33.3 C
Kuala Lumpur
11 August 2022 (Thursday)
spot_img

Siri Syarahan Umum Pusat Sejarah Rakyat | Peri Penting Sejarah Dari Bawah | Oleh Dr. Syed Husin Ali

Pada 26 Mac 2022 yang lalu, Pusat Sejarah Rakyat dengan kerjasama Demokrat Universiti Malaya dan Naratif Malaysia telah menganjurkan sebuah syarahan umum yang disampaikan oleh Dr. Syed Husin Ali bertajuk Peri Penting Sejarah Dari Bawah.

Dalam syarahan beliau, Dr. Syed Husin Ali menekankan bahawa wujudnya penekanan tertentu dalam bidang sejarah – khususnya dalam penerbitan rasmi –  terhadap sejarah arus perdana dalam negara ini yang banyak tertumpu kepada ‘pihak-pihak yang menang.’ Justeru, naratif sejarah di negara ini dilihat seolah-olah ‘berat sebelah’ dengan hanya menampilkan peranan pihak-pihak yang tertentu namun dalam pada masa yang sama, ‘menenggelamkan’ sumbangan pihak-pihak yang lain. Tuntasnya, terdapat tiga (3) jenis pandangan sejarah yang berlegar dalam negara ini: Pertama, Sejarah Rasmi/Arus Perdana. Kedua, Sejarah Alternatif dan ketiga, Sejarah Rakyat.

Penekanan yang ‘berat sebelah’ ini dapat dilihat melalui enam (6) bentuk. Pertama, sejarah arus perdana lebih menekankan peranan individu daripada golongan yang mempunyai kuasa. Kedua, lebih menumpu kepada sejarah Semenanjung Malaysia berbanding Sabah dan Sarawak. Ketiga, lebih banyak mengutamakan sejarah orang Melayu-Islam berbanding etnik yang lain. Keempat, lebih banyak menumpukan soal politik berbanding soal ekonomi serta sosial. Kelima, sejarah arus perdana tidak cukup membicarakan mengenai soal hubungan antara kaum dan proses mencipta sebuah negara yang bersatu. Keenam, jarang meletakkan sejarah Malaysia dalam konteks wilayah Nusantara.

Oleh hal yang demikian, dalam siri syarahan ini Dr. Syed Husin Ali menganjurkan supaya pandangan sejarah alternatif diperkenalkan dengan lebih giat dan diperluaskan lagi. Sejarah alternatif ini dilihat berupaya untuk menandingi naratif sejarah arus perdana dengan memperkenalkan naratif ‘dari bawah’ yakni sejarah rakyat bawahan. Dalam siri syarahan ini juga, para penonton diberi laluan untuk melontarkan pandangan dan soalan mereka kepada pembicara.

Untuk makluman, siri syarahan ini juga merupakan program sulung dalam saluran YouTube Wacana Studio Naratif. Saluran ini akan menampilkan ramai lagi tokoh-tokoh untuk berkongsi pandangan, idea dan ilmu mereka kepada masyarakat umum. Justeru, semua golongan masyarakat dijemput untuk terus mengikuti program-program yang disediakan oleh Wacana Studio Naratif dengan cara melanggan, suka dan komen di saluran Wacana Studio Naratif. Sebarang hebahan mengenai program boleh diikuti melalui laman media sosial Naratif Malaysia.

Daripada pihak Naratif Malaysia, kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dr. Syed Husin Ali yang sudi berkongsi idea dan pandangan serta semua penonton yang mengikuti siri syarahan ini.

Artikel Berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

204FansLike
1,322FollowersFollow
579SubscribersSubscribe
spot_img

Artikel Terkini