Pada 19 Januari yang lalu, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan visi dan kerangka dasar baharu untuk Malaysia iaitu ‘Membangun Negara MADANI’. MADANI merupakan akronim yang merujuk kepada kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, nilai hormat, keyakinan, dan ihsan iaitu enam rukun yang diperlukan bagi mereformasi Malaysia. Oleh sebab visi ini sangat baru, ia perlu dikupas dari segi kekuatannya dan beberapa cabaran perlu dikenal pasti untuk penambahbaikan.
Kekuatan Malaysia MADANI
Visi Malaysia MADANI mempunyai beberapa kekuatan. Pertama, visi ini diperkenalkan ketika negara terpalit dengan pelbagai isu rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah. Pada masa yang sama, unsur-unsur polarisasi dan disintegrasi dalam masyarakat kekal serius apabila isu kaum dan agama terus dimainkan oleh ahli-ahli politik dan pihak yang tidak bertanggungjawab. Dalam konteks ini, pengenalan visi dan kerangka dasar yang menekankan soal nilai dan etika adalah penting untuk memulihkan keadaan sosial dan defisit sosial rakyat terhadap kerajaan. Hakikat lain yang perlu diperakui adalah keadaan rakyat yang sedang dalam proses pemulihan daripada kesukaran dan tekanan kewangan disebabkan oleh COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Berdepan dengan situasi ini, kerajaan menumpu kepada usaha untuk membangunkan ekonomi manusiawi dan merealisasikan agenda pembangunan insan bagi mengangkat maruah dan martabat manusia. Justeru, visi ini bertepatan dan tepat pada masanya. Kedua, visi ini menambahbaik pembentukan dasar awam agar ia bersifat manusiawi. Dasar-dasar yang bakal dibentuk atau ditambahbaik perlu berteraskan enam rukun di atas dengan mengambil kira lapan elemen penting dalam pembuatan dasar iaitu ekonomi dan kewangan, perundangan, institusi, pendidikan, kemasyarakatan, kebudayaan, bandar dan luar bandar. Kerangka ini turut memperakui era pasca normal iaitu keadaan rumit, bercanggah dan kacau yang dimangkinkan oleh proses globalisasi neoliberal dan ketidaktentuan ekonomi-politik antarabangsa yang memberikan impak kepada pembuatan dasar. Selain itu, kerangka ini juga menekankan agar dasar yang digubal itu perlu berpandukan masa hadapan agar kita lebih bersedia untuk beradaptasi. Ketiga, visi ini memerlukan dan menghargai penglibatan dan koordinasi semua pemegang taruh iaitu pihak kerajaan, swasta, NGO dan masyarakat. Bagi menangani situasi pasca normal, koordinasi dan kerjasama ini perlu dilaksanakan secara serentak di pelbagai peringkat iaitu nasional, negeri dan daerah. Bahkan, pendekatan bottom-up iaitu maklum balas dan pemantauan oleh rakyat dititikberatkan untuk merealisasikan dasar MADANI. Keempat dan terakhir, visi ini menawarkan naratif nasional baharu untuk membawa negara ke depan. Di dalam naratif ini, kerajaan menekankan keperluan dan kepentingan acuan pembangunan negara yang tersendiri dan berbeza daripada model pembangunan lain. Visi ini menunjukkan bahawa kerajaan mempunyai autonomi dan ruang polisi, serta berusaha untuk membangunkan keupayaan governans, koordinasi, penetratif dan ekstraktif.
Cabaran Malaysia MADANI
Meskipun Malaysia MADANI mempunyai kekuatan, ia sarat dengan cabaran. Pertama, pemahaman konsep MADANI oleh pelbagai pemegang taruh. Perkataan madani agak asing bagi sebahagian besar rakyat Malaysia meskipun akronim MADANI adalah sinonim. Walaupun konsep ini telah dijelaskan di dalam buku pelancaran, huraiannya panjang lebar dan meleret-leret, serta terdapat pengulangan idea, hujah dan saranan di samping penggunaan beberapa kosa kata yang tinggi yang menyukarkan pemahaman. Justeru, kerajaan perlu meringkaskan konsep ini agar ia dapat difahami oleh semua pemegang taruh terutamanya birokrat iaitu aktor yang melaksanakan dasar. Bagi memasyarakatkan MADANI, kerajaan perlu melaksanakan kempen pendidikan dan peranan ini juga boleh dimainkan oleh pihak akademia. Kedua, terjemahan visi MADANI kepada dasar dan pelaksanaannya. Meskipun banyak dasar MADANI telah dicadangkan, ia tidak dapat dibayangkan oleh majoriti rakyat. Justeru, kerajaan perlu mengangkat satu dasar MADANI yang berimpak seperti pelaksanaan Menu Rahmah iaitu inisiatif pihak kerajaan dengan kerjasama pihak peniaga untuk membantu rakyat yang terkesan akibat kenaikan kos sara hidup. Selain itu, pelaksanaan dasar ini juga memerlukan sokongan dan sambutan di peringkat negeri serta kebersamaan kerajaan negeri pembangkang. Ketiga, pemantauan terhadap kementerian dan agensi kerajaan. Bagi memastikan dasar-dasar kerajaan digubal berdasarkan rukun MADANI, kerajaan perlu menubuhkan Performance Management and Delivery Unit atau PEMANDU bagi menilai prestasi dan penyampaian agensi kerajaan berteraskan MADANI. Keempat, kerajaan perlu menguruskan harapan yang menggunung dari rakyat terhadap dasar-dasar MADANI yang pro-rakyat. Kegagalan untuk menguruskan harapan tersebut akan menyebabkan sesuatu dasar itu kurang mendapat sambutan dan sokongan rakyat yang akhirnya menyukarkan kerajaan untuk melaksanakan agenda reformasi yang lebih luas. Kelima, MADANI tidak mempunyai kesinambungan dengan dasar atau slogan sebelumnya. Konsep MADANI ini tidak dikaitkan malah dipisahkan dari konsep Keluarga Malaysia (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), Malaysia Prihatin (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Malaysia Baharu (Tun Dr Mahathir Mohamad), 1Malaysia (Datuk Seri Najib Razak) dan Islam Hadhari (Tun Abdullah Ahmad Badawi). Ketiadaan kesinambungan ini akan menyebabkan rakyat tidak ambil peduli terhadap MADANI kerana ia akan berlalu dan dilupakan seperti dasar atau slogan sebelumnya. Keenam, Visi MADANI tidak dijalinkan dengan agenda besar pembinaan negara bangsa. Hal ini bermaksud konsep bangsa Malaysia cenderung untuk diabaikan dalam naratif rasmi kerajaan dan ia tidak diterjemahkan secara konsisten dalam dasar perpaduan. Kerajaan seharusnya menjadikan MADANI sebagai naratif nasional bagi membina konsensus baru untuk bangsa Malaysia. Ketujuh dan terakhir, Visi MADANI ini dilihat bertentangan dengan dasar dan tindakan semasa kerajaan. Pertentangan tersebut dapat dilihat antaranya melalui pemegangan jawatan Menteri Kewangan oleh Perdana Menteri, pelantikan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Zahid Hamidi yang sedang dalam pembicaraan mahkamah, pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri dan penafian hak ahli-ahli Parlimen pembangkang terhadap peruntukan kerajaan. Situasi ini bakal meningkatkan defisit kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
Tuntasnya, kerajaan perlu mengambil kira beberapa cabaran di atas dan merangka strategi yang bersesuaian bagi merealisasikan kerangka dasar MADANI. Keberkesanan visi dan kerangka dasar MADANI ini bergantung kepada aspek pemahaman, perencanaan, pelaksanaan dan pemantauan dasar yang baik serta maklum balas dan penerimaan dari pelbagai pemegang taruh termasuklah rakyat. Justeru, keterlibatan dan sambutan semua pemegang taruh adalah penting untuk membangunkan Malaysia MADANI bagi mengelakkan ia bertukar menjadi satu slogan kosong.