yang penting selama banyak dekad, kami ingin merakamkan ucapan belasungkawa dan rasa kehilangan yang mendalam kepada isteri dan keluarga beliau, serta berdoa agar mereka tetap teguh dan tabah menghadapi saat-saat penuh dukacita ini.

Wan Zawawi dilahirkan pada 7 November 1947 di Terengganu dalam keluarga pendidik, dan menamatkan pendidikan menengahnya di Kolej Sultan Ismail, Kota Bharu. Kemudian, beliau meneruskan pengajian siswazah dan pascasiswazah dalam bidang antropologi di Universiti Monash, Australia dengan tajaan biasiswa Rancangan Colombo. Beliau telah memperoleh ijazah BA pada tahun 1972 dan PhD pada tahun 1978.

Wan Zawawi berada dalam dunia akademik selama kira-kira lima dekad dari tahun 1973 sehingga pemergiannya pada 18 Mei 2022. Walaupun mempunyai tapak yang kukuh dalam bidang akademik dan dalam dunia antropologi dan etnomusikologi, beliau tidak berkhidmat di mana-mana institusi terlalu lama. Beliau menceburi bidang akademik agak awal, iaitu sebagai Tutor antara 1973-1979 di Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Monash. Kemudian setelah pulang ke tanah air, beliau dilantik sebagai Pensyarah dan Pengerusi Program Pengajian Pembangunan di Pusat Pengajian Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia antara tahun 1980 dan 1984. Beliau kemudiannya menghabiskan 14 tahun berikutnya sebagai Profesor Madya di Bahagian Pembangunan Luar Bandar, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Awam, Universiti Malaya antara 1984 dan 1998 dan berkhidmat sebagai Ketua Bahagian itu selama beberapa tahun. Kemudian beliau menerima lantikan sebagai profesor di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) antara 1998 dan 2003. Di UNIMAS, beliau berkhidmat mula sebagai Dekan Fakulti Sains Sosial, dan kemudian sebagai Timbalan Dekan (Ijazah Sarjana Muda dan Penyelidikan) di Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, UNIMAS. Selepas berkhidmat selama kira-kira enam tahun di Sarawak, beliau kembali ke Semenanjung untuk menjadi Profesor dan Felo Utama di ATMA (Institut Alam dan Tamadun Melayu) UKM antara 2003 dan 2008, dan dilantik sebagai Timbalan Pengarah ATMA selama beberapa tahun terakhir di sana. Kemudian beliau balik semula ke Universiti Malaya sebagai Profesor di Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial selama dua tahun antara 2008 dan 2009, sebelum berpindah lagi, kali ini menjadi Profesor di Fakulti Seni dan Teknologi Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor. Pergerakannya ke sejumlah institusi lain seperti satu pengembaraan. Pergerakan beliau seterusnya ialah ke Universiti Brunei Darussalam (UBD) di mana beliau berkhidmat selama kira-kira sembilan tahun antara 2011 dan 2019, dan setelah kembali dari Brunei ke Malaysia, beliau dilantik sebagai Profesor Pelawat di Taylor’s University Malaysia selama dua tahun. Di UBD, beliau melakukan banyak penyelidikan dan penulisan serta menerbitkan beberapa karya penting yang menjadi sebahagian daripada legasi intelektualnya.

Allahyarham Wan Zawawi adalah seorang sarjana yang cemerlang dan ahli antropologi terkemuka yang secara konsisten mengerjakan ilmu pada aras tinggi. Ini terbukti dalam karya besarnya, disertasi PhD yang dinaik taraf menjadi sebuah buku berjudul, The Malay Labourer: By the Window of Capitalism, pertama kali diterbitkan oleh ISEAS Singapore pada 1998, dan dicetak semula oleh SIRD pada 2022. Dalam buku tentang para pekerja dalam syarikat perladangan ini, tombak analisis beliau beralih dari analisis klasik eksploitasi kelas berasaskan ekonomi kepada analisis budaya, kepada eksploitasi status atau maruah seseorang insan pekerja. Usaha ini adalah sesuatu yang baharu dan pantas sekali. Apabila ahli antropologi Arjun Appadurai mencadangkan lima scape atau aliran globalisasi (ethnoscape, technoscape, ideoscape, financescape, dan mediascape), beliau membuat sumbangan penting dengan mencadangkan scape keenam, iaitu scape pengetahuan untuk menunjukkan peri pentingnya aliran ilmu pengetahuan merentasi sempadan sebagai sebahagian daripada scape globalisasi. Sejak penghujung 1990-an dan awal abad ke-21 apabila empirisme Amerika menguasai sains sosial, dan ramai sarjana menjadi taksub untuk menjadi empiris dengan mengorbankan teori, beliau berdiri teguh di sisi teori, memastikan karya-karyanya disuntik dengan pemikiran teori serta membimbing terutamanya para sarjana yang lebih muda untuk berfikiran konseptual dan tidak mengabaikan wacana dan orientasi teori. Semangat kesarjanaannya yang jelas juga dipamerkan dalam syarahan perdana profesornya yang penting dan dihadiri ramai, bertajuk, The Anthropology of the Malay Peasantry: Reflecting on Colonial and Indigenous Scholarship yang disampaikan pada 6 Oktober 2009 di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya. Di dalam syarahan itu, beliau mengutarakan idea-ideanya tentang antropologi kaum tani Melayu, dan membuat pertimbangan mengenai keilmuan kolonial dan keilmuan peribumi mengenai perkara ini.

Walaupun sentiasa tekal dalam mengerjakan ilmu pada aras tinggi, beliau tidak pernah melupakan kumpulan subaltern dan pengajian subaltern. Beliau memberi suara kepada mereka yang tidak bersuara — kumpulan terpinggir seperti mangsa AIDS, Orang Asli, Penan, dan lain-lain yang terlantar di pinggiran masyarakat serta berusaha memperkasakan mereka dalam proses itu. Dan semangat kemanusiaan ini mengalir ke dalam karya kreatifnya dalam bidang etnomusikologi – lagu-lagu dan muziknya tersulam indah untuk mencerminkan jiwa luhur golongan mereka yang tertindas. Malah, dalam bidang kreatif ini, beliau menggubah lirik yang sangat indah dan mengusik jiwa bagi lagu-lagu yang didendangkan sendiri oleh beliau atau oleh ikon seni suara terkemuka dalam industri muzik tanah air. Hal ini sememangnya sangat jarang berlaku untuk seseorang dalam dunia akademik. Silalah ikuti skor muziknya untuk Monument of the Rainforest, The Sounds of the Crocker Range, dan Dayung, sebuah album CD yang terdiri daripada lagu-lagu puisi Orang Asli dan Mak Yong.

Allahyarham Wan Zawawi merupakan salah seorang tonggak intelektual Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) dan seorang ahli seumur hidup sejak beberapa dekad. Beliau mengambil bahagian secara aktif dalam program perdana PSSM seperti Persidangan Antarabangsa Kajian Malaysia (MSC) yang merupakan satu acara dwitahunan dan turut beraksi sebagai mentor dalam siri bengkel bina upaya untuk ahli-ahli akademik muda sebagai sebahagian daripada usaha penting memupuk para pelapis. Kami dalam PSSM amat berdukacita atas pemergian beliau dan akan kehilangan pandangan beliau yang bernas dan sumbangannya yang penting.

Allahyarham Wan Zawawi telah mendirikan rumahtangga dengan Noorshah M. Salleh, mantan  pensyarah UiTM, dan telah dikurniakan tiga orang anak, dua lelaki – Rendra dan Hameer, dan seorang perempuan, Kaisha. Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh beliau dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Al-Fatihah!

Profesor Emeritus Dato’ Dr Abdul Rahman Embong
Penasihat Khas PSSM
Bagi pihak Presiden Profesor Dr Sity Daud dan
Timbalan Presiden Profesor Dato’ Dr Rashila Ramli,
serta seluruh Ahli Jawatankuasa Kerja PSSM

Artikel Berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

204FansLike
1,323FollowersFollow
579SubscribersSubscribe
spot_img

Artikel Terkini