BICARA ILMU SIRI 1/2023
12 JANUARI 2023 | SELASA | BILIK MESYUARAT LESTARI, UKM | 10.30 PAGI
MENYOROT KEMBALI IDEA PEMBANGUNAN MELALUI KUPASAN SYARAHAN PERDANA ALLAHYARHAM PROF. DR. ISHAK SHARI DAN PROF. EMERITUS DATO’ DR. ABDUL RAHMAN EMBONG
ANJURAN PSSM DAN NARATIF
PENGULAS:
MUHAMAD AZWAN ABD RAHMAN
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera kepada Pengerusi Majlis, Prof. Dato’ Dr. Rashila Ramli – mantan Pengarah IKMAS, mantan Presiden PSSM. Yang dihormati pembentang dan pemilik karya Syarahan Perdana Profesor, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong, Prof. Halim Ali tidak hadir kerana ada kesulitan dan urusan mendesak. Terima kasih kepada Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Anuwar Ali yang turut hadir memeriahkan majlis pada pagi ini yang juga mantan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia – dan juga Toh Puan Suraya yang turut bersama di dalam majlis ini.
Pertama-tamanya saya ucapkan terima kasih buat kedua-dua penganjur iaitu PSSM dan juga NARATIF kerana sudi menjemput saya untuk mengulas karya besar Profesor Rahman ini yang juga beliau merupakan guru saya. Pengulas awal karya Allahyarham Prof. Dr. Ishak Shari iaitu Prof. Sity Daud juga adalah guru saya. Majlis hari ini bukan sahaja menzahirkan betapa bakat serta pelapis itu adalah penting, tetapi juga dalam soal penerusan tradisi khasnya ilmu pembangunan.
Selain itu, Prof. Sity Daud ada menjelaskan bahawa syarahan Allahyarham Profesor Ishak Shari diadakan pada tahun 1999. Manakala di awal pembentangan oleh Prof Rahman khususnya dalam mengungkapkan kesimpulan yang dibuat Prof Ishak adalah diakhiri dengan “the journey of love” dan “passion”, yakni cinta dan kasih. Kemudian dalam Syarahan Perdana Profesor Abdul Rahman pada tahun 2003, di awal-awal permulaan karyanya juga memerikan hal berkaitan cinta – seperti cinta Shah Jahan kepada Mumtaz, Rumi dan Juli, dan cintanya Maharaja Cina kepada puteri yang menghadiahkan laying-layang kerana sedih akan nasib rakyat yang berhadapan bencana banjir. Justeru, adakah ini suatu kebetulan atau bagaimana? Pada pandangan saya ini adalah simbol keakraban yang erat antara dua tokoh ini di IKMAS yang bukan sahaja dalam bentuk persahabatan tetapi juga akrab dengan ilmu yang mendukung. Saya begitu mencemburui kerana mereka menua bersama ilmu yang bermanfaat sambil bersahabat.
Sebelum pergi dengan ulasan yang lebih mendalam mengenai karya Profesor Rahman ini, saya ingin memberikan penekanan berhubung istilah dan perkataan yang digunakan dalam buku ini seperti martabat, maruah (baru popular sekarang kerana penggunaan di medan politik baru-baru ini), mendobrak dan banyak lagi. Penggunaan istilah ini bukan sahaja menarik pembaca untuk meneruskan bacaan tetapi turut menangkat nilai buku ini ke tahap yang berprestij sesuai dengan kedudukannya sebagai Buku Syarahan Perdana Profesor.
Dalam ulasan dan pembentangan ini saya menelusuri beberapa konsep dan kerangka teori iaitu alat hurai yang dimanfaatkan kedua-dua tokoh ilmuan besar ini dalam bidang ekonomi dan pembangunan. Tidak keterlaluan untuk saya katakan kedua-dua karya ini menginspirasi saya sejak penghasilan PhD dan sehingga kini apabila bergelar ahli akademik.
Saya mengemukakan beberapa hujah dan juga cuba menjawab soalan berat yang di lontarkan Prof Rahman di akhir bicaranya yang melingkari tanggapan ilmu pembangunan oleh generasi pelapis dalam realiti hari ini.
Saya mengusulkan satu pendekatan baharu dengan menyingkap terlebih dahulu bahas pembangunan yang ada di Malaysia hari ini adalah diwarisi daripada pembezaan yang berlaku sejak 1960an – 1970an menerusi DEB.
Perlaksanaan DEB memunculkan kelompok kelas Menengah yang semakin membugar. Seiring perkembangan tersebut dan kerancakkan ekonomi menerusi peranan negara dalam pembangunan, maka telah berlaku juga mobiliti sosial kelompok ini menjadi kelompok terkaya.
Walau bagaimanapun, pembangunan seperti ini juga telah menghasilkan perbezaan dan kesenjangan ketara setelah melewati zaman demi zaman kerana zon selesa yang dinikmati. Namun, di sisi sebaliknya ada rakyat termiskin tidak mendapat manfaat seadilnya mahupun tertitis sehingga mengesan ke bawah.
Keadaan ini berterusan serta memunculkan pula kelompok baharu yang digelarkan Guy Standing sebagai kelompok Precariat. Precariat ialah golongan yang mudah terdedah kepada risiko dalam aspek kepuasan sosial seperti simpanan, pendapatan tidak setimpal apatah lagi pekerjaan yang tidak berpadanan dengan kelayakan serta terperosok paling bawah dalam susun lapis sosial masyarakat.
Berbeza tahun 1960 – 1990an sebelum krisis Asia 1997-1998, mahasiswa yang bergraduasi boleh memilih untuk bekerja sebagai apa dan posisi di mana dan ini dijelaskan oleh Prof. Dr. Sity Daud. Hal ini sudah pasti tidak akan berlaku biarpun di dalam mimpi hari ini yang berdampak daripada globalisasi dan asakan neoliberal.
Kelas Precariat ini semakin terzahir dan amat malang ia muncul di kalangan mahasiswa di Malaysia yang mendatang dan juga mantan mahasiswa yang masih belum mencapai nikmat kepuasan sosial sehingga kini.
Malah pembangunan klusif sejak DEB melewati zaman telah menyebabkan sindrom ketergantungan semakin sukar dihakis serta menambah lagi kadar kemiskinan yang mengecewakan ramai pembela — malah ia amat penting untuk difikirkan suatu sistem perlindungan sosial baharu bagi menangkis hasrat kekecewaan yang melambung ini (revolution of rising frustration).
Apakah yang dimaksudkan dengan Pembangunan Klusif?
Klusif secara ringkasnya ialah konsep daripada istilah linguistik yang digunakan sebagai alat kata untuk membezakan perkataan eks”klusif” dan In”klusif”. Istilah klusif ini dipelopori lebih awal oleh Elsik, sarjana linguistik pada tahun 2000an. Kemudiannya ia digunakan sedekad selepas itu dalam kajian multidisiplin oleh Weiczorek mengenai pengkajiannya tentang pendekatan klusiviti dalam kempen politik di Amerika Syarikat tentang bagaimana kempen politik dan pendapat umum itu dibeza-bezakan untuk mengekalkan kebasahan kuasa.
Namun setelah difikir mendalam, istilah klusif ini juga adalah sesuai dan boleh memugar realiti pembangunan di Malaysia hari ini yang telah banyak dibeza-bezakan oleh kuasa penetratif (kuasa kerajaan melalui polisi) di peringkat negara sebelum ini yang tidak stabil.
Agak mencabar, tetapi usaha ini juga adalah untuk menyahut cabaran Prof Hans Dieter Evers, tokoh besar sosiologi dunia kepada pelapis ahli akademik di Malaysia untuk menghasilkan teori-teori baharu pembangunan bersifat lokal yang dilihat semakin tiada kerana ditenggelamkan dengan kajian-kajian empirikal yang meledak bertebaran.
Mengambil perenungan tersebut, maka saya telah lebih awal memperkenalkan pendekatan Pembangunan Klusif berserta kertas kerja di Bengkel Pembangunan Kapasiti Penyelidik Muda, pada tahun 2020 yang dibimbing Prof Rahman dan Prof Halim untuk menguji alat hurai ini. Hasil pembentangan tersebut pastinya mendapat kritikan tetapi ia juga dating bersama motivasi oleh kedua-duanya untuk meneruskan kegilaan ini tetapi ada isinya. Prof. Halim juga sering jelaskan idea gila-gila ini kelazimannya diminati ahli akademik muda untuk mencuba, kata beliau dengan nada bergurau “memang gila idea ini, jika ia tepat, itu dikira bagus, jika tidak anggap ia sebagai menanggung akibat atau paling tidak, jawablah itu dahulu, sekarang ini salah mungkin saya yang tersilap”. Insyallah, hasil bimbingan berkesan oleh Prof. Rahman, ia juga akan diterbitkan di bawah kerja kolektif bersama Pertubuhan Naratif Malaysia dalam tahun ini, Insyallah.
Hari ini saya berkesempatan sekali lagi mengulas pendekatan “Pembangunan Klusif” dalam ruangan bicara ilmu buku Syarahan Perdana untuk menunjukkan keupayaan pendekatan ini bagi menganalisis fenomena yang sedang berlaku serta kerelevanan peranan negara sehingga kini dalam pembangunan khususnya setelah krisis dan pandemik.
Pertembungan, pertandingan yang tidak berkesudahan dan perbenturan yang berlaku untuk mencapai kepuasan sosial juga terkunci akibat wujudnya pembangunan yang dibeza-bezakan sehingga tidak dapat membebaskan belenggu kemiskinan, meningkatkan martabat ataupun menjamin maruah rakyat. Matlamat Pembangunan Sebagai Kebebasan seperti dianjurkan Amartya Sen juga kelihatan masih menjauh dari lambaian kita.
Justeru hal ini perlu diatasi segera dengan kaedah yang sama iaitu menerusi taktik pembangunan pembezaan. Analogi mudahnya ialah seperti kelaziman jalan cerita filem Tamil untuk tahun 2000an ke atas (bagi penggemar filem Tamil akan peka dengan “storyline” seperti ini) — iaitu bagaimana si hero menggunakan taktik dan strategi yang sama untuk membalas kejahatan yang memberi kesan ke atas dirinya dan keluarga. Biasanya babak ini disusun pada durasi klimaks bagi menunjukkan keterujaan dan betapa puasnya hati kepada penonton filem dengan tindakan hero tersebut.
Dalam soal sejarah, kejahatan itu bermaksud pembangunan telah dijadikan alat oleh sesetengah yang barbarik dalam kepakaran untuk dibeza-bezakan pendapatan, simpanan dan pekerjaan yang menghasilkan kesenjangan berterusan kepada masyarakat.
Bagi soal realiti hari ini, dan untuk melawan kejahatan itu, maka perlu adanya alat yang sama juga iaitu pembangunan sebagai alat pembezaan dengan mendobrak penguasaan kekayaan daripada golongan terkaya — tetapi dengan syarat negara adanya kuasa penetratif (penguasaan ke atas tiap wilayahnya), kuasa ekstraktif (meningkatkan cukai), kapasiti untuk berunding, dan tata kelola yang jitu seperti diusulkan Prof Rahman dalam buku Syarahan Perdananya.
Balik kepada sejarah DEB, di awalnya adalah baik tetapi tidak dibaringi dengan empat syarat ini. Sebab itu, setelah melewati zaman, realiti pembangunan sebagai alat pembezaan itu menjadi semakin mendalam dan parah serta tamak, yang akhirnya apabila krisis dan pandemik berlaku, kelompok rentan antara terkulai layu, sebahagian kelas menengah pula tergelincir ke B40.
Jadi apakah alat dan penawar yang sesuai untuk menangani pembezaan yang tidak sama rata itu? Alat atau pendekatan yang saya tawarkan ialah dengan pendekatan “Pembangunan Klusif” ataupun Pembangunan Pembezaan untuk mencapai cita-cita yang adil serta Inklusif — iaitu pembangunan menjadi alat pembezaan dengan memanipulasi ekosistem struktur sedia ada yang dibaringi empat syarat tadi untuk mengangkat martabat rakyat terbawah, menjamin ketidakgelinciran kelas menengah, dan mengoptimumkan kekayaan golongan terkaya dalam bentuk peningkatan cukai sebagai membantu yang lemah.
Bukti empirikal awal sudah ada, iaitu seperti mana tindakan yang dilakukan Perdana Menteri di awal pentadbirannya dengan mengarahkan golongan konglomerat seperti Syed Mokhtar yang menerima laba daripada pembangunan klusif sebelum ini untuk membayar RM10 juta (tahun lepas) dan RM50 juta (tahun ini) bagi menghargai keringat pesawah yang terdiri daripada kelompok terbawah. Bagi mencapai cita-cita inklusif, Perdana Menteri menjamin empayar yang dibina itu tidak terkesan mahupun roboh, malah Syed Mokhtar sendiri memberi jaminan untuk mendukung. Ini bukti pertama bentuk pembangunan klusif yang dibaringi dengan empat syarat awal tadi.
Bukti kedua pembangunan klusif yang boleh berlaku ialah menerusi KWSP dan juga perlu dibaringi empat syarat awal sekiranya perlu untuk memanfaatkan pembangunan klusif bagi mencapai cita-cita Inklusif. Contohnya ialah peratusan caruman KWSP. Jika kita lihat ketika ini, peratus caruman pekerja ialah 11% dan majikan 13%. Kelompok terkaya pasti mempunyai kelebihan nilai simpanan yang lebih besar berbanding menengah ataupun yang terbawah.
Jadi menerusi perenungan ini, ia perlu diperbetulkan semula bagi menambah baik sistem perlindungan sosial yang memang terjamin seperti KWSP. Contohnya, dengan pembangunan klusif, peratus untuk caruman KWSP kelompok terkaya dan kelas menengah yang kukuh kewangannya perlu dikurangkan, tetapi ditingkatkan dalam bentuk cukai pendapatan.
Ini penting bagi kerajaan membezakan kelompok yang “kuat” dan juga yang “lemah” perlu dibantu dalam sistem sosial. Hujah ini juga digunakan Profesor Rahman dalam mengakhiri karyanya untuk menunjukkan bahawa hidup ini adalah perkongsian, perlu akui pluralisme dan perlu beriringan – yang kuat membantu yang lemah, dan yang menang bantu serta bimbing yang kalah. Kesimpulan ini juga mencerminkan tentang penutup mengenai pembangunan sebagai alat pembeza khususnya dari segi kutipan cukai kelompok terkaya itu boleh digunakan bagi membantu kelompok yang lemah. Dalam erti kata lain kelompok terkaya lah yang menyumbang serta membantu kelompok yang terkesan dan terbawah. Manakala kelompok terbawah pula dikekalkan dengan peratusan yang sama dan dibantu dengan mekanisme subsidi bersasar yang inovatif untuk mereka kekal tidak terkesan dengan beban kos sara hidup. Oleh itu, ini menjadikan peranan negara dalam pembangunan masih relevan dalam abad ke-21 khususnya bukan setakat menerusi bentuk keilmuan (imperatif akademik) tetapi juga kepentingan dalam pembelaan nurani masyarakat (imperatif advokasi).