33.7 C
Kuala Lumpur
29 March 2024 (Friday)
spot_img

Perlu reformasi budaya capai sasaran 30 peratus wanita pembuat keputusan

KUALA LUMPUR: Reformasi budaya, bukan sekadar undang-undang dan institusi perlu dilaksanakan bagi merealisasikan sasaran 30 peratus wanita berada dalam kelompok pembuat keputusan di peringkat kerajaan.

Setiausaha Pertubuhan Naratif Malaysia (NARATIF), Dr Muhammad Rahimi Hasan, berkata pelantikan wanita bukan sekadar bagi memenuhi kepentingan agenda golongan itu sahaja, tetapi ia adalah agenda nasional.

Katanya, anjakan cara berfikir pemimpin dan masyarakat perlu dilaksanakan dengan cara mempergiatkan program yang mendidik pemikiran masyarakat untuk lebih sensitif gender dan menghormati martabat wanita.

“Selain itu, tampil dan tonjolkan kredibiliti wanita dalam Jemaah Menteri yang berupaya menepis prasangka kebolehan wanita.

“Ketika ini jumlah Jemaah Menteri wanita di dalam Kabinet hanyalah 17.9 peratus dan mereka ini diakui berkredibiliti dan boleh memacu pentadbiran ke arah yang lebih baik. Jadi hebahkan cerita kejayaan dasar oleh pemimpin wanita ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, isu sasaran minimum 30 peratus wanita dalam kelompok pembuatan keputusan sudah lebih sedekad diperkatakan, namun masih belum tercapai.

“Biasanya kepentingan segmen-segmen yang lebih besar seperti etnik dan gabungan parti politik selalunya memperlahankan realisasi kepentingan wanita dalam mencapai sasaran ini.

“Malah wanita juga berdepan dengan pengecilan perwakilan dalam senarai calon (pilihan raya) selain menghadapi isu seksisme dan prejudis semasa berkempen,” katanya.

Justeru, beliau turut berharap peranan pemantauan masyarakat sivil di negara ini dinormalisasikan, contohnya Jawatankuasa Pemantauan Masyarakat Sivil PRU15 (Pantau PRU15) yang diketuai Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO).

“Ia boleh menjadi ejen perubahan dan realisasi agenda wanita dalam politik. Selain itu, teruskan peka terhadap suara wanita berdasarkan setiap forum yang dianjurkan berkaitan dengan golongan itu,” katanya.

Antaranya, beliau berkata, Forum Kepimpinan Politik Wanita Pasca PRU15: Melangkah ke Hadapan yang akan dianjurkan pada 10 Disember ini oleh NCWO bersama Gabungan Minda Merdeka (GMM), Pantau PRU15 dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Pandangan daripada Setiausaha NARATIF, Dr Muhammad Rahimi Hasan yang tersiar di Berita Harian pada 8 Disember 2022. Artikel asal di sini.

Artikel Berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

204FansLike
1,308FollowersFollow
705SubscribersSubscribe
spot_img

Artikel Terkini