MEMELIHARA IMEJ DAN MARUAH MALAYSIA SEBAGAI NEGARA DEMOKRASI BERPARLIMEN DAN RAJA BERPERLEMBAGAN YANG UTUH, STABIL DAN CEMERLANG
- Seluruh rakyat Malaysia terpegun kekeliruan apabila Mesyuarat Khas Dewan Rakyat sesi pagi 26 Julai 2021 mendengar YB Datuk Seri Takiyudin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-ehwal Undang-undang dan Parlimen) mengumumkan enam Ordinan Darurat yang berkuat kuasa dari 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021 telah dibatalkan pada 21 Julai 2021. Namun, seperti dizahirkan dalam kenyataan media Istana Negara pada 29 Julai 2021, pembatalan ini jelas belum diperkenankan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
- Maka, NARATIF mendukung sepenuhnya segala isi kenyataan Yang di-Pertuan Agong dan melihat perkembangan ini amat serius kerana bertentangan dengan semangat Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Perkembangan ini juga jelas telah tidak berlandaskan prinsip-prinsip Rukun Negara.
- Dalam hal ini, terdapat dua cadangan boleh dipertimbangkan.
- Pertama, NARATIF menyokong cadangan sebelum ini oleh beberapa tokoh intelektual terkemuka negara supaya kerajaan hari ini perlu mengundurkan diri secara terhormat kerana wibawanya semakin tercalar dan merosot, disebabkan sesetengah anggota yang tidak kompeten dan menjerumuskan politik Malaysia menjadi semakin tidak stabil dan parah. Juga Kerajaan tidak berjaya menangani penularan COVID-19 walaupun telah mengisytiharkan Darurat dan melaksanakan perintah kawalan pergerakan serta masih tidak berupaya menyelesaikan masalah rakyat yang semakin menderita akibat pandemik dan kegawatan ekonomi yang masih belum mereda.
- Kedua, NARATIF mencadangkan agar cadangan Kerajaan Sementara yang pernah diusulkan sebelum ini menggantikan kerajaan hari ini. Kerajaan Sementara ini haruslah terdiri daripada tokoh-tokoh politik rentas parti serta digandingkan dengan tokoh-tokoh teknokrat yang berintegriti, berwibawa dan berprinsip agar mereka dapat mengeluarkan Malaysia daripada kemelut politik, krisis kesihatan, masalah sosial dan krisis perlembagaan yang parah dan genting sekarang.
- Oleh yang demikian, kami mencadangkan pihak kerajaan hari ini perlu mengambil hikmah dan iktibar daripada kenyataan rasmi Yang di-Pertuan Agong pada 29 Julai 2021, dengan tindakan terhormat sewajar-wajarnya untuk kebaikan bersama. Malaysia sudah berada di persimpangan sejarah, bersama-sama kita mengembalikan Malaysia berada pada landasan yang sepatutnya.
- Bersama-sama kita kembalikan imej dan maruah Malaysia sebagai sebuah negara Demokrasi Berpalimen dan Raja Berperlembagaan yang utuh, stabil dan cemerlang!
PERTUBUHAN NARATIF MALAYSIA (NARATIF)
29 Julai 2021